Nuffnang Ads

Bookcafe

Agoda Ads

Sunday, March 27, 2016

Makan Tangan Kananlah!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Selalu kalau duduk di kedai makan, Alisya mesti marahkan Abang dia... Dia cakap, "kenapa Abang ni asyik makan dengan tangan kiri? Orang makan dengan tangan kananlah?"

Abang jawab, "ni tangan kananlah ni, Alisya duduk situ memanglah sebelah yang ni (sambil angkat tangan kirinya)"

Balas Alisya, "eh tak... Alisya makan tangan kanan... tengok Mama pun sama tangan kanan, (sebab saya duduk di sebelahnya) Abang je tangan kiri... eeii, cikgu cakap siapa makan dengan tangan kiri, dia sama dengan syaitan!"

"Betullah ni tangan kanan Ayies... Alisya duduk kat situ memanglah... ha tengok kalau Ayies pusing macam ni... (sambil pusingkan badan dan angkat tangan kiri dan kanannya) kan sama tangan Ayies macam Alisya tu!"

"Tak, Abang makan tangan kiri, kan Mama...?" (tak puas hati dengan jawapan Abangnya...)

"Betullah tu tangan kanan Abang, kalau Alisya duduk tempat Abang sekarang ni tangan ni la juga Alisya pakai untuk makan (sambil tunjuk tangan kanannya)".

"Ish Mama ni!!!" 

Terus Alisya masam muka, marah sebab dia ingat saya sebelahkan si Abang. Padahal dia yang tak faham konsep bila duduk berdepan... Tak pe lah slowly kamu bisa faham ya...

NK
Jenuh nak explain!

Thursday, March 24, 2016

Zalora: Trend Fesyen Hijab Selebriti

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Jika dilihat kini, semakin ramai wanita, baik remaja mahupun dewasa, yang memakai 'tudung ala selebriti'. Tidak dinafikan bahawa ini adalah gambaran positif tentang trend fesyen berhijab di Malaysia. 

Kini semakin ramai selebriti tempatan yang tampil dengan imej bertudung. Populariti seseorang artis secara tidak langsung menjadi ikutan para peminatnya, baik dari segi pemakaian, solekan mahupun hijab. 

Lebih menarik lagi apabila ramai selebriti wanita yang menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan koleksi tudung atas nama masing-masing, seperti Naelofar Hijab, Hijab by Emma Maembong serta Owl by Nora Danish.  

Dengan adanya koleksi tudung berjenama di kalangan artis popular ini, menunjukkan bahawa fesyen Muslimah sememangnya semakin diterima ramai dan mendapat tempat di kalangan peminat seni tanah air. 

Berikut adalah trend fesyen berhijab di kalangan selebriti yang kian menjadi ikutan ramai:

1. Adira – si kecil molek Adira, penyanyi dari Sabah ini baru sahaja tampil dengan imej berhijab pada tahun lepas dan sering kelihatan selesa dengan pemakaian tudung bawal satin. Fesyen bawal satin ini nampak sangat sesuai dengan Adira yang bertubuh kecil dan berkulit putih. Fabrik satin menjadikan penampilannya kelihatan lebih elegan.

2. Yuna – pada awal kemunculannya, pemakaian turban seperti ini mencetuskan pelbagai kontroversi. Namun gadis yang bercita-cita tinggi ini tidak cepat melatah sebaliknya terus melakar kejayaan demi kejayaan di bumi asing. Jangan kata pemakaian turban ini tidak mendapat tempat di hati wanita bertudung tau, sebaliknya ramai juga yang mengenakan turban lebih-lebih lagi remaja perempuan.

3. Najwa Latif – selebriti bertudung yang amat berbakat seterusnya adalah Najwa Latif yang cukup sinonim dengan pemakaian tudung bawal cotton sejak dahulu lagi. Buka saja YouTube, anda akan dapat melihat ramai yang membuat tutorial cara memakai tudung ala Najwa Latif. Simple tapi tetap nampak ayu.

4. Neelofa – dan fesyen hijab terkini selebriti yang kini amat popular dan menjadi ikutan ramai adalah fesyen instant shawl yang dipopularkan oleh selebriti cantik, Neelofa. Instant shawl amat mudah digayakan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak punya banyak masa untuk berdandan. Dengan hanya menyarungkan instant shawl, seseorang itu boleh tampil cantik dan bergaya. 

Wednesday, March 23, 2016

Bila Anak Akil Baligh

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Rancangan: Tanyalah Ustazah
Tajuk: Anakku Dah Dewasa
Penceramah: Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria

1. Jika anak-anak degil, tidak mendengar kata, keras hati, kuat memberontak, ibu dan ayah perlulah terlebih dulu memohon ampun dan taubat kepada Allah. Mohon agar Allah mengampunkan dosa-dosa terdahulu dan minta petunjuk dari Allah bagaimana untuk mendidik anak dengan cara yang betul.

2. Adakah perbezaan dalam mendidik anak lelaki dan perempuan?
  • Lelaki adalah pemimpin, dan perempuan adalah pengikut yang bijaksana. Maka anak lelaki haruslah dididik untuk memikul tanggungjawab sejak dari kecil. Didiklah anak lelaki untuk menguruskan dirinya dan adik-adik perempuan yang lain, melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mencuci pinggan mangkuk, membasuh/menyidai/melipat kain, menemani si ibu ke pasar, membawa/mengangkat barang, menjahit, berkebun, bertukang dan sebagainya. Sebagaimana sifat Nabi Muhammad SAW (yang menguruskan semuanya dengan DIBANTU oleh Aisyah)
  • Didiklah anak lelaki tentang tanggungjawab di atas sejak dari kecil agar mereka tahu akan tanggungjawab untuk menjaga dan menghormati kedua ibubapanya.
  • Pujilah anak-anak lelaki ini apabila mereka melakukan satu-satu tanggungjawab itu dan kaitkan perbuatan baiknya itu dengan apa yang dilakukan Nabi Muhammad SAW. Dengan itu, dia akan rasa dihargai dan dapat meningkatkan rasa tanggungjawabnya kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. 
3. Bagaimana nak menjelaskan tentang akil baligh kepada anak lelaki dan anak perempuan?
  • Tanda aras akil baligh bukan sahaja perubahan bentuk badan seseorang anak lelaki dan perempuan, malah lebih daripada itu. 
  • Ibu perlulah rapat dengan anak perempuan agar boleh menceritakan tentang perkara yang paling sulit dengan anak-anak. Begitu juga dengan bapa dan anak lelaki. Ceritakan bagaimana tanda akil baligh akan keluar daripada tubuh badan anak-anak. Perkara pertama yang perlu ditekankan apabila akil baligh adalah SOLAT. Tekankan pada anak bahawa tanda aras apabila akil baligh adalah kewajipan menunaikan solat. Ajarkan cara mandi wajib yang betul agar sahnya solat anak-anak.
  • Perkara kedua yang perlu ditekankan oleh ibu bapa adalah tentang AURAT. Dedahkan anak-anak perempuan terutamanya tentang kewajipan menutup aurat. Memakai pakaian yang sopan serta memakai tudung. 
  • Perkara ketiga adalah tentang PERGAULAN. Didik anak lelaki dan perempuan untuk ada perasaan malu, elakkan mereka daripada 'bertepuk tampar/bergurau berlebihan' dengan jantina yang lain. 
  • Perkara keempat adalah tentang TANGGUNGJAWAB untuk menjaga diri daripada disentuh oleh orang yang bukan muhrim. Ketika ini juga menjadi kewajipan bagi anak-anak lelaki untuk melindungi kakak dan adik-adik perempuannya yang lain. 
  • Akil baligh datang bersama perasaan, nafsu dan perubahan fizikal yang membolehkan sehingga anak perempuan itu mengandung. Maka ibu bapa perlulah lebih bersedia untuk memberi penjelasan yang lebih khusus apabila anak mencapai usia akil baligh, bukan hanya kerana perubahan fizikal anaknya. Malah lebih daripada itu.
4. Bagaimana hendak menjaga pergaulan antara anak lelaki dan perempuan dan batasan aurat antara mereka?
  • Pisahkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan ketika usia mereka mencecah 7 tahun. 
  • Ajarkan juga adab tidur kepada anak-anak; tidur dalam keadaan berwuduk dan tidur dengan mengiring ke kanan dan merapatkan kaki. Manfaat merapatkan kaki ketika tidur adalah untuk mengekang nafsu
  • Ajarkan anak perempuan untuk menjaga adab dalam berpakaian walaupun di dalam rumah.
  • Ibu bapa mempunyai kuasa untuk memeriksa handphone dan laptop anak-anak remaja mereka. Ini kerana terlalu banyak kerosakan di dalam gajet tersebut yang akan merosakkan akhlak anak-anak jika tidak digunakan dengan ilmiah. Seeloknya jangan dedahkan anak-anak dengan gajet kerana ia bukan keperluan.
  • Ajarkan anak untuk ketuk pintu dan minta izin sebelum memasuki bilik adik perempuan/adik lelaki/abang/kakak. 
5. Bagaimana untuk menanam adab dan akhlak di kalangan remaja Islam?
  • Nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya; jangan mensyirikkan Allah, berbakti kepada ibubapa, jagalah solat dan bangunlah malam, ramai orang tenggelam dalam dunia maka berhati-hati sebelum tenggelam, jangan berjalan dengan sombong dan bongkak, memelihara tutur kata, menjaga hati dan jangan mensia-siakan harta, jangan berdusta, Allah akan membalas segala perbuatan baik yang dilakukan walaupun hanya sebesar biji sawi, bersabarlah atas segala ujian.
6. Surah-surah yang perlu diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak;
  • Surah Al-Ikhlas - untuk tanam tauhid
  • Surah Al-Baqarah, ayat 284-286 - ayat untuk memohon ampun, berharap dan takut kepada Allah 
  • Surah Al-Anbia', ayat 74
  • Surah An-Nur - peringatan untuk menjaga kemaluan daripada zina, menjaga aurat dan pandangan
  • Surah Al-Kafirun - untuk menetapkan pendirian agar tidak terikut-ikut dengan budaya orang kafir
  • Perbanyakkanlah doa untuk mendapat kebahagian dunia dan akhirat ini:

Monday, March 07, 2016

Genap 10 Tahun Pemergian Mak...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Gambar raya tahun 2005

Hari ni genap 10 tahun pemergian Mak saya... Pemergian seorang insan yang sangat-sangat dirindui. 10 tahun lalu, ketika Mak sakit, saya berulang dari tempat kerja (Bukit Jalil/Seri Kembangan - HUKM) setiap hari (waktu lunch) ke hospital menjenguk Mak. 

Juga bergilir dengan adik-beradik lain untuk menjaga Mak. Walaupun waktu itu, Mak tidak sedar, dan kami bukanlah boleh sewenang-wenangnya keluar masuk ICU, di mana Mak ditempatkan. Tapi, kami yang menjaga, tetap setia menanti khabaran baik dari doktor di luar wad ICU.

Saya ingat lagi, ketika Mak sakit, saya juga sedang dalam proses menyiapkan barang-barang hantaran, dan door gift untuk majlis perkahwinan saya. Jika bukan giliran saya menjaga Mak, saya akan berurusan dengan person in charge untuk katering, make up, pelamin dan lain-lain perkara yang saya perlu selesaikan. Masa sangat-sangat terhad. 

Jika giliran saya menjaga Mak, saya bawa bersama peralatan untuk membuat door gift saya. Bentang tikar, di ruang menunggu berdekatan wad ICU sambil menyiapkan apa yang patut. Hati ni, hanya Allah yang tahu.

Walaupun beberapa kali juga, saya berbincang dengan adik beradik yang lain serta Pakcik dan Makcik untuk menangguhkan perkahwinan, namun mereka tetap memujuk saya untuk meneruskan. Memandangkan segalanya telahpun siap ditempah dan kad juga telah diedarkan. Saya akur dan berharap agar Mak sedar dan dapat bersama-sama saya di majlis perkahwinan saya nanti. Besar harapan saya agar Mak sedar dan sihat seperti biasa.

Tapi tarikh ini, 7 Mac tahun 2006 (ketika itu giliran abang sulung menjaga Mak di ICU, HUKM), seawal pagi kami mendapat khabaran dari abang sulung bahawa Mak telah meninggal dunia. Entah apa perasaan saya ketika itu... saya bergegas ke hospital. Sedang adik beradik yang lain diberikan tugasan masing-masing. Ada yang ditugaskan untuk maklumkan kepada jiran-jiran, ada yang kena telefon saudara mara, ada yang kena panggil orang masjid dan macam-macam lagi.

Saya ke hospital untuk selesaikan prosedur tuntutan jenazah Mak bersama abang sulung saya... Ketika sampai di hospital, kebetulan jenazah Mak hendak dimandikan. Saya masuk ke dalam bilik mandikan jenazah, bersama seorang pembantu hospital dan abang sulung saya. Suasana ketika itu, terasa sangat sayu... melihatkan susuk tubuh Mak terbaring kaku. Lama saya merenung wajah Mak...  Wajah yang sangat-sangat saya rindui...
 
Masa ni sebelum Mak dipindahkan ke ICU...
Saya pegang jari jemari Mak... Sejuk! Sambil tu saya renung juga kaki kanan Mak yang telah dipotong. Sedih! Kaki Mak yang telah dipotong tu, kami tanam di sebelah pusara Ayah. Ingat lagi ketika Mak sedar lepas kakinya dipotong, Mak tak bercakap pun dengan kami adik beradik. Merajuk! Tapi bila giliran saya jaga Mak, saya beritahu Mak, "kaki Mak tu kami tanam kat sebelah pusara ayah..." Tak lama tu Mak senyum. Lalu saya suapkan makan dan pujuk Mak agar redha...

Tak sangka ketika itu saya berada dalam bilik untuk mandikan jenazah Mak. Muka Mak nampak tenang saja. Seolah hilang segala kesakitan yang ditanggungnya sepanjang berada di ICU.

Dalam hati saya bisikkan, "Mak, ini khidmat bakti Nora yang terakhir untuk Mak sebagai anak... Nora mandikan Mak yea... Terima kasih sebab Mak dah bersusah payah besarkan Nora, moga Mak halalkan segalanya buat kami adik beradik."

Bila menyapu air di wajah Mak... 
"wajah inilah yang sering dirindui setiap kali berjauhan".
Bila meratakan air di bahu dan dadanya, 
"di bahu dan dada inilah tempat menumpang jika aku kesedihan".
Bila meratakan air ke tangan dan jari-jemarinya, 
"tangan dan jari inilah yang sentiasa mengusap dan menyuapkan aku makan".
Bila meratakan air ke perutnya, 
"dalam perut inilah aku menumpang selama 9 bulan 10 hari".
Bila meratakan air ke kakinya, 
"kaki inilah yang meriba aku ketika kecil".

Sebak... Memang sebak.

Walaupun air mata sentiasa meleleh ketika saya mandikan Mak, tapi saya bersyukur dan lega kerana saya adalah salah orang anak yang Allah pilih untuk mandi dan kafankan jenazah Mak ketika itu. 

Mandikan jenazah Mak... memang perkara yang tak dapat saya lupakan sampai hari ini.

Alhamdulillah segalanya di permudahkan Allah, dari mandi, kafan, disembahyangkan dan dikebumikan... Semuanya mudah... Memang ramai yang datang melihat Mak buat kali terakhir. 

Ketika majlis pertunangan, Mak pun
dah tak berapa sihat...
Kemudian, bermulalah tahlil tiga malam. Dan hari yang keempat pemergian Mak adalah hari pernikahan saya... Ya, saya nikah pada hari keempat pemergian Mak. Tak tahulah apa perasaan saya ketika itu... tahun sebelumnya (2005) dua minggu sebelum majlis pertunangan saya, Ayah saya telah pergi dan tahun berikutnya Mak pula. Pun begitu saya tetap bersyukur kerana Mak masih ada ketika saya bertunang.

Majlis nikah saya berlangsung dengan serba sederhana, saya termasuk adik beradik lain, gagah menyorokkan kesedihan di hadapan tetamu yang hadir. Mujur ada Pakcik dan Makcik yang bertindak sebagai "ibu bapa" kami pada majlis tersebut, malah sampai sekarang, merekalah tempat kami mengadu dan menumpang kasih.

Genap 10 tahun hari ni... Moga Allah ampunkan dosa-dosa Mak dan Ayah saya. Moga mereka tenang di sana dan sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T. 

Al-Fatihah.

Dari anakmu yang sentiasa merindui... (T_T)

Artikel berkaitan:

1. Doakan Ibubapa - apa yang seorang anak perlu lakukan untuk ibu/bapa yang telah meninggal dunia.
2. Perbezaan Antara Ilmu dan Harta - nasihat arwah Ayah pada saya...
3. Ibu... Rakan Paling Akrab - mengenang jasa ibu pada kita.
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...