Wednesday, October 02, 2019

5 Tips Atasi Pasangan Berdengkur

Berpagi-pagian di kedai runcit untuk menambah stok barang dapur basah.

Melihat ayam, ikan dan sayur-sayur yang fresh juga adalah sebahagian daripada terapi minda. Dalam keasyikan memilih ayam, datang seorang wanita yang saya kira usianya awal 50an.

"Oit, awal pula datang hari ni..." dia menegur seorang lagi wanita yang sedang leka memilih ikan kembung.

"Ha, awal sikit je. Eh, kenapa sembab muka tu?  Macam tak cukup tidur je," balasnya setelah mengangkat muka dan memandang orang yang menegurnya.

"Aduhlah... tak tahulah aku. Dah berapa malam tak dapat tidur. Laki aku tu, berdengkur kuat ya amat. Tak boleh tidur dibuatnya," suaranya sedikit tinggi. Nak menunjukkan rasa amarahnya.

"Asal pagi je mulalah aku pun pening kepala sebab tak cukup tidur," sambungnya lagi.

"Penat sangat agaknya laki kau tu... bukan semalam katanya pergi Pahang hantar barang?" balas wanita yang sedang menunggu ikan kembungnya disiang.

"Serabutlah aku... rasa nak tekup je muka laki aku tu dengan bantal. Tak pun biar je dia tidur dalam lori tu. Dulu tak de pula berdengkur kuat macam ni. Ni sampai bergegar rumah rasanya," ceritanya sambil tergelak.

Beberapa orang yang mendengar perbualan itu, turut ketawa. Saya juga tersenyum. Senyum kerana melihat gelagatnya yang bersungguh-sungguh bercerita. Lagaknya seperti peserta kanak-kanak bagi pertandingan bercerita. 

"Kalau tekup dengan bantal, innalillahlah nanti. Kang sunyi pula malam kau," balas rakannya dengan tawa yang masih berbaki.


Entahlah, bukankah sebagai seorang isteri, kita patut rasa syukur...

1. Kerana malam kita bertemankan dengkur sang suami. Ada orang sepanjang hidupnya tidak dikurniakan pasangan hidup pun. Malah ada juga suami yang tak balik ke rumah dan mencari keseronokan lain di luar rumah.

2. Kisah ini walau nampak kelakar, tapi sedar tak... kita sedang menceritakan aib suami kepada orang lain. Ya, ini aib suami kita yang perlu disimpan di dalam rumah, tidak perlu dijaja kepada orang lain walaupun atas dasar bergurau.

3. Jika rasa hilang punca bagaimana nak menyelesaikan masalah dengkur pasangan kita, mungkin boleh lakukan beberapa perkara ini:

a) sediakan air panas, dan minta suami mandi dengan air yang sedikit panas sebelum tidur. 

b) jika kuat sangat dengkurnya, kejutkan supaya dia dapat tukar posisi tidur. Tidur secara mengiring adalah lebih baik dari menelentang.

c) di farmasi ada dijual pelekat jalur hidung bagi memudahkannya untuk bernafas ketika tidur.

d) pasangkan pelembab udara (air humidifier atau air dffuser) bagi mengekalkan udara yang lembab disamping haruman seperti lavender bagi tidur yang lena.

e) minum banyak air suam disebelah siang, bagi mengekalkan tahap hidrasi badan. Kurang air akan menyebabkan tekak bertambah kering.

Insya-Allah benda boleh settle, buat apa dicanang-canangkan pada orang?

Aib pasangan kita, mohon simpan dalam peti besi dalam rumah.