Thursday, June 22, 2017

Resipi Raya: Biskut Sarang Semut (Tak Perlu Sagat)

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 27 Ramadan,

Berapa banyak dah buat kuih raya tu?! Saya, ni je lah kot. Mood raya tak muncul-muncul... Kalau bukan sebab Faris dan Alisya, tak terbuatnya kuih raya ni. Anak-anak suka makan sarang semut ni saya sendiri tak la berapa suka... Biskut sarang semut versi arwah Mak saya ni, dohnya tak perlu disagat, cuma bulat-bulatkan je dan masuk paper cup.


Syahdu buat kuih ni sebab arwah Mak tak pernah tak buat setiap kali nak raya. Arwah Mak samalah macam saya... tak berapa suka, tapi buat sebab anak-anak suka makan.

Biasanya memang sayalah yang akan tolong mak buat kuih ni. Kalau dengan arwah Mak, tak de nya satu adunan, mesti lima adunan atau lebih. Memang sampai awal pagilah masih lagi tabur chocolate rice.

Faris dengan Alisya dari sebelum puasa lagi dah ingatkan pasal sarang semut ni. Bila dah buat semalam, bukan main senyum sampai ke telinga. Bukan mereka je, Busu mereka, Bob Ashkarl pun senyum sampai telinga. 😛

Adam Faris shift pagi... :p
Alisya, shift petang... hehe
Alisya puasa setengah hari dapatlah makan beberapa biji yang kosong sebelum letak choclate rice. Sambil banyak kali cakap, "terima kasih Mama sebab buat kuih ni..."

Yang Faris pun cakap, "sedapnya bau kuih ni Mama... tak sabar nak buka puasa, nak makan kuih ni banyak-banyak..."

Mamanya haruslah sorok dan diberi makan bercatu... sebab Mama buat satu adunan saja dapat dalam 250 biji je. Nampak kejam di situ. 😂 Kalau dengan arwah Mak dulu kalau sekali buat 1500 biji atau lebih.

Moga banyak pahala yang arwah Mak saya dapat, sebab ajarkan saya buat kuih ni... sampai cucu-cucu arwah Mak pun suka.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa Mak saya dan tempatkannya di kalangan para solihin.

Bahan-bahan untuk doh:
500g buttercup
1 cawan gula Caster
4 biji telur
1 penutup esen vanilla
2 cawan tepung gandum
4 cawan tepung naik sendiri
1 sudu kecil serbuk koko (optional)

Bahan-bahan untuk krim:
10 sudu besar planta
5 sudu besar gula caster
1/2 biji perahan jus limau nipis
Coklat urai (chocolate rice) secukupnya.

Cara-cara membuatnya:
1. Ayak tepung gandum dan tepung naik sendiri dalam satu bekas. Ketepikan.
2. Pukul buttercup dan gula dengan mixer hingga agak pucat warnanya.
3. Masukkan telur satu persatu, dan esen vanila. Pukul sehingga adunan agak ringan.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh (tidak melekat di tangan).
4. Bulat-bulatkan doh dan letakkan dalam paper cup. Tekan sikit.
5. Bakar dalam oven 180 darjah selama 15 minit (ikut oven masing-masing)

Untuk krimnya:
1. Pukul planta dan gula menggunakan mixer.
2. Perahkan jus limau nipis. Pukul lagi hingga rata.
3. Sapukan krim di atas biskut yang telah dibakar dan taburkan chocolate rice.
4. Sedia untuk dimakan.


Selamat mencuba semua... 🤗


Menjadi ibu, biasanya bukan buat apa yang kita suka, tapi buat sebab nak gembirakan hati dan tunaikan permintaan anak-anak.

Monday, June 19, 2017

Bicara Dengan Anak: Kaabah Ada Dua

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah, 

Bagaimana agaknya puasa kita selama 24 hari ni. Moga puasa dan amalan-amalan kita sepanjang Ramadan diterima Allah. InsyaAllah, Amin... Sedih pula bila Ramadan semakin meninggalkan kita.

Ni saya nak kongsikan perbualan saya dengan Adam Faris tentang Kaabah. Satu pagi selepas sahur, Faris tanya saya...



Faris: Mama, Kaabah ada satu je kan?

Saya: Kaabah ada dua.

Faris: Aik, satu je la Mama... Yang ni kan. Yang Abah pergi hari tu... (sambil tunjuk gambar Kaabah yang ada di ruang tamu, rumah pusaka arwah Mak dan Ayah saya)

Saya: Ada dua. Satu dekat bumi. Dekat Mekah. Yang nilah (tunjuk gambar yang sama) Satu lagi dekat langit.



Faris: (hahahahaha) Kelakar la Mama ni. Macam mana orang nak pergi Kaabah yang dekat langit tu?!? Kena naik pakai baju angkasawan agaknya...

Bersungguh dia gelak, ingat saya buat lawak. Saya sengih je...

Saya: Siapa kata Kaabah dekat langit tu untuk manusia?

Faris: Dah, habis tu untuk siapa?

Saya: Kaabah dekat langit tu untuk Malaikat. Namanya Baitul Makmur. Yang ni dipanggil Baitullah.

Faris: Malaikat pun kena pusing-pusing? (baca sebagai Tawaf).

Saya: Ha ah. Sama je macam kita Tawaf tu.

Faris: Kenapa Malaikat pun kena pusing-pusing? 

Saya: Selagi belum Kiamat, selagi tu la Malaikat akan Tawaf. Sama je macam kita.

Faris: Ramai ke Malaikat pusing-pusing?


Masa sekolah Tadika di Melaka dulu Faris pernah buat lakonan Tawaf Kaabah. Dia ingat sampai sekarang.

Saya: Yang Mama baca, sehari ada 70,000 Malaikat akan Tawaf dekat Baitul Makmur dalam SEHARI.

Faris: SEHARI? Betul ke Mama ni? Ramai betul!

Saya: Ye sehari 70,000 Malaikat. 70,000 Malaikat yang dah Tawaf hari ni, takkan datang dah esok. Esoknya 70,000 Malaikat lain. Esok lagi 70,000 lagi Malaikat lain. Subhanallah... Hebat Allah!

Faris: Biar betul! Takkan ramai macam tu?

Saya: Wallahua'lam... tapi itulah yang Mama baca. Kalau ikut ceramah Ustaz Wadi Annuar pula, contohlah kalau ada orang meninggal dunia, nanti turun Malaikat dengan pasukan dia yang ramai untuk uruskan jenazah tu... kalau orang yang meninggal tu baik, Malaikat dengan pasukan tu akan bawa wangian dari Syurga. Kalau orang yang meninggal tu tak baik Malaikat akan bawa bau busuk dari Neraka... Na'uzubillahi min zalik...

Faris: Takkanlah, biasa kalau orang meninggal, oranglah yang uruskan. Ada ke Malaikat?

Saya: Manusia uruskan jasad... itulah yang kita nampak bila orang meninggal, kita mandikan, kita kafankan, kita solatkan, kita kebumikan. Tapi Malaikat yang ramai turun tu, uruskan roh orang yang meninggal tu...

Faris: Ooo patutlah dalam cerita Ultraman tu... bla... bla... bla... bla...

Mama dia tak sanggup nak dengar. Ada ke dia kaitkan dengan Ultraman! Allah! Dan soalan terus-menerus dari Faris... sampai ke sudah... yang pasti semuanya pasal imaginasi dia. Sampai masuk macam-macam superhero bagai. Saya pula yang pening. Sabar je lah! 

Saya: Ok... dah la tu. Pergi Subuh, lepas tu tidur! 


Faris kalau tanya soalan memang tak boleh fokus, sampai Mamanya pun jadi tak fokus.

Wednesday, June 14, 2017

Doa Malam Lailatulqadar

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 19 Ramadan,

Allahuakbar, sekejapan je dah 19 Ramadan. Sedih rasa bulan Ramadan dah nak melabuhkan tirai. Sedih, entah jumpa entah tidak Ramadan tahun depan.

Hajat di hati nak khatam Quran dalam bulan Ramadan ni. Kalau ikutkan tinggal 4 juzuk lagi. Saya baca Quran dari sebelum puasa, memang dengan harapan dapat Khatam masa bulan Ramadan ni. Tapi sekarang Allah bagi cuti. Harap ada hari-hari berbaki ni nanti dapat saya Khatam Quran. Insya-Allah.

Seperti yang kita sedia maklum, 10 hari pertama bulan Ramadan adalah rahmat terbesar daripada Allah kepada kita. Diberikan olehNya sebesar-besar rahmat kepada hamba-hambaNya, agar kita sentiasa bersyukur.

10 malam kedua Ramadan, dibukakan seluas-luasnya pintu keampunan buat hamba-hambaNya. Kita disarankan perbanyakan doa memohon ampun dan beristighfar.

20 malam itu telahpun berlalu. Kini berbaki 10 malam terakhir yang dikatakan pecutan akhir atau peluang besar-besaran yang perlu kita rebut sebaiknya. 10 malam terakhir Ramadan inilah dikatakan malam yang membebaskan kita dari seksa api neraka.

Apa peluang yang perlu kita rebut pada 10 malam terakhir?

Perbanyakan zikir, membaca Al-Quran, bangun solat malam, mohon pengampunan, tangisi dosa-dosa yang lalu, perbanyakan sedekah dan pelbagai amalan baik yang boleh kita lakukan.  Perbetulkan niat, insya-Allah moga Allah terima amalan yang kita. Amin.

"Malam Lailatuladar" juga dikatakan berlaku pada salah satu dari 10 malam terakhir ini.

Saidatina Aisyah r.anha berkata, "Ya Rasulullah! Beritahulah kepada saya, sekiranya saya tahu malam manakah Lailatulqadar, apakah doa yang sepatutnya saya pohon?"

Baginda SAW bersabda, "katakanlah":


Perbanyakanlah membaca doa ini sepanjang 10 malam terakhir, kerana ini adalah doa yang sangat lengkap agar Allah SWT dengan kemurahan dan belas kasihanNya mengampuni kita daripada segala tuntutan akhirat.
(Rujukan kitab Fadhilat Amal)

Salam 10 malam terakhir sahabat... Masih belum terlewat kita sama-sama membuat pecutan akhir. Maafkan saya jika ada sakiti hati sahabat semua.

Moga Allah izinkan kita semua untuk bertemu dengan Malam Lailatulqadar. Insya-Allah, Amin...

Monday, June 12, 2017

Hotel Hilton Kuching, Sarawak Lengkapi Percutian

Bismillahirahmannirrahim

Assalamualaikum dan salam ziarah,

Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai tempat unik dan menarik yang menjadi kunjungan para pelancong. Baik di Semenanjung Malaysia, mahupun Sabah dan Sarawak. Pertama kali saya menjejaki bumi Sarawak, adalah pada tahun 2006, iaitu di bandar Kuching. Menariknya ia adalah pengalaman saya berbulan madu! Seronok sangat, kerana tempatnya aman dan terjaga rapi, udara dan persekitaran bandar Kuching juga terasa sangat nyaman dan menyegarkan.

Apa yang menarik di Kuching, Sarawak?

Antara tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar bandar Kuching, Sarawak adalah Pasar Sarikin, Pasar Satok, Kompleks Kubah Ria, Kuching Waterfront, Muzium dan Galeri Tekstil, Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh, Sarakraf Pavillion, Muzium Sejarah Cina Sarawak, Muzium Sarawak, Muzium Kuching, Tugu Kuching, Orchid Garden, Kuching Civic Centre, Pantai Damai dan pelbagai tempat lagi yang boleh dikunjungi.




Kalau dah banyak tempat menarik macam ni, maka perlulah ambil masa untuk atur dan rancang perjalanan bagi membolehkan anda berkunjung ke semua tempat. Maklumlah kalau dah sampai, tapi tak berkesempatan untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik ni, rugilahkan? Jadi sediakan itinerary perjalanan, agar anda dapat mengunjungi semua tempat menarik di sekitar Kuching.



Rumah panjang Sarawak
 
Perkara kedua jika bercuti ke mana-mana destinasi percutian adalah penginapan. Ye tak? Mestilah nak cari tempat yang selesa dan berdekatan dengan tempat-tempat menarik yang dah disebutkan di atas nikan. So, dekat mana nak menginap jika bercuti di Kuching, Sarawak? 

Hotel Hilton Kuching, Sarawak

Ha, ni saya nak kongsikan bersama pembaca semua, Hilton Kuching merupakan antara hotel yang tertua di Kuching. Ia terletak bersebelahan Kuching Waterfront dan berdekatan kawasan tengah bandaraya. Kelebihan berada di tengah bandaraya menjadikan ia pilihan pelancong.



Hilton Kuching juga merupakan satu-satunya hotel yang mempunyai pemandangan tanpa halangan ke arah Sungai Sarawak. Lokasinya sangat strategik kerana terletak di tebing Sungai Sarawak. Hilton Kuching menawarkan lokasi yang selesa, perkhidmatan yang berkualiti dan mesra pelanggan, pemandangan yang indah, bilik-bilik yang luas dan selesa dengan harga yang berpatutan. 

Lokasi Hilton Kuching sangat menarik kerana berhampiran dengan kawasan-kawasan lama dan baru bandar Kuching. Terdapat juga kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan memudahkan anda yang ingin bergerak ke tempat-tempat menarik berdekatan, antaranya Semenggoh Wildlife Park dan Sarawak Cultural Village. So, tak perlu risau jika nak pergi ke tempat-tempat yang ingin dilawati kerana kemudahan pengangkutan mudah di akses dari Hilton Kuching.

Setelah seharian menikmati keindahan bandar Kuching, melayari sungai Sarawak, ataupun membeli-belah mencari cenderahati di sekitarnya, semestinya kita ingin berehat di dalam bilik yang selesa dan tenangkan?

Bilik-bilik yang luas di Hilton Kuching ini, dihiasi dengan gaya kontemporari, rekahias dengan sentuhan warna-warna yang lembut dan memberikan ketenangan kepada penginapnya. Dengan adanya tingkap-tingkap yang besar dan memaparkan pemandangan yang indah bandaraya mahupun sungai. Semestinya anda dapat ketenangan dan beristirehat dengan selesa. Pastinya segala keletihan berjalan di siang hari terasa hilang.


Kemudahan lain yang terdapat di Hilton Kuching adalah seperti kolam renang luaran yang indah dan pusat kecergasan yang dilengkapi dengan kelengkapan alat kecergasan terkini. So, anda bukan hanya boleh berehat malah boleh bersenam. Bak kata orang, berbelanjalah dengan bijak, pilihlah hotel yang memberikan kemudahan kepada anda. 

 
Macam mana pula dengan makanan di Hilton Kuching? Ha, jangan risau. Hotel ini juga memiliki pelbagai restoran yang menawarkan pilihan masakan daripada sajian masakan tempatan kepada masakan barat popular dan bercitarasa tinggi. So kalau bab makan anda memang tak perlu risau. Pelbagai jenis sajian disediakan. Anda cuma perlu pilih dan makan sahaja. Masakan yang terbaik dari hotel ini membuatkan perut anda terisi kenyang dan boleh terus sambung bercuti , bekerja atau berehat. 

Pendek kata, sangat berbaloi menginap di Hilton Kuching. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menyediakan wang yang mencukupi dan bolehlah makan apa saja yang ada di restoran Hilton Kuching ini.

Jadi, tunggu apa lagi? Nak bercuti ke Kuching, Sarawak? Ingat Hilton Kuching tahu! Jom cepat book Hilton Kuching diTraveloka dengan segera!


Saturday, June 10, 2017

Shea Rasol Dalam Kenangan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sepatutnya kita tidak cemburu pada mereka yang punya rumah banglo, yang punya kereta mewah, yang punya harta yang banyak, yang punya nama dan pangkat, yang punya perniagaan yang berjaya dan lain-lain kemewahan dunia.

Tapi sebenarnya, kita perlu cemburu pada mereka yang dijemput Ilahi ketika mengerjakan Haji atau Umrah di Mekah, ketika sujud dalam solat, ketika sedang membacakan Kalamullah (membaca Al-Quran), ketika membuat amal kebaikan, ketika dalam mempertahankan Islam (peperangan), ketika sedang bermusafir...

Apa lagi yang meninggal dunia pada hari Jumaat (penghulu segala hari) dan dalam bulan yang paling mulia, iaitu Ramadan. Shea Rasol sungguh saya cemburu!

Usianya baru 29 tahun, meninggal dunia kerana urachal cancer, pada 9 Jun 2017 (Jumaat) bersamaan 14 Ramadan 1438H.


Innalillahi wa innailaihorojiun... ? Moga Allah juga mengambil nyawa kita dalam keadaan yang baik... Amin.

Ini adalah blog Shea, mana tahu ada ilmu yang bermanfaat buat anda jika membacanya, maka akan jadi pahala berterusan buat Shea di sana.

Salam takziah buat Farah Farzana Rasol dan keluarga, atas pemergian adik tersayang. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama para solihin.


Juga impikan kematian yang baik, walau tahu diri banyak dosa.