Sunday, October 15, 2017

Apa Menariknya Filem Tombiruo: Penunggu Rimba

Bismillahirrahmannirahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Dulu masa saya kerap cerita tentang kehebatan novel tulisan Tuan Ramlee Awang Murshid pada encik suami, terus dia tanya, “kenapa tak difilemkan kalau bagus?” Saya jawab, “sebab exclusive. Ada ke pengarah filem yang boleh buat macam apa yang ditulis?”

Tapi hari ni, terbukti filem Tombiruo: Penunggu Rimba berjaya menterjemahkan novel hebat Ramlee Awang Murshid ke layar perak. Kagum. Ye kagum dengan hasilnya. Jika dulu setiap pembaca mempunyai imaginasi masing-masing tentang Ejim atau Tombiruo, tapi di layar perak penonton dijuruskan kepada satu watak Ejim yang dilakonkan oleh Zul Ariffin. 

 
Ramai juga yang bertanya saya, apa yang menariknya filem Tombiruo: Penunggu Rimba ni? 

1. Saya tak nafikan tarikan utama untuk saya menonton filem Tombiruo ni adalah kerana saya adalah peminat tegar novel thriller Ramlee Awang Murshid. Dan Ramlee Awang Murshid juga merupakan penulis novel yang mempunyai fan club dengan lebih 100,000 orang peminat. Nampak tak sokongan yang penuh untuk Tuan Penulis?

2. 90% plot atau jalan cerita dalam filem Tombiruo adalah daripada novel. Jadi tak timbul masalah kalau tak baca novel tak boleh tengok filemnya. Jika anda dah baca novel itu kira bonus. Dan mereka yang tak baca novel, boleh terus menonton. Tapi percayalah, selepas anda menonton, mungkin anda akan mencari novel triloginya.

3. Tombiruo dalam bahasa Kadazan-Dusun bermaksud roh atau hantu. Dikatakan di Sabah, anak-anak kecil tidak dibenarkan masuk ke dalam hutan dan  dimomokkan dengan kehadiran Tombiruo. Jika di Sabah Tombiruo dikatakan hantu, tetapi Tuan Penulis menterjemahkan Tombiruo itu sebagai makhluk yang menjaga hutan.

Tuan pengarah pun nervous... 😄
 
4. Filem ini diarahkan oleh dua orang pengarah yang bukan calang-calang, Nasir Jani dan Seth Larney (yang juga terbabit dalam pembikinan filem antaranya The Matrix Reloaded and Revolutions dan Star Wars: Revenge of the Sixth) – jadi anda dapat bayangkan tak kehebatan filem ni dengan kehadiran Seth Larney? Melihatkan 'trailer'nya saja pun dah buat kita tak senang duduk, inikan pula menonton keseluruhan filem. Memang terbaik!

Cantik gambar ni.
Salah satu babak Farah cuba menghanyutkan Ejim.

5. Visual effect dan camera angle bagi filem ini saya rasa cukup cantik. Setiap babak 'camera angle'nya sangat bertepatan. Saya memang tak alihkan mata dari skrin sebab rasa semua moment itu sangat berharga untuk ditonton. Durasi filem ini, 1 jam 55 minit terasa sangat cepat berlalu. Tak puas tengok!

6 Satu ketika bila mana ura-ura mengatakan Zul Arifin bakal memegang watak Ejim atau Tombiruo, ramai yang mengatakan tidak sesuai. Watak ini sangat istimewa, tersalah pilih pelakon maka akan merosakkan kehebatan novel. Tapi bila filem ini ditonton, percayalah watak itu memang HANYA sesuai diberikan kepada Zul Ariffin. Lakonan Zul Ariffin sangat lain dari drama biasa yang pernah dilakonkan. Ia boleh dikatakan sisi lain Zul Ariffin, yang boleh hidup lakonannya dengan body language dan eye contact. Nampak tidak kekok dan wataknya hidup seperti yang dibayangkan dalam novel. 

Farid Kamil (kiri), Zul Ariffin (kanan) dalam salah satu aksi bertarung.

7. Pelakon-pelakon lain seperti Farid Kamil (Amiruddin), Nabila Huda (Wan Suraya), Faizal Hussein (Pondolou), Hasnul Rahmat (Juslan), Farah Ahmad (Monsiroi), Michael Chen (Wong), Dato M. Nasir (Tuan Berham), Datin Marlia Musa (Isteri Tuan Berham), Atu Zero (Ondu), Faye Kusairi (Salina), Dynas Mokhtar (Baizura) dan lain-lain, berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Saya percaya semuanya memberikan 100% usaha dan tenaga terhadap naskah terbaik Tuan Penulis ini. Tahniah semuanya.

Gunung Kinabalu tarikan di Sabah.

8. Tarikan lain filem ini juga adalah bila melihat kecantikan Gunung Kinabalu. Ya Allah cantiknya! Rasa macam nak pergi Sabah! Filem ini secara tidak langsung mempromosikan kecantikan Sabah kepada orang luar.
 
9. Filem bergenre action thriller ini digariskan FINAS sebagai P13 – untuk tontonan 13 tahun ke atas. Bagi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun, perlulah dipantau ibu bapa atau penjaga. Hari tu saya bawa Faris dan Alisya tonton sekali, mereka pun excited menonton Tombiruo. Ayat Alisya, “Best, cerita Tombiruo Ma... Alisya ingat tak best cerita Mama ni...” Ha, nampak tak budak seusia Alisya pun suka.

Ini pun antara babak yang menarik untuk ditonton.

10. Sedar atau tidak, dengan penglibatan Seth Larney dalam filem ini sedikit sebanyak menarik perhatian media dari luar negara. Secara tidak langsung mempromosikan filem Malaysia, keindahan Malaysia dan naskah penulis novel thriller No.1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid.

Seth Larney pun ada peminat tersendiri yang tidak sabar untuk melihat
hasil kerjanya dalam Tombiruo.

Jangan lepaskan peluang tonton filem Tombiruo: Penunggu Rimba. Filem Malaysia lain dari yang lain. Pasti!

Tahniah, buat team produksi filem Tombiruo.
Tahniah Tuan Ramlee Awang Murshid.


Saya beri markah penuh 5 bintang!

Thursday, October 12, 2017

Tombiruo Filem Yang Ditunggu-tunggu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Sejak diwar-warkan yang Penulis Novel Thriller, Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM) nak membawa salah satu novelnya, ke layar perak, saya dah mula tak sabar. Maklumlah sekarang ni memang "musim" drama yang diadaptasi dari novelkan...

Saya sememangnya salah seorang peminat hasil tulisan Tuan RAM... Seingat saya sejak saya membaca novel Pei Pan, terus jatuh cinta dengan penulisannya. Maklumlah sebelum tu dah tentu saya layan "novel cinta tangkap leleh". 😜 Nampak tak berapa lama saya tetap setia menyokong hasil tulisan Tuan RAM?

Setahu saya, RAM merupakan penulis novel yang paling ramai ahli kelabnya. Dengan tertubuhnya Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid (RAMFC), segala apa yang dilakukan olehnya mendapat sokongan penuh ahli-ahli #ramians. Baik dari segi promosi novel baru, sampailah ke filem terbarunya ni, Tombiruo...


Filem ini adalah adaptasi dari novel trilogi Tombiruo. Ada yang tanya saya, "kenapa nak sangat tengok filem Tombiruo ni?" Susah nak cakaplah, sebenarnya saya taklah berapa suka bila novel yang saya baca dan suka nak didrama atau difilemkan, sebab pada saya itu akan menghancurkan imagination mood saya. 

Tapi disebabkan Tuan RAM ni saya rasa ada magic touch dalam novelnya, maka saya rasa tak salah jika saya turut menyokong filemnya. Mungkin akan ada uniknya dalam filem tu nanti. Bayangkan sejak mula diwar-warkan, novel Tombiruo akan difilemkan, Tuan RAM dah membuka ruang kepada #ramians untuk mencadangkan para pelakonnya. 

Penglibatan para pembacanya secara tidak langsung dalam pembikinan filem itu yang menjadikan kami turut teruja. Begitu juga bila menonton trailernya. Nampak ada kelainan, dan itulah yang menyebabkan rasa tak sabar nak tonton.


Hari ni 12 Oktober... ye hari ni filem Tombiruo akan mula ditayangkan di pawagam. InsyaAllah, encik hubby yang bukan peminat filem Melayu dah beri green light untuk temankan saya tengok filem ni.
 
Betapa kuatnya Kelab Peminat Ramlee Awang Mushid ni, sehinggakan tiket jam 8.30 malam di lima pawagam GSC di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Perak sold out!  

Nampak tak bagaimana aura penulisan Tuan RAM sehingga berjaya mengumpulkan para pembaca di lima destinasi tersebut, dan ini menjadikan ia gathering terbesar peminat Tuan RAM.  

Saya? Tonton di pawagam berdekatan dengan rumah je. Tak kisahlah, yang penting sokongan tu.

Sebelum keluar filem, ulang balik baca ketiga-tiga novel.

Siri Laksama Sunan juga menarik jika nak difilemkan. 😍