Friday, May 25, 2018

Jihad Dakwah: Iktibar dari Tindakan Fikry Ibrahim

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Saya ada terbaca satu artikel tentang Fikry Ibrahim mengaburkan rambut Uqasha Senrose (untuk mempromosikan drama terbaru lakonan mereka) di Instagramnya.

Alasan yang diberikan Fikry, kerana dia tidak mahu menanggung dosa kerana menyebarkan gambar Uqasha yang tidak menutup aurat.

Kemudian saya membaca beberapa komen yang dituliskan netizen.

"Ala, poyo je Fikry ni... tunjuk alim pula."

"Wah sweetnya Fikry... nampak sangat kasih sayang dia sesama wanita Islam."

"Respect bro..."

"Part ni bagus dah bro... adalah lebih bagus kalau kau berlakon tak pegang-pegang tangan perempuan yang bukan muhrim... good luck."

Pada saya, tindakan Fikry ini adalah salah satu jihad dakwah.

Jihad dakwah, bukan tertumpu pada mereka yang bergelar Ustaz dan Ustazah saja. Tetapi ia adalah tanggungjawab setiap muslim untuk saling mengingatkan.

Dakwah tidak semestinya perlu berceramah di khalayak ramai. Dakwah bukan hanya dilakukan di surau atau masjid. Ia boleh disampaikan dalam pelbagai cara dan di mana sahaja. Malah boleh dilakukan secara santai.

Apa contoh lain jihad dakwah?

Penulis buku yang menuliskan  "bismillahirrahmannirrahim" pada permulaan bukunya - ini jihad dakwah.

Pemilik kedai makan yang menggantungkan doa sebelum makan dan doa selepas makan - ini jihad dakwah.

Penjual pakaian yang menyelitkan doa ketika memakai baju - ini jihad dakwah.

Penjual nasi lemak yang mencetak pembalut makanan dengan kata-kata hikmah - ini jihad dakwah.

Cikgu atau pensyarah berkongsi kata-kata hikmah, hadis atau kisah ringkas para Nabi sebelum memulakan kelas - ini jihad dakwah.

Suatu ketika dulu, saya juga pernah ditegur oleh seorang rakan melalui private message, apabila saya memuat naik gambar seorang rakan yang memakai tudung tetapi lengannya terdedah - teguran kepada kebaikan juga salah satu jihad dakwah.

Pendek kata, apa jua perkara yang mengajak kepada kebaikan itulah jihad dakwah.

Bagaimana nak dapat pahala jihad dakwah dengan mudah?

1. Sebarkan salam - jika keluar rumah, dan berjumpa dengan saudara seagama kita ucapkanlah Assalamualaikum. Secara tak langsung kita dalam usaha mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

"Sebarkan salam sesama kamu kerana ia dapat menyemarakkan kasih sayang." - hadis direkodkan oleh al-Hakim.

2. Tulis zikir atau selawat (contoh: Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar) pada wall media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Setiap kali orang membacanya kita peroleh pahala.

3. Kongsikan waktu solat - apabila masuknya waktu solat, kongsikannya di media sosial, secara tidak langsung kita mengingatkan tentang masuknya waktu solat. Kalau ada yang terbaca status kita dan dia segera solat, maka kita juga akan mendapat pahala.

4. Kongsikan apa juga ilmu atau bahan bacaan yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain, walaupun ia hanyalah satu ayat. Mana tahu jika ada yang mengamalkan ilmu yang kita kongsikan itu, kita turut mendapat pahala.

Belajar sesuatu dari tindakan Fikry Ibrahim?

Moga perkongsian ini, bermanfaat buat sahabat yang membacanya. Moga Allah sentiasa memberi ruang kepada kita untuk terus melakukan kebaikan.

Nora Karim
#norakarim
#jihaddakwah
#fikryibrahim
#perkongsiannorakarim
#positivevibe

3 comments:

  1. sm2 mcm hakim rosli kalau xsilap sy dia pn buat mcm ni👍👍

    ReplyDelete
  2. terima kasih berkongsi sesuatu yang bermanfaat

    ReplyDelete
  3. kadang2 kita biasa buat tp kita tak perasan pun itu sesuatu jihad dakwah....

    ReplyDelete