Saturday, December 15, 2018

Suri Rumah Juga Perlu Waktu 'Bertenang'

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Para peserta Bengkel Penulisan
Komrad Buku

"Kak, kau dah pandai menulis... tapi kenapa kau masih pergi bengkel penulisan?" kata seorang rakan berpangkat adik pada saya.

"Saja... tambah ilmu," jawab saya ringkas.

"Aku tengok kos pergi bengkel ni bukan murah kak. Yang ni RM100 yang hari tu kau pergi RM350 kan? Yang 'online' hari tu pun ratus-ratus juga harganya. Tu belum masuk 'e-book' penulisan dan buku-buku yang sekali sekala kau borong bukan main banyak tu. Kau kan tak kerja, macam mana kau bayar, kak?"

Lalu panjanglah perbualan kami bercerita tentang itu ini, begitu begini.

Rasanya tak ada apa yang pelik bila seorang suri rumah tidak bekerjaya melakukan apa yang dia suka.

Contoh pergi bercuti bersama rakan-rakan baik, menghadiri seminar atau bengkel, malah membeli apa yang disukainya.

Tujuannya satu.

Hilangkan stres!

Tugas seorang suri rumah ni, sama beratnya dengan mereka yang bekerja. Jika orang yang bekerja memberikan 'reward' kepada diri sendiri sebaik dapat gaji, samalah seperti kami.

Tak ada beza pun.

Cumanya yang bekerja boleh beli atau lakukan terus apa yang dihajati sebaik dapat gaji bulanan. Tapi kami, kena bersabar dan menyimpan sikit-sikit.


Macam saya, minat saya lebih kepada penulisan dan buku. Jadi saya simpan sikit dari pemberian suami setiap bulan.

Kadang-kadang RM50, kadang-kadang RM100, kadang-kadang RM200 ikut berapa yang saya mampu simpan untuk bulan tersebut.

Saya tak membeli sangat baju baru, seluar baru, tudung baru, 'handbag' baru atau apa sajalah yang baru. Selagi semuanya masih elok, maka itulah dipakai sampai betul-betul rosak.

Yang penting adalah keperluan rumah dan keperluan anak-anak. Keperluan sendiri tu boleh 'adjust' ikut masa yang bersesuaian.

Biasanya saya akan membeli sesuatu yang saya suka hanya apabila ada jualan murah.

Contohnya, untuk belian pukal atau borong buku-buku, saya tunggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Big Bad Wolf atau jualan gudang 'online' dari rumah-rumah penerbit. Memang jimat banyak.

Penting ke untuk suri rumah buat apa yang dia minat?

Sangat penting!

Kalau tak nak stres, maka uruslah masa agar dapat buat apa yang kita minat. Suami pun kenalah bertolak ansur. Beri masa dan peluang untuk isteri 'refresh' daripada rutin harian.

Suri rumah juga perlu waktu bertenang...

Macam mana nak bertenang?

Buatlah apa yang kita suka.



Nora Karim
Suri rumah tak bergaji.

Friday, December 07, 2018

Bahagianya Mereka...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Beberapa hari lepas, kami bersarapan di restoran Mamak. Teringin nak makan tosei kosong. Faris dan Alisya pun kata nak makan puri dan roti canai telur.

Selesai memesan makanan, saya memerhati sekeliling restoran. Tiba-tiba saya tertarik melihat sebuah keluarga di sebelah kiri meja saya.

Sepasang suami isteri bersama tiga orang anak, dua orang lelaki berusia dalam lingkungan lapan dan lima tahun. Dan seorang lagi bayi perempuan dalam lingkungan lima atau enam bulan.

Bayi perempuan tersebut di ribaan si suami. Sambil dua anak lelaki tadi sedang mengagah dan bermain "peek-a-boo" dengan adik perempuan mereka. Terkekek-kekek si adik ketawa. Comel sangat, melihat keakraban mereka adik-beradik.

Saya perhatikan di atas meja mereka.

"Eh, si ayah belum makan lagi," bisik saya dalam hati. Di depannya ada sekeping roti canai yang belum terusik.

Isterinya sedang perlahan-lahan makan nasi goreng. Anak-anak lelaki tadi sudah selesai makan, walaupun makanan di dalam pinggan masih berbaki.

"Bagusnya suami dia... dia beri si isteri makan dulu, sementara dia meriba anak mereka yang kecil."

Saya masih asyik mencuri pandang pada mereka sekeluarga. Seronok sangat melihat mereka.

Si isteri makan dengan sangat perlahan. Mungkin kerana nasi goreng masih panas. Tapi si suami sedikit pun tidak berbunyi atau menyuruh isterinya cepat.

Dibiarkan isterinya menikmati makanan itu, sementara dia dan anak-anak lelakinya bermain dengan si kecil.

Sebaik isterinya selesai makan, barulah suami  makan. Bayangkan roti canai yang telah lama di depan matanya, baru dikunyah. Dah tentu sedikit liat, tidak segaring ketika mula-mula sampai di atas meja itu.

Tetapi kerana kasihnya kepada isteri, dia memberi laluan kepada si isteri untuk makan dahulu sementara dia menjaga bayi mereka yang kecil.

Subhanallah, bahagia sangat keluarga tersebut. Bahagia, rapat, akrab.

Saya doakan keluarga itu sentiasa diberkati oleh Allah. Semoga pasangan suami isteri dan anak-anak mereka, terus berkasih sayang sampai ke syurga.

*****

Situasi seperti ini sangat sukar dilihat. Selalunya, si isteri yang akan "berperang dengan anak-anak di meja makan".

Biasanya suami makan tanpa kisahkan anak-anak, dan apabila selesai makan, diajaknya pulang. Sedangkan si isteri masih belum habis makan.

Nora Karim
Dikurniakan sebuah keluarga bahagia juga nikmat.

Wednesday, December 05, 2018

Ulasan Buku: Diet Tanpa Stres

Ulasan buku: Diet Tanpa Stres
Penulis: Ustaz Fitness (Arif Sukri)
Terbitan: Galeri Ilmu 
Ketebalan buku: 232 muka surat
Harga: RM30


Jika anda seorang yang sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan dan mahu kekalkan cara hidup sihat, buku ini wajib dibaca.

Tidak dinafikan, pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang tempoh kita berusaha untuk diet. 

Kena ejek, kena perli, dipandang sinis ketika bersenam di taman dan macam-macam lagilah. Akhirnya ramai yang akan berputus asa.

Sekejap...

Jangan cepat 'surrender', ambillah naskah ini dan baca. Di dalamnya ada banyak tips, nasihat, kaedah dan paling penting "pujukan" supaya kita kekal teguh dengan pendirian untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

Anda mesti pernah dengar atau baca pelbagai mitos berkaitan diet di dalam internetkan? Dalam buku ini, Ustaz berikan pencerahan kepada lebih 20 mitos diet. Jadi rugilah kalau tak baca. 

Oh ya, saya nak petik satu ungkapan  yang mencuit hati saya dari buku ini. 

"Biarkan lemak menangis". 

Ungkapan ini sentiasa terngiang dan membuatkan saya sedar bahawa saya harus paksa lemak untuk menangis demi kesihatan.

Nak sihat tiada jalan singkat:
a) makan makanan berkhasiat
b) lakukan senaman
c) sentiasa positif

Anda perlukan sokongan positif sepanjang berdiet? Jadikan buku ini sebagai "rakan diet paling akrab". Slowly but surely.

Terima kasih Ustaz untuk buku yang bermanfaat ini. 

Buku ini "sedap untuk dihadam". 
💯 recommanded