Friday, January 04, 2019

"Kenapa Abang Menangis?"

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tengah hari tadi, masa saya hantar Alisya ke sekolah saya ternampak seorang budak lelaki berkulit cerah, sedikit tembam tapi comel dan menggalas beg berwarna kelabu sedang menangis.

Berdekatan dengannya ada tiga orang lagi budak lelaki. Saya percaya mereka darjah 1, sebab mereka memakai tag nama bertali.

Tangisannya semakin kuat.

Saya hampiri.

Dalam hati, "janganlah budak ni kena buli".

Saya merendahkan badan. Sekarang saya sama tinggi dengannya.

"Kenapa abang menangis?" Saja saya bahasakan dia 'abang' supaya dia tahu dia dah besar.

Namun tiada jawapan darinya.

"Ada orang buat abang ke?" Saya cuba bertanya lagi.

Tangisannya makin menjadi-jadi.

Saya cuak.

Ah sudah, kena buli ke?

Saya tanya tiga orang budak lelaki yang berdekatan.

"Kenapa dia?"

"Tak tau Acik. Kita tak kenal pun dia. Dari tadi dah nangis," jawab salah seorang dari mereka.

Saya pegang bahunya. Saya tanya lagi sekali, siapa yang buat dia menangis.

"Nak ayah..." tangisnya ditahan-tahan cuba menjawab soalan saya.

"Ayah abang dekat mana?"

"Dah balik..."

"Abang darjah berapa?"

"Satu..." Betullah tekaan saya. Sebelum ni sekolah anak saya darjah 1 sekolah pagi. Tahun ni, darjah 1 sekolah petang.

"Oh, ayah abang kena balik... sebab hari ni kan hari Jumaat. Ayah pergi masjid. Solat Jumaat..."

Tangisannya mula perlahan.

"Abang takut ke?"

Angguk.

"Kawan ramai ni ha... tak takutlah. Sekolah ni seronok tau. Hari Jumaat sekejap je sekolah. Empat jam lebih je. Lepas tu nanti ayah datang ambil abang, ok?"

Dia pandang saya.

Baru saya nampak matanya. Comellah hai budak darjah 1 ni. Saya suruh dia duduk dan berkawan dengan tiga orang budak tadi.

"Abang dengan kawan-kawan jangan keluar dari pagar sekolah tau. Sekejap lagi cikgu datang, semua berkumpul dekat situ. Taukan barisan dekat mana?"

"Tau... dekat situ," berebut-rebut budak tiga orang tu tunjuk saya tempat mereka beratur.

"Ha pandai... nanti duduk dalam barisan tau. Jangan keluar dari pagar, ok?" Berkali-kali saya ingatkan. Risau pun ya juga.

Saya tak dapatlah nak tunggu anak-anak tu sampai masuk barisan. Sebab nak berkejar ke masjid hantar anak bujang saya untuk solat Jumaat.

Dalam kereta saya cakap dengan Faris, "dulu darjah 1, Ayies menangis lagi teruk daripada budak tu. Bukan setakat dua tiga hari menangis, boleh kata sepanjang tahun!"

Terkekek-kekek dia menafikan. Tak percaya Faris kuat nangis masa darjah 1? Tengok ni 😂




Oh ya, budak yang menangis tu, lalu sebelah saya masa balik tadi. Saya dengar dia cakap pada ayahnya, "tadi kita nangis Ayah, tapi kejap je."

Eceeee.... 😉

Nora Karim
Kalau ada budak menangis dekat sekolah, saya mesti dekat dan tanya kenapa.

3 comments: