Thursday, January 09, 2020

Janganlah Masam Muka Dengan Pelanggan...

Semalam saya bawa Faris dan Alisya ke kedai yang menjual pakaian sekolah dan seragam unit beruniform.

Tujuannya hendak membeli t-shirt putih untuk Faris, memandangkan t-shirt sekolah masih belum ada stok. Faris pula kena pakai baju sukan hari ni. T-shirt Pengakap Faris pun tak beli lagi.

Alisya pun dah kena pakai t-shirt Puteri Islam bermula Rabu depan. Jadi niatnya nak beli sekali arung.

Ada dua kedai.

Saya melintasi kedai yang pertama. Saya melihat ke dalam kedai, nampak ramai pelanggan. Saya terus berjalan ke kedai satu lagi. Selang sebuah kedai dari kedai pertama tadi.

Saya melihat ke dalam kedai kedua. Kedainya lengang dan sedikit suram, tak seperti kedai pertama tadi. Saya mula mencari-cari t-shirt putih untuk Faris.

"Cari apa kak?" soal seorang pekerja kedai pada saya dengan muka yang agak masam. Tiada segaris senyuman pun di wajahnya.

"T-shirt putih lengan panjang untuk lelaki ada?" soal saya. Tapi ketika itu hati saya mula tawar melihat wajah pekerja tadi. Dalam hati turut berkata, 'patutlah ramai pelanggan di kedai tadi.'

"Ada. Saiz apa nak?" tanyanya lagi. Wajahnya sedikit pun tidak teruja melayan pelanggan.

"38... eh 40 lah," jawab saya. Tapi dalam hati rasa nak keluar dah dari kedai tu.

Pekerja tadi mula mencari saiz yang saya sebut tadi. Kemudian dia terus membuka dan mengeluarkan t-shirt dari plastik untuk dicuba Faris.

"Eh, t-shirt untuk lelaki. Yang ada kolar tak de ye?" soal saya apabila melihat t-shirt yang dihulurkan pada saya tanpa kolar.

Pekerja tadi memandang tepat pada mata saya. Kemudian berdecit perlahan. Namun sangat jelas di telinga saya. Mendengar decitannya cukup buat saya rasa sangat tidak dialu-alukan untuk membeli di kedai itu.

Saya pun tak rasa nak berlama-lama di kedai tersebut. Saya cuba menyarungkan t-shirt pada Faris dan terus membayar harga t-shirt tersebut.

"Eh, Mama t-shirt Puteri Islam Alisya?" tanya Alisya pada saya.

"Kemudianlah kita beli," jawab saya lalu keluar dari kedai tersebut. Hajat di hati nak beli tiga t-shirt dan dua singlet. Tapi cukuplah t-shirt putih Faris saja saya beli di situ.

Ketika di luar kedai, Alisya masih mengingatkan saya tentang t-shirt Puteri Islamnya.

Kami lalu di depan kedai pertama tadi. Nampak dah tak berapa ramai pelanggan seperti tadi. Lalu kami masuk.

Ting tong...

Bunyi loceng sebaik kami melangkah ke dalam kedai tersebut.

"Hai, welcome kak... mau cari apa barang?" tegur tauke dari dalam kedai, dengan senyuman. Wajahnya sangat ceria. Lalu laju meluru pada saya. Hati saya yang agak terasa dengan kedai sebelumnya, sedikit terubat.

"Hm... t-shirt Puteri Islam ada?" Soal saya semula.

"Ada, ada..." lalu laju pula tangannya mencari t-shirt yang dimaksudkan sambil melihat saiz Alisya di sebelah saya.

Dia menghulurkan t-shirt saiz 36 yang telah dikeluarkan dari plastik kepada saya.

"Eh, besar ni bos," seingat saya Alisya pakai saiz 30 atau 32 saja.

"Tak apa, you kasi try dulu. Sini banyak lagi saiz ada. Don't worry," katanya tergelak. Sambil tangannya mencari saiz yang lebih kecil.

"Bagi saya saiz 32 la bos," kata saya sebaik baju bersaiz 36 itu menggelebeh di tubuh Alisya.

"Ok, boleh... boleh. Ha, ini angkat, 32," katanya dengan wajah yang cukup ceria. Tidak sedikit pun rasa 'menyampah' melayan saya.


Saya menyarungkan baju tersebut pada Alisya. Ok ngam!

"Ok bos saya ambil ini," kata saya.

"Ini saja kak. Lain-lain apa lagi tak cukup? Tudung Puteri Islam tak mau? Itu abang baju 'koko' sudah ada?" Tanyanya lagi pada saya.

"Abang nanti dululah. Dia belum meeting lagi. Nanti beli kemudianlah," jawab saya.

"Ha, boleh boleh... bila-bila beli pun boleh. Saya sini juga ada... tak lari punya..." katanya sambil ketawa. Saya turut ketawa mendengar jawapannya.

Saya ke kaunter bayaran. Menghulurkan sejumlah wang. Kemudian diberikan baki dan lolipop percuma kepada Faris dan Alisya.

"Thank you ha kak... datang lagi ya... itu abang punya baju sini boleh beli. Satu suit lengkap pun ada..." katanya sambil mengiring saya hingga ke pintu keluar kedainya dengan senyum yang masih belum lekang dari wajahnya.

Saya keluar dengan perasaan yang sangat dialu-alukan ketika di kedainya. Layanan tidak mesra dari kedai sebelumnya terus lenyap dibawa angin lalu. Mujur tak pendam rasa 'sakit hati' sampai ke rumah. Kalau tak tidur malam saya.

Kedai 1 - muka mencuka dan rasa beban melayan pelanggan.

Kedai 2 - ceria, senyum tak lekang, sangat mengalu-alukan kedatangan pelanggan, pandai ambil hati, bagi token/hadiah.

Awak pilih yang mana?

Terbantut niat nak membeli sekali arung tadi...



a) Jika anak tak minat Matematik, ini ebook sesuai untuk tarik minat mereka : Marvel Maths 

b) Jika anak tak kuasai pecahan, perpuluhan dan peratus, ini modul yang sangat baik untuk mereka : Modul Pantas Matematik 

c) Jika anak tak hafal sifir, ini Ebook 9 teknik kuasai sifir dengan mudah untuk mereka : Sifirlicious 

d) Jika anak bakal duduki peperiksaan UPSR tahun 2020, ini ebook yang sangat berbaloi untuk dimiliki kerana dimuatkan segala 'tips and trick' menjawab Kertas 1 dan 2 : Pecutan UPSR 

Klik t.me/celikmatematik untuk dapatkan link pembelian.

P/s : Semua ini Ebook dalam bentuk softcopy dan diemelkan. Bukan buku fizikal.

1 comment: