Sunday, April 26, 2020

Hikmah 40 hari PKP

Alhamdulillah, lepas Subuh kelmarin (hari ke-38 PKP), saya khatam Quran. Rasa syahdu sangat, sebab kelmarin 1 Ramadan.

Jangkaan awal, saya akan khatam sebelum Ramadan. Tapi lupa kita orang perempuan ni Allah sayang dan bagi rehat setiap bulan. Tak apalah...


Awal tahun hari tu, saya ada terbaca perkongsian seorang doktor yang menceritakan tentang seorang pekerja hospital bukan warganegara Malaysia, yang menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran.

Saya ambil intipati perkongsian. Menurut pekerja hospital tu, dia akan pastikan habis membaca satu juzuk Al-Quran setiap hari. Jadi dia akan khatam sebulan sekali. Dalam setahun dia khatam 12 kali. Subhanallah...

Saya mula berfikir, jika saya nak buat perkara yang sama, mampukah saya nak habiskan satu juzuk sehari?

Sebelum ini, saya hanya membaca dua ke empat muka surat sehari. Jadi nak khatam setahun sekali pun belum tentu lagi.

Sejak itu, saya mencari kaedah yang sesuai dan selesa buat saya. Nak baca sekali gus satu juzuk dalam satu masa, memang saya tak mampu. Jadi saya mulakan dengan tandakan setiap juzuk dengan washi tape, supaya mudah nak semak dah sampai juzuk berapa.

Saya lekatkan washi tape di setiap juzuk baru.

Setiap juzuk dalam Quran milik saya ada 20 muka surat. Jadi saya bahagikan kepada lima bahagian untuk dibaca selepas waktu solat. Saya baca empat muka surat setiap kali lepas solat. InsyaAllah kalau tak de halangan selesai satu juzuk selepas Isyak.

Saya mula baca Quran pada 18 Mac, iaitu pada fasa pertama PKP. Mula-mula rasa susah. Rasa berat sebab saya tak biasa buat. Tapi lepas seminggu, dah rasa ringan dengan rutin tu. Betullah orang cakap, kita akan rasa okay buat sesuatu perkara tu bila kita konsisten.

Saya berhajat nak khatam lagi hujung Ramadan ni. Jom awak, kita buat sama-sama.

Bila dah lekat washi tape macam ni,
senang nak tanda dah baca juzuk berapa.

Ada yang kata, Ramadan tahun lepas sempat baca sampai juzuk 5 je, lepas tu tak baca lagi dah, sampailah Ramadan tahun ni.

Tak apa, SAMBUNG TERUS dari tempat yang kita berhenti tahun lepas. Sambung dan azam Ramadan tahun ni nak khatam. InsyaAllah, Allah makbulkan.

Ada yang kata, masih tak lancar baca Quran walau umur dah 20, 30, 40, 50 tahun... tak apa, TERUSKAN BACA WALAU TAK LANCAR. Kita tak lancar sebab kita dah lama tak baca. Tapi bila kita baca setiap hari, lidah akan lembut dan bacaan akan semakin lancar.

Sepanjang Ramadan ni, kita kena ambil peluang banyakkan berdoa. Tapi perasan tak, kalau kita baca Al-Quran, di dalamnya Allah dah rakamkan banyak doa para Nabi. Bila kita baca Quran, kita DAH BACA DOA-DOA TERBAIK PARA NABI. Boleh tanda, ambil dan jadikan amalan juga.

Ada yang kata, tak payah bacalah. Kang salah tajwid, salah sebut, berubah makna... berdosa pula. Tak, tak, jangan fikir macam tu, USAHALAH UNTUK BACA DENGAN BETUL.

"Mereka yang mahir membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi taat (Al-Safarah Al-Kiram Al-Bararah). Adapun orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut dan merasa sukar ketika membacanya, baginya dua pahala."
(Hadis Riwayat Muslim)

Zaman teknologi ni, semuanya mudah awak... ramai ustaz ustazah yang gunakan platform digital untuk mengajar tajwid dan menjelaskan daurah setiap surah. Nak-nak dalam musim PKP ni. Ramai juga para qari qariah yang merakam bacaan 30 juzuk. Kita boleh cari, belajar, dengar dan cuba amal.

Awak... ini bulan Ramadan, bulan terbaik. Kalau tak nak mula sekarang. Bila lagi? Jom kita mula sama-sama... 💞

Masih merangkak dan belajar. Moga Allah reda... atas setiap usaha.


Nak dapatkan e-book Matematik untuk anak-anak?


Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar.

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR.

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik.

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2.

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah. 

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.

7 comments:

  1. Salam Ramadhan Nora..ingat JM lagi tak hehehe...sedar x sedar lebih sebulan kita PKP kan...mmg betul byk hikmah dari PKP ni...masa yg ada tu cm2 boleh buat bersama anak2

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, saya masih ingat JM. Lama saya tak singgah blog JM.

      Itulah, sekejapan je dah sebulan lebih... memang macam-macam yang boleh dibuat time PKP ni... ada lebihan masakan. Kalau tak terkejar sana sini... 😅

      Salam Ramadan JM 💞

      Delete
  2. Alhamdulillah..besar hikmahnya di musim PKP ni.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah..hikmah dari pkp..dan daya usaha sendiri yg istiqomah sambil jadikan salah satu amalan dalam bulan mulia ini.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah, ternyata banyak hikmah PKP ni kan.

    ReplyDelete
  5. Betul jugak tu NK, tandakan setiap juzuk dengan tape washi ye.... baru senang nak tau. Kadang tu niat nak baca quran setiap kali solat, dah terkentut malas pulak nak berwudhuk... aduhailah nafsu!

    ReplyDelete