Thursday, July 12, 2018

Jaga Lidah, Jaga Hati

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Allah...

Sungguh, diam itu lebih baik daripada berkata-kata.

Sungguh, kita yang bernama manusia ini selalu terlupa mengapa Allah kurniakan mulut kepada kita.

Teringat pada salah satu ceramah Ustaz Wadi Annuar yang saya dengar, "Allah kurniakan kita mulut untuk apa? Supaya sentiasa berzikir dan membaca serta memahami ayat-ayatNya."

Kita sebenarnya tidak akan pernah perasan, apa jua perkataan yang keluar dari mulut kita setiap hari. Mungkin ada perkataan-perkataan kita yang akan menyebabkan hati seseorang terguris.

K.O.M.U.N.I.K.A.S.I

Nampak mudah tapi jika tidak kena cara dan tertibnya, mungkin mengakibatkan kemudaratan.

Ada beberapa tertib atau perkara yang boleh diambil kira sebelum dan ketika  berkomunikasi:

1. Fikir: fikir dan tapislah terlebih dahulu perkataan sebelum kita mulakan bicara. Percakapan atau soalan yang bertalu-talu akan menyebabkan kita sendiri tidak sedar akan perkataan-perkataan yang dituturkan, sama ada ia relevan atau akan menyakiti hati orang lain.

2. Face to face/private: jika merasakan sesuatu perkara yang hendak diperkatakan itu terlalu sensitif dan personal, maka bertanyalah secara face to face/private. Janganlah sengaja ditanyakan secara umum, kerana khuatir apa yang akan ditanya itu akan mendatangkan aib.

3. Bahasa tubuh: pekalah dengan bahasa tubuh orang yang sedang berbual dengan kita. Lihat sama ada dia selesa atau tidak selesa sepanjang perbualan. Jangan tanya perkara yang boleh menjadikan dia tidak selesa atau tidak suka.

4. Berhenti: berhentilah bercakap jika merasakan kita sudah tersasar jauh daripada apa yang sepatutnya. Jangan ditambah "pelbagai perasa" demi memuaskan hati kita sendiri.

5. Maaf: segeralah memohon maaf apabila tersedar bahawa percakapan kita telah mengguris hati seseorang. Maaf dan jangan ulangi lagi.

Dua perkara yang paling bahaya dalam komunikasi, iaitulah gurauan dan sindiran. Ia nampak remeh tapi meninggalkan kesan yang mendalam pada hati seseorang.

Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau – kalau tidak dapat berkata yang baik, hendaklah ia berdiam diri saja”


Lidah, sesungguhnya anggota yang paling sukar untuk dijaga.

Sunday, July 01, 2018

BIG NO Bila Bertandang Ke Rumah Orang

- Pinned Post -
*Untuk entri terbaru, sila scroll ke bawah*

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sana sini orang menulis dan mengulas tentang ''teguran pedas" Chef Wan tentang ibu bapa yang tidak menegur anak-anak mereka yang berkelakuan "luar biasa" (seperti meramas kuih raya, menumpahkan kuah, mengambil makanan dengan banyak dan kemudiannya tidak dihabiskan, melompat di sofa, menyepahkan mainan dan lain-lain) di rumah yang dikunjungi.

Saya tak mahulah mengulas tentang isu yang tular itu. Pada saya apa yang "ditegur" oleh Chef Wan itu ada betulnya. Ibu bapa buka mata, buka telinga dan pandanglah dari sisi yang lebih positif. 

Ketika kali pertama saya membaca "teguran" Chef Wan tu, saya juga marah, maklumlah saya juga punya anak-anak yang lasak bila bertandang ke rumah orang. Tapi esok lusanya, bila saya bertenang dan baca semula teguran itu, saya mula fahami maksud tersirat. 

Benarlah kata orang, bila kita membaca dengan emosi, maka kita akan rasa marah, sakit hati, bengang. Tapi kalau kita baca dalam keadaan yang tenang, Insya-Allah kita akan nampak lebih banyak ruang untuk kita sebagai ibu bapa take note. Sahabat, ilmu parenting ini tidak pernah berakhir... ia bersifat berterusan maka lapangkan dada dan fikirlah dalam-dalam.

Eh, jangan salah faham tau, saya tulis macam ni bukanlah bermaksud saya tak nak terima tetamu... Saya okay je kalau orang nak datang rumah bawa anak-anak. Kadang-kadang saya yang keluarkan mainan untuk anak-anak tetamu main. Anak-anak ni kalau tiada benda yang boleh lekakan dia, maka itulah jadi nak meramas kuih raya, lompat sofa semua... sebab lumrah anak-anak memang nak buat aktiviti yang boleh buat mereka leka...

Ok berbalik kepada tajuk asal entri ini, sebenarnya saya nak kongsikan beberapa perkara yang TIDAK BOLEH (sebagai orang dewasa yang waras) lakukan, jika bertandang ke rumah orang. Atau pendek kata, adab ketika kita menziarahi rumah orang lain.

     Gambar ni masa buka puasa saya dan adik-beradik

Maklumlah, raya masih berbaki, maka kunjung mengunjung, serta tuntutan memenuhi jemputan rumah terbuka tu masih lagi ada. Maka mungkin kita boleh sama-sama menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang: 

1. Minta izin jika berhajat untuk menziarahi tuan rumah
Jika bukan memenuhi jemputan rumah terbuka, tapi nak datang ziarah, mintalah izin terlebih dulu. Sebaiknya sehari sebelum kita nak bertandang ke rumahnya. Maklumlah, kita kena faham, ada kalanya peti ais tuan rumah kosong atau tidak sempat mengemas rumah atau tidak bersedia untuk menerima tetamu atau tuan rumah ada urusan lain... atau... atau... atau... (isilah sendiri) ? Sekarang teknologi dah canggih, maka gunakanlah.

2. Meminta tuan rumah untuk masak sedap-sedap
Jika kita ikhlas untuk menziarahi rakan-rakan, maka terimalah apa saja yang disediakan oleh tuan rumah. Walaupun hanya kuih-kuih raya. Jamah apa yang ada, sebab kita tak pernah tahu apa yang tuan rumah sedang hadapi. Mungkin ada yang sedang berkira-kira duit belanja sehingga dapat gaji semula, bulan berikutnya. Maklumlah raya hari tu pun dah belanja banyak, beli baju raya, sediakan duit raya, buat hidangan raya, termasuk balik kampung. Jadi, janganlah minta tuan rumah masakkan yang sedap-sedap untuk kita.

3. Membuat rondaan dalam rumah; dari dapur, tandas, malah semua bilik yang ada.
Biarpun tuan rumah tu best friend kita malah adik-beradik sekalipun, kita tidak berhak untuk membuat rondaan ke segenap sudut rumah itu. Ingat, rumah itu privacy tuan rumah. Maka janganlah kita ceroboh. Tak manis macam tu. Kita mungkin tengok reaksi tuan rumah macam okay, tapi percayalah di satu sudut dalam hatinya, dia pasti terguris. Iyalah, kita sendiri pun belum tentu suka tetamu masuk ke bilik kitakan.  

4. Menjadi juri awam kepada reka letak perhiasan dan perabot tuan rumah
Ni lagi satu hal, janganlah sekali-kali kita bagi nasihat pada tuan rumah untuk meletakkan perabot atau barang perhiasannya di mana... rumah dia, dia tahulah. Tak perlulah kita nak bagi khidmat percuma. Siap cakap, "eh rak ni tak sesuailah kau letak kat sini, baik kau letak dekat situ..." 
"Eh, benda ni pun kau jadikan hiasan? Tak cantiklah!" dan lain-lain komen yang menyebabkan tuan rumah hanya mampu senyum je.

5. Ambil apa yang nak dimakan, jangan membazir
Ambil dalam kuantiti yang sedikit, rasa dulu. Jika nak lagi maka tambahlah tiada siapa pun larang. Tapi jangan ambil sekali banyak sampai penuh pinggan, lepas tu bila makan kita rasa ada yang tak kena dengan selera kita, maka kita buang semuanya. Hormatilah tuan rumah, dia dah berpenat lelah siapkan hidangan untuk kita, tapi kita buang pula. Janganlah membazir.

Baby Uwais super cute! (^_^)

6. Minta apa yang tiada di atas meja
"Lemang je ke? Nasi beriani ke nasi ayam ke tak de ke?"
"Air panas je ke ada? Air sejuk tak de ke? Ni cuaca panas ni"
"Aik, kering je semua... tak de kuah ke?" 
"Ni kalau ada sambal ikan bilis, memang sedap makan dengan lontong ni..."
Kita mungkin rasa kita bergurau, tapi tuan rumah mesti sikit sebanyak terasa hati. Apa lagi orang yang penat masak tu. Apa kata kita sama-sama belajar bersyukur, sebab tuan rumah sudi sediakan hidangan itu untuk kita. Itulah rezeki kita. Maka makanlah. Kalau tak suka pun, jamahlah sikit-sikit. Buat syarat...

7. Meminta tuan rumah bungkuskan makanan untuk dibawa pulang
Kalau tuan rumah yang bungkuskan makanan untuk kita, maka ambillah... jika tidak, janganlah pula diminta. Pernah jadi depan mata, tetamu yang tidak segan silu minta tuan rumah bungkuskan makanan yang ada. Bila tuan rumah ambil bekas kecil, dikata oleh tetamu tu, "ala kedekutnya kau ni... bekas kecil je kau bagi aku, tak de bekas besar ke?" Allah... tuan rumah yang tersipu-sipu malu, orang yang minta tapau tu sikit pun tak malu! Terfikirkah kita, jika tuan rumah sedang risau, sama ada lauk yang dimasak cukup untuk tetamu yang datang?

8. Menziarah tuan rumah pada jam hampir tengah malam
Jika jam dah menunjukkan 10 malam ke atas, tak perlulah kita berkunjung ke rumah orang... Waktu ni orang dah mula nak berehat. Mungkin kita boleh set masa dan hari lain untuk datang. Rayakan sebulan... 

9. Duduk lama-lama di rumah orang yang di ziarah
Jika boleh janganlah berlama-lama di rumah orang yang di ziarah. Makan, borak sikit-sikit, kemudian beransurlah pulang. Janganlah sampai baring di depan TV rumah orang tu. Ada tu kadang sampai tumpang tidur lagi! 

Sama-samalah kita jaga adab ketika menziarahi rakan-rakan kita. Janganlah nanti disebabkan perbuatan atau percakapan kita nanti, boleh jadi gaduh pula. Sebelum terlupa, bolehlah bacakan Doa Tetamu Kepada Tuan Rumah seperti berikut: 


Masuk rumah orang tutup mata, keluar rumah orang tutup mulut.
(Usahlah melihat apa yang ada di dalam rumah yang kita ziarah, dan tutuplah mulut, janganlah diceritakan apa yang buruk di dalam rumah orang yang kita ziarah)
Salam 17 Syawal 1438H
(11 Jul 2017)

Artikel berkaitan adab:
Adab Menziarahi Orang Sakit 
Adab Bermasyarakat