Thursday, January 31, 2019

Beli Gula Je...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Saya singgah di kedai untuk membeli gula, selepas mengambil Faris dari sekolah.

"Mama nak beli gula ni. Faris nak ikut atau tunggu dalam kereta," tanya saya sebelum keluar dari kereta.

"Nak ikutlah. Ayies nak beli air... haus."

"Eh tak payahlah... Mama nak beli gula je... Ayies kalau masuk kedai kang macam-macam air manis Ayies nak beli."

"Ha oklah... Ayies tunggu dalam kereta je..."

Saya keluar dan tunggu Faris kunci pintu kereta dari dalam.

Masuk kedai terus ke rak gula. Ambil dan bayar di kaunter. Kemudian terus menuju ke kereta.

"Hah, ni apa ni? Gula ada, roti ada, susu lagi... hah ni apa... cucur bilis pun ada? Kata nak beli gula je?" katanya sambil menyelak-yelak plastik barang yang saya letak di kerusi sebelah pemandu.

"Nak buat macam mana, semua nak ikut balik..." jawab saya tergelak, sambil terus memandu.

"Ugh!"

Nora Karim
Pelik eh, kenapa barang lain pun nak ikut balik? 😅

Tuesday, January 29, 2019

Mama Tamak!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

"Mama, dekat sekolah Alisya tu kan, ada yang pakai 'vest' warna 'purple'kan, yang tu pengawas apa?" tanya Alisya pada saya semalam.

"Er, Mama rasa tu bukan pengawas, tapi Pembimbing Rakan Sebaya," jawab saya teragak-agak.

Sambil tu saya cuba ingat apa yang ditulis di belakang 'vest purple' yang dipakai beberapa pelajar di sekolah Alisya.

"Pembimbing Rakan Sebaya tu macam mana?"

"Dia macam kawan yang kita boleh percaya. Kalau kita ada masalah, kita boleh cerita dekat dia. Dia sedia mendengar. Yang paling penting, dia tak cerita masalah kita tu pada orang lain. Orang yang dilantik jadi Pembimbing Rakan Sebaya ni kena jujur, amanah... mereka tu terlatih. Kena hadir kursus khas," semudah-mudah penerangan saya cuba beri pada Alisya.

"Macam mana Mama tahu?"

"La, Mama tahu la, dulu Mama sekolah juga. Masa Mama sekolah menengah, Mama ketua Pembimbing Rakan Sebaya tau," sambil tegakkan badan. Berlagak macam kaunselor hebat.

"Eeii, Mama ni tamakkan? Ketua Kelas pun dia, Pengawas pun dia, Pengawas Pusat Sumber pun dia, Ketua Bulan Sabit Merah pun dia, Ketua Kelab Ping Pong pun dia... ni Ketua Pembimbing Rakan Sebaya pun dia. Ingat Mama... orang tamak selalu rugi," sambil jari telunjuknya digoyang ke kiri dan kanan.

Eleh, 'jealous'lah tu. 😝



Nora Karim
Sekali sekala 'berlagak' dengan anak-anak tak pe. 😅

Tuesday, January 22, 2019

Ulasan Buku: 99 Stress Free Daddy

Ulasan buku: 99 Stress Free Daddy
Penulis: Azzam Supardi
Terbitan: Mustread Sdn Bhd
Tahun terbitan: 2016
Ketebalan buku: 137 muka surat
Harga: RM18.00





Saya membaca 10 bab yang pertama. Tergelak sakan saya membaca keletah ayah (si penulis) dengan anaknya, Nisa.

Disebabkan seronok membaca dari satu bab ke bab yang lain, saya bercadang untuk mencari si penulis di Facebook. Manalah tahu dapat tips ber'sweet-sweet' dengan anak.

Jumpa Facebook Azzam Supardi. Saya tekan butang Follow.

Kemudian, saya baca satu persatu hantaran statusnya. Makin lama menitis air mata saya. Namun belum mahu berhenti membaca.

Rupanya penulis buku ini telahpun kembali ke rahmatullah, pada 4 Julai 2017, kerana sakit jantung. (Innalillahi wa innailaihirojiun). Yang lebih mengejutkan saya, penulis buku ini juga adalah pelukis komik "Aku Hidup Dalam Blues".

Komik yang sangat popular, suatu ketika dulu. Malah saya mengikutinya, cuma saya tak tahu penulis buku "99 Stress Free Daddy" ini dan pelukis komik "Aku Hidup Dalam Blues" adalah orang yang sama. Allahyarham menggunakan nama pena Toyon dalam karya komiknya.

Sejak itu, gagah juga saya menghabiskan membaca buku 99 Stress Free Daddy ini. Buku ini adalah bacaan santai yang sangat kelakar.

Tetapi disebabkan saya dah tahu penulisnya telah pergi, walaupun saya ketawa membacanya, namun air mata tetap mengalir. Asal habis beberapa bab, saya terfikir bagaimana Nisa menghadapi hari-hari tanpa ayahnya.

Saya percaya, buku ini menjadi buku kesayangan Nisa, kerana sebahagian kenangan bersama ayahnya dinukilkan di dalam buku ini.

Tahun ini, Nisa telahpun memasuki Tahun 1.  Saya doakan moga Nisa dan ahli keluarganya tabah dengan ujian ini. Semoga Nisa juga menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia dan akhirat.


Gambar dari Facebook Ujang Moy


Allahyarham Azzam Supardi juga adalah penulis bersama di dalam buku Pilotoq. Buku yang sedang menunggu giliran di rak buku saya untuk dibaca.

Terima kasih di atas buku "99 Stress Free Daddy" yang sedap dibaca ini. Sememangnya ia sebuah naskah yang 'sweet' antara ayah dan anak. Ia sesuai dibaca untuk meredakan tekanan seharian bekerja.

Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham Azzam Supardi, dan moga ditempatkan bersama para solihin.


Nota kaki: Walaupun penulisnya telah tiada, saya tetap nak sarankan buku ini agar dibaca terutamanya oleh para bapa. Sedikit sebanyak boleh belajar cara 'tackle' hati anak kecil.


Rancang dan tinggalkan sesuatu yang bermanfaat, selepas ketiadaan kita.

Wednesday, January 16, 2019

Tulis Planner, Urus Tekanan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


"Aku beli planner baru ni, tapi tak pakai pun. Masa beli bukan main 'excited'. Bila dah ada depan mata, tak tahu nak tulis apa. Rugi je, dahlah mahal juga harganya," adu seorang rakan. 

"Kenapa tak tulis ?" tanya saya.

"Entahlah, dia punya isi tu macam tak ngam dengan apa yang aku nak tulis. Ada 'mood tracker' la... 'cash flow' la... bajet itu ini. Benda-benda tu bukan kita pakai sangat pun," jawabnya seolah kesal membeli planner.

Ramai sebenarnya yang beli planner. 

Tapi kosong sampai ke hujung tahun. 

Betul juga, sebab planner yang dah siap bercetak ni, kadang-kadang apa yang kita tak nak, ada dalam tu. Tapi kalau saya, saya gunakan je semua, ubah ikut kesesuaian saya.

Hari ni dah 16 Januari. 

Pada mereka yang dah ada planner tapi tak pasti nak gunakan macam mana, sempat lagi nak isi. 

Jom saya kongsi bagaimana saya menggunakan planner yang telah siap bercetak:

1. Pen: saya gunakan pen berwarna biru (catatan semasa), hitam (saya gunakan untuk 'tick' saja) dan merah (catatan penting). Contohnya: jika Faris atau Alisya perlu membawa barang untuk keperluan subjek tertentu minggu berikutnya, saya akan gunakan pen berwarna merah.



2. 'Correction tape': dulu zaman saya guna 'liquid paper', sekarang 'correction tape'. Ini wajib ada, mana tahu tersilap tarikh ke salah tulis ke. Saya gunakannya juga untuk 'adjust' apa yang saya nak ada dalam planner saya. Contoh: saya tak perlukan 'cash flow box', dan saya tukarkan kepada 'FB/Blog Update'.


3. Klip kertas: saya gunakan klip kertas untuk menandakan paparan bulanan (monthly view). Mudah dan cepat kalau saya perlu tandakan apa-apa yang penting pada bulan dan tarikh tertentu. Tak perlulah nak selak-selak setiap kali nak ke paparan bulan lain.


4. 'Washi tape': saya gunakan 'washi tape' untuk perkara berulang dalam minggu tersebut. Contoh: Ujian pertengahan tahun sekolah, lima hari bermula 13 Mei - 17 Mei, maka saya akan lekat 'washi tape' sepanjang minggu tersebut. Dengan 'washi tape' anda tak perlu tulis 'ujian pertengahan tahun' berulang kali.



5. Pelekat dan 'sticky notes': kalau jumpa pelekat-pelekat comel dekat kedai buku, saya akan beli dan gunakan bila perlu. Sajalah nak naikkan 'mood' menconteng dalam planner. 'Sticky notes' pula, saya gunakan jika tidak cukup ruang tetapi ada maklumat tambahan pada satu-satu tarikh yang sama.



6. 'Brush marker': saya gunakan untuk 'highlight'kan perkara-perkara yang penting macam tarikh-tarikh kelas tambahan Faris. Boleh juga digunakan untuk mewarna lukisan yang disediakan dalam planner ini.



7. Gam dan gunting: Saya gunakan gam dan gunting untuk melekatkan memo yang saya terima dari sekolah. Memo tersebut akan dilekatkan di antara minggu perkara (event) itu akan berlaku. Jadi saya boleh rujuk terus.

Dan perkara yang paling penting, balut planner anda. Planner yang dibalut kemas, insyaAllah tidak mudah rosak. Maklumlah kita nak pakai setahunkan.

Apa kelebihan menulis planner?
1. Mengatur aktiviti harian 
2. Mengurus masa 
3. Meningkatkan produktiviti 
4. Mengurus tekanan 
5. Habit dan ibadah tracking
6. Buat kenang-kenangan


Nora Karim
Planner, pembantu kanan saya. 

Thursday, January 10, 2019

Ihsan Seorang Anak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Kelmarin.

Saya menggalas beg sekolah Alisya. Memimpin tangannya masuk ke perkarangan sekolah.

Separuh jalan, Alisya salam dan cium saya sebelum dia berjalan sendiri menuju ke tapak perhimpunan.

Sedang saya memerhatikan Alisya berjalan, saya ditegur seorang wanita yang baru keluar dari kedai buku sekolah.

"Anak tahun berapa, Puan?" tanyanya dengan senyuman. Dari percakapannya, saya pasti dia berbangsa Indonesia.

"Tahun 3. Ni anaknya tahun 1?" tanya saya berbasa basi.

"Tahun 2 Puan, anak majikan."

"Alhamdulillah... tak cukup ya bukunya?" soal  saya apabila melihat beberapa buah buku tulis pada tangan wanita tersebut.

"Iya Puan..." sambil membuka zip beg sekolah dan memasukkan buku-buku tulis yang dibeli.

Saya senyum pada anak majikan wanita itu. Dia kemudiannya membalas senyuman saya.

Lelaki.

Comel.

Berkulit putih.

Saya perhatikan bajunya dimasukkan kemas ke dalam seluar. Tali lehernya terletak elok. Tidak senget. Rambutnya juga disisir rapi.

Dari atas sampai ke bawah saya lihat anak itu. Pandai bibik siapkan anak majikannya. Nampak ikhlas, dari penampilan anak itu.

"Terima kasih bibik," tiba-tiba anak itu bersuara, setelah bibik selesai memasukkan buku-buku tadi ke dalam beg sekolahnya. Anak itu hendak menggalas sendiri beg sekolahnya.

"Sama-sama. Eh ngak usah, bibik bawa dulu, berat begnya," kata bibik sambil menjinjing beg anak majikannya itu.

"Sebab beratlah saya nak bawa, kesian bibik," jawab anak itu petah.

"Ngak apa-apa. Bibik bawa. Minta diri dulu ya, Puan," katanya pada saya. Sambil memimpin tangan anak majikannya, hingga ke dalam barisan kelas.

Subhanallah.

Terkedu sekejap saya. Anak majikan itu akhlaknya sangat baik. Mulutnya sangat ringan mengucapkan terima kasih kepada bibiknya.

Dia tahu bibiknya penat, lalu hendak mengangkat sendiri beg sekolahnya. Ihsannya anak itu kepada bibik, hingga merasakan beg sekolahnya membebankan bibik.

Saya sangat pasti anak itu diajar dengan baik oleh kedua ibu bapanya tentang akhlak. Dia sangat hormatkan bibiknya.

Saya percaya, bibik itu juga dijaga baik oleh majikannya. Bajunya elok. Mukanya kelihatan ceria dan tidak 'capek' seperti kebanyakan pembantu rumah lain.

Alhamdulillah, saya belajar dua perkara hari ini.

1. Biasakan anak-anak untuk ucapkan dua perkataan keramat ini, 'terima kasih' dan 'minta maaf', kerana kedua-dua perkataan ini boleh menundukkan rasa ego dalam diri seseorang.

2. Ajarkan anak-anak untuk hormat dan menunjukkan rasa ihsan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira status pekerjaan mereka.

Anak-anak mudah dibentuk ketika mereka masih kecil. Mulakan sekarang, agar menjadi kebiasaan.

Nora Karim
Lalu benarlah, mendapat pembantu rumah yang baik juga merupakan rezeki dari Allah.

Friday, January 04, 2019

"Kenapa Abang Menangis?"

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tengah hari tadi, masa saya hantar Alisya ke sekolah saya ternampak seorang budak lelaki berkulit cerah, sedikit tembam tapi comel dan menggalas beg berwarna kelabu sedang menangis.

Berdekatan dengannya ada tiga orang lagi budak lelaki. Saya percaya mereka darjah 1, sebab mereka memakai tag nama bertali.

Tangisannya semakin kuat.

Saya hampiri.

Dalam hati, "janganlah budak ni kena buli".

Saya merendahkan badan. Sekarang saya sama tinggi dengannya.

"Kenapa abang menangis?" Saja saya bahasakan dia 'abang' supaya dia tahu dia dah besar.

Namun tiada jawapan darinya.

"Ada orang buat abang ke?" Saya cuba bertanya lagi.

Tangisannya makin menjadi-jadi.

Saya cuak.

Ah sudah, kena buli ke?

Saya tanya tiga orang budak lelaki yang berdekatan.

"Kenapa dia?"

"Tak tau Acik. Kita tak kenal pun dia. Dari tadi dah nangis," jawab salah seorang dari mereka.

Saya pegang bahunya. Saya tanya lagi sekali, siapa yang buat dia menangis.

"Nak ayah..." tangisnya ditahan-tahan cuba menjawab soalan saya.

"Ayah abang dekat mana?"

"Dah balik..."

"Abang darjah berapa?"

"Satu..." Betullah tekaan saya. Sebelum ni sekolah anak saya darjah 1 sekolah pagi. Tahun ni, darjah 1 sekolah petang.

"Oh, ayah abang kena balik... sebab hari ni kan hari Jumaat. Ayah pergi masjid. Solat Jumaat..."

Tangisannya mula perlahan.

"Abang takut ke?"

Angguk.

"Kawan ramai ni ha... tak takutlah. Sekolah ni seronok tau. Hari Jumaat sekejap je sekolah. Empat jam lebih je. Lepas tu nanti ayah datang ambil abang, ok?"

Dia pandang saya.

Baru saya nampak matanya. Comellah hai budak darjah 1 ni. Saya suruh dia duduk dan berkawan dengan tiga orang budak tadi.

"Abang dengan kawan-kawan jangan keluar dari pagar sekolah tau. Sekejap lagi cikgu datang, semua berkumpul dekat situ. Taukan barisan dekat mana?"

"Tau... dekat situ," berebut-rebut budak tiga orang tu tunjuk saya tempat mereka beratur.

"Ha pandai... nanti duduk dalam barisan tau. Jangan keluar dari pagar, ok?" Berkali-kali saya ingatkan. Risau pun ya juga.

Saya tak dapatlah nak tunggu anak-anak tu sampai masuk barisan. Sebab nak berkejar ke masjid hantar anak bujang saya untuk solat Jumaat.

Dalam kereta saya cakap dengan Faris, "dulu darjah 1, Ayies menangis lagi teruk daripada budak tu. Bukan setakat dua tiga hari menangis, boleh kata sepanjang tahun!"

Terkekek-kekek dia menafikan. Tak percaya Faris kuat nangis masa darjah 1? Tengok ni 😂




Oh ya, budak yang menangis tu, lalu sebelah saya masa balik tadi. Saya dengar dia cakap pada ayahnya, "tadi kita nangis Ayah, tapi kejap je."

Eceeee.... 😉

Nora Karim
Kalau ada budak menangis dekat sekolah, saya mesti dekat dan tanya kenapa.

💖 Terima Kasih Faris 💖

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam ibu jari kanan saya luka, sebab alah pada serbuk pencuci. Sakitnya bukan main lagi.

Berdenyut-denyut.

Dari awal pagi dah menahan sakit bila buat kerja-kerja rumah. Tak tahan sangat rasanya.

Saya tangguh masak lauk untuk tengah hari. Terfikir nak beli nasi ayam je untuk Faris lepas ambil dia dari sekolah nanti.

Di sekolah, saya baru perasan ibu jari yang luka tu dah berdarah. Sakit jangan cakap.

Nampak luka sikit je, tapi...
dia punya denyut tak boleh tahan.

"Faris nak makan nasi ayam atau nasi kukus ayam berempah?" tanya saya sebaik Faris masuk kereta.

"Mama tak masak lagi?"

"Belum, jari Mama sakit ni. Ingat petang sikit baru Mama masak," saya tunjuk ibu jari yang luka. Terus Faris capai tisu di depannya, dan lap darah yang keluar.

"Nak beli nasi ayam ke?"

"Tak payahlah. Ayies masak je lah."

"Nak masak? Nak masak apa?"

"Ayam kunyit dengan telur dadar."

Sampai je rumah dia terus mandi dan solat Zohor. Lepas tu masuk dapur. Pakai apron.

Boleh katakan semuanya dia yang buat. Saya cuma pantau dan tolong sikit-sikit.


"Macam ni rupanya penat masak," tiba-tiba dia bersuara, sambil duduk mengelap peluh di bangku biru.

"Ha, tau pun... ni baru sikit ni. So, lain kali jangan cakap 'lauk ni je ada?', 'tak de kuah ke?', 'lauk ni Ayies tak suka'. Apa yang Mama masak, makan je."

Dia tersingih.

Garu kepala.

"Mana Ayies tau macam ni penatnya. Kurang-kurang macam lari satu padang."

Saya tergelak. Penat sangat bunyinya tu.

"Tapi terima kasih tau, sebab tolong Mama masak ni. Walaupun penat baru balik sekolahkan... Tapi hari ni, insyaAllah banyak pahala Ayies dapat. Pahala tolong Mama. Pahala masak untuk semua orang. Nampak sedap ni, bau pun dah buat rasa lapar."

Dia nampak excited nak saya rasa masakannya. Mukanya yang tadi nampak letih dan penat, dah mula berseri-seri. Mata pun dah bersinar-sinar bila diberi pujian dan apresiasi.

Anak-anak ni sangat suka bila dipuji. Maka janganlah kedekut, beri mereka pujian. Pujian akan membuatkan mood anak-anak bertambah baik.

Lepas puji, saya pujuk dia untuk masuk tuisyen, terus setuju tau! Nampak tak?!

Belajar sesuatu? 😉

Nora Karim
Pujian tak perlukan belanja besar pun, yang penting ikhlas.