Friday, September 04, 2020

Laksa Sempoi Tapi Sedap 😋

Saya kalau masak laksa, suka ikan sardin tu tak hancur sangat. Jadi memang tak kisar... suka kunyah isi ikan macam tu.

Ni pun taklah rajin sangat. Tapi Faris minta lama dah laksa ni. Kesian pula. Jadi masaklah juga.


LAKSA SEMPOI 

1 bungkus laksa - rebus hingga masak dan ketepikan
6-8 ekor ikan sardin
1 tin sardin (saiz sederhana) - ambil ikan sardin saja
3-4 asam keping
2 kuntum bunga kantan
4 ikat daun kesum - lagi banyak lagi sedap
2 sudu besar cili kisar
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
4-6 biji telur rebus
1 batang timun

Cara membuatnya:

1. Cuci bersih ikan sardin, kemudian rebus bersama air, asam keping dan garam.

2. Asingkan isi ikan sardin dan tulang. Hancurkan sedikit isi ikan.

3. Ambil ikan sardin dalam tin dan hancurkan bersama isi ikan sardin tadi.

4.Masukkan semula isi ikan yang telah siap dihancurkan ke dalam air rebusan ikan tadi.

5. Masukkan cili kisar, daun kesum dan bunga kantan. Kacau rata dan biarkan sehingga mendidih.

6. Tambahkan gula dan garam jika perlu.

Siap untuk dihidang bersama telur rebus dan hirisan timun.

Saya suka makan macam ni je... kalau nak letak hirisan nanas, cili merah dan bawang besar pun boleh. Ikut selera masing-masing. 😁

Kawan-kawan jangan lupa cuba di rumah ye. Mesti sedap... Selamat mencuba.

Masak sendiri, puas makan. 😄

Friday, August 07, 2020

7 Hari Mencintaiku 2: Terima Kasih Pada Siapa?

Saya ni tak sempat nak tengok TV.

Selalu kalau saya rasa nak tengok apa-apa rancangan TV saya akan rekod je dulu... Bila-bila saya ada masa, barulah saya tengok cerita yang saya rekod tu.

Semalam saya tengok drama 7 Hari Mencintaiku 2, episod 24 kalau tak silap, sambil makan tengah hari.

Ada satu scene, Nad bagi pregnancy test pada Dr Zaidi. Lepas tu, adalah dialog-dialog Zaidi yang menunjukkan betapa gembiranya dia dapat berita Nad mengandung tu. Dan ayat akhir yang Zaidi cakap, "terima kasih sayang".


Alisya pandang tepat ke mata saya...

"Apa?" tanya saya sambil mengangkat kening.

"Kenapa dia kena cakap terima kasih dekat isteri dia sebab mengandung?" soalnya.

"Ah, mula dah...," bisik saya dalam hati.

"Ye la, kenalah cakap terima kasih, sebab nanti yang akan muntah-muntah... pening-pening, tak selera makan... bengkak kaki... sakit pinggang, hidung kembang, muka tak cantik... kan semua isteri yang tanggung. Itu baru fasa mengandung je. Nanti fasa kedua lepas baby keluar... nak mandikan baby, nak susukan baby, tak lena tidur... aih, macam-macam lagilah, isteri juga tanggung tu. Itu baru fasa kedua... fasa ketiga...," belum sempat saya sambung lagi Alisya mencelah.

"Tak, tak... bukan ke dia patut cakap terima kasih dekat Allah, sebab Allah bagi isteri dia mengandung. Patutnya cakap alhamdulillah..."

😆😆😆

Terdiam Mama kamu nak...

Ya, ucap alhamdulillah, tanda terima kasih dan syukur pada Allah atas apa jua kurniaan rezeki.
#alisyafarha
#10tahun
#7harimencintaiku2

Saturday, August 01, 2020

Bermula 1 Ogos = Wajib Pakai 'Mask'



Awak, jangan lupa ye, bermula hari ini, 1 Ogos, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam. 

1. Pakai pelitup separuh muka dengan betul. 
2. Jaga penjarakan fizikal. 
3. Amalkan etika batuk dan bersin yang betul. 
4. Cuci tangan atau pakai cecair pembasmi kuman dengan kerap. 

Perkara di atas penting bagi menyekat penularan wabak Covid-19. Kita belum menang. 

Jaga diri ye semua... 💞 

#kitajagakita 
#COVID19 
#malaysiaboleh

Ini tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

Friday, July 24, 2020

Set Buku Kembara Menuju Allah - Ustazah Asma Harun


Dah lama saya aim set buku Ustazah Asma' Harun ni. Tapi masa tu buku yang dikeluarkan jenis hardcover, jadi harganya RM150, pada saya yang tidak bekerja ni, agak mahal.
Dua tiga hari ni, baru saya perasan penerbit dah keluarkan jenis buku softcover. Dah ada di pasaran pun. Harganya, RM108.
Tergoda punya pasal... sampai tak boleh tidur dibuatnya.
Pagi ni saya terus order. Tak sabar tunggu abang PosLaju minggu depan.

Sebelum ni saya dah beli buku "Sahabat Dunia Akhirat", tulisan Ustazah Asma' juga.


Seronok baca buku ni. Banyak doa dan kisah-kisah teladan pada zaman Nabi SAW yang dimuatkan dalam buku ni, jadi iktibar dan pengajaran.
Penguat semangat bagi kita yang jatuh.
Penguat jiwa bagi kita yang diuji.
Penguat hati bagi kita yang bersedih.
Penguat minda bagi kita yang selalu alpa.
Saya mengharapkan isi yang terbaik juga daripada set terbaru Kembara Menuju Allah ni...
Siapa yang biasa menonton ceramah Ustazah Asma' di YouTube, mesti tahu macam mana pendekatan Ustazah dalam membuat sebarang perkongsian. Sangat mudah difahami dan banyak tips diberikan, supaya kita boleh terus amalkan.


Jika ada yang berminat dengan buku Ustazah Asma' Harun, boleh Whatsapp nombor di atas.

1. Set Kembara Menuju Allah - RM100
*kalau nak beli satu-satu pun boleh... Harga sebuah buku RM27 saja.

2. Sahabat Dunia Akhirat - RM25

* harga tidak termasuk pos *

Thursday, July 16, 2020

Mencabar Juga Norma Baharu Ni... 😆

Dalam kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) semalam, Cikgu PJ Faris cerita tentang kebaikan air kosong atau air suam.

Cikgu PJ cakap, kita kena minum air suam yang cukup sebab kelebihan minum air suam ni boleh membantu membekalkan oksigen pada otak.

Faris kata, kawan lelaki yang duduk sebelah dia, bawa air tapi tak luak pun air botolnya. Dari mula masuk sekolah, sampai waktu PJ tu, air botolnya elok je diletakkan di bucu meja. 

Sebaik cikgu PJ cakap kena minum air banyak, dia pun minum air botol tu. Kejap-kejap dia buka penutup botol dan minum air.

Faris tegur kata, janganlah habiskan sebotol terus. Tapi kawan dia cakap nak bagi oksigen sampai ke  otak.

Waktu PJ tu lepas rehat... maknanya dah lepas waktu kelas Faris dibenarkan untuk ke tandas. Lepas PJ subjek BM. Kawan dia tadi dah rasa nak terkucil, tapi dia tahan.



Lepas BM, subjek BI... dia dah mula melompat sebab dah tak boleh tahan lagi dah.

"Weh, aku tak rasa air bagi oksigen ni weh... ni semua air turun bawah ni bukan pi otak," keluh kesah dah menahan.

Faris dah gelak sakan bila kawan dia cakap macam tu.   Di tempat duduknya dia mengepit kedua belah kaki. Sambil menggerakkan badan ke kiri dan kanan. 

"Pegilah cakap dekat cikgu kau nak pegi toilet. Cakap kau tak tahan nak kencing."

Saya rasa mungkin sebab waktu kelas dia dah lepas untuk ke tandas sebab tu dia takut nak cakap dengan cikgu.

Waktu akhir, subjek Sains. Belum sempat cikgu duduk dia dah cakap, "cikgu saya dah terkencing sikit... cikgu kena bagi saya pegi toilet... tak tahan dah..."

Mujurlah cikgu izinkan dia ke toilet. Kalau tak, mau terkencing dalam seluar kalau terlalu ikut norma baharu.

Bila masuk kelas balik, sambil menyandar dan berpeluh satu muka, kawan tu cakap pada Faris... "senak otak aku tahan kencing... bukan dapat oksigen."

ðŸĪĢðŸĪĢðŸĪĢ

Walaupun norma baharu, part nature calls ni memang kita tak boleh jangkakan...
#adamfaris
#tingkatan1
#normabaharusekolah

Wednesday, July 15, 2020

Norma Baharu Sekolah

Seronok dengar cerita Faris balik dari sekolah tadi. Hari ni kan hari pertama sekolah ala norma baharu PKPP.

Dari malam semalam lagi cikgu kelas dah maklumkan, yang anak-anak wajib pakai pelitup muka yang kosong (tanpa corak), bawa cecair pembasmi kuman dan bawa tisu basah.

Mula-mula musykil juga kenapa kena bawa tisu basah, rupanya, tisu tu akan digunakan oleh pelajar untuk lap meja dan kerusi selepas tamat waktu persekolahan.


Waktu persekolahan dilewatkan untuk sesi petang, bagi megelakkan murid-murid sesi pagi dan petang bertembung. Sekarang Faris masuk sekolah jam 1.40 petang.

Dulu sebelum PKP, Faris masuk sekolah sebelum jam 1.05. Sebab biasanya mereka akan duduk di tapak perhimpunan dan bersedia untuk solat Zohor berjemaah yang akan diimamkan oleh para pelajar sendiri.

Tapi mulai hari ini, pelajar wajib solat Zohor dan Asar di rumah. Surau sekolah ditutup sepenuhnya sehingga diberitahu kelak.

Waktu pulang pula jika dulu jam 6.40 petang, sekarang 6.10 dah boleh balik.

Selain diambil suhu, jaga jarak dan cuci tangan sebaik masuk sekolah... para pelajar akan terus masuk ke kelas masing-masing. Tiada perhimpuan dalam norma baharu sekolah Faris.

Dalam kelas pula, kalau dulu, murid yang tinggi duduk di belakang, sekarang ni, meja dan kerusi juga telah disusun dengan jarak satu meter oleh pihak sekolah. Jadi, mereka hanya dibenarkan duduk di kerusi dan meja yang ditetapkan.

Macam sekolah Faris, pelajar disusun ikut nama dalam senarai kelas... jadi "untunglah" Adam Faris yang first dalam senarai kelas, maka dia duduk depan sekali. Betul-betul depan meja cikgu. 😅

Waktu rehat, murid sangat digalakkan untuk membawa bekal sendiri. Jika hendak membeli di kantin, mereka perlu mengisi borang pembelian dengan meletakkan jenis makanan dan minuman yang dikehendaki serta memberikan wang yang cukup.


Seorang wakil bagi setiap kelas akan turun dan membeli makanan di kantin. Pelajar hanya dibenarkan makan di dalam kelas dan ditempat duduk masing-masing.

Sama juga jika pelajar nak membeli sesuatu di koperasi. Mereka perlu mengisi borang pembelian, serahkan duit yang cukup dan wakil kelas akan belikan.

Oh lagi satu yang saya sangat surprise, rupanya waktu nak ke tandas juga telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

Kelas Faris hanya boleh keluar ke tandas dalam tempoh masa yang ditetapkan, iaitu antara jam 2.00 hingga 3.30 petang. Nak buang air pun kena plan sekarang. 😅

Saya tanya Faris, overall suka ke dengan norma baharu ni?

Dia jawab, "Ayies ok je... cuma kalau dulu waktu rehat boleh kongsi dan tukar-tukar makanan. Sekarang tak boleh dah... kalau orang bawa bekal sedap, boleh tengok je la..."

Ha nampak tak.. hat lain dia tak kisah pun... bab makan dia touching sikit. 😆 Sebab sejenis suka makan macam Mama dia.

Kurangkan pergerakan, elak penularan.
Ditulis seperti yang diceritakan oleh Adam Faris.
#norakarim
#normabaharusekolah
#adamfaris
#tingkatan1

Wednesday, June 24, 2020

Mengimpikan Buku Sendiri? Ambil Panduan di Sini...


Hari ini hari terakhir bagi mereka yang berhajat merealisasikan impian menyiapkan buku: 
1. Hari ini hari akhir peluang berada dalam perkumpulan manusia yang saling dorong mendorong agar ikhtiar menulis buku pertama berjaya. Saya antara 2000 penulis dalam kumpulan tersebut, yang berhajat, 'tulis, biar sampai jadi'. 

2. Hari ini hari akhir peluang mengambil panduan lengkap cara menulis yang dapat mendorong pembaca, menerbitkan tulisan sendiri dan mencipta pembaca sebelum 'buku terbit'. 

3. Hari ini hari akhir peluang belajar daripada 26 pengamal yang menulis, menerbitkan dan memasarkan menggunakan cara yang praktikal. 

4. Hari ini hari akhir berbelanja serendah 70 sen sehari selama 11 bulan bagi memperolehi panduan yang memahalkan hasil penulisan kita. 

Hari ni peluang terakhir, sebelum ditutup sepenuhnya. Usah bertangguh, jika berhajat untuk menyiapkan buku pertama, boleh dapatkan link pendaftaran di sini https://kelas.onpay.my/order/form/summitramadan/264

Jom, kita jumpa di kelas. 😁

Kita belajar sama-sama dalam tempoh 11 bulan ni.

Saturday, June 20, 2020

Meninggalkan Komen di Media Sosial...

Beberapa hari lepas saya ada terbaca posting seseorang di salah satu page yang saya follow. Postingnya lebih kurang seperti ini.

"Musang King... RM300 SEBIJI"



Kemudian disertakan gambar durian yang isinya cukup tebal dan kuning memikat.

Sungguh, saya terliur ðŸĪĪ.

Tapi dalam hati saya terdetik, "kalau ada rezeki aku nanti, mesti boleh beli Musang King macam ni", sambil tersengih-sengih dan hati berbunga-bunga melayan gambar durian yang terpampang di skrin telefon.

Dan kemudian, saya ke ruangan komen, membaca satu, dua, tiga... empat, lima... enam, tujuh komen... saya menarik nafas dalam-dalam.

Jelas sekali semua komen yang saya baca dari awalnya, berbentuk sindiran. Banyak sangat komen yang ditinggalkan, hampir semuanya negatif!. Saya yang bukan tukang post pun terasa hati membacanya.

"Gilerlah... RM300 pun sanggup beli. Baik menyimpan. B*d*h!"

"Ruginyalah... baik beli emas. Boleh gak pajak time terdesak."

"Aduh... RM300 ni dua bulan punya barang dapur boleh beli. Membazir je. Otak kat lutut agaknya."

"Sis jangan lupa makan biji dan kulit sekali ye... berharga tu 😏."

"Lepas makan jangan berak seminggu... baru berbaloi bayar RM300...😂"

"Kulit tu masuk frame, biji tu goreng celup tepung. Jangan membazir sis, giler mahal tu!!!"

"Riak dooooo!!!"

"Kalau harga RM300 ni tunggu masuk Syurga baru makan... itu pun kalau dapat masuk Syurgalah... 😏"

Dan banyak lagi komen-komen seumpama ini ditulis oleh netizen. Salah ke tulis macam ni? Tak salah... tapi mengguris hati orang lain tu yang salah.

Awak... kita ni, kalau tak boleh menulis perkataan yang elok, baik diam saja dan terus ke posting yang lain. Tak ada orang paksa kita pun untuk tinggalkan komen sindiran dan negatif macam tu.

Meninggalkan komen berbentuk sindiran dan negatif ni pilihan sebenarnya. Kita sendiri yang pilih untuk tulis macam tu. Tapi sedar tak, bila kita meninggalkan komen sedemikian, kita memang rasa puas hati. Tapi dalam masa yang sama, orang lain yang membaca komen kita pun boleh beri tanggapan yang negatif pada kita.

Kenapa kita ni tak boleh berlapang dada bila membaca sesuatu posting seperti ini? Ada dua je kemungkinan:
a) kita cemburu, sebab tak dapat apa yang orang lain dapat.
b) kita suka berkeluh kesah dengan hidup malah tak bersyukur dengan apa yang kita dah ada.

Setiap seorang dari kita ni, rezekinya Allah dah tentukan, malah berbeza-beza. Ada orang gaji sebulannya RM 1,800, ada orang RM 5,800, ada orang RM18,000. Memang takkan sama.

Bila gaji bulanan pun berbeza, dah tentu cara hidup kita pun berbeza. Cara hidup orang bergaji RM1,800 takkan pernah sama dengan yang bergaji RM18,000. Jangan samakan ukuran baju kita dengan ukuran baju orang lain. Totally takkan sama.

Lumrah kita sebagai manusia ni, bila kita sangat gembira, kita akan kongsi kegembiraan tu dengan orang lain. Kita rasa bahagia, jadi kita nak kongsi kebahagiaan tu dengan orang lain. Itu biasa... memang sifat manusia begitu.

Apa salahnya, bila kita melihat kegembiraan dan kebahagiaan orang lain, kita raikan. Kita doakan. Bukan ke, bila kita mendoakan orang lain, Malaikat akan aminkan dan doakan yang sama untuk kita. Rugilah kalau kita tak nak Malaikat doakan kita.

Musim durian ni bukan setiap minggu. Ada orang, dia usaha lebih, simpan duit sikit-sikit sebab nak merasa makan durian mahal, sebab nak rasa nikmat makan sedap tu. Dia tak minta duit kita pun...

Ada orang, dia jadikan sesuatu yang mahal macam ni sebagai reward diri. Dia usaha sungguh-sungguh cari duit. Bila dah dapat, dia nak reward diri sendiri supaya lebih kuat berusaha nanti.

Dalam media sosial ni, baik orang yang menulis post mahupun orang yang menulis komen, dua-dua memaparkan cerminan peribadi masing-masing. Jadi, tulislah dengan berhikmah.

Etika menulis posting dan meninggalkan komen di media sosial:

1. Menghormati antara satu sama lain.

2. Menulis sesuatu yang memberi manfaat kepada pembaca.

3. Menggunakan perkataan yang baik dan tidak menyinggung perasaan orang lain.

4. Tulisan kita tidak menjadi medan bergosip dan mengumpat.

5. Bertanggungjawab terhadap apa yang telah kita tuliskan.

Menulis, jangan sampai mengguris...
Jika nak belajar cara menulis dengan baik dan menghasilkan buku, boleh klik https://kelas.onpay.my/order/form/summitramadan/264

Sunday, June 07, 2020

PKPB (Bersyarat) Diganti PKPP (Pemulihan) Bermula 10 Jun - 31 Ogos

Alhamdulillah setelah lebih 80 hari terkurung di rumah sendiri, akhirnya kita dibenarkan 'keluar'. Sekurang-kurangnya berita ini membuatkan kita sedikit lega. 

Seperti yang dimaklumkan PM jam 3 petang tadi, PKPB (Bersyarat) digantikan dengan PKPP (Pemulihan) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020

Apa yang dibenarkan mulai 10 Jun ini? 
✅ rentas negeri - kecuali kawasan yang diisytihar PKPD 
✅ kedai gunting rambut dan salun 
✅ pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan 
✅ lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, rekreasi, kolam pancing komersial dan penggambaran drama dn filem 
✅ mesyuarat dan bengkel dengan jumlah yang kecil 
✅ aktiviti sukan yang tak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah dan menembak 
✅ kayuhan basikal dan konvoi motor 
✅ bercuti atau melancong DALAM NEGERI 
✅ ibadah korban sempena Aidiladha 

Walaupun banyak kelonggaran pada pelbagai aktiviti di atas, namun perlu diingatkan, kita masih perlu praktis norma baharu kehidupan. 

Komik lukisan Adam Faris untuk kita rakyat Malaysia

Aktiviti-aktiviti di atas perlu dilakukan dengan mematuhi perkara-perkara berikut: 
1️⃣ memakai pelitup muka
2️⃣ menjaga jarak 1 meter 
3️⃣ kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer 
4️⃣ menutup mulut ketika bersin dan batuk 
5️⃣ tidak menyentuh muka 
6️⃣ segera mandi apabila selesai urusan di luar rumah 

Terima kasih pada frontliners, tanpa anda semua, mana mungkin kami, rakyat Malaysia, dapat lalui 80 hari ini dengan jayanya. Terima kasih sangat-sangat. Semoga Allah limpahkan segala kebaikan dan rezeki pada anda semua... ðŸĨ° 



Tahniah juga buat rakyat Malaysia yang patuh pada arahan sepanjang PKP dan PKPB. Kita memang 'ohsem'. 😁 

Alhamdulillah... lega sikit dengar berita ni. 
#staysafe #kitajagakita
Follow saya di Telegram: t.me/dialoguda
Dapatkan e-book Matematik untuk sekolah rendah di sini: t.me/celikmatematik

Tuesday, May 12, 2020

Biskut Nestum


Taklah rajin nak buat biskut raya pun. Tapi Alisya ni dok sebut nak biskut sarang semut raya nanti. Semalam abahnya dah cari bahan biskut sarang semut tu. Tapi chocolate rice tak ada pula. Jadi tak dapatlah nak buat.   
Hari ni dia tanya lagi, 'boleh tak kita buat biskut raya... apa-apa biskutlah'. Tengok nestum ada banyak, bolehlah buat biskut nestum. Buat tak banyak pun. Satu adunan je. Dapatlah satu bekas saiz sederhana tu. Tapi rasa tak sempat raya habis tu. 😅 

Konon nak terap pakai acuan... dok cari roller nak canai doh tak jumpa. Maklumlah, barang jarang pakai, memang tak jumpalah... Pakai garpu je la senang. Pun boleh... Asal Alisya happy dapat buat biskut raya. Mujur dia tak buka puasa, sebab bau nestum semerbak dalam rumah. 

Nah, resipi kot ada sesiapa nak buat. 


BISKUT NESTUM 
250gm buttercup 
3/4 cawan gula 
1 biji telur 
1 penutup esen vanilla 
2 cawan tepung gandum 
1 cawan tepung jagung 
2 cawan nestum 

1. Pukul gula dan buttercup hingga kembang. 
2. Masukkan telur dan esen vanilla. 
3. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung. Uli hingga tak melekat ditangan. 
4. Masukkan nestum. Uli lagi. 
5. Bolehlah terap dengan acuan jika mahu. 
6. Bakar pada suhu 180° selama 20 minit, atau sehingga masak.

Selamat mencuba.

Sekejapan je dah 20 Ramadan...

Sunday, May 03, 2020

Impian Sendiri vs Impian Ayah

Terbaca status kak Deqmah Anja tentang impian zaman sekolahnya yang jauh terpesong dengan apa yang dilakukan sekarang ni. Boleh baca di sini https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3545680345447405&id=100000164221115

Betulkan? Kadang-kadang impian kita tak tercapai kerana Allah dah aturkan sebaik-baik jalan buat kita. Jalan yang lebih baik untuk kita lalui, daripada apa yang kita idamkan.

Saya renung semula perjalanan saya, dalam pendidikan formal...

SPM - Akaun dan Perdagangan.

Arwah ayah mahu saya ikut abang sulung dan kakak nombor lima saya yang belajar dan bekerja dalam bidang perakaunan.

Namun, nombor bukanlah minat saya. Matematik, Akaun, atau apa saja subjek yang melibatkan nombor, bukan 'makanan' saya.

Sejak sekolah menengah, saya lebih cenderung pada Sastera. Saya suka baca buku-buku Sastera. Penulisan Arena Wati, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Keris Mas antara nama-nama yang selalu jadi perhatian saya ketika itu.

Masa sekolah menengah, Cikgu Mastura Mohamad banyak asah bakat penulisan saya. Baik karangan, puisi, pantun... Saya banyak sertai pertandingan puisi, walaupun saya di kelas Akaun. Terima kasih cikgu, sayang cikgu ketat-ketat. ðŸĨ°

Saya suka menyusun perkataan. Masa tu kamus adalah rakan paling akrab dengan saya. Ya, saya sangat suka kamus, sampai sekarang.

Sejak usia remaja saya banyak hadiri bengkel penulisan. Saya juga suka menghantar puisi dan cerpen di majalah atau akhbar. Disiarkan atau tidak, itu perkara nombor dua.

Matrik - Komunikasi Massa

Selepas SPM, Komunikasi Massa adalah pilihan pertama saya. Akaun... saya letak sebagai pilihan kelima. Dah tentulah arwah ayah tak tahu masa saya isi borang UPU tu.

Masa saya dapat kursus Kewartawanan, saya sebenarnya sangat gembira sebab itu memang apa yang saya nak. Sebaliknya arwah ayah turun naik pejabat ITM (ketika itu masih ITM)... buat rayuan agar saya dapat tukar ke kursus Perakaunan.

Melihatkan arwah ayah turun naik pejabat, saya jadi serba salah. Sama ada nak teruskan dengan tawaran yang saya terima atau ikut arwah ayah untuk tukar kursus.

Sampailah satu hari, arwah ayah tanya... "betul ke nak ambil Masscom?" Saya senyap seribu bahasa. Air mata bergenang, sama ada nak teruskan impian sendiri atau tunaikan impian arwah ayah.

"Kalau rasa itu pilihan terbaik... tak apalah ayah izinkan..." Mencurah-curah air mata saya masa tu, bila arwah ayah dah bagi izin. Saya tahu arwah ayah berat hati. Dalam masa yang sama, saya rasa bersyukur, arwah ayah izinkan saya belajar bidang yang saya minat.

Masa tu, kursus Komunikasi Massa ni tidaklah sepopular sekarang. Mungkin juga arwah ayah fikir, bidang kerja perakaunan lebih banyak peluang berbanding Masscom.

Ijazah - Komunikasi Massa (Kewartawanan)

Disebabkan minat sangat pada penulisan, jadi saya memilih bidang Kewartawanan berbanding empat lagi bidang pilihan lain. Masa tu ada bidang Pengiklanan, Perhubungan Awam, Penerbitan dan Penyiaran.


Alhamdulillah, saya tamat pendidikan formal dengan apa yang saya minat. Walaupun tidak lagi berada dalam bidang kewartawanan, saya masih lagi menulis secara santai di media sosial.

Saya seronok bila dapat merasa menjadi wartawan dan menulis untuk orang ramai, baik di media cetak mahupun digital.

Saya juga sangat gembira, apabila dapat berkongsi pengalaman dengan bekas-bekas pelajar kewartawanan IKIP dulu (sekarang Kolej Yayasan Pahang).

Saya masih menulis, agar ada perkongsian saya yang memberi manfaat pada orang lain. Menerima mesej ucapan terima kasih daripada orang yang baca perkongsian saya pun dah cukup membahagiakan.

Moga apa jua penulisan baik yang saya kongsikan selama ini, ada juga pahala yang mengalir buat arwah ayah dan mak, yang reda dengan pilihan saya, serta semua guru-guru penulisan saya...

Nah, impian juga bakal dapat kita realisasikan, jika kita benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Kan?

Alhamdulillah atas segala pengalaman dan nikmat hidup hingga hari ini. Semoga Allah sentiasa kasih pada arwah ayah dan mak saya. Al-Fatihah (dengan bacaan).

Impian tak salah. Pengalaman hidup jua yang akan mematangkan...
#pendidikanformal
#kewartawanan
#pengalamanhidup


Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar.

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR. 

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik. 

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2. 

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah. 

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian. 

Thursday, April 30, 2020

Adakah Ini Kerana Penyakit Hati?



Perasan tak?
Orang yang pernah rasa hidup susah, akan tinggi nilai kasih sayangnya.

Perasan tak?
Orang yang pernah rasa hidup serba tidak ada, akan tinggi rasa syukurnya.

Perasan tak?
Orang yang pernah rasa hidup menerima bantuan orang lain, akan tinggi rasa tanggungjawabnya.

Perasan tak?
Orang yang pernah rasa hidup kelaparan, akan tinggi rasa nikmat hidupnya.

Perasan tak?
Orang yang pernah rasa tidur berbumbungkan langit dan beralaskan tanah akan tinggi rasa ihsannya.

Bila mereka berjaya keluar daripada kesulitan dan kepayahan hidup, mereka akan ada rasa tanggungjawab yang tinggi pada insan lain.

Bila mereka berjaya menikmati hidup yang lebih baik, mereka akan cuba membantu insan yang senasib seperti mereka dulu.

Bila mereka diberikan kekayaan harta benda, mereka akan memberi dan membantu seramai mana yang boleh agar turut dapat keluar dari kesempitan hidup, seperti mereka.

Hidup kita ni tak lama...
Didik hati kita agar tidak menjadi Tuhan yang melabel keikhlasan hati orang lain.
Didik hati kita, untuk terus bersangka baik atas segala perbuatan baik yang ditunjukkan orang lain.
Pujuk hati kita untuk melihat kebaikan orang lain sebagai asas memperbaiki kehidupan kita sendiri.

Tidakkah kita mahu menjadi manusia yang sentiasa disebut-sebut oleh penduduk langit, atas kebaikan kita di dunia?

Jika kita tak mampu turun padang, bantulah dengan memberi sumbangan.
Jika kita tak mampu menyumbang, bantulah dengan berdoa.
Atau jika tak mampu berikan kata-kata yang positif,
Lebih baik duduk diam.

Tepuk dada,
Apa khabar hati kita?

Sokong sesiapa saja yang berbuat baik.



Bab 3 dan 4  modul Matematik, Mathzier dah dilancarkan semalam, untuk Tahun 4. 5 dan 6. TIADA VIDEO penerangan disediakan seperti Bab 1dan 2 kerana PKP. Video akan dijual berasingan selepas PKP. Bab 3 dan 4 akan dijual RM25/satu Bab, atau beli secara kombo hanya RM40. Dapatkan di link berikut,
t.me/celikmatematik

Sunday, April 26, 2020

Hikmah 40 hari PKP

Alhamdulillah, lepas Subuh kelmarin (hari ke-38 PKP), saya khatam Quran. Rasa syahdu sangat, sebab kelmarin 1 Ramadan.

Jangkaan awal, saya akan khatam sebelum Ramadan. Tapi lupa kita orang perempuan ni Allah sayang dan bagi rehat setiap bulan. Tak apalah...


Awal tahun hari tu, saya ada terbaca perkongsian seorang doktor yang menceritakan tentang seorang pekerja hospital bukan warganegara Malaysia, yang menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran.

Saya ambil intipati perkongsian. Menurut pekerja hospital tu, dia akan pastikan habis membaca satu juzuk Al-Quran setiap hari. Jadi dia akan khatam sebulan sekali. Dalam setahun dia khatam 12 kali. Subhanallah...

Saya mula berfikir, jika saya nak buat perkara yang sama, mampukah saya nak habiskan satu juzuk sehari?

Sebelum ini, saya hanya membaca dua ke empat muka surat sehari. Jadi nak khatam setahun sekali pun belum tentu lagi.

Sejak itu, saya mencari kaedah yang sesuai dan selesa buat saya. Nak baca sekali gus satu juzuk dalam satu masa, memang saya tak mampu. Jadi saya mulakan dengan tandakan setiap juzuk dengan washi tape, supaya mudah nak semak dah sampai juzuk berapa.

Saya lekatkan washi tape di setiap juzuk baru.

Setiap juzuk dalam Quran milik saya ada 20 muka surat. Jadi saya bahagikan kepada lima bahagian untuk dibaca selepas waktu solat. Saya baca empat muka surat setiap kali lepas solat. InsyaAllah kalau tak de halangan selesai satu juzuk selepas Isyak.

Saya mula baca Quran pada 18 Mac, iaitu pada fasa pertama PKP. Mula-mula rasa susah. Rasa berat sebab saya tak biasa buat. Tapi lepas seminggu, dah rasa ringan dengan rutin tu. Betullah orang cakap, kita akan rasa okay buat sesuatu perkara tu bila kita konsisten.

Saya berhajat nak khatam lagi hujung Ramadan ni. Jom awak, kita buat sama-sama.

Bila dah lekat washi tape macam ni,
senang nak tanda dah baca juzuk berapa.

Ada yang kata, Ramadan tahun lepas sempat baca sampai juzuk 5 je, lepas tu tak baca lagi dah, sampailah Ramadan tahun ni.

Tak apa, SAMBUNG TERUS dari tempat yang kita berhenti tahun lepas. Sambung dan azam Ramadan tahun ni nak khatam. InsyaAllah, Allah makbulkan.

Ada yang kata, masih tak lancar baca Quran walau umur dah 20, 30, 40, 50 tahun... tak apa, TERUSKAN BACA WALAU TAK LANCAR. Kita tak lancar sebab kita dah lama tak baca. Tapi bila kita baca setiap hari, lidah akan lembut dan bacaan akan semakin lancar.

Sepanjang Ramadan ni, kita kena ambil peluang banyakkan berdoa. Tapi perasan tak, kalau kita baca Al-Quran, di dalamnya Allah dah rakamkan banyak doa para Nabi. Bila kita baca Quran, kita DAH BACA DOA-DOA TERBAIK PARA NABI. Boleh tanda, ambil dan jadikan amalan juga.

Ada yang kata, tak payah bacalah. Kang salah tajwid, salah sebut, berubah makna... berdosa pula. Tak, tak, jangan fikir macam tu, USAHALAH UNTUK BACA DENGAN BETUL.

"Mereka yang mahir membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi taat (Al-Safarah Al-Kiram Al-Bararah). Adapun orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut dan merasa sukar ketika membacanya, baginya dua pahala."
(Hadis Riwayat Muslim)

Zaman teknologi ni, semuanya mudah awak... ramai ustaz ustazah yang gunakan platform digital untuk mengajar tajwid dan menjelaskan daurah setiap surah. Nak-nak dalam musim PKP ni. Ramai juga para qari qariah yang merakam bacaan 30 juzuk. Kita boleh cari, belajar, dengar dan cuba amal.

Awak... ini bulan Ramadan, bulan terbaik. Kalau tak nak mula sekarang. Bila lagi? Jom kita mula sama-sama... 💞

Masih merangkak dan belajar. Moga Allah reda... atas setiap usaha.


Nak dapatkan e-book Matematik untuk anak-anak?


Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar.

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR.

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik.

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2.

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah. 

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.

Friday, April 24, 2020

Jawapan Balas Pada Ucapan 'Ramadan Kareem'

"Ma, kenapa semua orang cakap Ramadan Kareem dekat Whatsapp ni?" tanya Alisya ketika saya memintanya menyemak jika ada kerja sekolah baru di dalam group kelasnya.

"Ramadan kareem tu maksudnya Ramadan yang mulia," jawab saya ringkas.

"Kenapa mulia?"

"Mulia... sebab dalam bulan Ramadan nilah turunnya Al-Quran. Bila berkait dengan Quran, maka sesuatu perkara tu akan jadi mulia dan disukai Allah."

"Maksudnya? Tak faham..."

"Mmm... penghulu bulan Islam bulan apa?" soal saya padanya. Dalam kepala dok fikir macam mana nak jelaskan.

"Bukan bulan Ramadan ke?" jawabnya sambil memandang siling bilik tidur.

"Ha, pandai... bulan Ramadan jadi penghulu bulan Islam, sebab Al-Quran turun dalam bulan tu. Penghulu malaikat siapa?" soal saya lagi.

"Em... penghulu malaikat? Mmm... siapa?," soalnya semula setelah beberapa kali meletakkan jari telunjuk kanan dibibirnya.

"Penghulu malaikat... Jibril. Tau kenapa?"

"Ooo... ni... ni... sebab Jibril ajar Nabi baca Al-Quran," jawabnya sambil menepuk-nepuk tangan, bila teringat info tersebut dari pembacaan dan apa yang saya, ustaz atau ustazah sekolah pernah ceritakan padanya sebelum ni.

"Ha, betul! Jadi sebab tu Jibril jadi penghulu malaikat. Sebab Jibril yang ajar Nabi baca Quran sikit-sikit, sampailah habis 30 juzuk" jelas saya.

"Kalau macam tu... Nabi pun penghulu semua Nabi lah kan? Sebab Nabi yang terima 30 juzuk Al-Quran tu."

"Nabi yang mana satu?" saja saya nak pancing dia.

"Nabi Muhammad SAW lah..." jawabnya sambil membentuk huruf L dengan ibu jari dan jari telunjuk kanannya, lalu meletakkan di bawah dagunya.

"Sollallahua'laihiwassalam... ha pandai..." saya menunjukkan isyarat bagus.

"Ni ada orang tulis Ramadan mubarak. Kenapa mubarak pulak?" soalnya lagi.

"Itu jawapan kepada Ramadan kareem tu. Kalau ada orang cakap dekat Alisya... Alisya, selamat berpuasa, Ramadan kareem... jadi Sya boleh pilih nak jawab Ramadan mubarak atau allahuakram."

"Ala macam bila orang ucap terima kasih, kita jawab sama-sama atau happy birthday Alisya, so Sya jawab thank you. So bila orang ucap Ramadan kareem, kita jawab Ramadan mubarak atau allahuakram."

"Ramadan mubarak tu maksudnya, Ramadan yang penuh keberkatan. Allahuakram tu pulak, maksudnya Allah yang memuliakannya..." fuh panjang lebar saya terangkan.

"Ooo, jadi boleh jawab mana-manalah?"

"Ha, pilihlah nak jawab Ramadan mubarak boleh... nak cakap allahuakram pun boleh."

"Ooo... faham..." sambil menganggukkan kepala beberapa kali tanda faham dan jelas.



Semoga Allah permudahkan segala urusan kita sepanjang PKP dalam bulan Ramadan ni... ðŸĪ—

#norakarim
#dialogudablogspotmy
#ramadankareem
#ahlanwasahlanyaramadan


Bekalkan anak-anak dengan ilmu Matematik
sepanjang tempoh PKP ini...

Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar. 

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR. 

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik. 

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2. 

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah.

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.


Monday, February 10, 2020

10 Iktibar Dari Perjalanan Akhir Abam Bocey

Cuaca di Gombak sepanjang hari ni sangat mendung dan agak sejuk dari pagi, berbanding semalam.

Mendapat perkhabaran pula yang Abam Bocey telah pergi menemui Ya Khaliq, menambahkan lagi rasa sayu. Demam dan sakit kepala tu asbab. Perginya cukup mudah, dalam tidur saja.

Seperti mana pemergian Pak Yus Jambu, pemergian Abam Bocey juga meninggalkan banyak kisah yang boleh diambil iktibar oleh saya dan kita semua.

Jika kisah Pak Yus dulu, hidupnya sebatang kara. Menumpang kasih rakan-rakan pelawak yang lain tetapi seorang yang sangat pemurah dan dermawan.

Perjalanan terakhir Abam Bocey, lebih kurang sama dengan Pak Yus Jambu.

Melihat gambar rakan-rakan yang memenuhi masjid ketika solat jenazah Abam Bocey, membuatkan hati bertambah hiba dan pilu.

Perginya cukup mudah, malah segala urusan sepanjang pengebumian juga dipermudahkan. Ramai yang turut hadir memenuhi ruang masjid serta di tanah perkuburan.


10 kebaikan ini dikongsikan oleh ahli keluarganya sendiri, rakan sekumpulan dan mereka yang pernah bekerja secara langsung dengannya. Iktibar yang dapat kita ambil dari pemergian Abam Bocey.

1. Abam menjadi sangat kuat dan sabar apabila diuji dengan kesempitan hidup - orang yang tetap sabar apabila diuji, Allah akan meninggikan darjatnya.

2. Abam sangat memuliakan ibunya serta memikul tanggungjawab menjaga ibu dan adik-beradiknya. Memandangkan dia merupakan anak lelaki pertama dalam keluarga.

3. Mencari rezeki bagi menampung kehidupan yang lebih baik untuk ibu, isteri dan adik beradiknya.

4. Sangat baik dan tidak berkira langsung dengan ibu, isteri dan adik beradiknya.

5. Menguruskan perkahwinan adik beradiknya terlebih dahulu. Sebaik semua sudah berkahwin, barulah dia mendirikan rumah tangga.

6. Seorang yang baik hati, pemaaf dan suka memberikan nasihat yang baik kepada rakan-rakan serta memudahkan urusan orang lain.

7. Sentiasa mengambil ruang dan peluang untuk mendampingi para Ustaz.

8. Tak pernah menolak program dakwah, walau macam mana penat sekali pun.

9. Berhajat mengikut Ustaz Ebit Lew untuk melakukan dakwah di jalanan dan berniat memberi makan.

10. Selain bersedekah kepada ahli keluarga sendiri, Abam juga banyak bersedekah kepada anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Malah pelbagai kisah yang baik-baik diceritakan oleh orang sekelilingnya.

Bayangkan perjalanan akhirnya bukan sahaja dihadiri oleh para penggiat seni, malah turut dihadiri oleh para asatizah.

Kita mungkin bersedih dan menangisi pemergian Abam, namun 'di dunia sana', saya percaya Abam sedang bergembira menikmati segala kebaikan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.

Selamat jalan Abam... kami juga akan menyusul. Terima kasih kerana telah menghiburkan kami. Sungguh, pemergianmu dicemburui.

"Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu"

Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan
19 Januari 1988 - 10 Februari 2020

Al-fatihah (dengan bacaan)

Bagaimana perjalanan akhir kita nanti?

8 Tip Agar Pinggan Mangkuk Tidak Berlonggok Dalam Singki


Melihat pinggan mangkuk yang berlonggok di dalam singki sedikit sebanyak mengundang rasa marah dan stres.

Lebih-lebih lagi, apabila setiap isi rumah hanya mengharapkan si ibu untuk menyelesaikan tugasan itu.

Mencuci pinggan mangkuk sebenarnya bukan tugas hakiki si ibu. Setiap penghuni dalam rumah, perlu ada rasa tanggungjawab pada pinggan mangkuk yang tidak dicuci atau sekurang-kurangnya bertanggungjawab pada pinggan mangkuk sendiri.

Perkara-perkara di bawah, mungkin boleh menyelesaikan masalah singki dipenuhi pinggan mangkuk yang kotor.

1. Pasang singki bersaiz standard kerana ia lebih mudah untuk diurus. Jika memasang singki yang besar dan dalam, potensi untuk pinggan mangkuk berlonggok dan tidak dibasuh adalah lebih tinggi.

2. Didik setiap ahli rumah untuk mencuci sendiri setiap cawan, gelas, pinggan dan sudu yang mereka gunakan. Latih anak untuk mencuci pinggan seawal usia mereka dua tahun. Ya, dua tahun! Eh, tapi bukan pinggan kaca tau. Mula-mula, pasti kebersihannya tidak menepati piawaian. Tetapi dengan tunjuk ajar yang kerap, mereka akan dapat mencuci dengan baik. Dengan rutin mencuci pinggan sendiri ni sebenarnya, kita sedang mengajar anak-anak tentang nilai tanggungjawab dan kerjasama. Oh, jangan lupa, didik pasangan kita juga, perkara yang sama.

Ni masa Faris 6 tahun... still tak ditelangkupkan
pinggan yang dah basuh. Tapi sekarang dah pandai... 

3. Buat jadual atau giliran mencuci pinggan mangkuk selepas makan, bagi anak-anak yang telah berusia tujuh tahun ke atas, termasuk suami. Kaedah 'take turn' ini insya-Allah menimbulkan rasa ihsan, terutamanya kepada ibu yang telah melakukan tugas memasak.

4. Cuci periuk, kuali, tapisan, sudip, senduk dan segala peralatan yang digunakan, sepanjang proses memasak. Maknanya sambil tunggu ayam yang digoreng atau sambil tunggu sup mendidih, cuci peralatan memasak yang telah digunakan. Dengan cara ni, apabila kita siap memasak dan lap dapur, singki pun dah bersih.

5. Atau guna saja satu kuali ketika memasak. Ya faham, jika kita gunakan lebih dari satu kuali, jimat masa memasak. Tetapi, penambahan peralatan, akan menjadikan kerja-kerja mencuci jadi berganda. Tapi tetap tak salah kalau nak guna lebih dari satu kuali. Semua atas skill mengemas dan mencuci masing-masing.

6. Hadkan jumlah pinggan mangkuk di rumah, mengikut jumlah penghuninya. Semakin banyak pinggan bersih di rak, maka makin tinggi potensi untuk penghuni rumah melonggokkan pinggan mangkuk yang kotor.

7. Mengikut kata orang tua, singki yang ditinggalkan kotor sepanjang malam akan mengundang jin ke dalam rumah. Wallahua'lam... tapi kalau bukan jin pun, dah tentu cicak, lalat, lipas, semut malah tikus juga akan bertandang. Penyakit pun sudi menjenguk. Jadi pastikan singki telah dibersih sebelum masuk tidur.

8. Kata orang tua lagi, pinggan yang kotor dan tidak dibersihkan menjadi sebab rezeki susah nak masuk ke dalam rumah. Orang lama-lama ni memang cakap berlapik, penuh hikmah. Tinggal kitalah, sama ada nak ikut atau tak.

Nota tambahan:
a) sentiasa cuci dan bersihkan bekas pencuci  pinggan mangkuk.

b) tukar span pencuci sekerapnya. Jangan biarkan span sehingga hitam atau lunyai. Span sebenarnya lebih banyak mengumpul kuman dan bakteria, yang boleh mengundang penyakit.

Nora Karim
Sendiri pakai, sendiri cuci. ðŸĪŠ
Jemput Follow saya juga di Telegram t.me/dialoguda



Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar. 

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR. 

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik. 

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2. 

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah. 

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.

Friday, January 31, 2020

Kaedah Menabung Ala Suri Rumah

Selain diet, menabung juga antara satu bab yang dijadikan azam setiap awal tahun. Perkataan menabung ni mudah je sebut. Tapi nak buat dengan istiqamah tu yang susah. Samalah macam diet! 

Awal tahun 2019 dulu, saya cuba untuk menabung. Tapi asal sesak je saya akan keluarkan hasil tabungan. Proses keluar masuk duit ni, berterusan hingga bulan Jun 2019. 

Lalu saya memikirkan apa kaedah yang boleh saya lakukan, supaya tabungan saya 'tidak dirompak' oleh saya sendiri. 😅 

Bila tengok orang di Facebook update tentang hasil tabungan, nampak mudah je. Siap boleh simpan duit sekeping RM50 dan RM100 setiap minggu... memang wow sangatkan? 

Tapi itu memang bukan kemampuan sayalah. Saya tak bekerja, jadi saya tak bolehlah nak menyimpan sampai RM50 dan RM100 setiap minggu. 

Fokus tabungan saya, duit RM5.

Maka, saya cuma fokus untuk simpan duit warna hijau atau RM5 sahaja dulu. Setiap kali ada duit RM5 dalam dompet, saya akan terus simpan dalam tabung.   

Duit RM20 pula saya akan masukkan sebulan sekali. Nak buat sesuatu yang kita belum pernah buat, memang kena mulakan dengan sesuatu yang kecilkan? Tak apalah walau nilainya kecil, yang penting MENABUNG. 



Oh ya, saya beli tabung yang tidak boleh buka di Daiso, berharga RM5.90 saja. Kira nak buka tu nanti, kena pecahkan. 

Sebelum tabung dipecahkan.

Saya pilih tabung yang boleh dilihat isi di dalamnya (transparent, bukan tin) dan bersaiz agak besar. Saya suka tabung yang transparent macam ni. Buat saya lebih bersemangat nak masukkan duit sampai penuh.   

Saya letakkan syarat pada diri sendiri, bahawa tabung hanya boleh dibuka pada 1.1.2020 atau jika duit sudah tidak boleh dimasukkan lagi ke dalam tabung tersebut (penuh). 

Alhamdulillah, saya dah buka pun tabung setengah tahun 2019 saya pada 1.1.2020 yang lalu. Hasilnya... saya dapat 'menyelamatkan' sebanyak RM1005. Ha, siapa nak bagikan? 

RM1005 😍. Siapa nak bagikan?

Saya pun tak sangka banyak tu yang dapat saya simpan. Sekarang ni, Faris dan Alisya pun excited bila dapat baki duit RM5 sekeping. Berlumba-lumba masukkan dalam tabung. 

Bak kata orang putih, 'never too late to start'. Jangan ikut nilai simpanan orang, tapi simpanlah mengikut kemampuan kita. Mulalah bila-bila pun... tak semestinya masa tahun baru je. 

Tabung RM5 2020 saya. 😁

Saya ringkaskan cara saya menabung: 
1. Beli tabung yang tidak boleh dibuka. 
2. Simpan semua duit warna hijau atau RM5. 
3. Simpan duit warna oren atau RM20 sebulan sekeping. 
4. Tetapkan tarikh matang untuk tabung dipecahkan. 5. Simpan dalam bank hasil tabungan. 

Tahniah, anda telah berjaya menabung. 🎉 

Jom mula menabung... 
Follow saya juga di Telegram, t.me/dialoguda

Artikel ini ditaja oleh Produk Herba, Siti Zubaidah 

Wednesday, January 15, 2020

Tiga Langkah Mudah Cegah Influenza

Sana sini orang bercerita tentang pengambilan vaksin influenza. Tapi tahukah anda, terdapat tiga langkah pencegahan yang setara dengan mencucuk vaksin, seperti yang dikongsikan oleh Dr Siti Aisah Mokhtar, dalam rancangan Malaysia Hari Ini.

1. Memakai face mask, baik di rumah, mahupun di tempat awam - ahli keluarga yang terkena jangkitan selesema dan batuk perlu memakai mask di rumah. Ia boleh mengurangkan penularan penyakit sebanyak 75% kepada ahli keluarga yang lain.

2. Mencuci tangan dengan kerap dengan menggunakan sabun atau menggunakan hand sanitizer - satu kajian yang dijalankan di sekolah menunjukkan, penggunaan hand sanitizer sebelum dan semasa waktu persekolahan, akan mengurangkan 20% ketidakhadiran pelajar ke sekolah.

3. Mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul - gunakan sapu tangan mahupun tisu untuk menutup mulut apabila batuk mahupun bersin, langkah mudah ini dapat menyekat penularan penyakit. 


Pemberian vaksin influenza akan diutamakan kepada:
a) kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah
b) ibu mengandung
c) warga tua
d) mereka yang mempunyai penyakit kronik dan kurang daya tahan badan.

Jadi, janganlah kita mengambil hak mereka yang lebih memerlukan. Sebaiknya, cegahlah dengan tiga langkah di atas, baik di rumah, mahupun di tempat awam. Impaknya adalah setara dengan pengambilan vaksin.

 Jom, sama-sama prihatin.

Nora Karim 
Juga diserang demam, batuk dan selesema...
Jemput Follow saya juga di Telegram, t.me/dialoguda 

Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar. Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.