Nuffnang Ads

Agoda Ads

Wednesday, January 11, 2017

Hari Orientasi Tahun 1

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Pada 28 Disember lalu, Alisya ada Hari Orientasi untuk masuk Tahun/Darjah 1. Sekejapan je dah besar Alisya ni. Pejam celik, pejam celik dah 7 tahun. Alkisahnya Hari Orientasi ni, saya kena pergi berdua je dengan dia, sebab encik hubby warded (batu karang) sejak 24 Disember. Seminggu juga dia kena tahan wad, 30 Disember baru discharge.

Sejak 24 Disember tu saya, berkampung di hospital. Siap bawa latihan-latihan untuk persediaan Ujian Diagnostik Alisya pada Hari Orientasi tu. Saya pun tak berapa fokus mengajar, Alisya apatah lagikan? Maklumlah suasana hospital, dengan encik hubby yang sakit, nurse keluar masuk, dan macam-macam kekangan lagilah.

Gambar masa Orientasi tak de... Ni gambar hari kedua Alisya sekolah.
Tu pun, ambil kat rumah je, sebab encik hubby saya tak nak ambil gambar,
Alisya di sekolah... sabar je lah.

Ujian Diagnostik adalah ujian saringan bagi mengenalpasti murid yang telah menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira). Biasanya ujian ini akan diadakan pada Hari Orientasi Tahun 1 (atau minggu pertama persekolahan, bergantung pada sekolah anak-anak anda). Biasanya ujian ini juga yang akan menentukan kelas anak-anak.

So, apa yang sebenarnya berlaku pada Hari Orientasi Tahun/Darjah 1? Saya nak kongsikan persediaan yang perlu ibu bapa lakukan apabila anak nak masuk Tahun/Darjah 1:

1. Persediaan Ujian Diagnostik
Perbanyakkan latihan ujian diagnostik untuk anak-anak. Seawal cuti sekolah hujung tahun tu, pastikan anda telah menyediakan latihan bagi persiapkan anak-anak anda dengan bentuk soalan ujian tersebut. Cuti, cuti jugakan... tapi pastikan anda slotkan masa untuk mereka menyiapkan latihan-latihan diagnostik. 

Mana nak cari contoh ujian diagnostik? Boleh
search di Google saja... ? Salah satu contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Atau anda boleh dapatkan buku-buku persediaan masuk Tahun/Darjah 1 yang dijual di kedai-kedai buku seperti MPH, Popular atau mana-mana kedai buku.

Pada hari kejadian (Hari Orientasi 😜), pastikan anak-anak membawa alat tulis dan pensel warna.

2. Bawa salinan dokumen-dokumen berikut:
a) Gambar pasport anak (3 keping)
b) Salinan surat beranak anak
c) Salinan kad pengenalan ibu 
d) Salinan kad pengenalan bapa 
e) Salinan kad imunisasi
f) Salinan slip gaji

Buatlah dalam dua salinan. Apa pun, biasanya pihak sekolah akan bekalkan informasi berikut masa anda buat pengesahan sekolah tu. Dokumen apa yang perlu difotostat bergantung kepada sekolah anak masing-masing.

3. Pastikan anda bawa pen dan gam
Ok ni macam kelakar sikitkan... bawalah pen dan gam sendiri, sebab masa orientasi tersebut anda perlu mengisi banyak borang. Maka lagi bagus kalau ada pen sendiri, tak perlulah pinjam dari orang lainkan. Gam tu pula adalah untuk melekatkan gambar anak-anak anda pada fail peribadi murid.

4. Persediaan untuk mendengar taklimat
Ini penting! Sementara anak-anak masuk ke kelas untuk Ujian Diagnostik tersebut, para ibu bapa atau penjaga akan mendengar taklimat tentang sekolah dan pendidikan anak-anak termasuk Saringan Literasi dan Numerasi (Linus), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Konsep dan Teori Kemahiran Aras Tinggi (KBAT), dan macam-macam lagilah terms pendidikan yang akan anda dengar. Tolong dengar dan fokus kepada cikgu yang menyampaikan maklumat, kerana banyak input yang akan anda dapat. Pemerhatian saya, kebanyakkan ibu bapa atau penjaga hanya leka dengan telefon masing-masing.

5. Buku teks dan buku aktiviti
Buku teks dan buku aktiviti, biasanya akan diberikan pada Hari Orientasi. Pastikan anda membawa beg sekolah anak masing-masing. Buku-buku yang diberikan tidak diikat, maka memang anda perlu membawa beg. Jumlah buku (2017) adalah 18 buah. 

Hari ni saya dah start ambil dan hantar anak sekolah, setelah
seminggu encik hubby yang hantar.

So, itu saja... Sebaik saja selesai semuanya, Alisya terus tanya saya, "abah macam mana Mama?" Touching pula saya dengar. Dia cakap nak cepat-cepat balik dan pergi hospital tengok abah. Tapi... tak de maknanya, saya pergi seorang dan tinggalkan Alisya dan Faris dengan kakak saya yang kebetulan cuti. Alisya tidur, penat sangat dia buat Ujian Diagnostik! 😂


Monday, January 09, 2017

Mengidam Cream Puff?

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Mengidam?! 😂😂😂 Bukan mengidam, cuma terasa nak makan je... 😜 Alkisahnya seminggu mencari cream puff. Bila saya bagitau encik hubby, adalah dia pergi kedai kek depan rumah ni, tapi kena tempah dulu... paling awal pun 2 hari baru siap. Mungkin sebab kedai kek tu buat bila ada permintaan atau tempahan dalam kuantiti yang banyak.

Merata juga kami mencari, mana-mana je kami pergi, confirm masuk kedai kek, tengok ada tak cream puff.  Masalahnya kan... benda tu masa kita tak nak banyak je orang jual... Bila nak selalu tak de! Buat sendiri?! Saya tak rajin... 😂😂😂

Bila dah tak tahu mana nak cari saya teringat dalam group Whatsapp ada kawan-kawan yang pernah share pasal cream puff ni. Tapi masalahnya tak tau group mana satu. Maklum la banyak sangat groupnya. So, saya post je dalam group tanya siapa yang tahu or jual cream puff tu.

Akhirnya ada kawan sekolah mesej, bagitau kakak ipar dia boleh buat cream puff. Lepas kawan saya tu bagi nombor telefon, terus saya Whatsapp akak tu, Kak Jue. Saya mesej malam semalam tau! So, saya tak de la aim esoknya (hari ni) siap. 

Tapi saya sajalah tanya kak Jue tu, "kalau saya nak esok boleh ke? Sebab encik hubby saya boleh ambil, dia masih cuti." Bila kak Jue kata boleh, saya pula macam... "eh ye ke? ke ada stok yang dah siap?" Maklumlah yang kedai kek tu kan kata paling awal 2 hari baru siapkan... Tapi bila kak Jue kata boleh siap esok, makanya saya terus deal. Order sekotak ada 25 biji cream puff.

Terliur tengok bila Kak Jue
mesej kata dah siap...
Ni saya ambil masa dah sampai rumah,
tak sabar nak makan dah!

So, tadi saya ambil di rumah kak Jue. Ya Allah, tak tahu la nak cakap... rasa nak peluk je kak Jue tu... Ye la, saya mesej malam tadi, hari ni cream puff tu dah ada di tangan saya... Alhamdulillah. Terharu sangat kak Jue sudi buatkan untuk saya yang dah lama cari ni. Nak pula bila baca dekat Facebook kak Jue yang suaminya kena keluar pukul 3 pagi cari telur, sebab kehabisan stok. Punyalah kak Jue nak siapkan juga order saya.

Dalam kereta rasa tak sabarnya la hai nak makan, tapi tahan je... tunggu sampai rumah. Elok je sampai rumah, terus saya hadap. 5 biji sekali makan... Subhanallah, sedap (kena dengan tekak saya). Saya ingatkan krim kastard tu manis, tapi tak la... sedang elok je rasanya.

Siapa-siapa area Sentul, Gombak dan sekitarnya, yang mencari cream puff, bolehlah deal dengan kak Jue ni. Recommanded, servis cepat, rasa sedap. 😜 

Oh lupa, sebenarnya kak Jue pun ada buka kelas belajar buat kek, kuih dan pastry secara online tau. Kalau ada sesiapa yang nak tahu modul kelas bakery online dan nak belajar, boleh ke Facebook Kak Jue atau boleh call/Whatsapp  je dekat nombor ni:

Kak Jue: 011-2846 3842

Terima kasih, kak Jue... 😍😍😍 InsyaAllah boleh order lagi... Moga kak Jue dan keluarga, sentiasa sihat walafiat dan diberikan rezeki yang berkat serta berlimpah ruah... Amin ya Allah... 

Nota kaki: Encik hubby pun mesti dah lega tak dengar pasal cream puff ni lagi... 😂😂😂 Kesian dia, merata mencari.
 
 

Friday, January 06, 2017

Kempen Bebas Plastik di Selangor

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Jika anda tidak menetap di Selangor, tetapi bercadang untuk bercuti dan membeli-belah di Selangor, pastikan ada membawa woven bag atau recycle bag sendiri. Peniaga dan peruncit di Selangor tidak lagi menyediakan beg plastik untuk barangan yang dibeli. Caj 20 sen akan dikenakan bagi setiap beg plastik yang digunakan. 

Jika sebelum ini, kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' hanya dilakukan pada hari Sabtu, kini ia dilaksanakan SETIAP HARI bermula 1 Januari 2017 di Selangor. Selain beg plastik, bekas makanan polisterin juga tidak dibenarkan. 

Woven bag macam ni, masa kerja wartawan dulu banyak dapat...
So, saya dah pesan pada encik hubby, "sila bawa balik
woven bag yang dapat masa assignment". 😝
 
Apa kelebihan kempen #bebasplastik ini?
  1. Bijak berbelanja - ajaib rasanya bila kita nak membeli-belah, tapi kita memikirkan recycle bag yang dibawa tak cukup... 😂😂😂 Eh, betul tau, semalam saya membeli-belah di Giant, tapi disebabkan saya hanya membawa tiga recycle bag bersaiz sederhana, maka saya berkira-kira untuk membeli banyak barang. Maklumlah, dalam masa yang sama terfikir juga, baik saya masukkan duit 20 sen tu dalam tabung anak-anak daripada beli beg plastik kan. 😜 Bukan kedekut, tapi iyelah 20 sen tu satu beg plastik, kalau 5 beg plastik kan dah RM1? Tapi Giant ni bijak juga, dia tak jual beg plastik, dia jual recycle bag, berharga RM4.50 ke atas. Nampak tak pandai dia meniagakan?! So, kita sebagai pengguna ni kenalah sentiasa bijak.

  2. Memupuk rasa tanggungjawab pengguna dan peniaga - kempen ini sebenarnya memerlukan lebih rasa tanggungjawab dari pengguna dan peniaga. Kenapa? Sikap sambil lewa sesetengah pihak yang merasakan kempen ini menyusahkan atau tidak rasa bersalah untuk membayar 20 sen untuk satu beg plastik akan menyebabkan tujuan kempen ini sedikit sebanyak tidak tercapai. Begitu juga jika ada segelintir peniaga yang takut kehilangan pembeli, berikutan perlaksanaan kempen ini. Bak kata orang, mula-mula memang rasa susah... tapi kalau kita dah jadikan amalan, InsyaAllah tak la susah mana pun. Cuma perlu tingkatkan rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap kebersihan bumi.

  3. Tanpa plastik, jimat minyak - Beg plastik diperbuat daripada bahan petroleum, ia memerlukan berjuta-juta gelen minyak. Sedangkan bahan itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain seperti tujuan pengangkutan dan penghasilan tenaga elektrik.

  4. Kesedaran untuk menyelamatkan bumi - basically ini adalah sebab utama kempen bebas beg plastik ini dilancarkan. Pengunaan beg plastik yang tidak terkawal sebenarnya memberi 'tekanan' kepada bumi sendiri. Plastik mengambil masa yang lama untuk dilupuskan. Maka jika penggunaannya tidak terkawal, bumi akan menjadi semakin tenat. Selamatkan bumi sekarang untuk menjamin keselesaan generasi akan datang.
Terima dengan positif. 😍 Kempen ini adalah sebahagian dari usaha kita untuk menyelamatkan bumi. Kita mula sekarang, InsyaAllah bumi akan lebih baik untuk generasi akan datang. Jom berikrar!

Ikrar #bebasplastik di laman sesawang http://www.bebasplastik.my/#

Moga kita menjadi pengguna yang bertanggungjawab pada alam sekitar. Masih ingat cerita penyu yang mati akibat tercekik plastik (kerana menyangka plastik itu obor-obor)? Kesian... 😭 Kita boleh elak dari perkara seperti itu berulangkan?

Monday, January 02, 2017

Terharu Dengan Mesej Dari Cikgu Pasti Alisya...

Bismillahirrahmannirrahim, 
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Dulu masa Alisya sekolah di Pasti, cikgu ada create satu Whatsapp group untuk ibu bapa. Tujuannya untuk sampaikan apa-apa mesej berkaitan anak-anak sepanjang tahun 2016 lalu.

Mesej yang paling terharu buat saya dan ibu bapa sekelas Alisya adalah bila terima mesej dari Cikgu Jaa seperti berikut. Ia dihantar sebaik sahaja anak-anak kami selesai Majlis Konvokesyen Pasti 13 November lalu. Terharu sangat rasanya...

Cikgu kelas Alisya yang paling kanan tu, Cikgu Jaa.
Cikgu Ain (yang tengah, dulu cikgu kelas masa 5 tahun)

❤❤❤❤❤❤❤ 

Assalamualaikum,  saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa,  tersilap cakap sepanjang hampir setahun kita berada bersama di dalam group ini.  Saya memohon kemaafan dengan ibubapa bagi pihak anak-anak sepanjang saya mendidik,  bermain dan bergurau senda dengan mereka. Mereka adalah anugerah terindah untuk tuan/puan juga anugerah teristimewa untuk saya bagi tahun 2016.


Umar... Anak manja cikgu yang suka subjek BI

Ukasyah... Anak cikgu yang selalu mohon perhatian

Azmi... Pendiam. Cikgu marah pun senyum

Halimi... Nakal, cerdik, hafzan bagus. Moga Halimi kekal begitu

Izzudin... Cerdik. Pintar tahfiz

Imran... Teristimewa, rajin

Aiman... Selalu minta cikgu pujuk. Rajin tolong cikgu

Rasyad... Mudah terlena, hafazan sangat bagus. Selalu senyum

Nazmi... Cikgu selalu minta tolong, ringan tulang. Hafazan juga bagus


Izz Aleesa... Selalu senyum, dengar cakap

Eyzzah... Anak cikgu yang manja.  In shaa Allah akan hebat suatu hari nanti

Nur... Anak hebat cikgu. Tak banyak kerenah

Humaira... Anak cikgu yang fokus, tak banyak kerenah

Iman... Manja. Dari 5 tahun minta nak masuk kelas cikgu. Selalu dengar cakap

Afrina... Lagi manja. Selalu minta nak bantu cikgu

Lyana... Matang, berdikari tanpa minta perhatian lebih

Alisya... Anak manja cikgu juga

Marissa... Terbaik, hafazan bagus

Sarah... Anak yang selalu bantu cikgu, rajin, mudah mengingati apa yang cikgu ajar

Arissa... Manja, hafazan yang cemerlang

Qalesya... Anak yang senang difahami

Azwar... Anak cikgu yang perlu dipupuk keyakinan diri

Syaza... Anak cikgu yang selalu berada di dalam kelompok kawan-kawan yang tersendiri...



Hampir kesemua anak-anak cikgu hebat dalam hafazan. Sesuatu yang amat cikgu banggakan. Semoga mereka akan kekal begitu. Mohon maaf, nama yang teratas bukan bererti dia berada teratas di hati cikgu. Semuanya sentiasa yang terbaik bagi cikgu...  

❤❤❤❤❤❤


Alisya masa last day sekolah pun sedih je... Kadang-kadang bergenang air mata bila tengok gambar-gambar kawan-kawan Pasti dia. Puas jugalah saya pujuk... Kadang-kadang dia cerita tentang kawan-kawan dia. Kadang-kadang dia cakap rindu kat kawan-kawan dia. Kesian...

Apapun saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada cikgu-cikgu PASTI Ibnu Sina, kerana telah mendidik Alisya dari usianya 5 tahun. Allah jualah yang akan membalas jasa baik cikgu-cikgu semua. Semoga cikgu-cikgu diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki. InsyaAllah, amin...

Terima kasih Cikgu...

Sunday, January 01, 2017

Entri Terbaik DialogUda Tahun 2016


Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tak banyak entri yang saya dapat siapkan sepanjang tahun 2016. Kalau ikut rekod, entri yang disiarkan sepanjang 2016 cuma 44 sahaja. Sangat sedikit berbanding tahun-tahun saya rajin dulu. 😝

Masalah paling besar adalah bila laptop buat hal... Rasanya inilah penyebab paling besar, bukan saja untuk saya tapi semua bloggers kan? Kebanyakkan entri hanya sempat saya tuliskan di dalam draft, melalui telefon saja. Kalau dah nama pun draft, tentunya entri-entri tersebut belum siap. Menaip dengan skrin yang kecil memang tak puaslah kan? Nantilah, saya ansur sikit-sikit yang dalam draft tu, moga dapat saya publishkan tahun 2017 ni.

Apa pun saya tetap bersyukur sebab masih berjaya publish 44 entri dengan kepayahan menggunakan telefon. Walaupun tak banyak, Alhamdulillah... Moga apa jua entri di dalam blog ini akan menjadi manfaat buat pembacanya. 

Berikut saya senaraikan 10 entri terbaik blog ini (baca sebagai entri paling banyak dibaca) sepanjang tahun 2016:

1. Mak Bidan Sekitar Kuala Lumpur & Selangor. (6049 pageview)- asalnya entri ini saya tulis disebabkan ia lalu di timeline Facebook saya. Saya rasakan ini adalah info menarik untuk dikongsikan kepada umum bagi memudahkan sesiapa yang memerlukan. 

Yang menariknya, ada yang personally maklumkan pada saya bahawa tukang urut sekian-sekian dah tak mengurut sebab dah tak kuat, ada tukang urut yang dah meninggal dunia, dan ada juga tukang urut yang tiada dalam senarai, Whatapps dan maklumkan dia mengurut dan mohon untuk dimasukkan dalam senarai tersebut. Siap offer bayaran lagi! 

Tapi saya tak ambillah bayarankan... sebab entri saya ni pun saya panjangkan dari orang lain. Maka, sebab itu entri ini adalah yang paling banyak kali saya update.

2. Cara Mudah Tukar Kad Debit Maybank. (1763 pageview)- entri ini saya sempat publish beberapa hari lagi sebelum tarikh akhir kad sepatutnya diperbaharui. So, trafik sangat hebat sehingga ke tarikh akhir 31 Disember, semalam. 😂

3. Carilah Pengasuh. (920 pageview)- saya memang cukup sensitif bila anak-anak menjadikan ibu bapa sebagai "pengasuh" sepanjang mereka keluar bekerja. Lebih-lebih lagi bila isu membayar pengasuh lebih mahal berbanding memberikan ibu bapa dengan sejumlah wang RM50 seorang. Bayangkan ibu bapa yang dah tua ni, nak menjaga 4-5 orang cucu satu masa. Kesian tau...!
 
4. Educational Toys: Menguatkan Otot Tangan. (750 pageview)- entri-entri educational toys ini, saya tulis kerana di mana-mana sahaja, kita akan dapat lihat, ibu bapa yang membawa anak-anak ke shopping mall, tapi dalam masa yang sama, anak-anak ini dibekalkan dengan tab atau gajet. 

Sedangkan anak-anak ini perlu dilatih untuk menggunakan motor halus dan motor kasar mereka sejak kecil lagi. Tab atau gajet tidak membantu dalam hal tersebut. Ada yang kata, tak sempat nak beraktiviti, seperti menggunting, menampal, membina dan sebagainya dengan anak-anak di rumah sebab sibuk bekerja... 

Sedangkan boleh dibekalkan anak-anak dengan educational toys ini. Jangan pula kata, mahal, sebab tab dan smartphone yang dibelikan khas untuk anak-anak tu lebih mahal daripada educational toys ni... 😒

5.  7 Minit Je Cabut Gigi. (582 pageview)- Ini pengalaman cabut gigi yang paling menakutkan... 😂😂😂 Saya ni dah pernah operation sebab apendiks, buang hempedu, bersalin dua kali... semua doktor tu menakutkanlah juga... tapi doktor gigi paling saya takut.  

Honestly, memang lama tak jumpa doktor gigi, sebab tu saya takut sangat. Rupanya kan, lepas saya publish entri ni, ramai yang geng dengan saya sebab takut jumpa doktor gigi... Siap ada yang mesej saya privately tanyakan detail tentang klinik tersebut. Sekurang-kurangnya, entri saya ni jadi semangat untuk mereka juga berjumpa doktor gigi.

6. Resepi Mudah: Tempe Sira. (566 pageview) - resepi mudah-mudah macam ni memang saya suka share. Lebih-lebih lagi bila orang yang cuba masak tu kata, menjadi! Atau pendek katanya, entri sebegini mudah dipublish bagi blogger yang kematian idea. 😜

7. Genap 10 Tahun Pemergian Mak... (395 pageview) - entri ini ditulis kerana sarat rindu saya pada arwah mak dan ayah saya... 10 tahun menanggung rindu kepada mereka yang telah pergi. Saya masih ingat bagaimana saya berkejar-kejar setiap hari untuk menziarahi mak saya di ICU, sibuk juga menyiapkan persiapan perkahwinan, dan saya antara anak yang Allah izinkkan untuk memandikan dan mengkafankan mak. Moga roh mak dan ayah saya sentiasa dicucuri rahmat. Al-Fatihah. 😢

8. Educational Toys: "Lacing Set" Untuk Anak-anak. (323 pageview)- tujuan entri ini ditulis sama seperti nombor 4.

9. Scaling a.k.a Cuci Gigi.  (257 pageview) - ini adalah pengalaman kedua saya berjumpa doktor gigi. Kalau kali pertama saya cabut gigi, kunjungan kedua adalah untuk cuci gigi.

10. Moms & Tots Shoppe di Assalamualaikum. (207 pageview)- Moms & Tots Shoppe adalah tempat di mana saya membeli educational toys untuk anak-anak saya. Kedai ini telah bersiaran dalam rancangan Assalamualaikum, TV Al-Hijrah. So, pendek kata kedai ni adalah trusted seller dalam menjual educational toys. So, jangan ragu, ok?!

Ini adalah all time PV DialogUda dari tahun 2004 - 2016.
Tak la banyak macam orang lain, segan nak tunjuk... 😩
  
Alhamdulillah entri pertama saya sempena tahun baru 2017 ni dah pun siap! 😜 Moga sama-samalah kita (blogger) rajin perbanyakkan entri, supaya bermanfaat kepada pembaca. 

Selamat tahun baru 2017, buat semua yang masih lagi sudi bertandang walaupun saya jarang-jarang tulis entri baru. InsyaAllah, lepas-lepas ni kena gagah jugalah update entri walaupun guna telefon.

Anda ada azam baru 2017? Jom share... Orang kata kalau tulis banyak kali azam kita tu, akan mudah tercapai... Orang katalah... bukan saya kata... 😜


Updated (2 Jan 2017): Atas saranan Reen Johari saya dah masukkan pageview (PV) bagi setiap entri di atas sehingga tarikh (2 Jan 2017, jam 5.15 petang : seperti kita sedia maklum PV akan berubah dari sehari ke sehari). Sebelum ni saya tak letak PV sebab blog saya ni blog biasa-biasa saja... 😜 Saya buat entri ni, hanya untuk rujukan saya. Untuk pastikan entri yang macam mana biasa orang cari. Itu saja... thanks Reen. 😃



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...