Nuffnang Ads

Agoda Ads

Friday, April 23, 2021

7 Tip Ajar Anak Solat Dari Kecil

Alisya menyarung stoking berwarna pink ke kaki kanannya. Air mata masih menitis, bersama wuduknya. Sedu sedan, masih berbaki. Dalam marah dan rajuk, dia akur dipaksa solat zuhur. 

 

Paksa?

Ya, saya paksa dia untuk solat. 

Walaupun ketika itu usianya baru lima tahun. 

 

Belum baligh. 

Belum wajib solat.

 

Saya ingat lagi, bagaimana dia menangis sehingga merah matanya, kerana saya menyuruhnya solat di surau ketika kami berada di pusat membeli belah. 

 

Ketika itu saya tidak boleh solat. Tetapi saya memimpin tangannya ke surau dan menyuruhnya solat. 

 

"Mama?" soalnya kepada saya. 

 

"Mama cuti hari ni. Alisya solat. Mama tunggu dekat sini," jawab saya. Dia tak puas hati dan mula menangis.

 

Puas dipujuk, namun dia terus menangis. Akhirnya saya meletakkan sejumlah wang di tapak tangan kanannya dan dia boleh beli apa saja dengan wang yang saya berikan itu. Jumlahnya tak banyak cuma RM10. 

 

"Allahuakbar," bahunya tergerak-gerak menahan esak. Solat dengan sisa-sisa air mata.

 

"Assalamualaikum warahmatullah... assalamualaikum warahmatullah...," sambil memalingkan kepalanya ke kanan dan kiri. 

 

#throwback sebelum Covid

Alhamdulillah.

Cukup empat rakaat!

 

"Boleh kita singgah Daiso? Alisya nak tengok barang dekat sana," pintanya sambil membuka stoking pinknya dan menggenggam erat duit RM10, 'upah solat tadi'.

 

"Ok, boleh. Jom!" Saya memimpin tangannya keluar dari surau. 

 

"Ini... bukan upah solat tau. Tapi ini, Allah bagi rezeki untuk Alisya. Allah bagi Alisya, tapi melalui Mama," sambung saya lagi, sambil menunjukkan duit RM10 yang digenggam erat ditangan kanannya.

 

"Mama bangga sebab Alisya solat zuhur. Allah mesti sayang Alisya. Good job Alisya," puji saya sambil berHi-5 dengannya. 

 

Dia memandang saya dengan senyuman. Tiada lagi air mata. Hanya wajah ceria. Mungkin dikepalanya dah terfikir apa yang hendak dibeli nanti.

 

Itu kisah enam tahun lalu, sekarang tiada lagi drama air mata bila disuruh solat. Kadang-kadang bila saya terleka, dialah yang akan tanya, sama ada saya dah solat atau belum. Kalau saya tertidur pun, dia akan kejutkan dan tanya sama ada saya dah solat atau belum.

 

Upah solat?

Tak, sekali tu je saya bagi dia RM10.

 

Tapi jika dengan 'upah' tu anak-anak nak solat, maka raikanlah. Biasanya anak-anak yang bawah 12 tahun, mereka suka buat sesuatu untuk dapatkan ganjaran atau upah. Jadi tak salah pun kita nak beri ganjaran, tapi dalam masa yang sama, beritahu mereka, solat bukan untuk duit atau mainan. Nanti lama-lama mereka faham.

 

Kadang-kadang telekung pun nak pakai yang sedondon. 😅

Apa yang saya buat sejak Faris dan Alisya kecil, adalah seperti berikut:

 

1. Setiap kali nak solat, letak anak di sebelah sejadah. Buat sejak anak bayi lagi. Saya perasan Faris dan Alisya, mereka boleh duduk diam jika kami singgah solat di surau atau masjid. 

 

2. Fasa paling awal adalah mengajar anak-anak untuk meniru pergerakan solat kita. Tentang bacaan, boleh dikuatkan sedikit supaya anak-anak tahu pada setiap pergerakan tersebut, adanya bacaan-bacaan tertentu. 

 

3. Belikan buku panduan solat untuk anak-anak. Saya beli buku solat Upin Ipin ni, sebab masa kecil mereka suka sangat dengan Upin Ipin. Sampai sekarang buku ini masih digunakan sebagai rujukan dalam memperbetulkan bacaan.

 

Kalau tengok isi dalam buku ni, berkedut-kedut 😅
Mana taknya, sambil wuduk dok pegang buku ni.


4. Beri 'kuasa' kepada anak-anak untuk memilih telekung, kain pelekat dan sejadah kegemaran mereka sendiri. Biasanya bila dipilih sendiri, mereka akan rasa teruja untuk memakainya. Kadang-kadang Alisya suka pakai telekung warna sedondon dengan saya. 

Telekung baru sampai terus test. 😁


5. Setiap kali kita nak solat, ajak anak-anak sekali, kalau mereka tak nak solat pun, pujuk mereka untuk duduk sebelah kita. Lama kelamaan, daripada duduk saja, mereka akan mula perhati dan kemudiannya akan ikut.

 

6. Sekali sekala bila anak-anak tengah main tu, buat game. Contoh, "siapa tahu, rukuk tu apa?" (galakkan mereka untuk tunjukkan cara rukuk. Masa ni tugas kita adalah membetulkan cara rukuk dan semak bacaan ketika rukuk.) Anak-anak ni sebenarnya lebih cepat 'tangkap' sesuatu yang kita ajar tu ketika mereka sedang bermain. Buat santai-santai je. Tak perlu lama.

 

7. Kaedah 'pohon solat' pun sebenarnya banyak membantu saya dan Alisya untuk jadualkan waktu solat. Selain tentang rutin solat itu sendiri, ada banyak cerita dari sebatang pokok tu untuk kita ambil ibrah, boleh cerita pada anak-anak.

 

Dulu 'pohon solat' ni banyak membantu untuk anak-anak track rutin solat. Sekarang tak pakai dah. 🤗


Inilah tujuh tip yang saya lakukan ketika perkenalkan tentang rutin solat pada Faris dan Alisya, seawal mereka berusia dua tahun. 

 

Semoga bermanfaat buat kalian yang membaca. 

 

Nora Karim

Benarlah anak-anak mudah dilentur, ketika usianya masih kecil.

t.me/dialoguda

t.me/gengsukabuku

t.me/celikmatematik

Dapatkan pelbagai pilihan buku sempena Ramadan dan Aidilfitri ni: gengsukabuku.com

Saturday, April 17, 2021

Punchline Pun Penting Dalam Penulisan

Tahun lepas dalam kelas online Sekolah Penulisan Ramadan, banyak topik yang best. Antara tajuk yang saya suka adalah PUNCHLINE dalam penulisan. 

Sebelum ni kita selalu dengar, perkataan 'punchline' disebut dalam kebanyakan rancangan lawak di TV. Kata juri rancangan,  jika tiada 'punchline' dalam persembahan, maka pelawak dianggap gagal dalam menyampaikan mesej.


Rupanya, dalam menulis cerita juga perlu ada 'punchline'. Menurut Tuan Fazla Idha, 'punchline' dalam penulisan terbahagi kepada tiga, iaitu:

a) lawak

b) sentap 

c) merenung ke hadapan (deep)


'Punchline' merupakan warna dalam penulisan. Ia membolehkan, keseluruhan mesej dalam cerita sampai tepat kepada pembaca.

Biasanya, apa yang akan terjadi pada pembaca, yang membaca 'punchline' seseorang penulis?

Pembaca boleh ketawa berdekah-dekah atau terasa dengan statement 'makan dalam' atau boleh jadi tak perasan air mata menitis. Semua emosi itu bergantung kepada jenis 'punchline' yang ditulis oleh penulis. 


Ilmu 'punchline' adalah ilmu baru pada saya. Inilah keseronokan menuntut ilmu, pasti ada saja ilmu baru yang akan dipelajari.

Beberapa hari lepas, pihak pengurusan Sekolah Penulisan Ramadan 2021 telah mengedarkan senarai jadual dan tajuk bagi setiap panel yang terlibat.

Saya sangat teruja, apabila melihat tajuk-tajuknya. Tahun ini, temanya berfokus kepada penulisan Cerita: Menjalin Kebaikan Tanpa Putus.

18 April - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Tulislah Cerita, Jiwa Lentur Akal Akur

19 April - Sasterawan Negara Dr Siti Zainon Ismail

Memasukan Budaya Dalam Cerita

20 April - Puan Sri Diah Shaharuddin

Memetakan Kisah Hidup Seperti Sebuah Novel

21 April - Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof

Menulis dan Menutup Aib Dalam Penulisan Cerita

22 April - Dr Fahd Razy

Sains Menulis Puisi Dalam Penceritaan

23 April - Dr Kamarul Nor Ariffin Saadan

Seram Tidak Kelam: Tulis Biar Berbekas Rasa 

24 April - Tuan Hilal Asyraf 

Cerita Tanpa Ceramah: Seni Menulis Karya Islami Untuk Remaja

25 April - Ustaz Zahiruddin Zabidi 

Menulis Cerita Seperti HAMKA

26 April - Tuan SM Zakir

Membina Kesan Visual Dalam Penceritaan

27 April - Tuan Ali Imran

Menyemak Kesahihan Fakta Dalam Cerita

28 April - Persatuan Booktube Malaysia 

Pencerita Cerita Orang Lain Melalui Perspektif Pembaca

29 April - Puan Nisah Haron 

Mengadaptasi Cerita dan Watak Agar Karya Kekal Tulen

30 April - Hasrizal Abdul Jamil

Menggali, Menyusun Teladan dan Hikmah dalam Penulisan Kisah Hidup

Kuliah tambahan

3 Mei - Mazniza Mohd Nor

Suntingan Cerita Cara Seorang Editor

4 Mei - Dr Shahrul Muhammad Ifwat Ishak

Strategi Kumpul RM2,500 Terbit Buku Sendiri Cara Crowdfunding


😍😍😍 

Jika kalian minat menulis di facebook, blog, twitter, instagram, telegram mahupun berhajat menerbitkan buku, jom duduk sebelah saya. Kita belajar sama-sama, 'tips and trick' dalam penulisan.

Sekolah Penulisan Ramadan, adalah kelas penulisan online yang sangat saya sarankan, untuk kalian sertai. Saya dah hadir kelas tahun lepas dan insya-Allah turut hadir untuk kelas tahun ini.

Saya dah mendaftar. Anda?

https://yosh.my/order/form/vsspr2021/264


Nora Karim

Tulis, agar ada orang yang dapat manfaat dari cerita kita.

#norakarim

#kelaspenulisan 

#sekolahpenulisanramadan

Monday, March 15, 2021

Resipi Mudah: Roti Gula

Dilema roti putih.

Bila tak ada roti putih ni dekat rumah, kelam-kabut cari dan beli. Kononnya item wajib ada di rumah. Bila dah ada dekat rumah, tak dimakannya, tau-tau dah sampai tarikh luput. 

Aduhai...

Jomlah mak-mak, kita jadi rajin sikit, buat roti gula. Bahan-bahan pun senang je. Roti putih, margerin dan gula. Oh ya, saya pakai air fryer, mudah.

1. Mula-mula panaskan air fryer, suhu 180° selama lima minit. 

2. Sapukan margerin pada roti putih. Sapukan nipis-nipis pada sebelah saja permukaan roti.

3. Kemudian taburkan gula, juga nipis-nipis saja tau. Jangan beria sangat tabur tu.

4. Potong roti kecil-kecil. Saya potong tiga bahagian. Senang sikit nak makan. Terpulanglah nak potong macam mana ya.

5. Susun dalam air fryer, suhu 180° dan masak selama lima minit. 


6. Bila dah siap, keluarkan dan biarkan sejuk dulu. Kemudian baru masukkan dalam bekas.


Yey, dah siap. 

Tapi ajaibnya, bila buat roti gula ni, tak sampai lima minit, lenyap semua. Habis selama ni orang dalam rumah ni tak nampak ke roti tu? 

Pelik sungguhlah... 😅

* Kalau tak ada air fryer, boleh je pakai pemanggang ajaib ataupun pembakar roti tu. Kena kreatif sikitlah nak adjust suhu dan kena rajin tengok. Kalau masukkan dalam pembakar roti, tak perlu potong kecil dan kena rajin sikitlah bersihkan pembakar roti tu lepas guna.


Nora Karim

Bila ada tak makan, bila tak ada, tanya. 

#NoraKarim #resipimudah #rotigula

t.me/dialoguda

t.me/gengsukabuku

t.me/celikmatematik


Oh ya, jom 'duduk sebelah' saya pada bulan Ramadan ini, kita sama-sama belajar menulis daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Puan Sri Diah dan 10 lagi penulis yang arif 'menukang perkataan' menjadi bahan penulisan yang melentur hati. Klik di sini: Kelas penulisan online, Virtual Summit Sekolah Penulisan Ramadan 2021 

Monday, February 22, 2021

Apa Nak Buat Jika PdPR Anak Asyik Tercicir?

Setelah diumumkan sekolah akan dibuka untuk pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka, terdengar banyak keluhan, sindiran mahupun bantahan. 

Saya secara peribadi, bersetuju dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Situasi kita sekarang ni, umpama "ditelan mati mak, diluah mati bapa". Serba salah dibuatnya. 
Nak lepaskan anak-anak bersekolah, dengan kes yang masih tinggi, kita tak sanggup. Nak jadi cikgu anak-anak untuk semua subjek, pun kita tak sanggup.

Jadi apa pilihan yang kita ada? 
Tawakal dan bermohonlah pada Allah, agar Covid-19 segera berakhir. 

Apa fokus kita sekarang ni? 
Fokuslah untuk menyemak kerja-kerja sekolah anak sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) ni. Semaklah jika ada yang tercicir, belum hantar atau tidak lengkap.

Perkara yang paling penting, adalah memastikan segala tugasan dan kerja sekolah yang diberi guru sepanjang PdPR berjaya disiapkan, sebelum kelas bersemuka nanti.

Ada rakan-rakan yang mengeluh kerana terlalu penat memantau kerja sekolah anak-anak, bukan seorang, bukan dua orang malah lebih dari tiga orang. Saya yang dua ketul tu pun terasa juga lelahnya, inikan pula lebih dari tiga orang anak.

Mungkin saya boleh berkongsi, apa yang saya lakukan bagi memastikan kerja sekolah anak-anak disiapkan dan mengelakkan kerja sekolah dari tercicir.

Sejak PdPR kedua ni, saya memang bergantung penuh pada JADUAL SEMAK yang saya buat untuk Faris dan Alisya. 

Setiap minggu saya akan pastikan jadual semak dicetak bagi membolehkan anak-anak mencatat segala kerja sekolah yang diberi dan tandakan segera jika telah berjaya disiapkan.

Macam mana nak mulakan?

1. Jadual PdPR dari pihak sekolah - setiap sekolah akan membekalkan jadual PdPR pada anak-anak. Cetak jadual tersebut, agar anak tidak tercicir sesi pembelajaran atas talian.


2. Buat jadual semak, berdasarkan jadual PdPR sekolah - perkara penting yang perlu ada dalam jadual semak adalah, tarikh, tajuk pembelajaran pada hari tersebut dan ruangan untuk tanda medium yang digunakan seperti Google Meet (GM), Google Classroom (GC), Telegram mahupun Whatsapp. Jadual semak ni saya cetak setiap minggu, beserta tarikhnya. Kalau tak ada pencetak, buat template kosong pada kertas A4 dan isikan tarikh dan subjek untuk minggu berkenaan.


3. Ajar anak-anak untuk tandakan ✅ dengan pensil pada kerja sekolah yang telah berjaya disiapkan - menyiapkan kerja sekolah yang diberi adalah tanggungjawab anak-anak, jadi pastikan anak-anak faham akan tanggungjawab ini. Kaedah ini juga sangat sesuai untuk digunapakai oleh ibu-ibu yang berkerjaya, dalam memantau kerja sekolah anak-anak.

4. Saya akan tanda ✅ dengan pen, apabila selesai menghantar kerja sekolah tersebut dalam Google Classroom - biasanya pada sebelah malam, saya akan semak kerja sekolah, ambil gambar dan hantar di Google Classroom/Whatsapp. Part ambil gambar kerja sekolah, memang saya yang buat, sebab kalau anak-anak yang ambil takut tak jelas dan sukar untuk ditanda oleh cikgu. 


5. Elakkan anak-anak menangguh kerja sekolah - menangguh kerja sekolah ni, bukan buat kita je stres, anak-anak pun akan stres. Jadi kena selalu ingatkan, jika boleh, siapkan kerja sekolah pada hari yang sama. Selesai tugasan hari ini, esok anak-anak dah boleh fokus dengan tajuk yang baru. 

Saya gunakan jadual semak ni dari minggu pertama persekolahan 2021. Memang sangat-sangat membantu saya dan anak-anak untuk 'track' dan 'double check' kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu.

Jika rasa perkongsian ini bermanfaat, boleh turut cuba dan praktikkan. 

Kurang sikit sakit kepala bila ada jadual. 😅
#norakarim
#jadualsemakpdpr
#sharingwithlove

Jika nak dapatkan buku-buku rujukan sekolah, boleh klik katalog ni dan bagitau hat mana berkenan ya. Boleh Whatsapp saya, www.wasap.my/60193441384/bukurujukansekolah: https://semuanyabuku.com/rujukan-sekolah-and-ipt-en-2/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...