Nuffnang Ads

Agoda Ads

Monday, June 19, 2017

Bicara Dengan Anak: Kaabah Ada Dua

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah, 

Bagaimana agaknya puasa kita selama 24 hari ni. Moga puasa dan amalan-amalan kita sepanjang Ramadan diterima Allah. InsyaAllah, Amin... Sedih pula bila Ramadan semakin meninggalkan kita.

Ni saya nak kongsikan perbualan saya dengan Adam Faris tentang Kaabah. Satu pagi selepas sahur, Faris tanya saya...



Faris: Mama, Kaabah ada satu je kan?

Saya: Kaabah ada dua.

Faris: Aik, satu je la Mama... Yang ni kan. Yang Abah pergi hari tu... (sambil tunjuk gambar Kaabah yang ada di ruang tamu, rumah pusaka arwah Mak dan Ayah saya)

Saya: Ada dua. Satu dekat bumi. Dekat Mekah. Yang nilah (tunjuk gambar yang sama) Satu lagi dekat langit.



Faris: (hahahahaha) Kelakar la Mama ni. Macam mana orang nak pergi Kaabah yang dekat langit tu?!? Kena naik pakai baju angkasawan agaknya...

Bersungguh dia gelak, ingat saya buat lawak. Saya sengih je...

Saya: Siapa kata Kaabah dekat langit tu untuk manusia?

Faris: Dah, habis tu untuk siapa?

Saya: Kaabah dekat langit tu untuk Malaikat. Namanya Baitul Makmur. Yang ni dipanggil Baitullah.

Faris: Malaikat pun kena pusing-pusing? (baca sebagai Tawaf).

Saya: Ha ah. Sama je macam kita Tawaf tu.

Faris: Kenapa Malaikat pun kena pusing-pusing? 

Saya: Selagi belum Kiamat, selagi tu la Malaikat akan Tawaf. Sama je macam kita.

Faris: Ramai ke Malaikat pusing-pusing?


Masa sekolah Tadika di Melaka dulu Faris pernah buat lakonan Tawaf Kaabah. Dia ingat sampai sekarang.

Saya: Yang Mama baca, sehari ada 70,000 Malaikat akan Tawaf dekat Baitul Makmur dalam SEHARI.

Faris: SEHARI? Betul ke Mama ni? Ramai betul!

Saya: Ye sehari 70,000 Malaikat. 70,000 Malaikat yang dah Tawaf hari ni, takkan datang dah esok. Esoknya 70,000 Malaikat lain. Esok lagi 70,000 lagi Malaikat lain. Subhanallah... Hebat Allah!

Faris: Biar betul! Takkan ramai macam tu?

Saya: Wallahua'lam... tapi itulah yang Mama baca. Kalau ikut ceramah Ustaz Wadi Annuar pula, contohlah kalau ada orang meninggal dunia, nanti turun Malaikat dengan pasukan dia yang ramai untuk uruskan jenazah tu... kalau orang yang meninggal tu baik, Malaikat dengan pasukan tu akan bawa wangian dari Syurga. Kalau orang yang meninggal tu tak baik Malaikat akan bawa bau busuk dari Neraka... Na'uzubillahi min zalik...

Faris: Takkanlah, biasa kalau orang meninggal, oranglah yang uruskan. Ada ke Malaikat?

Saya: Manusia uruskan jasad... itulah yang kita nampak bila orang meninggal, kita mandikan, kita kafankan, kita solatkan, kita kebumikan. Tapi Malaikat yang ramai turun tu, uruskan roh orang yang meninggal tu...

Faris: Ooo patutlah dalam cerita Ultraman tu... bla... bla... bla... bla...

Mama dia tak sanggup nak dengar. Ada ke dia kaitkan dengan Ultraman! Allah! Dan soalan terus-menerus dari Faris... sampai ke sudah... yang pasti semuanya pasal imaginasi dia. Sampai masuk macam-macam superhero bagai. Saya pula yang pening. Sabar je lah! 

Saya: Ok... dah la tu. Pergi Subuh, lepas tu tidur! 


Faris kalau tanya soalan memang tak boleh fokus, sampai Mamanya pun jadi tak fokus.

Wednesday, June 14, 2017

Doa Malam Lailatulqadar

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 19 Ramadan,

Allahuakbar, sekejapan je dah 19 Ramadan. Sedih rasa bulan Ramadan dah nak melabuhkan tirai. Sedih, entah jumpa entah tidak Ramadan tahun depan.

Hajat di hati nak khatam Quran dalam bulan Ramadan ni. Kalau ikutkan tinggal 4 juzuk lagi. Saya baca Quran dari sebelum puasa, memang dengan harapan dapat Khatam masa bulan Ramadan ni. Tapi sekarang Allah bagi cuti. Harap ada hari-hari berbaki ni nanti dapat saya Khatam Quran. Insya-Allah.

Seperti yang kita sedia maklum, 10 hari pertama bulan Ramadan adalah rahmat terbesar daripada Allah kepada kita. Diberikan olehNya sebesar-besar rahmat kepada hamba-hambaNya, agar kita sentiasa bersyukur.

10 malam kedua Ramadan, dibukakan seluas-luasnya pintu keampunan buat hamba-hambaNya. Kita disarankan perbanyakan doa memohon ampun dan beristighfar.

20 malam itu telahpun berlalu. Kini berbaki 10 malam terakhir yang dikatakan pecutan akhir atau peluang besar-besaran yang perlu kita rebut sebaiknya. 10 malam terakhir Ramadan inilah dikatakan malam yang membebaskan kita dari seksa api neraka.

Apa peluang yang perlu kita rebut pada 10 malam terakhir?

Perbanyakan zikir, membaca Al-Quran, bangun solat malam, mohon pengampunan, tangisi dosa-dosa yang lalu, perbanyakan sedekah dan pelbagai amalan baik yang boleh kita lakukan.  Perbetulkan niat, insya-Allah moga Allah terima amalan yang kita. Amin.

"Malam Lailatuladar" juga dikatakan berlaku pada salah satu dari 10 malam terakhir ini.

Saidatina Aisyah r.anha berkata, "Ya Rasulullah! Beritahulah kepada saya, sekiranya saya tahu malam manakah Lailatulqadar, apakah doa yang sepatutnya saya pohon?"

Baginda SAW bersabda, "katakanlah":


Perbanyakanlah membaca doa ini sepanjang 10 malam terakhir, kerana ini adalah doa yang sangat lengkap agar Allah SWT dengan kemurahan dan belas kasihanNya mengampuni kita daripada segala tuntutan akhirat.
(Rujukan kitab Fadhilat Amal)

Salam 10 malam terakhir sahabat... Masih belum terlewat kita sama-sama membuat pecutan akhir. Maafkan saya jika ada sakiti hati sahabat semua.

Moga Allah izinkan kita semua untuk bertemu dengan Malam Lailatulqadar. Insya-Allah, Amin...

Monday, June 12, 2017

Hotel Hilton Kuching, Sarawak Lengkapi Percutian

Bismillahirahmannirrahim

Assalamualaikum dan salam ziarah,

Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai tempat unik dan menarik yang menjadi kunjungan para pelancong. Baik di Semenanjung Malaysia, mahupun Sabah dan Sarawak. Pertama kali saya menjejaki bumi Sarawak, adalah pada tahun 2006, iaitu di bandar Kuching. Menariknya ia adalah pengalaman saya berbulan madu! Seronok sangat, kerana tempatnya aman dan terjaga rapi, udara dan persekitaran bandar Kuching juga terasa sangat nyaman dan menyegarkan.

Apa yang menarik di Kuching, Sarawak?

Antara tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar bandar Kuching, Sarawak adalah Pasar Sarikin, Pasar Satok, Kompleks Kubah Ria, Kuching Waterfront, Muzium dan Galeri Tekstil, Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh, Sarakraf Pavillion, Muzium Sejarah Cina Sarawak, Muzium Sarawak, Muzium Kuching, Tugu Kuching, Orchid Garden, Kuching Civic Centre, Pantai Damai dan pelbagai tempat lagi yang boleh dikunjungi.




Kalau dah banyak tempat menarik macam ni, maka perlulah ambil masa untuk atur dan rancang perjalanan bagi membolehkan anda berkunjung ke semua tempat. Maklumlah kalau dah sampai, tapi tak berkesempatan untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik ni, rugilahkan? Jadi sediakan itinerary perjalanan, agar anda dapat mengunjungi semua tempat menarik di sekitar Kuching.



Rumah panjang Sarawak
 
Perkara kedua jika bercuti ke mana-mana destinasi percutian adalah penginapan. Ye tak? Mestilah nak cari tempat yang selesa dan berdekatan dengan tempat-tempat menarik yang dah disebutkan di atas nikan. So, dekat mana nak menginap jika bercuti di Kuching, Sarawak? 

Hotel Hilton Kuching, Sarawak

Ha, ni saya nak kongsikan bersama pembaca semua, Hilton Kuching merupakan antara hotel yang tertua di Kuching. Ia terletak bersebelahan Kuching Waterfront dan berdekatan kawasan tengah bandaraya. Kelebihan berada di tengah bandaraya menjadikan ia pilihan pelancong.



Hilton Kuching juga merupakan satu-satunya hotel yang mempunyai pemandangan tanpa halangan ke arah Sungai Sarawak. Lokasinya sangat strategik kerana terletak di tebing Sungai Sarawak. Hilton Kuching menawarkan lokasi yang selesa, perkhidmatan yang berkualiti dan mesra pelanggan, pemandangan yang indah, bilik-bilik yang luas dan selesa dengan harga yang berpatutan. 

Lokasi Hilton Kuching sangat menarik kerana berhampiran dengan kawasan-kawasan lama dan baru bandar Kuching. Terdapat juga kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan memudahkan anda yang ingin bergerak ke tempat-tempat menarik berdekatan, antaranya Semenggoh Wildlife Park dan Sarawak Cultural Village. So, tak perlu risau jika nak pergi ke tempat-tempat yang ingin dilawati kerana kemudahan pengangkutan mudah di akses dari Hilton Kuching.

Setelah seharian menikmati keindahan bandar Kuching, melayari sungai Sarawak, ataupun membeli-belah mencari cenderahati di sekitarnya, semestinya kita ingin berehat di dalam bilik yang selesa dan tenangkan?

Bilik-bilik yang luas di Hilton Kuching ini, dihiasi dengan gaya kontemporari, rekahias dengan sentuhan warna-warna yang lembut dan memberikan ketenangan kepada penginapnya. Dengan adanya tingkap-tingkap yang besar dan memaparkan pemandangan yang indah bandaraya mahupun sungai. Semestinya anda dapat ketenangan dan beristirehat dengan selesa. Pastinya segala keletihan berjalan di siang hari terasa hilang.


Kemudahan lain yang terdapat di Hilton Kuching adalah seperti kolam renang luaran yang indah dan pusat kecergasan yang dilengkapi dengan kelengkapan alat kecergasan terkini. So, anda bukan hanya boleh berehat malah boleh bersenam. Bak kata orang, berbelanjalah dengan bijak, pilihlah hotel yang memberikan kemudahan kepada anda. 

 
Macam mana pula dengan makanan di Hilton Kuching? Ha, jangan risau. Hotel ini juga memiliki pelbagai restoran yang menawarkan pilihan masakan daripada sajian masakan tempatan kepada masakan barat popular dan bercitarasa tinggi. So kalau bab makan anda memang tak perlu risau. Pelbagai jenis sajian disediakan. Anda cuma perlu pilih dan makan sahaja. Masakan yang terbaik dari hotel ini membuatkan perut anda terisi kenyang dan boleh terus sambung bercuti , bekerja atau berehat. 

Pendek kata, sangat berbaloi menginap di Hilton Kuching. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menyediakan wang yang mencukupi dan bolehlah makan apa saja yang ada di restoran Hilton Kuching ini.

Jadi, tunggu apa lagi? Nak bercuti ke Kuching, Sarawak? Ingat Hilton Kuching tahu! Jom cepat book Hilton Kuching diTraveloka dengan segera!


Saturday, June 10, 2017

Shea Rasol Dalam Kenangan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sepatutnya kita tidak cemburu pada mereka yang punya rumah banglo, yang punya kereta mewah, yang punya harta yang banyak, yang punya nama dan pangkat, yang punya perniagaan yang berjaya dan lain-lain kemewahan dunia.

Tapi sebenarnya, kita perlu cemburu pada mereka yang dijemput Ilahi ketika mengerjakan Haji atau Umrah di Mekah, ketika sujud dalam solat, ketika sedang membacakan Kalamullah (membaca Al-Quran), ketika membuat amal kebaikan, ketika dalam mempertahankan Islam (peperangan), ketika sedang bermusafir...

Apa lagi yang meninggal dunia pada hari Jumaat (penghulu segala hari) dan dalam bulan yang paling mulia, iaitu Ramadan. Shea Rasol sungguh saya cemburu!

Usianya baru 29 tahun, meninggal dunia kerana urachal cancer, pada 9 Jun 2017 (Jumaat) bersamaan 14 Ramadan 1438H.


Innalillahi wa innailaihorojiun... ? Moga Allah juga mengambil nyawa kita dalam keadaan yang baik... Amin.

Ini adalah blog Shea, mana tahu ada ilmu yang bermanfaat buat anda jika membacanya, maka akan jadi pahala berterusan buat Shea di sana.

Salam takziah buat Farah Farzana Rasol dan keluarga, atas pemergian adik tersayang. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama para solihin.


Juga impikan kematian yang baik, walau tahu diri banyak dosa.

Saturday, May 27, 2017

5 Menu Sahur Pembuka Selera

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 1 Ramadan,

Siapa yang ada masalah nak makan sahur? Rasa susah nak makan sebab awal pagikan. Tapi kalau tak sahur pun tak boleh juga. Karang masuk tengah hari perut dah mula keroncong.  

Saya nak share, lima resipi mudah pembangkit selera ketika sahur kegemaran saya. Paling saya suka tempoyak goreng tu... Resipi arwah Mak saya. Kalau ada lauk simple macam ni, InsyaAllah berselera la juga untuk makan sahur. Buat banyak-banyak dan simpan dalam bekas kedap udara.


Sambal Ikan Bilis Tumbuk

Bahan-bahannya:
4 genggam ikan bilis - tumbuk
4 biji bawang besar - tumbuk
5 ulas bawang putih - ditumbuk
5 sudu besar pes cili padi
Sedikit minyak untuk memasak

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dengan api sederhana.
2. Masukkan ikan bilis, bawang besar, bawang putih dan pes cili padi ke dalam kuali. Pastikan bahan-bahan tersebut sedikit acup atau tenggelam dalam minyak.
3. Gaul dan kacau sehingga sebati.
4. Masak sehingga berbuih. Ikan bilis telah masak atau garing dengan sempurna jika mula berbuih.
5. Bila dah berbuih kacau lagi dalam 5 -10 minit.
6. Tutup api dan toskan minyak yang berlebihan.
7. Simpan dalam bekas kedap udara dan sedia untuk dimakan.


Sambal Tempoyak Goreng


Bahan-bahannya:
10 sudu besar tempoyak
2 biji bawang besar - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
Sejemput ikan bilis - tumbuk
3 sudu besar pes cili padi
1 batang serai – dititik

Cara memasak:
1. Gaulkan bawang besar, bawang putih dan ikan bilis bersama tempoyak serta pes cili padi, hingga sebati.
2. Panaskan minyak, masukkan bahan-bahan yang digaul tadi bersama serai.
3. Masak sehingga tempoyak bertukar warna seperti dalam gambar.
4. Sedia untuk dihidang.


Sambal Belimbing Kicap

Bahan-bahannya:
4 genggam ikan bilis - tumbuk
4 genggam belimbing buluh – rebus dan tumbuk
3 biji bawang besar - tumbuk
4 sudu besar pes cili padi
Kicap manis
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1. Rebus belimbing buluh dalam 5 minit. Biarkan sejuk sedikit. Kemudian kisar atau tumbuk.
2. Panaskan kuali dengan api sederhana.
3. Masukkan belimbing buluh, ikan bilis, bawang besar dan pes cili padi. Gaul sehingga sebati.
4. Masukkan kicap manis (ikut selera masing-masing banyak mana). Masukkan juga garam dan gula jika perlu. Kacau lagi.
5. Masak sehingga agak kering. Angkat dan tos. Sedia untuk dihidang.


Kentang dan Ikan Bilis Sira


Bahan-bahannya:
5 biji kentang
1 genggam ikan bilis
2 sudu besar pes cili kering
3 sudu kecil gula melaka/gula pasir
Minyak untuk menggoreng

Cara memasak:
1. Buang kulit kentang dan hiris nipis (pakai pengupas kulit buah tu). Rendam dalam air garam sekejap, cuci dan tos.
2. Goreng kentang dan ikan bilis berasingan. Ketepikan.
3. Tumis pes cili kering dan gula melaka sehingga naik minyak.
4. Dah naik minyak, tutup api dan biarkan sejuk seketika.
5. Dah sejuk, gaulkan kentang dan ikan bilis goreng tadi sehingga sebati. Simpan dalam bekas kedap udara. Sedia untuk dimakan.


Tempe Sira

Bahan-bahannya:
2 bungkus tempe
Sedikit ikan bilis
2 sudu besar pes cili kering
3 sudu kecil gula melaka/gula pasir
Minyak untuk menggoreng

Cara memasak:

1. Goreng tempe dan ikan bilis berasingan dan ketepikan.
2. Tumis pes cili kering dan gula melaka sehingga naik minyak.
3. Dah naik minyak, tutup api dan biarkan sejuk seketika.
4. Dah sejuk masukkan tempe dan ikan bilis. Gaul sebati.
5. Simpan dalam bekas kedap udara dan sedia untuk dimakan.
 
Selamat mencuba dan selamat berpuasa semua. Moga Allah berkati setiap amalan kita di bulan yang mulia ini.

Suka masak simple-simple je.


https://goo.gl/BHKvi5
Harga Buku: RM22.00
Klik untuk menempah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...