Nuffnang Ads

Agoda Ads

Saturday, June 30, 2018

Alam Barzakh: Realiti-realiti Barzakh

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Berikut adalah perkongsian ilmu daripada Ustaz Wadi Annuar, melalui rancangan Alam Barzakh terbitan TV Al-Hijrah, yang sempat saya catatkan untuk bacaan umum. Moga bermanfaat ya. 

1. Alam barzakh terbahagi kepada dua, iaitu; 
  • lubang-lubang neraka 
  • taman-taman syurga 

2. Di alam barzakh dan akhirat, tiada lagi yang namanya ibadah. Tiada lagi solat. Tiada lagi baca Al-Quran. Tiada lagi sedekah. 

3. Sebaik sahaja roh keluar daripada jasad, tiada lagi ibadah dan tiada lagi tidur.

4. Yang berada di lubang-lubang neraka, tiada rehat kerana sentiasa di azab sehinggalah tiupan sangkakala kedua.

5. Kelebihan mereka yang berada di taman-taman Syurga:
  • berjumpa dan berbual dengan roh-roh yang lain
  •  diluaskan kuburnya seluas mata memandang 
  • dapat melihat istananya di Syurga daripada kuburnya 
  • dapat menghidu wangi-wangian Syurga daripada kuburnya

6. Realiti-realiti di alam barzakh; 
  • roh-roh yang ditempatkan di taman-taman Syurga, tidak akan dapat berjumpa dengan roh-roh yang berada di lubang-lubang neraka. 
  • roh orang yang hidup boleh berjumpa dengan roh yang telah meninggal dunia - Surah Az-Zumar, ayat 42: "Allah memegang roh seseorang setelah kematiannya, Allah juga memegang roh orang yang hidup ketika dia sedang tidur, selepas berjumpa, Allah memegang semula roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang hidup yang sedang tidur untuk pulang semula ke dalam tubuhnya, sehingga ajalnya tiba nanti." 
  • roh-roh yang berada di alam barzakh boleh mendengar beberapa perkara yang disampaikan oleh mereka yang masih hidup: 
    • ketika orang yang hidup memberi salam ketika di tanah perkuburan (assalamualaikum ya ahlal kubur) - ahli kubur dengar dan boleh menjawabnya
    • penghuni kubur boleh mendengar derapan kasut orang yang terakhir meninggalkan kuburnya

7. Kisah masyhur Tsabit bin Qais yang mati syahid ketika berperang dan datang berjumpa seorang sahabat yang sedang tidur, memberitahu:
    "Wahai fulan, ketika aku mati, perisai berharga aku telah diambil orang. Orang itu, membawa perisaiku ke rumahnya di hujung kem. Rumahnya ada seekor kuda, perisaku diletakkan di bawah periuk besar, dan di atasnya diletakkan pelana kuda. Sebaik kamu jumpa perisaiku, berikanlah kepada Khalifah Abu Bakar untuk dijual. Aku ada beberapa hutang yang belum dilangsaikan. Langsaikanlah hutang-hutangku dengan duit daripada perisaiku itu."
     Maka keesokkan harinya, sahabat tersebut mencari perisai Tsabit bin Qais dan menyerahkannya kepada Saidina Abu Bakar. Maka Saidina Abu Bakar menjual perisai tersebut dan melangsaikan hutang Tsabit bin Qais.

8. Jika seseorang yang hidup, mimpi berjumpa roh orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan yang tidak baik, maka sedekahkanlah sesuatu buat si mati.
  • sama ada membacakan Al-Fatihah,  
  • mendoakan si mati
  •  berilah sedekah atas nama si mati

9. Antara sebab seksa kubur:
  • melalaikan solat 
  • membaca Al-Quran kemudian melupakannya 
  • tidak bersuci setelah membuang hadas kecil 
  • bercakap bohong 
  • tidak membayar zakat 
  • corak kehidupan yang berlebih-lebihan 
  • memakan riba 
  • rasuah
  • memfitnah sesama saudara Islam
  • khianat terhadap amanah
  • enggan menolong sesama muslim
  • meminum arak
  • berzina
  • membunuh

Marilah sama-sama kita mengejar redha Allah, moga ketemu di Syurga. 
InsyaAllah...

Tuesday, June 26, 2018

MyDoctors: Tabiat vs Ketagihan

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Dulukan nak dapat info kesihatan, tersangatlah susah. Kalau nak tahu tentang satu-satu penyakit, tanda-tanda penyakit, cara atasi kena baca artikel perubatan yang penuh dengan "medical terms".

Sekarang ni dengan kecanggihan teknologi, maka info perubatan itu dipermudahkan. Lihat saja betapa banyak buku-buku perubatan bersifat anekdot ditulis oleh para pakar perubatan. Begitu juga dengan adanya rangcangan bual bicara seperti, MyDoctors ini.

Sebuah rancangan yang menarik untuk ditonton oleh masyarakat umum. Berikut adalah info yang saya petik dari rancangan MyDoctor, episod 11 dengan panel berikut:

Dr Liyana Dhamirah
Dr Eliza Mohd Noor
Dr Zainal Adwin

1. Satu-satu perkara yang dilakukan selama 66 hari, kemudiannya akan menjadi tabiat.

2. Tabiat biasanya dikaitkan dengan perkara-perkara yang positif dan ketagihan biasanya dikaitkan dengan perkara-perkara yang negatif.

3. Tabiat biasanya boleh dikawal, manakala ketagihan menyebabkan seseorang itu melupakan sesuatu yang penting bagi melaksanakan ketagihannya.

4. Kebanyakkan rakyat Malaysia mengalami ketagihan kepada telefon pintar dan wi-fi.

5. Rakyat Malaysia menghabiskan purata tiga jam (atau lebih) sehari menggunakan telefon pintar.

6. Sebaik bangun tidur, kebanyakan daripada kita akan melihat telefon pintar.

7. Satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia menunjukkan mereka yang cenderung atau obses menggunakan telefon adalah di antara umur 18-24 tahun, iaitu golongan mellinial.

8. 71 peratus mengaku sangat obses terhadap penggunaan telefon pintar.

9. Secara purata, seseorang itu akan melihat telefon pintar 85 kali dalam sehari.

10. Daya ingatan akan berkurangan kerana obses kepada telefon pintar.

11. Wujudnya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain, akan menyebabkan seseorang itu membanding-bandingkan gaya hidupnya dengan orang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, cemburu, kemurungan dan tekanan perasaan.

12. Secara realitinya, pengguna media sosial memaparkan kehidupan yang mereka mahu (jadi jangan membandingkan apa yang mereka ada dan kita ada)

13. Penggunaan telefon pintar, menyebabkan komunikasi di alam nyata jarang berlaku dan ini tidak sihat. Kebanyakkan daripada kita, menghabiskan masa dengan telefon pintar masing-masing berbanding berkomunikasi sesama kita.

14. Selfie juga sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita sekarang ini. Apa apa jua keadaan dan di mana jua, kebanyakkan dari kita akan selfie.

15. Selfie sebenarnya boleh menceritakan karakter seseorang.

16. Personaliti 'oversharer', orang yang mengambil gambar setiap masa untuk setiap aktivitinya. Sampai ke kedai beli kicap untuk masak ayam kicap pun ambil gambar. 😂

17. Tindakan ini sebenarnya agak bahaya, kerana mengundang pihak lain mengambil kesempatan pada kita.

18. Sharing location juga sebenarnya membahayakan. Jika mahu juga berkongsi lokasi, adalah lebih baik jika kita memuatnaik sesuatu ketika kita telah meninggalkan tempat tersebut.

19. Sebelum mengemaskini status, fikir dahulu baik buruknya status yang hendak dikongsi, ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

20. Personaliti 'proud parent', ibu bapa yang setiap hari akan memuatnaik perkembangan dan kecemerlangan anak mereka.

21. Personaliti 'opinion seeker', orang yang sentiasa mengharapkan respon segera dari rakan-rakan media sosial kerana kerap bertanyakan sesuatu tentang baju yang dipakai, tudung yang dipakai, kasut yang dipakai dan pelbagai lagi.

22. Tidak dinafikan, media sosial adalah pusat pengumpulan data yang sangat pantas dan berkesan.

23. Personaliti 'narcissist', adalah seseorang yang suka atau terlalu obses dengan dirinya sendiri. Personaliti kategori ini, merasakan mereka adalah yang paling cantik dan hebat serta sangat mementingkan Like dan Comment.

24. Orang yang memiliki personaliti 'narcissist', digelar sebagai 'attention seeker'. Golongan ini juga dikaitkan dengan 'loneliness'. Kesepian, taksub kepada diri sendiri dan suka mencari perhatian orang lain.

25. Personaliti 'narcissist' merasakan hubungannya dengan orang lain tidak sempurna. Maka mereka lebih suka "melepak" dengan diri sendiri serta mengasingkan diri daripada komuniti.

26. Personaliti 'narcissist' ini akan menyebabkan kemurungan mahupun penyakit mental yang lain.

Nora Karim
Berpadalah dalam menggunakan teknologi jangan sampai tertekan kerana melihat kesenangan dan kemewahan orang lain di media sosial.

Thursday, May 31, 2018

THM Kumpul RM7j Lebih - Hebat Rakyat Malaysia

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Pada saat ada segelintir rakyat yang mempertikaikan usaha kerajaan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia (THM), ada ramai lagi yang prihatin, sayang dan berjuang untuk membina semula negara.

Rakyat yang sayangkan Malaysia, tidak mempersoalkan kewujudan akaun tersebut, malah menyokong penuh usaha kerajaan. Tujuannya hanya satu, untuk mengurangkan hutang bagi membina semula negara.

Akaun ini sebenarnya diwujudkan atas permintaan dari rakyat sendiri. Kerajaan juga tidak mewajibkan rakyat untuk menyumbang, sebaliknya ia adalah atas ihsan rakyat yang prihatin. Jika mahu menyumbang silakan, jika tidak mahu menyumbang pun tiada masalah.

Lebih RM7 juta berjaya dikumpulkan dalam tempoh 24 jam sejak THM ditubuhkan semalam.

Subhanallah, hebat rakyat Malaysia! 😍

Sesiapa yang menderma ke THM akan dapat pengecualian cukai mengikut jumlah yang disumbangkan, jadi sila simpan resit ya.

Jumlah kutipan akan dikemaskini dan dimaklumkan kepada rakyat setiap hari jam 3 petang.

Kepada yang hendak menyumbang, berikut adalah nombor akaun THM.

Akaun Tabung Harapan Malaysia
Malayan Banking Berhad 
Nombor akaun: 5660 1062 6452

Nora Karim
Sekarang hari-hari tengok berita. Tunggu berita macam tunggu drama paling best di Malaysia. 😁

#malaysiabaru
#binasemulamalaysia
#tabungharapanmalaysia

Wednesday, May 30, 2018

Nombor Akaun Tabung Harapan Malaysia (THM)

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Hari ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan penubuhan akaun amanah dikenali sebagai, Tabung Harapan Malaysia (THM) yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.

Tabung ini diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia untuk menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu kerajaan Malaysia membayar hutang negara.

Sejak kerajaan baru ditubuhkan, beberapa usaha dilakukan bagi mengurangkan kos perbelanjaan negara.

Antaranya, gaji menteri dikurangkan sebanyak 10%, jumlah menteri kabinet dikecilkan, bantuan sara hidup (menggantikan BRIM) diberikan kepada mereka yang selayaknya dan usaha-usaha lain untuk mendapatkan semula wang rakyat daripada skandal 1MDB.

Usaha kerajaan baru ini sedikit sebanyak menjadikan rakyat turut merasakan perlunya memberi sumbangan agar dapat sama-sama membina semula negara.

Jika anda hendak bantu bina semula negara, dan menyumbang.

Akaun Tabung Harapan Malaysia
Malayan Banking Berhad 
Nombor akaun: 5660 1062 6452

Kita pernah bersatu memilih kerajaan baru, tidak mustahil untuk kita sekali lagi bersatu mengumpul dana bagi membayar hutang negara.



Friday, May 25, 2018

Jihad Dakwah: Iktibar dari Tindakan Fikry Ibrahim

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Saya ada terbaca satu artikel tentang Fikry Ibrahim mengaburkan rambut Uqasha Senrose (untuk mempromosikan drama terbaru lakonan mereka) di Instagramnya.

Alasan yang diberikan Fikry, kerana dia tidak mahu menanggung dosa kerana menyebarkan gambar Uqasha yang tidak menutup aurat.

Kemudian saya membaca beberapa komen yang dituliskan netizen.

"Ala, poyo je Fikry ni... tunjuk alim pula."

"Wah sweetnya Fikry... nampak sangat kasih sayang dia sesama wanita Islam."

"Respect bro..."

"Part ni bagus dah bro... adalah lebih bagus kalau kau berlakon tak pegang-pegang tangan perempuan yang bukan muhrim... good luck."

Pada saya, tindakan Fikry ini adalah salah satu jihad dakwah.

Jihad dakwah, bukan tertumpu pada mereka yang bergelar Ustaz dan Ustazah saja. Tetapi ia adalah tanggungjawab setiap muslim untuk saling mengingatkan.

Dakwah tidak semestinya perlu berceramah di khalayak ramai. Dakwah bukan hanya dilakukan di surau atau masjid. Ia boleh disampaikan dalam pelbagai cara dan di mana sahaja. Malah boleh dilakukan secara santai.

Apa contoh lain jihad dakwah?

Penulis buku yang menuliskan  "bismillahirrahmannirrahim" pada permulaan bukunya - ini jihad dakwah.

Pemilik kedai makan yang menggantungkan doa sebelum makan dan doa selepas makan - ini jihad dakwah.

Penjual pakaian yang menyelitkan doa ketika memakai baju - ini jihad dakwah.

Penjual nasi lemak yang mencetak pembalut makanan dengan kata-kata hikmah - ini jihad dakwah.

Cikgu atau pensyarah berkongsi kata-kata hikmah, hadis atau kisah ringkas para Nabi sebelum memulakan kelas - ini jihad dakwah.

Suatu ketika dulu, saya juga pernah ditegur oleh seorang rakan melalui private message, apabila saya memuat naik gambar seorang rakan yang memakai tudung tetapi lengannya terdedah - teguran kepada kebaikan juga salah satu jihad dakwah.

Pendek kata, apa jua perkara yang mengajak kepada kebaikan itulah jihad dakwah.

Bagaimana nak dapat pahala jihad dakwah dengan mudah?

1. Sebarkan salam - jika keluar rumah, dan berjumpa dengan saudara seagama kita ucapkanlah Assalamualaikum. Secara tak langsung kita dalam usaha mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

"Sebarkan salam sesama kamu kerana ia dapat menyemarakkan kasih sayang." - hadis direkodkan oleh al-Hakim.

2. Tulis zikir atau selawat (contoh: Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar) pada wall media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Setiap kali orang membacanya kita peroleh pahala.

3. Kongsikan waktu solat - apabila masuknya waktu solat, kongsikannya di media sosial, secara tidak langsung kita mengingatkan tentang masuknya waktu solat. Kalau ada yang terbaca status kita dan dia segera solat, maka kita juga akan mendapat pahala.

4. Kongsikan apa juga ilmu atau bahan bacaan yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain, walaupun ia hanyalah satu ayat. Mana tahu jika ada yang mengamalkan ilmu yang kita kongsikan itu, kita turut mendapat pahala.

Belajar sesuatu dari tindakan Fikry Ibrahim?

Moga perkongsian ini, bermanfaat buat sahabat yang membacanya. Moga Allah sentiasa memberi ruang kepada kita untuk terus melakukan kebaikan.

Nora Karim
#norakarim
#jihaddakwah
#fikryibrahim
#perkongsiannorakarim
#positivevibe

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...