Nuffnang Ads

Agoda Ads

Wednesday, April 11, 2018

Tanyalah Ustaz: Rumah Berkat Bawa Rahmat

Tanyalah Ustaz
Rumah Berkat Bawa Rahmat
Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud

1. Rasulullah mendoakan keberkatan bagi umatnya yang berpagi-pagian (bangun awal sebelum subuh dan melakukan solat Tajahud atau berqiamulail)

2. Doa yang perlu dihafal oleh para suami, agar Allah mengurniakan isteri dan anak-anak yang menjadi penyejuk hati (tidak menyusahkan) Surah Al-Furqan, ayat 74

3. Cara menjemput berkat dan rahmat ke dalam rumah:
a) memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah.
b) ketuk pintu dan minta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa atau adik beradik yang lain
c) melakukan solat-solat wajib dan sunat
d) membaca al-quran
e) memperbanyakkan zikir
f) melazimi, mendengar dan menonton rancangan yang bermanfaat
g) menjaga anak yatim

4. Jangan jadikan rumah sepi dan suram seperti kubur sebaiknya sinarilah rumah dengan solat dan membaca Al-Quran, agar malaikat rahmat mendoakan kebaikan bagi semua ahli di dalam rumah tersebut.

5. Memuliakan tetamu akan memberikan rezeki dan kebaikan kepada kita.
a) bermanis wajah kepada tetamu
b) jamu tetamu semampu yang boleh
c) jangan jadikan pertemuan itu sebagai gelanggang mengumpul dosa (mengumpat)

6. Tanda-tanda Allah berikan berkah di dalam rumah:
a) semua isi rumah diberi ketenangan hati 
b) berlapang dada dengan kebaikan dan kejayaan adik beradik 
c) sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita dan ahli keluarga kita

7. Tidak meletakkan patung yang bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah tersebut.

8. Menurut bekas mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit dan Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qadrawi mengatakan adalah harus menggantungkan gambar-gambar kenangan seperti gambar keluarga, konvokesyen, perkahwinan dengan syarat:
a) gambar tersebut bukanlah patung
b) gambar tersebut bukan untuk dipuja atau disembah
c) gambar tersebut menutup aurat dengan sempurna

9. Isteri telah membantu suami untuk keluar bekerja bagi menampung perbelanjaan rumah, maka suami juga perlulah sama-sama membantu isteri bagi meringankan beban kerja-kerja rumah.

10. Kasih sayang antara suami isteri perlulah sentiasa disemai, agar sentiasa mendapat ganjaraan pahala daripada Allah. Solat bersama-sama suami atau isteri, dapat pahala. Pegang tangan suami atau isteri, dapat pahala. Memandang suami atau isteri dengan pandangan kasih sayang, dapat pahala. Bergurau dengan suami atau isteri, dapat pahala. Memberi hadiah kepada suami atau isteri, dapat pahala. Pendek kata, apa yang dilakukan bersama suami isteri akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah.

11. Jangan sekali-kali menceritakan masalah rumahtangga di dalam media sosial, kerana ia akan lebih memburukkan keadaan, dan mungkin akan menjadi tempat mengumpul dosa. Sebaliknya rujuklah kepada yang lebih ahli di dalam bidangnya.

Kasih sayang bermula dari rumah.

Wednesday, March 07, 2018

Tanyalah Ustaz: Momentum Istighfar

Tanyalah Ustaz
Momentum Istighfar
Ustaz Mohd Elyaz Ismail

1. Istighfar adalah penawar, bagi membolehkan seseorang itu meminta ampun daripada Allah, agar mendapat nikmat kesenangan hidup.

2. Bagaimana istighfar dan zikir mudah meresap di dalam hati setiap orang yang mengamalkannya:
a) dengan sebutan (qauli)
b) dengan perbuatan (fiqli)
c) dengan jiwa - istiqomah dalam melakukannya.

3. Istighfar terbahagi kepada dua:
a) istighfar tunggal - hanya melafazkannya dalam keadaan tertentu
b) istighfar diiringi dengan taubat - melafazkan dan melakukan solat taubat

4. Amalkan beristighfar tiga kali setiap kali selepas solat, istighfar boleh memberikan kekuatan dan melunakkan hati pengamalnya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

5. Amalkan "Penghulu Istighfar" yang menyamai ratusan ribu istighfar, yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

6. Amalkan membaca "Tasbih Kafarah" setiap kali selesai berbicara, moga dengan itu akan terhapuslah segala lisan yang tidak baik yang kita ucapkan sebelumnya.

7. Amalkan membaca Al-Ma'thurat setiap hari, selepas Subuh dan Asar, supaya dapat melindungi diri dan harta benda daripada gangguan dan kejahatan orang lain.

8. Amalkan membaca istighfar (3 kali), doa "Allahuma ajjirni minannar" (7 kali), doa "Allahuma antassalam..." dan ayatul Kursi setiap kali selepas Subuh dan Maghrib, supaya kita tidak leka dan lalai dalam mengingati Allah SWT.

9. Baca dan lazimilah "Doa Ibu Bapa", untuk ibu bapa kita yang telah lama meninggal dunia, agar Allah memgampuni mereka dan mengasihani mereka dan menempatkan mereka dikalangan para solihin.

10. Kelebihan mengamalkan istighfar:
a) Allah perbanyakkan nikmat untuknya (bukti firman Allah dalam surah Nuh, ayat 10-12)
b) Allah jauhkannya dari azab seksa ( bukti firman Allah surah Al-Anfal, ayat 33)
c) Allah berikannya kekuatan (bukti firman Allah surah Hud, ayat 52)
d) Allah akan memakbulkan permintaan dan permohonannya
e) Allah berikan kejayaan di dunia dan akhirat (bukti firman Allah surah al-Jumu'ah, ayat 10)
f) Allah campakkan rasa kasih dan sayangNya dengan memudahkan pengamal istighfar untuk melakukan kebaikan.

11. Doakan anak-anak kita agar menjadi anak-anak yang soleh, musleh dan musoleh. Bila mana anak-anak ini menjadi anak yang soleh, musleh dan musoleh, doa anak-anak ini akan dapat membantu kita di akhirat kelak.
a) soleh - anak yang baik
b) musleh - anak yang baik bagi dirinya, ibubapa, keluarganya serta membawa rakan-rakan terdekatnya untuk menjadi baik
c) musoleh - anak yang baik bagi dirinya, ibubapa, keluarganya, membawa rakan-rakan terdekatnya untuk menjadi baik serta merencana cara atau kaedah supaya lebih ramai menjadi orang yang lebih baik.

12. Tanda istighfar seseorang itu diterima Allah ialah hatinya ringan memaafkan orang.

13. Perbanyakkanlah istighfar ketika mana kamu sedang makan, berjalan di pasar mahupun ketika duduk (setiap masa) sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan Allah - Imam Hassan Al-Basri.

14. Waktu afdal melazimi istighfar adalah pada waktu sebelum masuknya fardhu Subuh. (bukti firman Allah surah Al-Israk, ayat 79)

*Saya sertakan video Penghulu Istighfar (UNIC) agar sama-sama dapat hafal dan amalkan.  Alisya boleh hafal, insyaAllah kita pun boleh.



Nora Karim
#notailmunorakarim

Monday, March 05, 2018

Gotcha, Faris!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam ketika saya hendak masak, saya perasan ada air sirap tumpah dalam peti ais. Bila angkat botol-botol cili dan bawang, ada air sirap menitik. Botol juga melekit.

Lalu saya cuma basuh dan lap botol-botol tersebut, kerana menyangkakan hanya botol-botol itu saja yang terkena air sirap.

Pagi ini, terasa hendak angkat semua barang yang ada dalam peti ais.

Itu dia...



Habis bertakung air sirap di bahagian paling bawah peti ais. Dinding-dinding peti ais juga habis melekit.

"Ya Allah, siapa punya kerja ni?" bisik saya. Sedang saya kemas peti ais, Alisya datang. 
 
"Mama buat apa ni?" pelik melihat saya mengeluarkan semua barang yang ada dalam peti ais.

"Siapa yang tumpahkan air sirap ni?" tanya saya padanya. 
 
Saya ada dua anak, Faris dan Alisya. Jadi, salah seorang dari merekalah yang perlu bertanggjawab.

"Alisya tak buat. Kejap Alisya tanya abang," lalu dia berlari ke ruang tamu.

"Abang, abang tumpahkan air sirap dalam peti ais eh?" Suaranya kedengaran sampai ke dapur.

"Mana ada..." jawab si abang.

"Alisya tak buat. Kalau Alisya tak buat, abanglah buat," marahnya. Mula serkap jarang.

"Faris, tak buatlah...," suaranya sedikit tinggi. Tidak puas hati dituduh si adik.

Tidak lama kemudian, mereka ke dapur. Berdiri di sebelah kiri saya. Sambil merenung air sirap yang bertakung. Dua-dua buat muka tidak bersalah.

"Siapa yang tumpahkan air ni?" soal saya.

"Bukan Alisya..." Alisya tetap dengan jawapannya.

"Bukan Faris..." Faris juga tidak mengaku.

"Habis siapa? Mama buat?" tanya saya lagi.

"Abah kot," jawab Faris. Abah yang bekerja luar kawasan kena tuduh. Tak pasal-pasal. Sambil membuat pelbagai andaian, bagaimana abah tumpahkan air itu.

Faris cerita A-Z macam mana air itu tertumpah. Tapi dia sebut abah sebagai pesalah.

Terus saya tergelak.

Pesalah dikenalpasti!


Nora Karim
Salah satu tip hendak tahu anak berbohong, bila dia bersungguh-sungguh menuduh orang lain, atas kesalahan yang dibuat. Gotcha, Faris!


Saturday, February 24, 2018

BFFTJ

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sejak kebelakangan ini, saya selalu dengar Faris dan Alisya bertukar-tukar cerita tentang kawan-kawan kelas mereka.

Sesekali terdengar mereka menyebut akronim yang saya agak biasa dengar.

"Ma, hari ni dalam kelas, ada lagi sambut hari jadi. Semalam hari jadi ketua kelas, hari ni hari jadi BFFTJ Alisya," cerita Alisya bersungguh-sungguh, ketika saya menjemputnya pulang dari sekolah semalam.

Eh inilah akronim yang saya dengar tempoh hari. Tapi betul ke saya dengar Alisya sebut BFFTJ? Bisik saya dalam hati.

"Tadi cikgu Fatin suruh kawan Alisya tu pilih beberapa orang kawan untuk ambil gambar dengan kek yang dia bawa. Mama tahu siapa yang dia pilih?" soalnya tiba-tiba.

Saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk mendengar cerita tentang persekolahan hari ini. Maka saya diam dan cuba fokus pada cerita dan pemanduan.

Isyarat lampu ke kanan sudah agak lama juga dihidupkan. Masih menunggu diberikan ruang oleh pemandu lain untuk melepasi kesesakan lalu lintas di hadapan sekolah.

"Er, siapa?"

"Alisyalah, sebab Alisyakan BFFTJ dia... Lepas tu, dia pilih lima orang lagi kawan lain untuk ambil gambar dengan kek yang dia bawa," bukan main seronok lagi Alisya sebab jadi antara orang yang terpilih untuk bergambar bersama si birthday girl.

Dia menyebut satu persatu nama rakan-rakannya. Saya cuba gandakan tumpuan pada nama setiap seorang. Perlu disimpan kemas dalam fikiran.

Parah kalau tersalah sebut nanti. Jangan buat hal. Kalau salah sebut nama rakannya, merajuklah dia dalam bilik sejam dua!

"Apa tadi tu? BFF apa?" tanya saya, minta kepastian.

"Oh... tu BFFTJ lah, ma..."

"Apa BFFTJ tu? BFF mama rasa mama tahulah. TJ tu apa?" Saja saya cuba selidik.

"La, best friend forever till Jannah la... Mama tak tahu ke?" Tersekat-sekat dia menyebut perkataan penuh BFFTJ itu.

"Ooo TJ tu till Jannah. Jannah tu apa?"

"Syurga... hari tu mama ada cakapkan, kita kena ada ramai kawan, nanti adalah orang yang akan doakan untuk kita bila kita dah masuk tanah kubur," jawabnya, sambil membelek-belek dua bungkus party packs yang diterimanya.

"Amboi, bukan main lagi sampai ada gelaran BFFTJ! Dulu masa mama sebut BFF je."

"Mama zaman lama... ni zaman baru... dah canggih... Islamlah sikit," katanya. Tersengih-sengih menampakkan barisan giginya yang masih belum tersusun elok.

"Eh, eh, eh budak ini. Bukan main lagi dia. Sempat kenakan mama. Apa? Zaman lama yea?" Laju saja tangan kiri saya menggeleteknya di kerusi sebelah.

Tergelak besar Alisya.

Rasanya ini kali pertama saya dengar anak-anak sekolah rendah yang gunakan 'BFFTJ'. Kalau anak-anak sekolah menengah, rasanya dah biasa juga dengar.

Bukan main advance anak-anak sekarang. Sekejapan juga rasanya mereka membesar.


Pada mata seorang ibu, anak-anak mereka sentiasa kecil. Betul tidak?


https://goo.gl/ufpwhZ
Jualan Pindah Kedai. 20 - 28 Februari 2018

Thursday, February 22, 2018

Resipi Mudah: Asam Pedas Ikan Sardin

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak pada #ameliatambyhussin yang kongsi resipi #asampedasikansardin ni. Bak kata Amelia, campak-campak, sedap.  

Memang sedap tau!
 
Lepas tengok video live Amelia masak asam pedas ikan sardin ni, terus saya pergi beli sardin tin. Sebab homemade sardin dah habis. Jadi beli yang dalam tinlah sebab terasa sangat nak rasa ikan sardin masak asam pedas ni. 
  


Bahan-bahan:
(saya pakai agak-agak je ni)

1 tin besar sardin
(Ambil ikan dan 3-4 sudu besar kuahnya saja)
*3 sudu besar bawang merah
*1 sudu besar bawang putih
*1 inci kunyit hidup
(*ditumbuk, dicincang atau dikisar)
Sedikit belacan
5-7 sudu besar pes cili kering/cili boh
1 batang serai
7-9 helai daun limau purut
1-2 keping asam keping
1-2 cawan air asam jawa
1 ikat daun kesum
Garam dan gula (jika perlu)

Cara memasak:
1. Tumis bahan kisar dan belacan hingga naik bau atau berubah warna dan sedikit garing. Masukkan serai.

2. Masukkan pes cili kering, asam keping dan daun limau purut. Masak sehingga naik minyak.

3. Masukkan air asam jawa dan ikan sardin bersama 3 - 4 sudu besar kuah sardin.

4. Masukkan daun kesum. Perasakan dengan garam dan gula jika perlu.

Siap. Selamat mencuba.


Nora Karim
Abaikan ikan sardin yang pecah-pecah tu. Adam Faris tolong saya masak dan kacau ikan dalam kuali.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...