Nuffnang Ads

Agoda Ads

Sunday, July 28, 2019

Movie Review: Toy Story 4

"Apalah Mama ni, tengok kartun pun menangis!" Kata Alisya sambil terkekek-kekek gelakkan saya bersama Faris. 

"Eh, sedihlah. Budak-budak mana faham...," jawab saya malu sendiri, sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju. 

Siapa belum tengok Toy Story 4? Sila tengok filem ni. Memang sangat best, dan banyak mesej tersirat. Saya boleh katakan, filem ini adalah siri yang terbaik berbanding siri trilogi yang lepas. Toy Story 1, 2 dan 3 memang ada kisah dan mesej yang menarik juga, cuma yang keempat ni, garapannya lebih menyentuh emosi. 

Bila tengok filem ni, saya membayangkan diri sendiri. Bagaimana satu hari nanti, kita dah tak penting pada orang lain, kita dah tak memberi manfaat pada orang lain, kita dah tak dipedulikan orang lain. Ketika itu, kita akan rasa sangat terasing, sangat stress dan seterusnya mencari jalan untuk membahagiakan diri sendiri. Malah lebih teruk lagi, apabila kita menyakiti hati sendiri bagi memastikan orang lain 'nampak akan kewujudan' kita. 

Itulah watak yang dibawa oleh Woody sepanjang siri kali ini. Bayangkan dulu, Woody sangat disayangi oleh Andy. Ia menjadi antara barang mainan yang sangat disayangi oleh pemiliknya. 

Woody akan sentiasa dibersihkan, dijaga dengan kemas, dibawa tidur bersama, dijadikan tempat untuk meluah rasa dan akan sentiasa berada di sisi Andy, walau di mana dia berada. Namun, apabila Andy semakin dewasa, peranan Woody sebagai penenang hati semakin pudar. 

Sehinggalah diserahkan kepada pemilik baru, Bonnie, seorang kanak-kanak perempuan. Bersama Bonnie menjadikan Woody hilang kuasa memiliki hati Bonnie. Bonnie lebih berminat untuk bermain dengan mainan yang bercirikan perempuan.


Ada tujuh ibrah yang saya kutip daripada filem ini: 

1. Kesetiaan - dalam filem ini, sangat jelas ditunjukkan, betapa setianya Woody kepada pemiliknya, baik Andy mahupun Bonnie. Ia sanggup melakukan apa saja, walaupun Bonnie tidak lagi bermain dengannya. Demi memastikan Bonnie dapat menyesuaikan diri di sekolah, diberi bantuan sehingga terhasilnya Forky. Watak yang menghidupkan jalan cerita ini. Seriously, Forky sangat kelakar! 

2. Kepercayaan - dari siri 1 lagi memang ditampilkan sifat kepercayaan ini. Bagaimana setiap satu mainan itu saling mempercayai antara satu sama lain. Sifat ini menjadikan mereka sangat akrab dan jarang berlaku pergaduhan besar. 

3. Saling membantu - dalam apa juga misi yang perlu diselesaikan, mereka akan sama-sama berusaha untuk menyelesaikannya. Lebih ramai yang membantu, lebih mudah misi penyelesaian dicapai. 

4. Persahabatan - istilah sahabat ini adalah mereka yang sentiasa ada bersama kita walau dalam apa jua keadaan. Baik sedih, gembira, tertekan, sunyi dan sebagainya. Fungsinya adalah untuk menenangkan dan cuba memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Lihat sendiri bagaimana penerimaan mainan yang lain terhadap Forky yang asalnya daripada sampah, yang dikitar semula oleh Bonnie. 

5. Kebebasan - ada dua kebebasan yang saya nampak dalam filem ini. Pertama, kita tidak boleh memaksa semua orang untuk sayang kita dan kedua kita sebenarnya bebas memilih apa yang terbaik untuk kita dalam kehidupan. 

6. Tidak merendahkan seseorang/sesuatu - asal Forky dari sampah, namun semua mainan menerima kehadirannya dengan hati yang gembira. Tidak pula mereka memerli atau menyuruh Forky pulang ke tempat asalnya (tong sampah). Mereka merasakan setiap satu dari mereka sangat istimewa, termasuk Froky. 

7. Membuat pilihan - oh, part ini yang paling touching. Bila mana Woody yang setia kepada Bonnie, terpaksa membuat pilihan sama ada akan terus bersama Bonnie atau meninggalkannya dan bermain dengan kanak-kanak yang lain. Yang mana tiada lagi unsur pemilikan mutlak keatasnya. 

Si peminat filem animasi. 
5⭐ untuk filem Toy Story 4.

Wednesday, July 10, 2019

Resipi Mudah: Nangka Goreng

Jiran sebelah rumah bagi sebiji buah nangka. Punyalah banyak. Separuh dah pass ke anak buah saya kelmarin masa dia singgah ambil barang.

Punyalah banyak setengah biji pun. Tak apalah rezeki orang bagi. Tengok FB, jumpa orang buat nangka goreng.

Oh, nangka boleh goreng rupanya. Ingat cempedak je. Mohlah try. Tak goreng banyak pun, takut tak de orang nak makan.


Ni resepi paling mudah:
Beberapa ulas nangka (buang biji dan cuci bersih)
1/2 cawan tepung gandum
Garam sikit
Serbuk kunyit sikit
Air untuk jadikan bancuhan

Caranya:
Celupkan nangka dalam bancuhan dan goreng.

Ok, rasanya sedap. Kalau cempedak, isinya jadi macam lembik sikitkan, mungkin sebab cempedak direbus dulu. Tapi nangka ni, walau digoreng masih kenyal dan sedap.

Tapi awas tak boleh makan banyak. 😅

Kalau tengah diet, makan nangka raw jelah...

Monday, April 01, 2019

Inilah 'Bonding Time' - Semudah Menjadi Pendengar Setia

"Mama, cikgu tak bagi lagilah jadual waktu yang baru," kata Alisya pada saya lewat malam kelmarin.

"Cikgu tak sempatlah tu. Tak pe, cikgu dah bagi jadual baru dalam Whatsapp. Nanti esok nak susun buku ambil telefon Mama," jawab saya sambil tekun menyemak manuskrip buku, tanpa memandang wajahnya.

"Kita dah lama tak buat aktiviti sama-samakan, Mama?" Alisya menghampiri saya, lalu meletakkan pipi kirinya di tangan kanan saya.

"Hm...," jawab saya ringkas, sambil terus membaca manuskrip.

Setelah beberapa ketika, saya tidak memberi 'respond'...

"Tak apalah. Alisya naik tidur dululah," dia terus berlalu dan naik ke bilik.

Tanpa salam.
Tanpa ciuman.
Tanpa ucapan selamat malam.

Eh!
Baru saya tersedar.
Saya abaikan Alisya.
Saya tak pandang wajahnya ketika dia bercakap.
Saya tahu Alisya merajuk.
Allah...

Pagi semalam, saya keluarkan kertas A4, saya lukiskan beberapa petak. Alisya duduk di kerusi, jauh sedikit dari saya. Tapi dia tekun melihat apa yang sedang saya lakukan.

"Eh, Mama lukis jadual waktu Alisya ke tu?" Soalnya.

"Ha ah. Mehlah sini. Nanti Alisya warna tau," pancing saya supaya Alisya mendekat.

"Nak, nak... Mama tulislah, sebab tulisan Alisya tak cantik. Alisya warna," bersinar-sinar matanya. 'Excited'.

"Ok, Mama tulis, Alisya warna. Sebab Mama warna tak cantik sangat."

Terus dia berlari ke almari yang menyimpan alat tulis. Dicapai kotak pensil warna. Kemudian, dikeluarkan beberapa warna pilihan, tanda bersedia untuk mula mewarna.

"Ok nah, Mama dah siap tulis subjek semua. Alisya pula warna...," sambil menghulurkan jadual waktu yang telah siap ditulis.

Dia mula mewarna. Sesekali dia meminta pendapat saya dengan warna pilihannya. Sama ada sesuai atau tidak.

Sambil mewarna, dia bercerita tentang  sekolah, rakan-rakan, cikgu-cikgu, makcik kantin, makcik 'cleaner', makcik 'guard' dan macam-macam lagi.

Saya berikan dia masa saya.
Saya berikan dia telinga saya.
Saya berikan dia sepenuh perhatian saya.

"Yey, dah siap. Cantikkan Mama?" Tanyanya sambil menayangkan jadual waktu yang telah siap diwarna.

"Wah, cantiklah..." sambil menunjukkan isyarat 'thumbs up'.

"Boleh Alisya bawa jadual ni pergi sekolah? Alisya nak beritahu kawan-kawan, yang Alisya buat jadual ni dengan Mama."

"Ok, boleh..."

"Terima kasih, Mama. Seronok hari ni sebab dapat buat ni dengan Mama," katanya sambil menghadiahkan saya satu ciuman di pipi.

Nah, terbayar sudah semua yang Mama patut berikan semalam.

Saya boleh je 'print' jadual tu dan berikan pada Alisya. Tapi, maknanya saya masih berhutang masa untuk beraktiviti dengannya. Biarpun, aktiviti ni sangat 'simple', tapi bayangkan betapa seronoknya Alisya bila saya dapat luangkan masa bersamanya.

Buat aktiviti simple pun,
bonding time.

Anak-anak ni,
Mereka nak kita berikan masa untuk berbual dengan mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita berkreatif dengan melakukan aktiviti bersama mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan telinga untuk mendengar cerita mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan mata untuk pandang wajah mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan tangan untuk menyentuh dan memeluk mereka,

Bukan lama, hanya untuk seketika...
Inilah 'bonding time'.

Nora Karim
Lega bila dapat tebus kesalahan pada anak...

Tuesday, March 26, 2019

1 Dibawa Bersama, 6 Tinggal di Dunia

* Maaf, status ini agak panjang *
Kredit gambar: Shahrol Al Farouque

Semalam, 25 Mac, hari yang sangat suram bagi saya. Seawal subuh mendapat perkhabaran, sahabat sekolah menengah telah kembali dijemput Ilahi. Apabila mendapat tahu, arwah akan dikebumikan berdekatan dengan kawasan rumah, terus saya bersiap. Dengan harapan dapat melihatnya buat kali terakhir.

Saya menunggu sejak jam 1.20 petang, di surau Blok B, PPR Batu Muda. Lebih kurang jam 3.30 petang, jenazah tiba dan diletakkan di satu ruang di dalam surau. Sebaik itu juga, hujan turun dengan lebatnya, selebat tangisan kami.

Arwah sahabat saya meninggalkan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan berusia, 13, 11, 8, 6, 3 dan 1 tahun lebih. Mereka masih kecil. Anak-anak arwah semuanya berkulit putih, sangat cantik dan comel.

Melihat anaknya yang keempat (perempuan, usia enam tahun) menangis, membuatkan saya turut sedih. Dia mendakap erat ibu saudaranya, seolah tidak mahu dilepaskan. Dia faham, Mamanya sudah tiada. Bengkak dan merah matanya. Mungkin menangis dari awal subuh semalam.

Anak nombor lima (lelaki, usia tiga tahun), memegang mainan, asyik dalam dunianya sendiri. Mungkin pelik melihat ramai orang tetapi dia tidak faham. Anak nombor enam (lelaki, usia 1 tahun lebih), lena tidurnya sepanjang menunggu jenazah Mamanya di surau.

Anak sulung (perempuan, usia 13 tahun) dan anak kedua (perempuan, 11 tahun), difahamkan berada di hospital untuk mandikan jenazah Mama mereka. Bertuah sahabat saya ini, kerana anak-anaknya mengambil tanggungjawab, untuk berbakti buat kali terakhir kepada Mama mereka.

Anak nombor tiga? Entah yang mana satu, saya masih tercari-cari. Katanya lelaki. Berusia lapan tahun. Terdengar orang kata, dia tak mahu dekat dengan jenazah Mamanya. Pasti dia sedih sangat.

Ketika kafan di selak sedikit di bahagian muka, terasa sebak. Makin lama makin kuat tangisan daripada kami yang hadir. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak arwah bergilir-gilir menciumnya. Semua anaknya kecuali si nombor tiga.

"Ada lagi kawan-kawan yang nak cium arwah?" Tanya salah seorang ahli keluarga arwah. Saya segera bergerak ke sebelah kanan arwah, menunggu giliran untuk mengucupnya.

Sebaik duduk di kanan arwah, terasa lemah segala anggota badan. Terasa sayu hati. Tidak sudah-sudah saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak berkesempatan bertemu ketika hayatnya.

Ya Allah, tak sangka dalam keadaan begini saya bertemu dengan sahabat saya buat kali terakhir. Apa yang saya lakukan selama ini sehingga tidak sempat bertemu sahabat saya. Sibuk sangatkah saya?

"Sahabat, insya-Allah syahid milikmu," bisik saya dengan air mata yang ditahan.

Saya mengucup kedua-dua belah matanya. Sejuk. Wajahnya sangat tenang, seolah sedang tidur lena. Syukur, kerana Allah izinkan saya bertemunya, walau bukan dalam keadaan yang saya mahu.

Di sisi kanan arwah, diletakkan arwah anaknya yang ketujuh. Ya, anak ketujuh. Sahabat saya sedang hamil anak ketujuhnya. Lima bulan usia kandungannya. Tetapi disebabkan komplikasi dan tumpah darah, dia dan anaknya tidak dapat diselamatkan.

Bukankah baik pengakhirannya?
Bukankah syahid pemergiannya?
Bukankah syurga tempatnya?
Insya-Allah, itulah sebaik-baik tempat untuk sahabat saya ini.

Saya ternampak seorang budak lelaki berbaju Melayu biru gelap. Duduk sedikit jauh dari jenazah. Tersedu-sedu. Setiap kali air mata menitik dari tabir matanya, dia segera mengelap dengan belakang tapak tangannya. Tidak ada setitik air mata pun yang dibiarkan mengalir di pipi. Dalam sedunya, ada seseorang yang memujuk, agar dia mencium Mamanya.

"Oh, inilah anak nombor tiga arwah," bisik saya.

Melihat anak kecil ini, saya turut menangis. Besarnya ujian kamu duhai anak. Kehilangan orang yang paling kamu sayang, paling kamu harapkan, pada usia ini. Saya kehilangan ibu saya pada usia 26 tahun, itu pun sudah cukup perit bagi saya. Inikan pula anak-anak ini.

Lama dipujuk, dia tetap menggeleng tanda tidak mahu mencium Mamanya. Makin dipujuk, makin laju air matanya jatuh. Saya yang memerhati turut laju menangis. Dalam hati, saya turut berdoa agar anak itu mencium Mamanya buat kali terakhir.

Sebaik bacaan Yasin dan tahlil selesai dibaca, tiba-tiba anak ini bangun dan menghampiri Mamanya, didekatkan hujung hidungnya dengan hujung hidung Mamanya. Kemudian dia terus menjauh. Ya Allah, momen ini... sangat sedih.  Moga anak-anak ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berjaya di dunia dan akhirat serta bermanfaat pada ummah.

Di dunia, arwah menjaga enam anaknya, kini di sana dia ditemani seorang anak syurga. Izzatul, selamat jalan. Semoga Allah menempatkanmu di salah satu taman syurga milik-Nya. Insya-Allah kita ketemu nanti.

Izzatul Ismail
12.07.1980-25.03.2019



Nora Karim
Juga bakal menyusul.

Monday, March 11, 2019

Kisah 13 Tahun Lalu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

13 tahun lalu, saya pernah meminta izin daripada Mak Lang, Khalsom Bibi Sarbat Khan dan Pak Lang saya, untuk menangguhkan majlis nikah dan sanding.

Ketika itu, mak saya dalam keadaan yang sangat kritikal. Menghuni ICU berbulan lamanya. Saya juga hampir setiap hari berulang dan bergilir dengan adik beradik yang lain menjaga mak di hospital.

7 Mac 2006, apabila mendapat khabaran mak telah meninggal dunia, saya terus ke hospital semula setelah baru bertukar shift dengan abang sulung saya. Saya bersama abang sulung menguruskan jenazah mak di hospital.

Di bilik mandikan jenazah, saya rasa tenang melihat mak. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tubuh badan mak tak perlu lagi ditebuk dan dimasukkan pelbagai wayar.

Memandikan jenazah mak, merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini. Ya, 13 tahun telah berlalu. Namun saya masih ingat dengan jelas.

Perginya mak bersama doa-doa untuk anaknya,
Perginya mak bersama redup pandangan matanya,
Perginya mak bersama lembut belaiannya,
Perginya mak bersama hangat pelukannya,
Perginya mak bersama manis senyumnya,
Perginya mak bersama gelak tawanya,
Perginya mak bersama sedap air tangannya,
Perginya mak bersama indah nasihatnya,
Perginya mak bersama...
Rindu yang sukar untuk diungkap.


Bagaimana dengan majlis nikah dan perkahwinan saya? Ia tetap berlangsung, pada hari keempat (11 Mac), setelah tiga hari berturut-turut majlis tahlil untuk arwah mak.

Kini,
13 tahun menanggung beban merindui mak.
Dan,
13 tahun bersama cinta hati saya.

Baiknya Allah, digantikan kehilangan mak dengan kehadiran suami.


Selamat hari ulangtahun perkahwinan yang ke-13 encik suami.

Nora Karim
Berbahagialah, jika kamu masih ada ibu dan ayah. Berbaktilah kepada mereka.

Artikel berkaitan:
Genap 10 Tahun Pemergian Mak

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...