Nuffnang Ads

Agoda Ads

Showing posts with label Buang Hempedu. Show all posts
Showing posts with label Buang Hempedu. Show all posts

Monday, August 18, 2014

Batu Karang Hempedu: Lakukan Ultrasound!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 22 Syawal,

Saya mendapat satu komen yang ditinggalkan oleh 'Man' di entri Batu Karang Hempedu: Sebab Saya Jalani Pembedahan. Tertarik dengan soalan yang ditinggalkan Man. 


Katanya dia mengalami tanda-tanda seperti yang saya tuliskan di entri tersebut. Namun setiap kali mendapatkan rawatan, jawapan yang diterima adalah semuanya kerana gastrik!

Ya benar! Jika pesakit batu karang hempedu mendapatkan rawatan di klinik biasa, doktor memang akan mengaitkan sakit yang dialami pesakit dengan gastrik. Satu kerana berdasarkan apa yang diterangkan kepada doktor, seperti sakit di bahagian atas perut, terasa mual, terasa sebu/angin dalam perut dan lain-lain. Ini kerana simptomnya memang sama!

Lalu doktor akan membekalkan pesakit batu karang hempedu dengan ubat-ubat gastrik, namun sakit tidak pernah kurang malah makin sakit seakan menyucuk-nyucuk, biarpun telah memakan ubat yang dibekalkan. 

Saya juga telah mengalami situasi yang sama ketika mendapatkan rawatan dulu. Saya juga menjalani rawatan endoskopik, kononnya bagi melihat tahap seriusnya "gastrik" saya. Namun ia juga tidak pernah meredakan sakit yang saya alami.

Apa yang saya boleh cadangkan kepada Man, pergilah ke poliklinik yang menyediakan kemudahan ultrasound. Ultrasound boleh dilakukan bagi mengesan kehadiran batu karang dalam hempedu. Jangan risau ia tidak menyakitkan! (prosedurnya sama seperti melihat bayi dalam kandungan ibu) Dan sudah tentu anda boleh terus ketahui sama ada terdapat batu di dalam hempedu atau tidak. 

Jika benar ada batu yang dikesan melalui ultrasound tersebut, maka teruslah dapatkan rawatan yang sepatutnya. Rujuklah pada mana-mana hospital kerajaan/swasta. (atau minta doktor tersebut, tuliskan surat rujukan kepada mana-mana hospital yang boleh disarankan). 

Jika tiada batu yang dikesan melalui ultrasound tersebut, mungkin ada sebab-sebab lain. Jika mampu, lakukanlah full medical check up. Orang kata full medical check up elok dilakukan setahun sekali, bagi memastikan tubuh badan kita sentiasa berada dalam keadaan yang sihat. Tapi biasanya kita buat medical check up hanya ketika nak masuk menara gading atau memulakan pekerjaan... Betul tak?! (tapi saya pun tak buat medical check up setahun sekali... bila fikirkan kosnya... hm... memang tunggu sakitlah baru ke hospital...) 

Moga apa yang saya tuliskan di sini dapat membantu Man. Moga segala urusan mendapatkan rawatan dipermudahkan Allah. Saya doakan juga agar semua pembaca blog saya ni, berada dalam keadaan yang sihat walafiat dan sentiasa dilindungi Allah. Amin...


Klik banner untuk dapatkan novel dan  buku fiksyen.

Monday, October 28, 2013

Batu Karang Hempedu: Perkongsian Pakar Pemakanan - Mushidah Zakiah

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah... 

Beruntungnya saya dan rakan-rakan yang mencari informasi tentang diet/menu setelah membuang hempedu, apabila seorang Pakar Pemakanan dari Pusat Perubatan Prince Court sudi berkongsi tentangnya. (Jika masih ingat, saya pernah menulis entri ralat di sini atas keperihatinan Pakar Pemakanan ini) 

Berikut adalah respon Pakar Pemakanan, Puan Mushidah Zakiah bt Mohad Akran melalui email tentang diet setelah membuang hempedu.    

Puan Nora,
Terima kasih kerana telah mengambil teguran saya secara positif. 

Berkenaan soalan puan tentang diet selepas pembedahan pembuangan pundi hempedu, saya tidak keberatan berkongsi sedikit informasi.

Saya telah membaca entri yang puan sertakan berkenaan menu/diet selepas pembedahan hempedu. Boleh dikatakan fakta yang puan berikan adalah betul.

Namun begitu, secara amnya, untuk memahami diet yang sesuai, kita perlu faham fungsi pundi hempedu terlebih dahulu.

Fungsi Hempedu

Pundi hempedu adalah terletak di bahagian bawah hati yang mana hati mengeluarkan hempedu, sejenis cecair yang diperlukan untuk menghadamkan lemak daripada makanan yang kita ambil. 

Pundi hempedu bertindak sebagai tempat simpanan hempedu yang di hasilkan oleh hati.  Sebaik sahaja ada pengambilan makanan berlemak, pundi hempedu akan merembeskan hempedu ke dalam usus kecil untuk proses penghadaman dan peresapan nutrisi (sebagai respond kepada pengambilan makanan berlemak). 

Namun begitu, selepas pembedahan, hati merembeskan hempedu ke dalam usus kecil secara berterusan (tidak di kawal) kerana tiada lagi pundi hempedu sebagai tempat simpanan hempedu. 

Sekiranya hati telah habis menghasilkan hempedu pada satu satu masa,  dan anda mengambil makanan berlemak selepas penghasilan hempedu, lemak berlebihan yang diambil akan tinggal di dalam usus besar yang mana menyebabkan bakteria mula memakan dan mencernakan lemak tersebut dan kesannya anda akan mengalami kembung perut (angin) atau pun cirit birit.

Disebabkan tiada lagi tempat simpanan hempedu, anda perlu makan secara seimbang seperti piramid makanan, dengan penambahan untuk mengurangkan jumlah lemak dalam diet kepada lebih kurang 40 hingga 50g sehari sahaja.

Saranan
Pertama sekali, penggunaan lemak dalam masakan mesti dikurangkan. Lemak ini termasuk minyak, santan, marjerin, butter. Minyak zaitun adalah minyak yang bagus, namun begitu kuantitinya perlu dihadkan juga. Saranan penggunaan lemak adalah lingkungan 1 hingga 2 sudu teh lemak untuk setiap waktu makan (untuk penyediaan semua jenis lauk pada satu waktu makan)

Kedua, lemak jugak terdapat secara semula jadi dalam makanan berprotein seperti ayam, ikan, daging. Untuk memastikan anda tidak mengambil lemak secara berlebihan, buang semua lemak yang ada pada makanan ini sebelum memasak. Kulit juga termasuk kategori lemak. 

Selain itu, secara amnya, semua jenis makanan yang berminyak/berlemak harus dikurangkan atau diambil dalam kuantiti yang kecil.

Perlu ditekankan, diet ini adalah saranan secara am. Pendekatan diet yang lebih individual amatlah perlu kerana setiap pesakit mempunyai masalah atau tindak balas berbeza terhadap pelbagai jenis makanan. 

Saya harap, penjelasan ini dapat membantu puan memahami dengan lebih jelas. Terima kasih.

Lagi entri berkaitan batu karang hempedu:
1. Akhirnya Hempedu Dibuang
2. Amalan Selepas Buang Hempedu
3. Menu Sepanjang Berpantang
4. Kesan Jika Tidak Buang Hempedu
5. Bolehkah Menyusukan Anak Jika Bersedia Untuk Pembedahan

Nota kaki: Terima kasih banyak-banyak pada Puan Mushidah kerana sudi berkongsi ilmu dan kepakaran bersama saya dan pembaca blog ini, terutamanya mereka yang juga mengalami masalah batu karang hempedu seperti saya. Moga Allah kurniakan kesihatan buat kita semua... In sha Allah... Amin...

Sunday, April 28, 2013

Batu Karang Hempedu: Kesan Jika Tidak Buang Hempedu


Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah...

Pelbagai soalan yang saya terima di komen, e-mel, Facebook juga Whatsapp tentang penyakit batu karang hempedu ni. Saya tertarik bila baca komen yang di tinggalkan oleh Nur Eillmie dalam entri ini.



Minor operation yang saya jalani tu dah pun dua tahun berlalu. Alhamdulillah sejak operation tu saya tidak lagi mengalami sakit perut (seakan gastrik yang teruk sehingga ke belakang badan)... sakit-sakit sendi, sukar bernafas dan lain-lain. Sebelum operation saya tidak boleh nak makan, perut cepat terasa sebu... Muka pucat, tak larat berdiri atau duduk lama... Pendek kata semua benda tak boleh nak buat sebab perut rasa tak selesa...

Berikut adalah kesan-kesan yang mungkin akan berlaku jika seseorang itu tidak membuat pembedahan buang hempedu, seperti yang diberitahu oleh doktor (Dr Huzaimi Yaakob, KPJ Kuantan) yang merawat saya dulu:

1. Diserang penyakit kuning yang serius - apabila ada batu karang yang tersumbat di saluran hati, maka pesakit akan mengalami demam kuning yang serius, yang juga mengakibatkan mata putih menjadi kuning. - kaedah penyelesaikan, doktor akan melakukan Endoscopic retrograde cholangiopancreatography (ERCP), bagi mengeluarkan batu yang tersumbat dan membesarkan saluran hati.

2. Pendarahan dalam perut - batu karang yang besar/kecil akan sentiasa bergerak (cuma kita je tak sedar) dan ini akan menyebabkan ia tersumbat pada saluran-saluran utama, jika ia tidak dikeluarkan dengan segera, kemungkinan pesakit menghadapi pendarahan dalam perut.

3. Kesan kepada pankreas dan hati - jika tiada rawatan segera, ia boleh turut merosakkan pankreas dan hati pesakit. Jika ini berlaku, pesakit akan mengalami lebih banyak komplikasi.

4. Urine akan berwarna kuning pekat/merah darah, senak perut, loya dan muntah-muntah, sakit perut yang berterusan, tidak berdaya dan lain-lain - inilah yang akan ditanggung oleh pesakit selama mana  dia tidak menjalani pembedahan tersebut. Dan harus diingat, batu karang akan sentiasa bertambah dan membahayakan jika tiada rawatan susulan.

Batu karang dari hempedu saya...
Apa yang saya boleh cakap... Risiko-risiko di atas, (yang akan ditanggung saya) adalah lebih "menakutkan" daripada melakukan operation bagi mengeluarkan batu hempedu tersebut. Saya diserang sakit yang teruk sebanyak 2 kali. Pertama pada trimester kedua ketika mengandungkan Alisya, yang ketika itu Encik hubby ke Johor dan saya tinggal bersama Faris (berusia 3 tahun lebih). Apalah yang boleh Faris buat ketika saya sakit tu...?! Saya berguling-guling menangis atas katil sambil cuba menelefon Encik hubby. Mujur dapat cakap dengannya, kemudian dia minta biras saya datang, sementara dia berpatah balik ke Kuantan (ketika tu kami duduk di Kuantan).

Dan kali kedua saya sakit teruk adalah pada usia Alisya 10 bulan (masa tu Alisya fully breastfeed). Diserang sakit ketika di office. Saya mengalami demam panas secara tiba-tiba, sakit seakan gastrik yang teruk, badan berpeluh dan seram sejuk, urine bewarna kuning pekat, serta loya dan muntah-muntah. Akhirnya, saya dapatkan rawatan dari pakar dan putuskan untuk buat operation.

Kenapa saya "berani" (tak la berani sangat pun sebenarnya... takut juga...) dan bersetuju untuk lakukan operation?

1. Takut akan risiko yang bakal saya tanggung jika tidak melakukan operation tersebut.

2. Tentulah sebab anak-anak. Usia anak-anak saya ketika tu, Faris 3 tahun lebih, Alisya belum pun setahun dan fully breastfeed - teringat kata-kata doktor, "kalau you nak tengok anak-anak membesar, you sendiri kena sihat walafiat! Kalau you tak sihat, macam mana you nak jaga kebajikan anak-anak dan suami you?!"

3. Sebab Encik hubby saya cutinya tidak menentu, saya risau jika saya diserang sakit ketika dia berada jauh dari rumah (outstation) - pengalaman sakit ketika suami tiada di rumah, betul-betul menakutkan... saya menangis menahan sakit, manakala Faris menangis nak susu... tapi saya memang tak daya nak bangun langsung! (betulkan? macam mana nak buat susu kalau saya sendiri tak berupaya nak bangun, tu la maksud kata-kata doktor tu...)

Sepanjang 2 tahun lepas operation ni... saya tak lah berpantang sangat... cuma makanan yang sangat berminyak dan bersantan saya kurangkan... Bukan tak makan langsung... Boleh... memang boleh makan seperti ketika kita ada hempedu... cumanya, lepas tak de hempedu, kita kurangkanlah sikit pengambilannya... Itu je... (^_^)

Saya cadangkan Nur untuk dapatkan consultation dari doktor pakar. Tanya dari A-Z mana-mana yang kita tak pasti tu... Dari sebelum operation sehinggalah kesan selepas operation. Biasanya kita akan rasa lebih tenang bila doktor ceritakan dari A-Z. Saya sendiri akui, saya tidak selesa dengan doktor pakar pertama yang saya jumpa, kemudian saya mendapatkan khidmat doktor pakar yang lain yang mana lebih mesra dan sedia menjawab pelbagai soalan saya. 

Bila dah consult dengan doktor, plan dengan suami tentang penjagaan anak-anak macam mana... Sebab mungkin kena duduk di wad untuk 3-5 hari. In sha Allah, selepas operation tu, Nur akan lebih sihat dari sebelumnya. Saya doakan Nur, agar semuanya baik-baik saja... 

Kalau rasa sakit, jumpalah doktor dan dapatkan rawatan. InsyaAllah semuanya dipermudahkan Allah. 

Lagi entri berkaitan batu karang hempedu:
1. Akhirnya Hempedu Dibuang
2. Amalan Selepas Buang Hempedu
3. Menu Sepanjang Berpantang
4. Perkongsian Pakar Pemakanan
5. Bolehkah Menyusukan Anak Jika Bersedia Untuk Pembedahan




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...