Nuffnang Ads

Agoda Ads

Tuesday, March 26, 2019

1 Dibawa Bersama, 6 Tinggal di Dunia

* Maaf, status ini agak panjang *
Kredit gambar: Shahrol Al Farouque

Semalam, 25 Mac, hari yang sangat suram bagi saya. Seawal subuh mendapat perkhabaran, sahabat sekolah menengah telah kembali dijemput Ilahi. Apabila mendapat tahu, arwah akan dikebumikan berdekatan dengan kawasan rumah, terus saya bersiap. Dengan harapan dapat melihatnya buat kali terakhir.

Saya menunggu sejak jam 1.20 petang, di surau Blok B, PPR Batu Muda. Lebih kurang jam 3.30 petang, jenazah tiba dan diletakkan di satu ruang di dalam surau. Sebaik itu juga, hujan turun dengan lebatnya, selebat tangisan kami.

Arwah sahabat saya meninggalkan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan berusia, 13, 11, 8, 6, 3 dan 1 tahun lebih. Mereka masih kecil. Anak-anak arwah semuanya berkulit putih, sangat cantik dan comel.

Melihat anaknya yang keempat (perempuan, usia enam tahun) menangis, membuatkan saya turut sedih. Dia mendakap erat ibu saudaranya, seolah tidak mahu dilepaskan. Dia faham, Mamanya sudah tiada. Bengkak dan merah matanya. Mungkin menangis dari awal subuh semalam.

Anak nombor lima (lelaki, usia tiga tahun), memegang mainan, asyik dalam dunianya sendiri. Mungkin pelik melihat ramai orang tetapi dia tidak faham. Anak nombor enam (lelaki, usia 1 tahun lebih), lena tidurnya sepanjang menunggu jenazah Mamanya di surau.

Anak sulung (perempuan, usia 13 tahun) dan anak kedua (perempuan, 11 tahun), difahamkan berada di hospital untuk mandikan jenazah Mama mereka. Bertuah sahabat saya ini, kerana anak-anaknya mengambil tanggungjawab, untuk berbakti buat kali terakhir kepada Mama mereka.

Anak nombor tiga? Entah yang mana satu, saya masih tercari-cari. Katanya lelaki. Berusia lapan tahun. Terdengar orang kata, dia tak mahu dekat dengan jenazah Mamanya. Pasti dia sedih sangat.

Ketika kafan di selak sedikit di bahagian muka, terasa sebak. Makin lama makin kuat tangisan daripada kami yang hadir. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak arwah bergilir-gilir menciumnya. Semua anaknya kecuali si nombor tiga.

"Ada lagi kawan-kawan yang nak cium arwah?" Tanya salah seorang ahli keluarga arwah. Saya segera bergerak ke sebelah kanan arwah, menunggu giliran untuk mengucupnya.

Sebaik duduk di kanan arwah, terasa lemah segala anggota badan. Terasa sayu hati. Tidak sudah-sudah saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak berkesempatan bertemu ketika hayatnya.

Ya Allah, tak sangka dalam keadaan begini saya bertemu dengan sahabat saya buat kali terakhir. Apa yang saya lakukan selama ini sehingga tidak sempat bertemu sahabat saya. Sibuk sangatkah saya?

"Sahabat, insya-Allah syahid milikmu," bisik saya dengan air mata yang ditahan.

Saya mengucup kedua-dua belah matanya. Sejuk. Wajahnya sangat tenang, seolah sedang tidur lena. Syukur, kerana Allah izinkan saya bertemunya, walau bukan dalam keadaan yang saya mahu.

Di sisi kanan arwah, diletakkan arwah anaknya yang ketujuh. Ya, anak ketujuh. Sahabat saya sedang hamil anak ketujuhnya. Lima bulan usia kandungannya. Tetapi disebabkan komplikasi dan tumpah darah, dia dan anaknya tidak dapat diselamatkan.

Bukankah baik pengakhirannya?
Bukankah syahid pemergiannya?
Bukankah syurga tempatnya?
Insya-Allah, itulah sebaik-baik tempat untuk sahabat saya ini.

Saya ternampak seorang budak lelaki berbaju Melayu biru gelap. Duduk sedikit jauh dari jenazah. Tersedu-sedu. Setiap kali air mata menitik dari tabir matanya, dia segera mengelap dengan belakang tapak tangannya. Tidak ada setitik air mata pun yang dibiarkan mengalir di pipi. Dalam sedunya, ada seseorang yang memujuk, agar dia mencium Mamanya.

"Oh, inilah anak nombor tiga arwah," bisik saya.

Melihat anak kecil ini, saya turut menangis. Besarnya ujian kamu duhai anak. Kehilangan orang yang paling kamu sayang, paling kamu harapkan, pada usia ini. Saya kehilangan ibu saya pada usia 26 tahun, itu pun sudah cukup perit bagi saya. Inikan pula anak-anak ini.

Lama dipujuk, dia tetap menggeleng tanda tidak mahu mencium Mamanya. Makin dipujuk, makin laju air matanya jatuh. Saya yang memerhati turut laju menangis. Dalam hati, saya turut berdoa agar anak itu mencium Mamanya buat kali terakhir.

Sebaik bacaan Yasin dan tahlil selesai dibaca, tiba-tiba anak ini bangun dan menghampiri Mamanya, didekatkan hujung hidungnya dengan hujung hidung Mamanya. Kemudian dia terus menjauh. Ya Allah, momen ini... sangat sedih.  Moga anak-anak ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berjaya di dunia dan akhirat serta bermanfaat pada ummah.

Di dunia, arwah menjaga enam anaknya, kini di sana dia ditemani seorang anak syurga. Izzatul, selamat jalan. Semoga Allah menempatkanmu di salah satu taman syurga milik-Nya. Insya-Allah kita ketemu nanti.

Izzatul Ismail
12.07.1980-25.03.2019



Nora Karim
Juga bakal menyusul.

Monday, March 11, 2019

Kisah 13 Tahun Lalu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

13 tahun lalu, saya pernah meminta izin daripada Mak Lang, Khalsom Bibi Sarbat Khan dan Pak Lang saya, untuk menangguhkan majlis nikah dan sanding.

Ketika itu, mak saya dalam keadaan yang sangat kritikal. Menghuni ICU berbulan lamanya. Saya juga hampir setiap hari berulang dan bergilir dengan adik beradik yang lain menjaga mak di hospital.

7 Mac 2006, apabila mendapat khabaran mak telah meninggal dunia, saya terus ke hospital semula setelah baru bertukar shift dengan abang sulung saya. Saya bersama abang sulung menguruskan jenazah mak di hospital.

Di bilik mandikan jenazah, saya rasa tenang melihat mak. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tubuh badan mak tak perlu lagi ditebuk dan dimasukkan pelbagai wayar.

Memandikan jenazah mak, merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini. Ya, 13 tahun telah berlalu. Namun saya masih ingat dengan jelas.

Perginya mak bersama doa-doa untuk anaknya,
Perginya mak bersama redup pandangan matanya,
Perginya mak bersama lembut belaiannya,
Perginya mak bersama hangat pelukannya,
Perginya mak bersama manis senyumnya,
Perginya mak bersama gelak tawanya,
Perginya mak bersama sedap air tangannya,
Perginya mak bersama indah nasihatnya,
Perginya mak bersama...
Rindu yang sukar untuk diungkap.


Bagaimana dengan majlis nikah dan perkahwinan saya? Ia tetap berlangsung, pada hari keempat (11 Mac), setelah tiga hari berturut-turut majlis tahlil untuk arwah mak.

Kini,
13 tahun menanggung beban merindui mak.
Dan,
13 tahun bersama cinta hati saya.

Baiknya Allah, digantikan kehilangan mak dengan kehadiran suami.


Selamat hari ulangtahun perkahwinan yang ke-13 encik suami.

Nora Karim
Berbahagialah, jika kamu masih ada ibu dan ayah. Berbaktilah kepada mereka.

Artikel berkaitan:
Genap 10 Tahun Pemergian Mak

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...