Cuaca di Gombak sepanjang hari ni sangat mendung dan agak sejuk dari pagi, berbanding semalam.
Mendapat perkhabaran pula yang Abam Bocey telah pergi menemui Ya Khaliq, menambahkan lagi rasa sayu. Demam dan sakit kepala tu asbab. Perginya cukup mudah, dalam tidur saja.
Seperti mana pemergian Pak Yus Jambu, pemergian Abam Bocey juga meninggalkan banyak kisah yang boleh diambil iktibar oleh saya dan kita semua.
Jika kisah Pak Yus dulu, hidupnya sebatang kara. Menumpang kasih rakan-rakan pelawak yang lain tetapi seorang yang sangat pemurah dan dermawan.
Perjalanan terakhir Abam Bocey, lebih kurang sama dengan Pak Yus Jambu.
Melihat gambar rakan-rakan yang memenuhi masjid ketika solat jenazah Abam Bocey, membuatkan hati bertambah hiba dan pilu.
Perginya cukup mudah, malah segala urusan sepanjang pengebumian juga dipermudahkan. Ramai yang turut hadir memenuhi ruang masjid serta di tanah perkuburan.
10 kebaikan ini dikongsikan oleh ahli keluarganya sendiri, rakan sekumpulan dan mereka yang pernah bekerja secara langsung dengannya. Iktibar yang dapat kita ambil dari pemergian Abam Bocey.
1. Abam menjadi sangat kuat dan sabar apabila diuji dengan kesempitan hidup - orang yang tetap sabar apabila diuji, Allah akan meninggikan darjatnya.
2. Abam sangat memuliakan ibunya serta memikul tanggungjawab menjaga ibu dan adik-beradiknya. Memandangkan dia merupakan anak lelaki pertama dalam keluarga.
3. Mencari rezeki bagi menampung kehidupan yang lebih baik untuk ibu, isteri dan adik beradiknya.
4. Sangat baik dan tidak berkira langsung dengan ibu, isteri dan adik beradiknya.
5. Menguruskan perkahwinan adik beradiknya terlebih dahulu. Sebaik semua sudah berkahwin, barulah dia mendirikan rumah tangga.
6. Seorang yang baik hati, pemaaf dan suka memberikan nasihat yang baik kepada rakan-rakan serta memudahkan urusan orang lain.
7. Sentiasa mengambil ruang dan peluang untuk mendampingi para Ustaz.
8. Tak pernah menolak program dakwah, walau macam mana penat sekali pun.
9. Berhajat mengikut Ustaz Ebit Lew untuk melakukan dakwah di jalanan dan berniat memberi makan.
10. Selain bersedekah kepada ahli keluarga sendiri, Abam juga banyak bersedekah kepada anak yatim dan mereka yang memerlukan.
Malah pelbagai kisah yang baik-baik diceritakan oleh orang sekelilingnya.
Bayangkan perjalanan akhirnya bukan sahaja dihadiri oleh para penggiat seni, malah turut dihadiri oleh para asatizah.
Kita mungkin bersedih dan menangisi pemergian Abam, namun 'di dunia sana', saya percaya Abam sedang bergembira menikmati segala kebaikan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.
Selamat jalan Abam... kami juga akan menyusul. Terima kasih kerana telah menghiburkan kami. Sungguh, pemergianmu dicemburui.
"Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu"
Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan
19 Januari 1988 - 10 Februari 2020
Al-fatihah (dengan bacaan)
Bagaimana perjalanan akhir kita nanti?