Nuffnang Ads

Agoda Ads

Monday, July 11, 2022

Ibadah Korban Pertama Buat Faris Dan Alisya

Alhamdulillah, tahun ini saya buatkan korban atas nama, Faris dan Alisya. Memandangkan mereka pun dah jadi anak bujang dan dara, maka saya perkenalkan tentang ibadah korban kepada mereka.


Perkara pertama yang saya ingatkan adalah tentang larangan bagi orang yang melakukan ibadah korban, iaitu:

1. mengetip kuku 

2. memotong rambut serta bulu-bulu di badan


"Alamak, kenapa tak boleh potong kuku, potong rambut semua?" tanya Faris dan Alisya hampir serentak.


"Itu sebagai ujian kecil je, bagi menguji kesabaran kita yang sedang melakukan ibadah korban ni. Tak lama pun, sampai lembu yang kita korban tu selesai disembelih," jawab saya seringkas yang boleh.


"Berapa lama tu?" tanya Faris sambil duduk berdekatan saya. 


"Dalam 10 hari. Eh tapi Mak Teh cakap, lembu Faris dengan Alisya raya ketiga baru sembelih.  Maknanya 13 hari bulan la. 14 hari bulan tu boleh dah la nak potong kuku..." 


"Kalau terpotong kuku atau terpotong rambut macam mana?" tanya Alisya pula.


"Taklah jadi dosa besar. Lagipun, larangan tu bukan wajib pun, cuma sebaiknya janganlah potong. Itu simbolik pengampunan Allah, kalau kita buat dosa, Allah akan ampunkan dari hujung rambut, sampailah hujung kaki."


"Ibadah korban ni sebagai tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Macam mana cara nak buktikan yang kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang ni? Dengan melakukan ibadah korbanlah. Ini pun konsep kongsi rezeki. Kita kongsi rezeki dengan yang memerlukan," sambung saya lagi.


"Tahu ke sebab apa kita buat ibadah korban ni? soal saya, bila Faris dan Alisya hanya  mengangguk mendengar penjelasan saya.


"Ni yang kisah Nabi Ibrahim tu dengan anaknyakan?" respon Faris. 


"Ha yang itulah. Kalau nak cerita, panjang kisah tu, dari kisah Habil dan Qabil ke kisah Allah menguji kecintaan Nabi Ibrahim pada-Nya. Cuma itulah, bila nak korban, kita kena bagi yang terbaik dari apa yang kita ada. Macam kisah korban daripada Habil." 


"Tapi kita korban dekat India, macam mana kita nak tahu korban kita tu elok, sihat semua?" tanya Faris lagi.


"Itu kita serahlah dekat wakil dekat sana. Biasa mereka akan hantar gambar dari lembu tu belum disembelih sampailah siap lapah dan agihkan."


"Boleh ke macam tu?" tanya Alisya pula.


"Boleh... kita yakinlah pada agensi yang kita dah bayar tu. Insya-Allah," sambil tunjukkan pada mereka gambar-gambar lembu yang saya korbankan tahun lepas.

Lembu yang saya dan suami korban tahun lepas.


Dibungkus, sebelum diagihkan.

Salam Aidiladha buat semua rakan muka buku. Semoga apa jua pengorbanan kita dalam hidup, mendapat ganjaran yang baik dan diterima di sisi Allah. Insya-Allah, amin.


Nora Karim 

Pengikat NIKMAT, adalah SYUKUR.

Jom kita mula menyimpan untuk korban tahun depan pula. 😁

#aidiladha2022

#korban2022

Wednesday, April 06, 2022

9 Kelebihan Qiamullail

Sudah 4 Ramadan.

Bagaimana kita lalui fasa pertama madrasah Ramadan tahun ini?


Terdapat banyak amalan yang boleh kita lakukan sepanjang bulan Ramadan. Tetapi ada tiga amalan yang sangat rugi jika kita tak lakukan sepanjang Ramadan. Apa dia?

 

Jangan tinggal dua rakaat solat Tahajud (qiamullial), jangan tinggal sedekah sepanjang Ramadan dan jangan tinggal tarawih.

 

Kalau boleh tandalah ketiga-tiga amalan ini dalam kalendar atau planner. Perkara yang kita tak dapat atau tak mampu buat ketika bulan lain, tapi insya-Allah kita boleh buat sepanjang Ramadan ni. 

 

Bulan lain kita tak bangun jam 4 pagi. Tapi bulan Ramadan kita pasti bangun jam 4 pagi untuk bersahur. Jadi jom rebut peluang, untuk solat Tahajud dua rakaat dulu dan kemudian baru bersahur. 

 

Antara kelebihan Qiamullail yang dapat saya catat dari perkongsian Ustaz Jafri Abu Bakar dalam rancangan Tanyalah Ustaz pagi tadi: 

 

1️menghapuskan dosa

2️ganjaran pahala yang berlipat kali ganda

3️mendapat kedudukan yang tertinggi

4️dapat menghidupkan mata hati 

5️mendatangkan tumpuan dan kekhusyukan

6️dapat muhasabah diri dengan baik

7️membina keikhlasan dan kejujuran dalam membuat amal

8️menghindari sifat riak kerana hubungannya hanya dengan Allah s.w.t.

9️wajahnya bercahaya 

 

Ustaz Jafri Abu Bakar

Jika tidak mampu juga untuk solat dua rakaat waktu nak sahur tu, paling tidak kata Ustaz Jafri, jagalah solat Subuh berjemaah dan solat Isyak berjamaah, kerana ganjarannya sama seperti melakukan Qiamullail sepanjang malam.

 

Jom kita sama-sama usaha agar dapat buat qiamullail, sedekah dan tarawih sepanjang Ramadan tahun ni. 

 

Selain tiga amalan ni, tingkatkan juga selawat, istighfar, zikir dan bacaan Al-Quran, kerana ganjarannya sepanjang Ramadan ni berlipat kali ganda.

 

Semangat! Insya-Allah, moga Allah permudahkan. 

Dapatkan buku-buku terbaik Ramadan di GengSukaBuku atau di kedai Shopee GengSukaBuku


Nora Karim 

Berbaki 26 Ramadan lagi.

#NoraKarim 

#notaNK

#kelebihanqiamullail 

#TanyalahUstazTv3_Tv9 

#ramadan2022

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...