Nuffnang Ads

Bookcafe (^_^)

Agoda Ads

Thursday, July 13, 2017

Rezeki dan Syukur

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tadi saya singgah isi minyak di Petron, Sri Gombak. Disebabkan dah biasa isi minyak di situ, maka pembantu pam (bukan warganegara Malaysia) ni dah kenal saya dan anak-anak. Kadang-kadang dia selalu borak-borak dengan Faris dan Alisya. Ala, tanya soalan budak-budaklah; "adik, sudah makan ka?", "adik baru balik sekolah ka?'', "adik, ada pergi jalan-jalan ka?"

Saya tanya dia, pam angin tu elok ke tak, sebab saya nak isi angin tayar kereta. Dia cakap, "elok kakak". Lepas dah siap isi minyak dia cakap, "mari kakak saya tolong isi angin kereta". Saya cakap, "eh tak pe saya boleh buat sendiri." Dia cakap, "tak pe kakak... panas, saya tolong". Ok, serba salah pula saya... tapi dia dah menuju ke pam angin tu. Lepas tu diisikan angin tayar kereta saya.

Sambil dia isi angin tu saya tengoklah jugakan, bukan apa, serba salah pula kalau saya duduk dalam kereta masa dia isi angin tayar tu. Saya tanya dia, “sudah makan ka?”. Dia jawab, “makan... belum”.

Saya pun teringat dalam kereta ada sebungkus nasi kukus ayam berempah yang saya beli sebelum ambil Alisya tadi. Saya beli dua bungkus, satu untuk Faris bawa bekal ke sekolah dan satu untuk Alisya.

Saya: Kita bagi unclelah nasi ni.
Alisya: Ala... Alisya nak.
Saya: Tak pe, mama belikan yang lain untuk Alisya ok? Yang ni kita bagi uncle.
Alisya: Oklah... Ma, bagi air sekali ke?
Saya: Ha bolehlah, bagi air ni sekali.

Nasi ayam berempah yang dijual berdekatan rumah saya ni beli nasi, free air. So, saya dapat dua air free sebab beli dua bungkus nasi tadi. Lepas tu saya hulurlah nasi dan air tu pada pembantu pam minyak tu.

Saya: Terima kasih tolong saya ya. Ambillah ni you punya rezeki.
Pembantu pam minyak: Terima kasih kakak. Terima kasih. Assalamualaikum. (Dengan senyum yang meleret dan berlalu pergi.)

Dalam kereta Alisya mengeluh lagi...

Alisya: Alisya nak nasi tu, bau dia sedap... tadi masuk kereta Alisya dah bau dah ayam tu.
Saya: Ok tak pe, kejap lagi Mama beli lain. Ke Alisya nak makan lain?
Alisya: Em... boleh kita pergi Vanggey? Alisya nak makan nasi putih dengan ayam kurmalah. Nasi ayam berempah tu... hari tu Alisya dah makan.
Saya: Oklah. Mama mesej abah dulu tanya boleh pergi Vanggey ke tak. 

 

Sampai je dekat Vanggey, dah ambil nasi dan lauk yang dia nak. Dia terus makan dengan seleranya.

Saya: Sedap tak?
Alisya: Sedap!
Saya: Tengok, Allah sayang Alisya kan? Alisya bagi uncle tadi nasi ayam berempah yang Alisya nak tu, Allah gantikan nasi ayam kurma untuk Alisya. Nasi ayam kurma nilah rezeki Alisya. Nasi ayam berempah tadi rezeki uncle tadi.
Alisya: Ha ah, Alisya dapat makan yang ni sebab hari tu Alisya dah rasa nasi ayam berempah tu, kan Ma. Ini rupanya rezeki Alisya.
Saya: Kan? Yang kita beli tadi, bukan rezeki kita, yang dah masuk dalam mulut kita nilah rezeki kita. So, kena cakap apa?
Alisya: Alhamdulillah...

Sambil menikmati nasi putih dan ayam kurma sampai licin.

Kadang-kadang diri sendiri pun lupa nak bersyukur.

Buku Keibubapaan:
Didik Anak Cara Al-Fateh
Majer (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin
RM 17.00




Entri berkaitan:
1. Rezeki Hari Rabu... KARI ITIK
2. Rezeki Hari Jumaat

Tuesday, July 11, 2017

BIG NO Bila Bertandang Ke Rumah Orang

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sana sini orang menulis dan mengulas tentang ''teguran pedas" Chef Wan tentang ibu bapa yang tidak menegur anak-anak mereka yang berkelakuan "luar biasa" (seperti meramas kuih raya, menumpahkan kuah, mengambil makanan dengan banyak dan kemudiannya tidak dihabiskan, melompat di sofa, menyepahkan mainan dan lain-lain) di rumah yang dikunjungi.

Saya tak mahulah mengulas tentang isu yang tular itu. Pada saya apa yang "ditegur" oleh Chef Wan itu ada betulnya. Ibu bapa buka mata, buka telinga dan pandanglah dari sisi yang lebih positif. 

Ketika kali pertama saya membaca "teguran" Chef Wan tu, saya juga marah, maklumlah saya juga punya anak-anak yang lasak bila bertandang ke rumah orang. Tapi esok lusanya, bila saya bertenang dan baca semula teguran itu, saya mula fahami maksud tersirat. 

Benarlah kata orang, bila kita membaca dengan emosi, maka kita akan rasa marah, sakit hati, bengang. Tapi kalau kita baca dalam keadaan yang tenang, Insya-Allah kita akan nampak lebih banyak ruang untuk kita sebagai ibu bapa take note. Sahabat, ilmu parenting ini tidak pernah berakhir... ia bersifat berterusan maka lapangkan dada dan fikirlah dalam-dalam.

Eh, jangan salah faham tau, saya tulis macam ni bukanlah bermaksud saya tak nak terima tetamu... Saya okay je kalau orang nak datang rumah bawa anak-anak. Kadang-kadang saya yang keluarkan mainan untuk anak-anak tetamu main. Anak-anak ni kalau tiada benda yang boleh lekakan dia, maka itulah jadi nak meramas kuih raya, lompat sofa semua... sebab lumrah anak-anak memang nak buat aktiviti yang boleh buat mereka leka...

Ok berbalik kepada tajuk asal entri ini, sebenarnya saya nak kongsikan beberapa perkara yang TIDAK BOLEH (sebagai orang dewasa yang waras) lakukan, jika bertandang ke rumah orang. Atau pendek kata, adab ketika kita menziarahi rumah orang lain.

     Gambar ni masa buka puasa saya dan adik-beradik

Maklumlah, raya masih berbaki, maka kunjung mengunjung, serta tuntutan memenuhi jemputan rumah terbuka tu masih lagi ada. Maka mungkin kita boleh sama-sama menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang: 

1. Minta izin jika berhajat untuk menziarahi tuan rumah
Jika bukan memenuhi jemputan rumah terbuka, tapi nak datang ziarah, mintalah izin terlebih dulu. Sebaiknya sehari sebelum kita nak bertandang ke rumahnya. Maklumlah, kita kena faham, ada kalanya peti ais tuan rumah kosong atau tidak sempat mengemas rumah atau tidak bersedia untuk menerima tetamu atau tuan rumah ada urusan lain... atau... atau... atau... (isilah sendiri) ? Sekarang teknologi dah canggih, maka gunakanlah.

2. Meminta tuan rumah untuk masak sedap-sedap
Jika kita ikhlas untuk menziarahi rakan-rakan, maka terimalah apa saja yang disediakan oleh tuan rumah. Walaupun hanya kuih-kuih raya. Jamah apa yang ada, sebab kita tak pernah tahu apa yang tuan rumah sedang hadapi. Mungkin ada yang sedang berkira-kira duit belanja sehingga dapat gaji semula, bulan berikutnya. Maklumlah raya hari tu pun dah belanja banyak, beli baju raya, sediakan duit raya, buat hidangan raya, termasuk balik kampung. Jadi, janganlah minta tuan rumah masakkan yang sedap-sedap untuk kita.

3. Membuat rondaan dalam rumah; dari dapur, tandas, malah semua bilik yang ada.
Biarpun tuan rumah tu best friend kita malah adik-beradik sekalipun, kita tidak berhak untuk membuat rondaan ke segenap sudut rumah itu. Ingat, rumah itu privacy tuan rumah. Maka janganlah kita ceroboh. Tak manis macam tu. Kita mungkin tengok reaksi tuan rumah macam okay, tapi percayalah di satu sudut dalam hatinya, dia pasti terguris. Iyalah, kita sendiri pun belum tentu suka tetamu masuk ke bilik kitakan.  

4. Menjadi juri awam kepada reka letak perhiasan dan perabot tuan rumah
Ni lagi satu hal, janganlah sekali-kali kita bagi nasihat pada tuan rumah untuk meletakkan perabot atau barang perhiasannya di mana... rumah dia, dia tahulah. Tak perlulah kita nak bagi khidmat percuma. Siap cakap, "eh rak ni tak sesuailah kau letak kat sini, baik kau letak dekat situ..." 
"Eh, benda ni pun kau jadikan hiasan? Tak cantiklah!" dan lain-lain komen yang menyebabkan tuan rumah hanya mampu senyum je.

5. Ambil apa yang nak dimakan, jangan membazir
Ambil dalam kuantiti yang sedikit, rasa dulu. Jika nak lagi maka tambahlah tiada siapa pun larang. Tapi jangan ambil sekali banyak sampai penuh pinggan, lepas tu bila makan kita rasa ada yang tak kena dengan selera kita, maka kita buang semuanya. Hormatilah tuan rumah, dia dah berpenat lelah siapkan hidangan untuk kita, tapi kita buang pula. Janganlah membazir.

Baby Uwais super cute! (^_^)

6. Minta apa yang tiada di atas meja
"Lemang je ke? Nasi beriani ke nasi ayam ke tak de ke?"
"Air panas je ke ada? Air sejuk tak de ke? Ni cuaca panas ni"
"Aik, kering je semua... tak de kuah ke?" 
"Ni kalau ada sambal ikan bilis, memang sedap makan dengan lontong ni..."
Kita mungkin rasa kita bergurau, tapi tuan rumah mesti sikit sebanyak terasa hati. Apa lagi orang yang penat masak tu. Apa kata kita sama-sama belajar bersyukur, sebab tuan rumah sudi sediakan hidangan itu untuk kita. Itulah rezeki kita. Maka makanlah. Kalau tak suka pun, jamahlah sikit-sikit. Buat syarat...

7. Meminta tuan rumah bungkuskan makanan untuk dibawa pulang
Kalau tuan rumah yang bungkuskan makanan untuk kita, maka ambillah... jika tidak, janganlah pula diminta. Pernah jadi depan mata, tetamu yang tidak segan silu minta tuan rumah bungkuskan makanan yang ada. Bila tuan rumah ambil bekas kecil, dikata oleh tetamu tu, "ala kedekutnya kau ni... bekas kecil je kau bagi aku, tak de bekas besar ke?" Allah... tuan rumah yang tersipu-sipu malu, orang yang minta tapau tu sikit pun tak malu! Terfikirkah kita, jika tuan rumah sedang risau, sama ada lauk yang dimasak cukup untuk tetamu yang datang?

8. Menziarah tuan rumah pada jam hampir tengah malam
Jika jam dah menunjukkan 10 malam ke atas, tak perlulah kita berkunjung ke rumah orang... Waktu ni orang dah mula nak berehat. Mungkin kita boleh set masa dan hari lain untuk datang. Rayakan sebulan... 

9. Duduk lama-lama di rumah orang yang di ziarah
Jika boleh janganlah berlama-lama di rumah orang yang di ziarah. Makan, borak sikit-sikit, kemudian beransurlah pulang. Janganlah sampai baring di depan TV rumah orang tu. Ada tu kadang sampai tumpang tidur lagi! 

Sama-samalah kita jaga adab ketika menziarahi rakan-rakan kita. Janganlah nanti disebabkan perbuatan atau percakapan kita nanti, boleh jadi gaduh pula. Sebelum terlupa, bolehlah bacakan Doa Tetamu Kepada Tuan Rumah seperti berikut: 


Masuk rumah orang tutup mata, keluar rumah orang tutup mulut.
(Usahlah melihat apa yang ada di dalam rumah yang kita ziarah, dan tutuplah mulut, janganlah diceritakan apa yang buruk di dalam rumah orang yang kita ziarah)
Salam 17 Syawal 1438H

Artikel berkaitan adab:
Adab Menziarahi Orang Sakit 
Adab Bermasyarakat 

https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=331&url=6281

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...