Nuffnang Ads

Bookcafe (^_^)

Agoda Ads

Wednesday, December 20, 2017

Tasneem Naturel Sapu-Sapu Je...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Mudahnya jatuh cinta dengan Tasneem Naturel ni. Nak tahu kenapa? Jom saya kongsikan pengalaman saya menggunakan rangkaian set Tasneem Naturel yang terdiri daripada CF-Rub, Tummy Time, Sleep Time dan Calm Time.


Balm pertama yang saya cuba adalah CF-Rub, yang berfungsi untuk melegakan batuk dan selsema. Sejak set Tasneem Naturel ni sampai di rumah, terus saya sapu CF-Rub pada dada dan belakang badan Faris, untuk legakan batuk, mencairkan kahak dan selsemanya.

Alhamdulillah nampak perubahan yang baik pada Faris. Hari kedua, batuk dan selsemanya berkurangan. Batuk pun dah tak bunyi kahak. Disebabkan Faris ni ada mild resdung, so setiap pagi dia akan bersin dan mudah selsema. Sebab tu sampai ke hari ini, saya masih sapukan CF-Rub pada Faris setiap kali selepas mandi dan ketika dia hendak tidur.

Balm ni yang paling kerap disapu pada anak-anak...

Saya ada terbaca di Instagram rasmi Tasneem Naturel, yang CF-rub ni boleh bantu kurangkan suhu anak yang sedang demam. Kebetulan semalam lepas mandi kolam, Alisya demam, mungkin sebab beriya sangat berendam dalam kolam, tak kisah tangan yang dah kecut... bila keluar dari kolam terus demam. Saya pun apa lagi, terus sapu CF-rub di tulang belakang badannya, sambil jerlum dahinya dengan kain basah. Alhamdulillah, bangun pagi ni, demam dah kurang, dia pergi berendam semula dalam kolam. Sabar je lah.
 
Pakaikan juga dia baju dan seluar panjang masa mandi kolam,
takut demam pula lagi...


Bila malam masa nak tidur pula, saya sapukan Sleep Time pada tapak kaki Faris dan Alisya. Sleep time ni berfungsi sebagai ‘ubat tidur’. Faris dan Alisya ni, memang susah sikit nak disuruh tidur. Nak-nak cuti sekolah ni... lagilah payah. Masa nak tidur tu la masih galak mereka berborak dan main. Tapi sejak disapu sleep time ni, cepat je mereka tidur.

Tidur pun tak jaga dah, kira memang lena betul tidurnya. Esoknya bila bangun, memang fresh je masing-masing. Mungkin sebab dapat tidur yang lena... Sekarang ni dah pandai minta disapukan Sleep Time sebelum tidur. Saya sendiri pun sapu Sleep Time juga, di belakang telinga dan hidung. Bau lavender tu memang menenangkan. Tau-tau dah terlelap. Sedar-sedar dah pagi. Seronok rasa bila dapat tidur yang berkualiti, secara tak langsung kita bangun dalam mood yang baik. 


Ok, ada yang kata set balm Tasneem Naturel ni, hanya untuk baby je... Eh, taklah, bukan hanya untuk baby, malah semua peringkat usia. Semua boleh pakai, sebab tu jimat dan wajib ada empat jenis balm ni standby untuk seisi keluarga, dari baby sampailah Mama, Abah, Atuk, Nenek, Pakcik dan Makcik pun boleh pakai.

Saya pernah dillanda sakit perut. Dahlah sakit perut, encik suami pula ajak pergi Big Bad Wolf, tempat yang saya nak sangat pergi. Saya pun tawakal je lah. Sapu Tummy Time, dan terus ke destinasi. Alhamdulillah, dekat Big Bad Wolf tu tak de pula rasa sakit perut, jadinya saya dapat pilih buku-buku dengan tenang.

Penyelamat ketika sakit perut :p

CF-Rub dah, Sleep Time dah, Tummy Time pun dah. Macam mana dengan Calm Time? Dikatakan Calm Time ni digunakan untuk anak yang tantrum. Setakat hari ini, tak de pula Faris atau Alisya meragam tak tentu pasal. Ala, merajuk biasa-biasa tu adalah. So, saya tak de lah sapu Calm Time pada mereka.

Tapi saya test Calm Time pada diri saya sendiri. Saya sapu di nadi pergelangan tangan dan belakang telinga selepas mandi pagi. Eh, ajaibnya saya boleh menguruskan kerja-kerja rumah; berkemas, memasak dan buat kerja-kerja rumah yang lain tanpa rasa kelam kabut. Kiranya Calm Time ni berjayalah menenangkan saya untuk menguruskan kerja-kerja rumah. Siapa yang biasa dengan essential oils mesti tahu fungsi Geranium... Wangi tau geranium ni. Secara tidak langsung, boleh jadi pewangi badan. 

Ingat hijau, ingat tenang.... ^_^
 
Alhamdulillah, dengan izin Allah, set Tasneem Naturel ni mujarab pada saya dan anak-anak. Saya sarankan agar set Tasneem Naturel ini dimiliki oleh setiap keluarga, lebih-lebih lagi mereka yang ada anak kecil. Rangkaian set Tasneem Naturel ini, insyaAllah berfungsi sebagai ‘kit kecemasan’ di rumah.

Untuk ibu-ibu, set ini wajib ada dalam handbag kalian. Jangan risau, botolnya sangat kecil dan handy, packagingnya dalam botol kaca yang sangat comel tau!

Sekecil tangan Alisya je saiznya...
  
Set Tasneem Naturel ni, diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi dan essential oils terpilih, seperti lemon, sweet orange, eucalyptus, cypress, tea tree (CF-rub time), cedar, vetiyer, roman chamomile, sweet orange, marjoram, tangerine fruit fermet, ylang ylang (Sleep Time), lavender, naval orange, tangerine, geranium, marjoram, frankinsense, bargamot, chamomile (Calm Time), fennel, ginger, wild mint, tangerine, patchouli, lemongrass, anise, juniper (Tummy Time).

Rangkaian set Tasneem Naturel yang wajib ada...
 
Harga bagi sebotol balm ni adalah RM49. Tapi saya ada 'sifir jimat' tau (sayakan suka yang jimat-jimat ni) Sebab tu untung kalau ambil empat botol terus:

1 botol RM49
2 botol RM88 (jimat RM10)
3 botol RM125 (jimat RM22)
4 botol RM157 (jimat RM39)
Kalau berminat nak dapatkan rangkaian set Tasneem Naturel ni, boleh dapatkan di:

Tasneem Naturel Network,
151, Jalan Putra Kajang,
Taman Putra Kajang,
43000 Kajang, Selangor.
Hotline: 011-209465

Sharing with love,
Nora Karim


Wordless Wednesday #65



Alisya order aiskrim, bila sampai dia cakap "eh, takutnya muka dia". Dijamah sikit lepas tu tak nak makan dah. Scary eh muka encik aiskrim ni? 
Usah ditanya di mana kejadian ini berlaku :p

https://goo.gl/MkfehN

Blog Saya Dalam Majalah Backpackerz Vol.20

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Alhamdulillah, bila bergelar blogger ni, kita tak tahu bila dan entri mana yang akan menjadi perhatian pembaca. Mungkin ada yang kita tulis, dibaca malah ada juga yang hanya 'krik... krik...'. Itu biasa... yang penting jangan pernah putus asa dan teruskan menulis.

Saya sebenarnya tak sangka pun, entri saya Hotel The Shore, Melaka menarik minat encik wartawan dari majalah Backpackerz, untuk disiarkan dalam satu ruangan INAP majalah tersebut. Bila diberitahu nak masukkan entri saya tu dalam majalah, saya on saja. Lagipun, write up dah adakan... encik wartawan hanya olah mana yang perlu mengikut house style majalah mereka.


Kalau ada yang tak perasan, majalah Backpackerz ni, adalah majalah yang menjurus kepada travel dengan tagline, "The Ultimate Travel Magazine". Majalah ini memuatkan pelbagai tips travel, trip dengan pakej menarik, fokus kepada tempat-tempat menarik di dalam dan luar negara dan macam-macamlah yang berkaitan dengan travel. So, siapa yang suka travel, boleh dapatkan majalah ni di pasaran. Harganya RM12.

Ada yang tanya, apa perasaan saya bila tengok nama sendiri dalam majalah? Sebenarnya dulu pun saya memang wartawan, jadi bila nama ditulis dalam majalah, agak dah biasa. Sebab dulu, masa jadi wartawan majalah, mana-mana artikel yang ditulis memang wajib keluar untuk mengisi ruangan tetap majalah. 

Cumanya kali ini, saya rasa lebih teruja sebab nama blog dimasukkan dalam majalah. Secara tak langsung saya bawa penulisan blog saya ke satu tahap yang lain. Sebab penulisan ini adalah di atas kapasiti sebagai blogger bukan wartawan. Kira pencapaian bonuslah untuk blog saya. Alhamdulillah...

Gambar-gambar ni semua saya ambil dari phone saya saja...
Mujur tak pecah bila dimasukkan dalam majalah.

Apapun, saya nak ucapkan terima kasih kepada encik wartawan, Muizzuddin Maksah, kerana sudi membaca info dari blog saya ni, dan seterusnya dipanjangkan dalam majalah Backpackerz. Moga Allah, permudahkan urusannya dan berikan kesihatan kepadanya. Moga majalah Backpackerz juga terus maju dalam dunia penerbitan majalah. Amin...

Cover majalah Backpackerz Vol. 20

Kepada semua peminat travel, boleh Like page majalah Backpackerz ni. Ada banyak info menarik yang mereka kongsikan dalam page tersebut.  


Teruja bila orang sebut, "saya baca blog awak..."

Wednesday, November 08, 2017

Wordless Wednesday #64

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Selalunya saya akan senaraikan tajuk-tajuk buku yang saya nak beli... kira buat 'wishlist'lah.

Buku ni dah lama dalam 'wishlist' saya. Nak beli tapi agak mahal bagi saya yang tak bekerja.

Hari ni saya singgah kedai buku Popular. Harganya cuma RM29.90 (harga asal RM43.90), terus saya ambil dan bayar.

Sebab tu penting untuk buat list dan banding harga. Bila murah terus beli!

Hati berbunga-bunga dapat habiskan masa sejam lebih di kedai buku, bau buku dan beli buku dalam 'wishlist'. 🤗

Oh ya, Bookcafe ada diskaun lagi tau sampai 11.11.17. Siapa-siapa nak borong buku, inilah masanya. Boleh klik sini goo.gl/FSZa8G.

Nora Karim
#pencintabuku 😜

Monday, November 06, 2017

Bila Abah Naik Helikopter...

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Encik suami ditugaskan ke Pulau Pinang untuk tinjauan banjir, naik helikopter.

Faris tanya, "Abahkan gayat... macam mana Abah naik helikopter tu?"

"Abah kerja. Kenalah pergi juga," kata saya.

Faris jawab, "kalau nanti Ayies kena kerja naik helikopter, Ayies berhenti kerjalah Ma... tak berani Ayies!"

😂😂😂

Kelakarlah Faris ni!

Yang Alisya pula bila saya tunjuk gambar ni, dia kata... "aduh... kenapa Abah tak ajak, Alisya nak naik helikopter juga!"

Nampak tak dua beradik ni memang sangat berbeza, seorang terlebih berani yang seorang lagi, penakut ya amat! 

***

Sama-sama kita doakan agar banjir di Pulau Pinang segera surut. Nampak teruk juga banjir kali ni.

Buat rakan-rakan yang ada di Pulau Pinang, saya doakan anda baik-baik saja, jaga diri, jaga kesihatan... moga Allah permudahkan segala urusan anda di sana.


Nora Karim 
Takut juga nak naik helikopter. 😄 

Sunday, October 15, 2017

Apa Menariknya Filem Tombiruo: Penunggu Rimba

Bismillahirrahmannirahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Dulu masa saya kerap cerita tentang kehebatan novel tulisan Tuan Ramlee Awang Murshid pada encik suami, terus dia tanya, “kenapa tak difilemkan kalau bagus?” Saya jawab, “sebab exclusive. Ada ke pengarah filem yang boleh buat macam apa yang ditulis?”

Tapi hari ni, terbukti filem Tombiruo: Penunggu Rimba berjaya menterjemahkan novel hebat Ramlee Awang Murshid ke layar perak. Kagum. Ye kagum dengan hasilnya. Jika dulu setiap pembaca mempunyai imaginasi masing-masing tentang Ejim atau Tombiruo, tapi di layar perak penonton dijuruskan kepada satu watak Ejim yang dilakonkan oleh Zul Ariffin. 

 
Ramai juga yang bertanya saya, apa yang menariknya filem Tombiruo: Penunggu Rimba ni? 

1. Saya tak nafikan tarikan utama untuk saya menonton filem Tombiruo ni adalah kerana saya adalah peminat tegar novel thriller Ramlee Awang Murshid. Dan Ramlee Awang Murshid juga merupakan penulis novel yang mempunyai fan club dengan lebih 100,000 orang peminat. Nampak tak sokongan yang penuh untuk Tuan Penulis?

2. 90% plot atau jalan cerita dalam filem Tombiruo adalah daripada novel. Jadi tak timbul masalah kalau tak baca novel tak boleh tengok filemnya. Jika anda dah baca novel itu kira bonus. Dan mereka yang tak baca novel, boleh terus menonton. Tapi percayalah, selepas anda menonton, mungkin anda akan mencari novel triloginya.

3. Tombiruo dalam bahasa Kadazan-Dusun bermaksud roh atau hantu. Dikatakan di Sabah, anak-anak kecil tidak dibenarkan masuk ke dalam hutan dan  dimomokkan dengan kehadiran Tombiruo. Jika di Sabah Tombiruo dikatakan hantu, tetapi Tuan Penulis menterjemahkan Tombiruo itu sebagai makhluk yang menjaga hutan.

Tuan pengarah pun nervous... 😄
 
4. Filem ini diarahkan oleh dua orang pengarah yang bukan calang-calang, Nasir Jani dan Seth Larney (yang juga terbabit dalam pembikinan filem antaranya The Matrix Reloaded and Revolutions dan Star Wars: Revenge of the Sixth) – jadi anda dapat bayangkan tak kehebatan filem ni dengan kehadiran Seth Larney? Melihatkan 'trailer'nya saja pun dah buat kita tak senang duduk, inikan pula menonton keseluruhan filem. Memang terbaik!

Cantik gambar ni.
Salah satu babak Farah cuba menghanyutkan Ejim.

5. Visual effect dan camera angle bagi filem ini saya rasa cukup cantik. Setiap babak 'camera angle'nya sangat bertepatan. Saya memang tak alihkan mata dari skrin sebab rasa semua moment itu sangat berharga untuk ditonton. Durasi filem ini, 1 jam 55 minit terasa sangat cepat berlalu. Tak puas tengok!

6 Satu ketika bila mana ura-ura mengatakan Zul Arifin bakal memegang watak Ejim atau Tombiruo, ramai yang mengatakan tidak sesuai. Watak ini sangat istimewa, tersalah pilih pelakon maka akan merosakkan kehebatan novel. Tapi bila filem ini ditonton, percayalah watak itu memang HANYA sesuai diberikan kepada Zul Ariffin. Lakonan Zul Ariffin sangat lain dari drama biasa yang pernah dilakonkan. Ia boleh dikatakan sisi lain Zul Ariffin, yang boleh hidup lakonannya dengan body language dan eye contact. Nampak tidak kekok dan wataknya hidup seperti yang dibayangkan dalam novel. 

Farid Kamil (kiri), Zul Ariffin (kanan) dalam salah satu aksi bertarung.

7. Pelakon-pelakon lain seperti Farid Kamil (Amiruddin), Nabila Huda (Wan Suraya), Faizal Hussein (Pondolou), Hasnul Rahmat (Juslan), Farah Ahmad (Monsiroi), Michael Chen (Wong), Dato M. Nasir (Tuan Berham), Datin Marlia Musa (Isteri Tuan Berham), Atu Zero (Ondu), Faye Kusairi (Salina), Dynas Mokhtar (Baizura) dan lain-lain, berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Saya percaya semuanya memberikan 100% usaha dan tenaga terhadap naskah terbaik Tuan Penulis ini. Tahniah semuanya.

Gunung Kinabalu tarikan di Sabah.

8. Tarikan lain filem ini juga adalah bila melihat kecantikan Gunung Kinabalu. Ya Allah cantiknya! Rasa macam nak pergi Sabah! Filem ini secara tidak langsung mempromosikan kecantikan Sabah kepada orang luar.
 
9. Filem bergenre action thriller ini digariskan FINAS sebagai P13 – untuk tontonan 13 tahun ke atas. Bagi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun, perlulah dipantau ibu bapa atau penjaga. Hari tu saya bawa Faris dan Alisya tonton sekali, mereka pun excited menonton Tombiruo. Ayat Alisya, “Best, cerita Tombiruo Ma... Alisya ingat tak best cerita Mama ni...” Ha, nampak tak budak seusia Alisya pun suka.

Ini pun antara babak yang menarik untuk ditonton.

10. Sedar atau tidak, dengan penglibatan Seth Larney dalam filem ini sedikit sebanyak menarik perhatian media dari luar negara. Secara tidak langsung mempromosikan filem Malaysia, keindahan Malaysia dan naskah penulis novel thriller No.1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid.

Seth Larney pun ada peminat tersendiri yang tidak sabar untuk melihat
hasil kerjanya dalam Tombiruo.

Jangan lepaskan peluang tonton filem Tombiruo: Penunggu Rimba. Filem Malaysia lain dari yang lain. Pasti!

Tahniah, buat team produksi filem Tombiruo.
Tahniah Tuan Ramlee Awang Murshid.


Saya beri markah penuh 5 bintang!

Thursday, October 12, 2017

Tombiruo Filem Yang Ditunggu-tunggu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Sejak diwar-warkan yang Penulis Novel Thriller, Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM) nak membawa salah satu novelnya, ke layar perak, saya dah mula tak sabar. Maklumlah sekarang ni memang "musim" drama yang diadaptasi dari novelkan...

Saya sememangnya salah seorang peminat hasil tulisan Tuan RAM... Seingat saya sejak saya membaca novel Pei Pan, terus jatuh cinta dengan penulisannya. Maklumlah sebelum tu dah tentu saya layan "novel cinta tangkap leleh". 😜 Nampak tak berapa lama saya tetap setia menyokong hasil tulisan Tuan RAM?

Setahu saya, RAM merupakan penulis novel yang paling ramai ahli kelabnya. Dengan tertubuhnya Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid (RAMFC), segala apa yang dilakukan olehnya mendapat sokongan penuh ahli-ahli #ramians. Baik dari segi promosi novel baru, sampailah ke filem terbarunya ni, Tombiruo...


Filem ini adalah adaptasi dari novel trilogi Tombiruo. Ada yang tanya saya, "kenapa nak sangat tengok filem Tombiruo ni?" Susah nak cakaplah, sebenarnya saya taklah berapa suka bila novel yang saya baca dan suka nak didrama atau difilemkan, sebab pada saya itu akan menghancurkan imagination mood saya. 

Tapi disebabkan Tuan RAM ni saya rasa ada magic touch dalam novelnya, maka saya rasa tak salah jika saya turut menyokong filemnya. Mungkin akan ada uniknya dalam filem tu nanti. Bayangkan sejak mula diwar-warkan, novel Tombiruo akan difilemkan, Tuan RAM dah membuka ruang kepada #ramians untuk mencadangkan para pelakonnya. 

Penglibatan para pembacanya secara tidak langsung dalam pembikinan filem itu yang menjadikan kami turut teruja. Begitu juga bila menonton trailernya. Nampak ada kelainan, dan itulah yang menyebabkan rasa tak sabar nak tonton.


Hari ni 12 Oktober... ye hari ni filem Tombiruo akan mula ditayangkan di pawagam. InsyaAllah, encik hubby yang bukan peminat filem Melayu dah beri green light untuk temankan saya tengok filem ni.
 
Betapa kuatnya Kelab Peminat Ramlee Awang Mushid ni, sehinggakan tiket jam 8.30 malam di lima pawagam GSC di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Perak sold out!  

Nampak tak bagaimana aura penulisan Tuan RAM sehingga berjaya mengumpulkan para pembaca di lima destinasi tersebut, dan ini menjadikan ia gathering terbesar peminat Tuan RAM.  

Saya? Tonton di pawagam berdekatan dengan rumah je. Tak kisahlah, yang penting sokongan tu.

Sebelum keluar filem, ulang balik baca ketiga-tiga novel.

Siri Laksama Sunan juga menarik jika nak difilemkan. 😍


Thursday, September 28, 2017

Seronok Ada Bibik Katanya 😝

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

"Bibik... tolong kemas semua ni..." jerit Alisya bila keluar dari tandas.

Saya yang baru selesai solat Zohor terkejut dengar jeritannya...

"Datang mana bibiknya?!" tanya saya, sambil ketawa. Alisya pun gelak besar.

"Kenapa kita tak de bibik Ma?" tanyanya dengan ketawa yang masih berbaki.

"Tak perlu bibik pun, semua bendakan boleh buat sendiri..." jawab saya.

"Macam best je kalau ada bibik. Nanti Mama pun boleh rehat je. Tak payah kemas rumah, tak payah masak, tak payah sidai kain, tak payah gosok baju... semua bibik buat... Ha, barulah seronok..." sambil terkekek-kekek dia gelak.

"Amboi... bukan main lagi! Mana tau pasal bibik-bibik ni?" tanya saya.

"Kawan Alisya ada bibik. Dia cakap bibik dia buat semua, kemas rumah, gosok baju, masak... adik dia pun bibik mandikan... kira bibik buat semualah... Dia balik sekolah bibik jaga. Sebab mak dengan ayah dia kerja. Ala, macam dalam drama pun ada bibik kan..." panjang lebar dia cerita.

"Itu sebab mak dengan ayah dia kerja, Mama tak kerja tak perlulah bibik. Lagi seronok, tak de orang asing dalam rumah. Kita je ada. Lagi best!" jawab saya.

"Ala dalam drama tu boleh je ada bibik..." jawabnya, sambil masukkan baju-baju kotornya dalam bakul dan berlalu pergi...

Nilah budak yang berangan nak ada bibik... 😂

Banyak sangat tengok drama ni... Sabar je lah 😓


Saturday, September 16, 2017

Hotel The Shore, Melaka

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

11 dan 12 September  hari tu, Faris dan Alisya cuti bergilir sempena peperiksaan UPSR. Kebetulan pula Encik hubby saya pun cuti. Bukan senang Encik hubby nak dapat cuti yang sama dengan anak-anak.

Encik hubby saya pun dah lama juga tak dapat cuti berturut tiga hari (Ahad-Selasa). Sebelum ni pun dia dah kerja tanpa off sepanjang Sukan SEA hari tu, masuk pagi balik tengah malam selama dua minggu. 

Kami ni biasanya plan mengejut, kalau kebetulan semua cuti, maka kami akan pergilah hotel mana-mana. Yang penting ada pool, untuk anak-anak. Itu pun kena tengok poket juga, kalau tak tebal, maka duduk diam-diam di rumah je lah... :P

Isnin hari tu, lepas Zohor Encik hubby suruh packing. Saya yang menurut perintah ni, kemaslah apa yang patut. Lepas tu baru Encik hubby cakap kita nak ke Melaka. Check in di hotel The Shore

Alhamdulillah, bilik cantik. Agak besar juga. Kami sampai tu dah agak lewat petang juga. So, just duduk berehat je di bilik. Inilah bilik yang kami duduk, studio suite di The Shore, Melaka.


Selalu kalau pergi hotel mana-mana, Faris akan tidur dalam sleeping bagnya. Tapi dekat The Shore ni kebetulan ada macam sofa bed tepi sliding door balcony tu, so Faris tidur dekat situ. Saya dan Alisya dah tentulah kena share katil. 


 Macam biasa ada complimentary Teh, Nescafe dan toiletries. Ada juga disediakan hair dryer dan iron. Peti ais pun ada. 

Ni, toiletnya, agak besar juga, tapi jenis moden sikit. Pintu bilik air tak boleh dikunci dan jenis glass tu, yang sebahagiannya "dikaburkan". Tapi tak pe, pakai kain batik, selesailah masalah! >_<  


Ha, nampak tak glass tu...
dikaburkan macam tu je >_<

Okay, inilah tempat favorite anak-anak. POOL! Pool The Shore ada ditingkat 9, cantik juga poolnya. Air cetek, agak tak mencabarlah untuk Faris dan Alisya. Tapi still seronok sebab dapat main air.


Untuk pengetahuan, di tingkat bawah The Shore ni ada mall tau. So, malam tu kami berjalan-jalanlah dalam mall tu cuci mata, tengok apa yang ada. 

Di tingkat 2, pula ada 3D Interactive Park dan Toy Museum. Tapi kami tak masuklah, sebab kami sampai pun dah lewat petang, maybe next time. Tempat tu nampak menarik juga. Boleh klik sini jika nak tengok apa yang menarik dan tiket masuk ke The Shore 3D Interactive Park dan Toy Museum.

Ada lagi satu tempat yang menarik di bangunan yang sama ni tau. Ada The Shore Oceanarium... Memang menarik sangat kalau dapat bawa anak-anak menjelajah "ocean" dalam bangunan. Yang ni pun kami tak sempat pergi. Memang kena plan untuk datang semula dan pergi tempat-tempat ni... 

Oh ya, sebelum terlupa, di luar daripada bangunan The Shore ini sebelah malamnya, boleh jalan-jalan di Melaka River Pirate Park. Saya dah pernah pergi Pirate Park ni... menarik juga. Tak jauh pun boleh jalan kaki je. Sambil-sambil tu bolehlah jalan-jalan sepanjang Sungai Melaka. Atau anda boleh juga naik cruise menyusuri sepanjang Sungai Melaka. Cantik tau, malam-malam!

Masa ni Alisya kecil lagi, 3 tahun
Belakang tu la Pirate Park...

Sebenarnya dalam building yang sama ni ada juga Hotel Swiss Garden tau. So, tak kisahlah nak duduk di Swiss Garden atau The Shore. Harga bilik lebih kurang je... 

Apa yang saya boleh kata, jika anda bercuti di Melaka dan duduk di The Shore, anda boleh manfaatkan semua tempat yang ada di sekitarnya. Kira anda boleh teroka banyak tempat menarik bersama anak-anak di sini. So, boleh masukkan dalam list ya.

Harga bilik:
Studio suite: RM295.39/satu malam
Premier suite: RM435.33/satu malam


Hotel The Shore
Level GF, 193 Pinggiran @ Sungai Melaka,
Jalan Pesisiran Bunga Raya,
75100 Melaka.
Telefon: +606 2828 200
Web: www.theshorehotelmelaka.com

Sekali sekala dapat duduk hotel memang syok habis... :p


Baca juga:
 

Thursday, July 13, 2017

Rezeki dan Syukur

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tadi saya singgah isi minyak di Petron, Sri Gombak. Disebabkan dah biasa isi minyak di situ, maka pembantu pam (bukan warganegara Malaysia) ni dah kenal saya dan anak-anak. Kadang-kadang dia selalu borak-borak dengan Faris dan Alisya. Ala, tanya soalan budak-budaklah; "adik, sudah makan ka?", "adik baru balik sekolah ka?'', "adik, ada pergi jalan-jalan ka?"

Saya tanya dia, pam angin tu elok ke tak, sebab saya nak isi angin tayar kereta. Dia cakap, "elok kakak". Lepas dah siap isi minyak dia cakap, "mari kakak saya tolong isi angin kereta". Saya cakap, "eh tak pe saya boleh buat sendiri." Dia cakap, "tak pe kakak... panas, saya tolong". Ok, serba salah pula saya... tapi dia dah menuju ke pam angin tu. Lepas tu diisikan angin tayar kereta saya.

Sambil dia isi angin tu saya tengoklah jugakan, bukan apa, serba salah pula kalau saya duduk dalam kereta masa dia isi angin tayar tu. Saya tanya dia, “sudah makan ka?”. Dia jawab, “makan... belum”.

Saya pun teringat dalam kereta ada sebungkus nasi kukus ayam berempah yang saya beli sebelum ambil Alisya tadi. Saya beli dua bungkus, satu untuk Faris bawa bekal ke sekolah dan satu untuk Alisya.

Saya: Kita bagi unclelah nasi ni.
Alisya: Ala... Alisya nak.
Saya: Tak pe, mama belikan yang lain untuk Alisya ok? Yang ni kita bagi uncle.
Alisya: Oklah... Ma, bagi air sekali ke?
Saya: Ha bolehlah, bagi air ni sekali.

Nasi ayam berempah yang dijual berdekatan rumah saya ni beli nasi, free air. So, saya dapat dua air free sebab beli dua bungkus nasi tadi. Lepas tu saya hulurlah nasi dan air tu pada pembantu pam minyak tu.

Saya: Terima kasih tolong saya ya. Ambillah ni you punya rezeki.
Pembantu pam minyak: Terima kasih kakak. Terima kasih. Assalamualaikum. (Dengan senyum yang meleret dan berlalu pergi.)

Dalam kereta Alisya mengeluh lagi...

Alisya: Alisya nak nasi tu, bau dia sedap... tadi masuk kereta Alisya dah bau dah ayam tu.
Saya: Ok tak pe, kejap lagi Mama beli lain. Ke Alisya nak makan lain?
Alisya: Em... boleh kita pergi Vanggey? Alisya nak makan nasi putih dengan ayam kurmalah. Nasi ayam berempah tu... hari tu Alisya dah makan.
Saya: Oklah. Mama mesej abah dulu tanya boleh pergi Vanggey ke tak. 

 

Sampai je dekat Vanggey, dah ambil nasi dan lauk yang dia nak. Dia terus makan dengan seleranya.

Saya: Sedap tak?
Alisya: Sedap!
Saya: Tengok, Allah sayang Alisya kan? Alisya bagi uncle tadi nasi ayam berempah yang Alisya nak tu, Allah gantikan nasi ayam kurma untuk Alisya. Nasi ayam kurma nilah rezeki Alisya. Nasi ayam berempah tadi rezeki uncle tadi.
Alisya: Ha ah, Alisya dapat makan yang ni sebab hari tu Alisya dah rasa nasi ayam berempah tu, kan Ma. Ini rupanya rezeki Alisya.
Saya: Kan? Yang kita beli tadi, bukan rezeki kita, yang dah masuk dalam mulut kita nilah rezeki kita. So, kena cakap apa?
Alisya: Alhamdulillah...

Sambil menikmati nasi putih dan ayam kurma sampai licin.

Kadang-kadang diri sendiri pun lupa nak bersyukur.

Buku Keibubapaan:
Didik Anak Cara Al-Fateh
Majer (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin
RM 17.00




Entri berkaitan:
1. Rezeki Hari Rabu... KARI ITIK
2. Rezeki Hari Jumaat

Thursday, June 22, 2017

Resipi Raya: Biskut Sarang Semut (Tak Perlu Sagat)

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 27 Ramadan,

Berapa banyak dah buat kuih raya tu?! Saya, ni je lah kot. Mood raya tak muncul-muncul... Kalau bukan sebab Faris dan Alisya, tak terbuatnya kuih raya ni. Anak-anak suka makan sarang semut ni saya sendiri tak la berapa suka... Biskut sarang semut versi arwah Mak saya ni, dohnya tak perlu disagat, cuma bulat-bulatkan je dan masuk paper cup.


Syahdu buat kuih ni sebab arwah Mak tak pernah tak buat setiap kali nak raya. Arwah Mak samalah macam saya... tak berapa suka, tapi buat sebab anak-anak suka makan.

Biasanya memang sayalah yang akan tolong mak buat kuih ni. Kalau dengan arwah Mak, tak de nya satu adunan, mesti lima adunan atau lebih. Memang sampai awal pagilah masih lagi tabur chocolate rice.

Faris dengan Alisya dari sebelum puasa lagi dah ingatkan pasal sarang semut ni. Bila dah buat semalam, bukan main senyum sampai ke telinga. Bukan mereka je, Busu mereka, Bob Ashkarl pun senyum sampai telinga. 😛

Adam Faris shift pagi... :p
Alisya, shift petang... hehe
Alisya puasa setengah hari dapatlah makan beberapa biji yang kosong sebelum letak choclate rice. Sambil banyak kali cakap, "terima kasih Mama sebab buat kuih ni..."

Yang Faris pun cakap, "sedapnya bau kuih ni Mama... tak sabar nak buka puasa, nak makan kuih ni banyak-banyak..."

Mamanya haruslah sorok dan diberi makan bercatu... sebab Mama buat satu adunan saja dapat dalam 250 biji je. Nampak kejam di situ. 😂 Kalau dengan arwah Mak dulu kalau sekali buat 1500 biji atau lebih.

Moga banyak pahala yang arwah Mak saya dapat, sebab ajarkan saya buat kuih ni... sampai cucu-cucu arwah Mak pun suka.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa Mak saya dan tempatkannya di kalangan para solihin.

Bahan-bahan untuk doh:
500g buttercup
1 cawan gula Caster
4 biji telur
1 penutup esen vanilla
2 cawan tepung gandum
4 cawan tepung naik sendiri
1 sudu kecil serbuk koko (optional)

Bahan-bahan untuk krim:
10 sudu besar planta
5 sudu besar gula caster
1/2 biji perahan jus limau nipis
Coklat urai (chocolate rice) secukupnya.

Cara-cara membuatnya:
1. Ayak tepung gandum dan tepung naik sendiri dalam satu bekas. Ketepikan.
2. Pukul buttercup dan gula dengan mixer hingga agak pucat warnanya.
3. Masukkan telur satu persatu, dan esen vanila. Pukul sehingga adunan agak ringan.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh (tidak melekat di tangan).
4. Bulat-bulatkan doh dan letakkan dalam paper cup. Tekan sikit.
5. Bakar dalam oven 180 darjah selama 15 minit (ikut oven masing-masing)

Untuk krimnya:
1. Pukul planta dan gula menggunakan mixer.
2. Perahkan jus limau nipis. Pukul lagi hingga rata.
3. Sapukan krim di atas biskut yang telah dibakar dan taburkan chocolate rice.
4. Sedia untuk dimakan.


Selamat mencuba semua... 🤗


Menjadi ibu, biasanya bukan buat apa yang kita suka, tapi buat sebab nak gembirakan hati dan tunaikan permintaan anak-anak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...