Nuffnang Ads

Bookcafe (^_^)

Agoda Ads

Sunday, August 18, 2019

Sifirlicious: Teknik Kuno (Hafalan)



Anak saya Alisya (Darjah 3) pilih teknik kuno menghafal sifir, daripada modul Sifirlicious Cikgu Mohd Fadli Salleh. 

Sambil-sambil tunggu nak melawat suami sepupu saya di Hospital Putrajaya petang tadi, dia berjaya hafal sifir 8. Good job, Alisya! 👏👏👏 

Biasanya kita paksa anak kita hafal sifirkan? Rupanya selain teknik kuno hafalan, ada lapan lagi kaedah lain. 

Macam biasa, Faris lebih selesa teknik visual atau lukis-lukis. Nanti saya share videonya. 

Tip bonus dalam modul ni, paling best! Cara mudah nak bahagi nombor besar dengan cepat. Saya sendiri pun baru tahu. Memang jimat masa. 

Modul ini sesuai untuk anak-anak Tahun 2 hingga 6, berharga RM70.

Klik di sini untuk dapatkan modul mudah menghafal dan membina sifir https://bit.ly/2KLZmUe


Lebih jimat jika membuat pembelian secara kombo Sifirlicious + Modul Pantas Matematik.

Thursday, August 15, 2019

Media Sosial Bukan Medium Selesai Masalah

"Ingat sikit... kau tu aku kutip masa tak de siapa nak tolong kau. Family kau pun tak mau tolong kau. Aku ni fikir kau kawan baik je aku kutip kau. Ingat dah tolong retilah terima kasih ke apa! Eh... laki aku pulak kau kebas! Memang dasar perempuan tak guna kau ni!!!"

Maka kemudiannya bertaburanlah komen-komen berunsur negatif turut ditinggalkan rakan-rakan Facebook yang lain.

Kebanyakannya mengutuk dan mencaci maki perempuan yang dimaksudkan. Ada juga yang menyalahkan suami si penulis status tersebut. Tukang tulis pun dipersalahkan, kerana tak pandai menjaga suami.

Masing-masing meluahkan rasa geram dengan perkataan-perkataan yang...

Allah, tak sanggup saya nak baca.

Hantaran seumpama ini bukan pertama kali saya lihat. Ramai sebenarnya yang cuba melepaskan amarah kepada pasangan masing-masing melalui media sosial. Dengan harapan mendapat penyelesaian.

Daripada orang tak tahu, semua jadi tahu kemelut  rumahtangga yang sedang dialami pasangan tersebut.

Ramai juga yang membuat andaian, seperti mereka tinggal sebumbung dengan si penulis status.

Jangan terkejut bila ada pelbagai versi jalan cerita yang akan didengar nanti. Masing-masing akan menambah perisa, bagi menyedapkan cerita.

Menulis di media sosial ketika masih beremosi atau sedang marah, tidak akan menyelesaikan masalah.

Ia sebenarnya akan mengeruhkan keadaan, membuka aib pasangan dan menimbulkan lebih banyak salah faham.

Berapa ramai yang berkongsi masalah di media sosial dan kemudiannya tidak mampu untuk mengendalikan emosi, sebaik membaca komen-komen negatif?

Akhirnya si penulis status alami depresi.


Awak, jika ditimpa musibah seperti ini...
a) bertenang, jauhi segala gajet dan ucaplah innalillahi wa innailaihirojiun serta banyakkan istighfar
b) usahalah untuk bertentang mata dengan pasangan dan berbincanglah secara matang
c) jika tidak mampu diselesaikan dalam perbincangan, rujuklah kepada kaunselor rumah tangga di pejabat agama.

Memaksa minda untuk berfikiran positif bukan suatu perkara yang mudah. Namun, berilah ruang dan peluang kepada diri sendiri untuk melihat ujian Allah sebagai satu hikmah yang lebih besar.

Dan awak, jika membaca status sebegini di media sosial, seharusnya
a) tidak meninggalkan sebarang komen pada hantaran tersebut
b) pujuk si penulis status untuk menurunkan  hantaran tersebut
c) tidak memberikan solusi kepada masalah yang sedang dihadapi jika tidak diminta
d) jadilah pendengar yang baik jika dia meluahkan masalahnya
e) tidak menceritakan masalahnya kepada orang lain.

Bantuan kecil seperti ini, sedikit sebanyak dapat menghentikan komen-komen dan tuduhan-tuduhan negatif kepada mereka yang sedang ditimpa musibah rumah tangga.

Insya-Allah aib rumah tangga pun terjaga.

FB tanya, "What's on your mind?"

Wednesday, July 31, 2019

Promo Menarik Emirates Airline!

Kita mesti suka, jika ada produk atau perkhidmatan yang diberikan diskaun atau promosikan? Kalau di shopping mall tu ada potongan harga, mesti lebih teruja. Lagi-lagi kalau barang tu memang kita dah lama nak beli.

Sama juga dengan tiket penerbangan. Kalau memang berhajat nak bercuti ke mana-mana, mesti cari tiket penerbangan yang murah dan menepati poket kita.

Biasanya, syarikat penerbangan akan mengadakan promosi tiket penerbangan pada satu-satu masa atau musim-musim tertentu. Untungnya, kita akan dapat berjimat dan menikmati percutian yang hebat.

Eh, siapa yang tak nak naik kapal terbang mewahkan? Jika diterokai laman sesawang Traveloka, kita boleh dapati tiket penerbangan Emirates flights promo dengan harga yang rendah dan mampu milik. Bila lagikan nak naik kapal terbang mahal?


Emirates adalah antara syarikat penerbangan yang yang terkenal dan berkualiti dari negara Timur Tengah sejak tahun 1985. Syarikat penerbangan ini boleh terbang sehingga ke 150 destinasi. Emirates juga banyak menaja kelab bola sepak seluruh dunia. 

Emirates menawarkan tiga jenis kelas tempat duduk pesawat, seperti kelas ekonomi, kelas bisnes dan kelas pertama.

Tempat duduk kelas ekonomi mereka, selesa dan jika perlukan selimut, mereka boleh sediakan. Biasanya kelas ekonomi ni adalah pilihan kebanyakan dari kita.

Tempat duduk kelas bisnes, mempunyai kerusi yang sangat selesa dan boleh dibaringkan. Skrinnya juga lebih besar. Jadi bolehlah bersantai-santai sambil mendengar lagu mahupun menonton filem kegemaran.

Jika mempunyai bajet yang lebih, bolehlah dapatkan tempat duduk kelas pertama. Pasti tempat duduknya jauh lebih besar dan selesa. Perfume dan penutup mata pun disediakan tau. Bestkan?

Emirates adalah penerbangan five stars, jadi sudah pasti tiketnya mahal. Tapi, kita boleh dapatkan tiketnya dengan harga mampu milik dengan memasang aplikasi Traveloka atau cari saja Emirates di laman sesawang Traveloka.


Pada ruangan section search, isikan maklumat yang diminta seperti destinasi, tarikh pergi dan balik dan jumlah penumpang. 

Tricknya, pilih tarikh yang jauh sedikit dari tarikh hari ini. Jangan pilih tarikh cuti sekolah atau perayaan. Dengan cara ini, kita akan dapat harga yang paling murah.

Kemudian tekan  butang search. Biasanya harga yang paling murah akan dipaparkan di bahagian atas carian. Jika berpuas hati dengan harga tersebut, bolehlah terus tempah dan membuat bayaran secara online menggunakan kad kredit atau debit. Mudahkan? Sekarang semuanya di hujung jari je!

Contohnya, sekarang ni kan ada cheapest flights to London promotion di Traveloka tau. Kalau dah naik Emirates, syoklah kalau dapat bercuti ke Londonkan? Banyak tempat menarik pula tu!

Antara tempat menarik di London adalah Hampstead Heath. Ia merupakan salah satu taman yang terbesar di London dengan keluasan 790 ekar. Taman ini terletak di salah satu kedudukan tertinggi di London. 

Bayangkanlah pemandangan yang dapat dinikmati dari kawasan ini? Ini adalah antara lokasi terbaik untuk diterokai bersama keluarga. Taman ini juga ada kolam renang dan sebuah muzium, Kentwood House yang menarik untuk dilawati oleh para pencinta sejarah.

Brick Lane adalah sebuah tempat menarik di London yang dipenuhi dengan komuniti Bangladesh. Kalau teringin nak makan kari, tandori dan sebagainya, bolehlah singgah ke kawasan ini yang menawarkan bermacam jenis kedai makan untuk dicuba.

Selain kedai makan halal, di sini juga terdapat pasar-pasar yang menjual barangan antik, pakaian dan bermacam lagi barangan menarik. Selain tu, Brick Lane juga terkenal dengan street artnya dan sering dijadikan lokasi pergambaran video-video muzik. Apa lagi? Sediakan kamera dan terjah lokasi ini untuk meriahkan instagram anda, dengan gambar-gambar menarik.

Oxford Street adalah lokasi membeli-belah yang paling meriah di Eropah dan sudah semestinya yang tersibuk di London. Kebanyakan kedai yang terdapat di sini adalah butik-butik berjenama mewah.

Sepanjang Oxford Circus ke Tontenham Court Road, terdapat kedai-kedai seperti American Apparel dan Topshop. Di kawasan Oxford Circus dan Bond Street pula terdapat banyak kedai-kedai pakaian berjenama terkenal seperti Zara, Gap dan H&M. 

Sepanjang Marble Arch ke Bond Street pula, terdapat Marks & Spencer, New Look, Selfridges dan Primark. Selain pakaian, di sekitar Charing Cross Road dan Denmark Street, terdapat banyak kedai buku dan peralatan muzik. Sementara itu di Edgware Road pula terdapat jualan pelbagai barangan elektronik. 

Eh, menulis dan membayangkannya pun dah rasa teruja. Kalau dapat pergi, lagilah bestkan? Nak ke London dengan Emirates? Jom, check promosi di Traveloka.

Jangan risau tau, Traveloka ni adalah satu sistem yang makin famous dan menjadi pilihan orang ramai. Insya-Allah, selamat dan boleh dipercayai. 


Nora Karim 
Ada yang nak taja saya ke London naik Emirates? Eh! :p

Sunday, July 28, 2019

Movie Review: Toy Story 4

"Apalah Mama ni, tengok kartun pun menangis!" Kata Alisya sambil terkekek-kekek gelakkan saya bersama Faris. 

"Eh, sedihlah. Budak-budak mana faham...," jawab saya malu sendiri, sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju. 

Siapa belum tengok Toy Story 4? Sila tengok filem ni. Memang sangat best, dan banyak mesej tersirat. Saya boleh katakan, filem ini adalah siri yang terbaik berbanding siri trilogi yang lepas. Toy Story 1, 2 dan 3 memang ada kisah dan mesej yang menarik juga, cuma yang keempat ni, garapannya lebih menyentuh emosi. 

Bila tengok filem ni, saya membayangkan diri sendiri. Bagaimana satu hari nanti, kita dah tak penting pada orang lain, kita dah tak memberi manfaat pada orang lain, kita dah tak dipedulikan orang lain. Ketika itu, kita akan rasa sangat terasing, sangat stress dan seterusnya mencari jalan untuk membahagiakan diri sendiri. Malah lebih teruk lagi, apabila kita menyakiti hati sendiri bagi memastikan orang lain 'nampak akan kewujudan' kita. 

Itulah watak yang dibawa oleh Woody sepanjang siri kali ini. Bayangkan dulu, Woody sangat disayangi oleh Andy. Ia menjadi antara barang mainan yang sangat disayangi oleh pemiliknya. 

Woody akan sentiasa dibersihkan, dijaga dengan kemas, dibawa tidur bersama, dijadikan tempat untuk meluah rasa dan akan sentiasa berada di sisi Andy, walau di mana dia berada. Namun, apabila Andy semakin dewasa, peranan Woody sebagai penenang hati semakin pudar. 

Sehinggalah diserahkan kepada pemilik baru, Bonnie, seorang kanak-kanak perempuan. Bersama Bonnie menjadikan Woody hilang kuasa memiliki hati Bonnie. Bonnie lebih berminat untuk bermain dengan mainan yang bercirikan perempuan.


Ada tujuh ibrah yang saya kutip daripada filem ini: 

1. Kesetiaan - dalam filem ini, sangat jelas ditunjukkan, betapa setianya Woody kepada pemiliknya, baik Andy mahupun Bonnie. Ia sanggup melakukan apa saja, walaupun Bonnie tidak lagi bermain dengannya. Demi memastikan Bonnie dapat menyesuaikan diri di sekolah, diberi bantuan sehingga terhasilnya Forky. Watak yang menghidupkan jalan cerita ini. Seriously, Forky sangat kelakar! 

2. Kepercayaan - dari siri 1 lagi memang ditampilkan sifat kepercayaan ini. Bagaimana setiap satu mainan itu saling mempercayai antara satu sama lain. Sifat ini menjadikan mereka sangat akrab dan jarang berlaku pergaduhan besar. 

3. Saling membantu - dalam apa juga misi yang perlu diselesaikan, mereka akan sama-sama berusaha untuk menyelesaikannya. Lebih ramai yang membantu, lebih mudah misi penyelesaian dicapai. 

4. Persahabatan - istilah sahabat ini adalah mereka yang sentiasa ada bersama kita walau dalam apa jua keadaan. Baik sedih, gembira, tertekan, sunyi dan sebagainya. Fungsinya adalah untuk menenangkan dan cuba memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Lihat sendiri bagaimana penerimaan mainan yang lain terhadap Forky yang asalnya daripada sampah, yang dikitar semula oleh Bonnie. 

5. Kebebasan - ada dua kebebasan yang saya nampak dalam filem ini. Pertama, kita tidak boleh memaksa semua orang untuk sayang kita dan kedua kita sebenarnya bebas memilih apa yang terbaik untuk kita dalam kehidupan. 

6. Tidak merendahkan seseorang/sesuatu - asal Forky dari sampah, namun semua mainan menerima kehadirannya dengan hati yang gembira. Tidak pula mereka memerli atau menyuruh Forky pulang ke tempat asalnya (tong sampah). Mereka merasakan setiap satu dari mereka sangat istimewa, termasuk Froky. 

7. Membuat pilihan - oh, part ini yang paling touching. Bila mana Woody yang setia kepada Bonnie, terpaksa membuat pilihan sama ada akan terus bersama Bonnie atau meninggalkannya dan bermain dengan kanak-kanak yang lain. Yang mana tiada lagi unsur pemilikan mutlak keatasnya. 

Si peminat filem animasi. 
5⭐ untuk filem Toy Story 4.

Wednesday, July 10, 2019

Resipi Mudah: Nangka Goreng

Jiran sebelah rumah bagi sebiji buah nangka. Punyalah banyak. Separuh dah pass ke anak buah saya kelmarin masa dia singgah ambil barang.

Punyalah banyak setengah biji pun. Tak apalah rezeki orang bagi. Tengok FB, jumpa orang buat nangka goreng.

Oh, nangka boleh goreng rupanya. Ingat cempedak je. Mohlah try. Tak goreng banyak pun, takut tak de orang nak makan.


Ni resepi paling mudah:
Beberapa ulas nangka (buang biji dan cuci bersih)
1/2 cawan tepung gandum
Garam sikit
Serbuk kunyit sikit
Air untuk jadikan bancuhan

Caranya:
Celupkan nangka dalam bancuhan dan goreng.

Ok, rasanya sedap. Kalau cempedak, isinya jadi macam lembik sikitkan, mungkin sebab cempedak direbus dulu. Tapi nangka ni, walau digoreng masih kenyal dan sedap.

Tapi awas tak boleh makan banyak. 😅

Kalau tengah diet, makan nangka raw jelah...

Monday, April 01, 2019

Inilah 'Bonding Time' - Semudah Menjadi Pendengar Setia

"Mama, cikgu tak bagi lagilah jadual waktu yang baru," kata Alisya pada saya lewat malam kelmarin.

"Cikgu tak sempatlah tu. Tak pe, cikgu dah bagi jadual baru dalam Whatsapp. Nanti esok nak susun buku ambil telefon Mama," jawab saya sambil tekun menyemak manuskrip buku, tanpa memandang wajahnya.

"Kita dah lama tak buat aktiviti sama-samakan, Mama?" Alisya menghampiri saya, lalu meletakkan pipi kirinya di tangan kanan saya.

"Hm...," jawab saya ringkas, sambil terus membaca manuskrip.

Setelah beberapa ketika, saya tidak memberi 'respond'...

"Tak apalah. Alisya naik tidur dululah," dia terus berlalu dan naik ke bilik.

Tanpa salam.
Tanpa ciuman.
Tanpa ucapan selamat malam.

Eh!
Baru saya tersedar.
Saya abaikan Alisya.
Saya tak pandang wajahnya ketika dia bercakap.
Saya tahu Alisya merajuk.
Allah...

Pagi semalam, saya keluarkan kertas A4, saya lukiskan beberapa petak. Alisya duduk di kerusi, jauh sedikit dari saya. Tapi dia tekun melihat apa yang sedang saya lakukan.

"Eh, Mama lukis jadual waktu Alisya ke tu?" Soalnya.

"Ha ah. Mehlah sini. Nanti Alisya warna tau," pancing saya supaya Alisya mendekat.

"Nak, nak... Mama tulislah, sebab tulisan Alisya tak cantik. Alisya warna," bersinar-sinar matanya. 'Excited'.

"Ok, Mama tulis, Alisya warna. Sebab Mama warna tak cantik sangat."

Terus dia berlari ke almari yang menyimpan alat tulis. Dicapai kotak pensil warna. Kemudian, dikeluarkan beberapa warna pilihan, tanda bersedia untuk mula mewarna.

"Ok nah, Mama dah siap tulis subjek semua. Alisya pula warna...," sambil menghulurkan jadual waktu yang telah siap ditulis.

Dia mula mewarna. Sesekali dia meminta pendapat saya dengan warna pilihannya. Sama ada sesuai atau tidak.

Sambil mewarna, dia bercerita tentang  sekolah, rakan-rakan, cikgu-cikgu, makcik kantin, makcik 'cleaner', makcik 'guard' dan macam-macam lagi.

Saya berikan dia masa saya.
Saya berikan dia telinga saya.
Saya berikan dia sepenuh perhatian saya.

"Yey, dah siap. Cantikkan Mama?" Tanyanya sambil menayangkan jadual waktu yang telah siap diwarna.

"Wah, cantiklah..." sambil menunjukkan isyarat 'thumbs up'.

"Boleh Alisya bawa jadual ni pergi sekolah? Alisya nak beritahu kawan-kawan, yang Alisya buat jadual ni dengan Mama."

"Ok, boleh..."

"Terima kasih, Mama. Seronok hari ni sebab dapat buat ni dengan Mama," katanya sambil menghadiahkan saya satu ciuman di pipi.

Nah, terbayar sudah semua yang Mama patut berikan semalam.

Saya boleh je 'print' jadual tu dan berikan pada Alisya. Tapi, maknanya saya masih berhutang masa untuk beraktiviti dengannya. Biarpun, aktiviti ni sangat 'simple', tapi bayangkan betapa seronoknya Alisya bila saya dapat luangkan masa bersamanya.

Buat aktiviti simple pun,
bonding time.

Anak-anak ni,
Mereka nak kita berikan masa untuk berbual dengan mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita berkreatif dengan melakukan aktiviti bersama mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan telinga untuk mendengar cerita mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan mata untuk pandang wajah mereka,

Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan tangan untuk menyentuh dan memeluk mereka,

Bukan lama, hanya untuk seketika...
Inilah 'bonding time'.

Nora Karim
Lega bila dapat tebus kesalahan pada anak...

Tuesday, March 26, 2019

1 Dibawa Bersama, 6 Tinggal di Dunia

* Maaf, status ini agak panjang *
Kredit gambar: Shahrol Al Farouque

Semalam, 25 Mac, hari yang sangat suram bagi saya. Seawal subuh mendapat perkhabaran, sahabat sekolah menengah telah kembali dijemput Ilahi. Apabila mendapat tahu, arwah akan dikebumikan berdekatan dengan kawasan rumah, terus saya bersiap. Dengan harapan dapat melihatnya buat kali terakhir.

Saya menunggu sejak jam 1.20 petang, di surau Blok B, PPR Batu Muda. Lebih kurang jam 3.30 petang, jenazah tiba dan diletakkan di satu ruang di dalam surau. Sebaik itu juga, hujan turun dengan lebatnya, selebat tangisan kami.

Arwah sahabat saya meninggalkan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan berusia, 13, 11, 8, 6, 3 dan 1 tahun lebih. Mereka masih kecil. Anak-anak arwah semuanya berkulit putih, sangat cantik dan comel.

Melihat anaknya yang keempat (perempuan, usia enam tahun) menangis, membuatkan saya turut sedih. Dia mendakap erat ibu saudaranya, seolah tidak mahu dilepaskan. Dia faham, Mamanya sudah tiada. Bengkak dan merah matanya. Mungkin menangis dari awal subuh semalam.

Anak nombor lima (lelaki, usia tiga tahun), memegang mainan, asyik dalam dunianya sendiri. Mungkin pelik melihat ramai orang tetapi dia tidak faham. Anak nombor enam (lelaki, usia 1 tahun lebih), lena tidurnya sepanjang menunggu jenazah Mamanya di surau.

Anak sulung (perempuan, usia 13 tahun) dan anak kedua (perempuan, 11 tahun), difahamkan berada di hospital untuk mandikan jenazah Mama mereka. Bertuah sahabat saya ini, kerana anak-anaknya mengambil tanggungjawab, untuk berbakti buat kali terakhir kepada Mama mereka.

Anak nombor tiga? Entah yang mana satu, saya masih tercari-cari. Katanya lelaki. Berusia lapan tahun. Terdengar orang kata, dia tak mahu dekat dengan jenazah Mamanya. Pasti dia sedih sangat.

Ketika kafan di selak sedikit di bahagian muka, terasa sebak. Makin lama makin kuat tangisan daripada kami yang hadir. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak arwah bergilir-gilir menciumnya. Semua anaknya kecuali si nombor tiga.

"Ada lagi kawan-kawan yang nak cium arwah?" Tanya salah seorang ahli keluarga arwah. Saya segera bergerak ke sebelah kanan arwah, menunggu giliran untuk mengucupnya.

Sebaik duduk di kanan arwah, terasa lemah segala anggota badan. Terasa sayu hati. Tidak sudah-sudah saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak berkesempatan bertemu ketika hayatnya.

Ya Allah, tak sangka dalam keadaan begini saya bertemu dengan sahabat saya buat kali terakhir. Apa yang saya lakukan selama ini sehingga tidak sempat bertemu sahabat saya. Sibuk sangatkah saya?

"Sahabat, insya-Allah syahid milikmu," bisik saya dengan air mata yang ditahan.

Saya mengucup kedua-dua belah matanya. Sejuk. Wajahnya sangat tenang, seolah sedang tidur lena. Syukur, kerana Allah izinkan saya bertemunya, walau bukan dalam keadaan yang saya mahu.

Di sisi kanan arwah, diletakkan arwah anaknya yang ketujuh. Ya, anak ketujuh. Sahabat saya sedang hamil anak ketujuhnya. Lima bulan usia kandungannya. Tetapi disebabkan komplikasi dan tumpah darah, dia dan anaknya tidak dapat diselamatkan.

Bukankah baik pengakhirannya?
Bukankah syahid pemergiannya?
Bukankah syurga tempatnya?
Insya-Allah, itulah sebaik-baik tempat untuk sahabat saya ini.

Saya ternampak seorang budak lelaki berbaju Melayu biru gelap. Duduk sedikit jauh dari jenazah. Tersedu-sedu. Setiap kali air mata menitik dari tabir matanya, dia segera mengelap dengan belakang tapak tangannya. Tidak ada setitik air mata pun yang dibiarkan mengalir di pipi. Dalam sedunya, ada seseorang yang memujuk, agar dia mencium Mamanya.

"Oh, inilah anak nombor tiga arwah," bisik saya.

Melihat anak kecil ini, saya turut menangis. Besarnya ujian kamu duhai anak. Kehilangan orang yang paling kamu sayang, paling kamu harapkan, pada usia ini. Saya kehilangan ibu saya pada usia 26 tahun, itu pun sudah cukup perit bagi saya. Inikan pula anak-anak ini.

Lama dipujuk, dia tetap menggeleng tanda tidak mahu mencium Mamanya. Makin dipujuk, makin laju air matanya jatuh. Saya yang memerhati turut laju menangis. Dalam hati, saya turut berdoa agar anak itu mencium Mamanya buat kali terakhir.

Sebaik bacaan Yasin dan tahlil selesai dibaca, tiba-tiba anak ini bangun dan menghampiri Mamanya, didekatkan hujung hidungnya dengan hujung hidung Mamanya. Kemudian dia terus menjauh. Ya Allah, momen ini... sangat sedih.  Moga anak-anak ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berjaya di dunia dan akhirat serta bermanfaat pada ummah.

Di dunia, arwah menjaga enam anaknya, kini di sana dia ditemani seorang anak syurga. Izzatul, selamat jalan. Semoga Allah menempatkanmu di salah satu taman syurga milik-Nya. Insya-Allah kita ketemu nanti.

Izzatul Ismail
12.07.1980-25.03.2019



Nora Karim
Juga bakal menyusul.

Monday, March 11, 2019

Kisah 13 Tahun Lalu

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

13 tahun lalu, saya pernah meminta izin daripada Mak Lang, Khalsom Bibi Sarbat Khan dan Pak Lang saya, untuk menangguhkan majlis nikah dan sanding.

Ketika itu, mak saya dalam keadaan yang sangat kritikal. Menghuni ICU berbulan lamanya. Saya juga hampir setiap hari berulang dan bergilir dengan adik beradik yang lain menjaga mak di hospital.

7 Mac 2006, apabila mendapat khabaran mak telah meninggal dunia, saya terus ke hospital semula setelah baru bertukar shift dengan abang sulung saya. Saya bersama abang sulung menguruskan jenazah mak di hospital.

Di bilik mandikan jenazah, saya rasa tenang melihat mak. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tubuh badan mak tak perlu lagi ditebuk dan dimasukkan pelbagai wayar.

Memandikan jenazah mak, merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini. Ya, 13 tahun telah berlalu. Namun saya masih ingat dengan jelas.

Perginya mak bersama doa-doa untuk anaknya,
Perginya mak bersama redup pandangan matanya,
Perginya mak bersama lembut belaiannya,
Perginya mak bersama hangat pelukannya,
Perginya mak bersama manis senyumnya,
Perginya mak bersama gelak tawanya,
Perginya mak bersama sedap air tangannya,
Perginya mak bersama indah nasihatnya,
Perginya mak bersama...
Rindu yang sukar untuk diungkap.


Bagaimana dengan majlis nikah dan perkahwinan saya? Ia tetap berlangsung, pada hari keempat (11 Mac), setelah tiga hari berturut-turut majlis tahlil untuk arwah mak.

Kini,
13 tahun menanggung beban merindui mak.
Dan,
13 tahun bersama cinta hati saya.

Baiknya Allah, digantikan kehilangan mak dengan kehadiran suami.


Selamat hari ulangtahun perkahwinan yang ke-13 encik suami.

Nora Karim
Berbahagialah, jika kamu masih ada ibu dan ayah. Berbaktilah kepada mereka.

Artikel berkaitan:
Genap 10 Tahun Pemergian Mak

Thursday, February 28, 2019

Ulasan Buku: Head With Serban

Ulasan buku: Head With Serban
Penulis: Najmi Nawawi
Terbitan: Komrad Buku
Tahun terbitan: 2015
Ketebalan buku: 137 muka surat
Harga: RM20.00


Dai adalah perkataan Arab yang merujuk kepada pendakwah.

Nampak berat perkataan 'dakwah', seperti ia hanya layak dilakukan oleh ustaz, ustazah, pendakwah mahupun para alim sahaja. Namun sebenarnya, ia adalah tanggungjawab setiap mukmin.

Perbuatan, cara komunikasi, cara menulis, tingkah laku mahupun apa jua yang kita lakukan adalah dakwah secara tidak langsung.

Senyum juga dakwah.

Menulis masuknya waktu solat di Facebook juga dakwah.

Berkongsi sesuatu yang menjadi manfaat kepada orang lain juga dakwah.

Belanja kawan makan juga dakwah.

Pendek kata, apa jua perkara baik yang kita lakukan dan bermanfaat pada orang lain, itu semua dakwah.

Buku ini adalah bacaan santai, bahasa dan jalan ceritanya disusun kemas. Mudah difahami.

Sampul bukunya (baca: cover) yang berwarna merah seolah-oleh memberitahu apa yang boleh dan tidak boleh seseorang itu lakukan dalam usaha menyampaikan dakwah.

Ada beberapa bab yang menyebabkan saya tersentap dan berfikir panjang. Begitu juga dengan kata-kata hikmah di dalamnya, yang kena batang hidung.

"Jangan sibuk nak 'bergetar tulang rusuk', kalau subuh pun nak kena kejut sampai 'bergegar tiang rumah'."

Sangat #deep dan #makandalam.

https://goo.gl/yA7XSh


Nora Karim
Moga Allah pandang usaha penulisan saya sebagai dakwah, dalam cubaan menyebarkan manfaat. InsyaAllah, amin...

Wednesday, February 20, 2019

Pre-order: Mama, Kopi & Wi-Fi

Pre-order: Mama, Kopi & Wi-Fi | Saya sebenarnya segan nak promosi buku kolaborasi pertama saya. Bukan apa, saya cuma tulis lima anekdot dalam buku tersebut, di samping 21 lagi penulis hebat di dalamnya.


Tapi bila lihat sambutan yang sangat menggalakkan daripada rakan-rakan, saya rasa sangat terharu.

Ada yang saya bagi diskaun, tetap bayar penuh sebab menghargai usaha saya bersama 21 penulis lain dalam menyiapkan naskah Mama, Kopi & Wi-Fi.


Subhanallah, terima kasih banyak-banyak, moga Allah berikan kesihatan yang baik dan sentiasa melimpahkan rezeki buat kamu.

Tak sangka juga, rupanya saya ada beberapa orang 'silent reader' yang mengikuti setiap perkongsian saya, baik di blog mahupun di Facebook. Sungguh, saya sangat terharu!


Moga apa jua perkongsian saya, di 'platform' mana sekalipun, memberi manfaat kepada pembacanya.

Jika masih ada lagi 'silent reader' saya di sini, saya doakan kalian sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Ada juga di kalangan pembeli buku kami, yang saya tak kenal langsung, tapi tetap sudi 'support' dan membeli buku kami. Semoga Allah sentiasa permudahkan segala urusan kalian.


Disebabkan urusan promosi dan 'marketing' buku jadi tanggungjawab penulis, sekali lagi saya mewar-warkan, buku kami bertajuk "Mama, Kopi dan Wi-Fi" telah dibuka untuk 'pre-order' dengan harga RM19 senaskah (tambahan RM8 untuk kos pos Semenanjung Malaysia).

Harga ini adalah istimewa untuk 20 orang pembeli terawal. Klik link untuk tempahan http://www.wasap.my/60193441384

Nora Karim
Terharu sungguh dengan sokongan kalian. Terima kasih banyak-banyak.

Monday, February 18, 2019

Sedekah, Nanti Allah Gantikan Dengan Lebih Baik

Sedekah, Allah Ganti Dengan Yang Lebih Baik | Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Ini anak saya, Alisya Farha.

Seorang yang sangat berjimat cermat. Jarang  membelanjakan wang sakunya di sekolah. Jarang juga membeli benda-benda yang dirasakan tidak perlu.

Dia juga digelar oleh abangnya sebagai 'si kedekut, tahi hidung masin!'

Tapi 'si kedekut' ini tahu ke mana harus dibelanjakan duit simpanannya.

'Si kedekut' ini paling suka bersedekah. Dia sangat istiqamah dalam memberi sedekah.

Setiap hari Khamis, 'si kedekut' ini tidak pernah tinggal memberikan sedekah kepada orang yang menadah tangan di pasar malam yang biasa kami kunjungi.

Apa juga tabung derma yang ada sepanjang pasar malam ini, dia akan masukkan RM1. Nilainya memang tidak banyak, tetapi saya percaya nilai itu sangat menggembirakan hati orang yang menerimanya.

Pernah satu hari, dia terlupa bahawa hari itu hari Khamis. Dia telah kehabisan duit belanja sekolah.

Dalam kereta, dia tanya saya, "mama boleh pinjamkan Alisya duit seringgit-seringgit tak?"

"Nak buat apa? Kalau nak beli apa-apa cakap je nanti mama bayarkan," jawab saya.

"Er tak... bukan nak beli apa. Alisya nak bagi sedekah dekat pasar malam tu. Alisya lupa hari ni hari Khamis. Dekat sekolah tadi, Alisya sedekah RM1 dekat kawan Alisya sebab mak dia lupa nak bagi duit belanja," jelasnya.

"Sedekah? Kenapa bukan bagi pinjam?" soal saya.

"Kalau Alisya kata pinjam, nanti dia kena bayar balik, Alisya tak dapat pahala. Kalau Alisya kata sedekah... dia tak payah bayar balik, Alisya dapat pahala. Lagipun, kalau nanti mama terlupa nak bagi Alisya duit belanja, mesti Allah gantikan siapa-siapa untuk sedekah dekat Alisya pula...."

Allah...

Sentap!

Malu!

Segan!

Nora Karim
Saya yang ajar dia supaya selalu bersedekah, tapi saya yang selalu berkira-kira sebelum memberi. Allah... 😓

Thursday, February 14, 2019

Buku Kolaborasi Bakal Terbit: Mama, Kopi & Wi-Fi

Buku kolaborasi bakal terbit: Mama, Kopi & Wi-Fi |Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Subhanallah...

Sebelum ini, saya pernah berasa sangat sukar untuk menyiapkan lima anekdot bagi buku pertama saya bersama 21 orang penulis lain.

Boleh baca di link ini:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155191275583078&id=670428077

Alhamdulillah...

Hari ini, saya sangat bersyukur kerana buku tersebut sedang dalam proses akhir penerbitannya.

Rasa macam tak percaya, apabila diberitahu sampul buku (baca: cover) telah siap direka. Isi kandungannya pula sedang dalam proses suntingan awal sebelum diserahkan kepada editor yang lebih pakar.

Mohon doa daripada sahabat semua, agar projek buku kolaborasi kami ini akan dipermudahkan dan berjalan lancar.

Berikut adalah tajuk anekdot tulisan saya:
1. Angin...
2. Berkat Doa Ibu
3. Dietlah, Dah Gemuk!
4. Mentos Pun Boleh
5. Pisang Kaki


Sukacita saya nak war-warkan, buku kami bertajuk "Mama, Kopi dan Wi-Fi" telah dibuka untuk 'pre-order' dengan harga RM19 senaskah (tambahan RM8 untuk kos pos Semenanjung Malaysia).

Harga ini adalah istimewa untuk 20 orang pembeli terawal. Klik link untuk tempahan http://www.wasap.my/60193441384

Nora Karim
Dah terbau buku baru dalam tangan.
Ya Allah, permudahkanlah...

Sunday, February 03, 2019

Belajar Kenal Huruf a, e, i, o dan u

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Lewat malam kelmarin, saya dapat satu video dari seorang sahabat lama. Video anaknya menyanyikan lagu bagi mengenal huruf-huruf vokal a, e, i, o dan u.

Saya yang baru pertama kali dengar lagu tu rasa teruja sangat. Nampak sangat cikgu-cikgu era baru ini sangat kreatif dalam mendidik anak-anak muridnya. Lebih-lebih lagi cikgu pra sekolah dan tadika.

Lepas je dapat video tu, aduhai... Terus terngiang-ngiang sampai ke tidur. Nak pula dengar suara comel macam Aisy ni. Alisya pun suka. Maklumlah masa dia dulu tak de pula nyanyi macam ni.

Saya rasa lagunya agak comel didengar. Sampai sementara nak cari ilham saya dok nyanyi dan tulis macam ni. Macam buat 'doodle' rasanya. Hilang 'stress'!

Semalam masa anak saudara saya datang pun, saya nyanyi dan tulis macam tu. Bukan main seronok dia dengar. Mungkin sebab kita menyanyi dan tulis dalam masa yang sama.

Aktiviti ini, walaupun nampak simple, tapi anak-anak akan rasa seronok belajar sambil bermain.

Cuma sediakan kertas, pensel dan suara yang enak didengar. 😅

Mudahkan?

Jom ajar anak mengenal huruf vokal.

Nah saya bagi lirik sekali:
Bulan sabit, tiang pendek, itu huruf a,
Tolak tepi, bulan sabit, itu huruf e,
Tiang pendek, mata satu, itu huruf i,
Bulat-bulat, sampai habis, itu huruf o,
Cawan pecah, tiang pendek, itu huruf u,
Huruf vokal, huruf vokal, a e i o u.

Nota kaki:
Kredit pada ibu Aisy, Norhashimizan Khamis. 💖 Terima kasih atas perkongsian.

Nora Karim
Suara tak sedap pun tak pe. 😅

Thursday, January 31, 2019

Beli Gula Je...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Saya singgah di kedai untuk membeli gula, selepas mengambil Faris dari sekolah.

"Mama nak beli gula ni. Faris nak ikut atau tunggu dalam kereta," tanya saya sebelum keluar dari kereta.

"Nak ikutlah. Ayies nak beli air... haus."

"Eh tak payahlah... Mama nak beli gula je... Ayies kalau masuk kedai kang macam-macam air manis Ayies nak beli."

"Ha oklah... Ayies tunggu dalam kereta je..."

Saya keluar dan tunggu Faris kunci pintu kereta dari dalam.

Masuk kedai terus ke rak gula. Ambil dan bayar di kaunter. Kemudian terus menuju ke kereta.

"Hah, ni apa ni? Gula ada, roti ada, susu lagi... hah ni apa... cucur bilis pun ada? Kata nak beli gula je?" katanya sambil menyelak-yelak plastik barang yang saya letak di kerusi sebelah pemandu.

"Nak buat macam mana, semua nak ikut balik..." jawab saya tergelak, sambil terus memandu.

"Ugh!"

Nora Karim
Pelik eh, kenapa barang lain pun nak ikut balik? 😅

Tuesday, January 29, 2019

Mama Tamak!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

"Mama, dekat sekolah Alisya tu kan, ada yang pakai 'vest' warna 'purple'kan, yang tu pengawas apa?" tanya Alisya pada saya semalam.

"Er, Mama rasa tu bukan pengawas, tapi Pembimbing Rakan Sebaya," jawab saya teragak-agak.

Sambil tu saya cuba ingat apa yang ditulis di belakang 'vest purple' yang dipakai beberapa pelajar di sekolah Alisya.

"Pembimbing Rakan Sebaya tu macam mana?"

"Dia macam kawan yang kita boleh percaya. Kalau kita ada masalah, kita boleh cerita dekat dia. Dia sedia mendengar. Yang paling penting, dia tak cerita masalah kita tu pada orang lain. Orang yang dilantik jadi Pembimbing Rakan Sebaya ni kena jujur, amanah... mereka tu terlatih. Kena hadir kursus khas," semudah-mudah penerangan saya cuba beri pada Alisya.

"Macam mana Mama tahu?"

"La, Mama tahu la, dulu Mama sekolah juga. Masa Mama sekolah menengah, Mama ketua Pembimbing Rakan Sebaya tau," sambil tegakkan badan. Berlagak macam kaunselor hebat.

"Eeii, Mama ni tamakkan? Ketua Kelas pun dia, Pengawas pun dia, Pengawas Pusat Sumber pun dia, Ketua Bulan Sabit Merah pun dia, Ketua Kelab Ping Pong pun dia... ni Ketua Pembimbing Rakan Sebaya pun dia. Ingat Mama... orang tamak selalu rugi," sambil jari telunjuknya digoyang ke kiri dan kanan.

Eleh, 'jealous'lah tu. 😝



Nora Karim
Sekali sekala 'berlagak' dengan anak-anak tak pe. 😅

Tuesday, January 22, 2019

Ulasan Buku: 99 Stress Free Daddy

Ulasan buku: 99 Stress Free Daddy
Penulis: Azzam Supardi
Terbitan: Mustread Sdn Bhd
Tahun terbitan: 2016
Ketebalan buku: 137 muka surat
Harga: RM18.00





Saya membaca 10 bab yang pertama. Tergelak sakan saya membaca keletah ayah (si penulis) dengan anaknya, Nisa.

Disebabkan seronok membaca dari satu bab ke bab yang lain, saya bercadang untuk mencari si penulis di Facebook. Manalah tahu dapat tips ber'sweet-sweet' dengan anak.

Jumpa Facebook Azzam Supardi. Saya tekan butang Follow.

Kemudian, saya baca satu persatu hantaran statusnya. Makin lama menitis air mata saya. Namun belum mahu berhenti membaca.

Rupanya penulis buku ini telahpun kembali ke rahmatullah, pada 4 Julai 2017, kerana sakit jantung. (Innalillahi wa innailaihirojiun). Yang lebih mengejutkan saya, penulis buku ini juga adalah pelukis komik "Aku Hidup Dalam Blues".

Komik yang sangat popular, suatu ketika dulu. Malah saya mengikutinya, cuma saya tak tahu penulis buku "99 Stress Free Daddy" ini dan pelukis komik "Aku Hidup Dalam Blues" adalah orang yang sama. Allahyarham menggunakan nama pena Toyon dalam karya komiknya.

Sejak itu, gagah juga saya menghabiskan membaca buku 99 Stress Free Daddy ini. Buku ini adalah bacaan santai yang sangat kelakar.

Tetapi disebabkan saya dah tahu penulisnya telah pergi, walaupun saya ketawa membacanya, namun air mata tetap mengalir. Asal habis beberapa bab, saya terfikir bagaimana Nisa menghadapi hari-hari tanpa ayahnya.

Saya percaya, buku ini menjadi buku kesayangan Nisa, kerana sebahagian kenangan bersama ayahnya dinukilkan di dalam buku ini.

Tahun ini, Nisa telahpun memasuki Tahun 1.  Saya doakan moga Nisa dan ahli keluarganya tabah dengan ujian ini. Semoga Nisa juga menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia dan akhirat.


Gambar dari Facebook Ujang Moy


Allahyarham Azzam Supardi juga adalah penulis bersama di dalam buku Pilotoq. Buku yang sedang menunggu giliran di rak buku saya untuk dibaca.

Terima kasih di atas buku "99 Stress Free Daddy" yang sedap dibaca ini. Sememangnya ia sebuah naskah yang 'sweet' antara ayah dan anak. Ia sesuai dibaca untuk meredakan tekanan seharian bekerja.

Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham Azzam Supardi, dan moga ditempatkan bersama para solihin.


Nota kaki: Walaupun penulisnya telah tiada, saya tetap nak sarankan buku ini agar dibaca terutamanya oleh para bapa. Sedikit sebanyak boleh belajar cara 'tackle' hati anak kecil.


Rancang dan tinggalkan sesuatu yang bermanfaat, selepas ketiadaan kita.

Wednesday, January 16, 2019

Tulis Planner, Urus Tekanan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


"Aku beli planner baru ni, tapi tak pakai pun. Masa beli bukan main 'excited'. Bila dah ada depan mata, tak tahu nak tulis apa. Rugi je, dahlah mahal juga harganya," adu seorang rakan. 

"Kenapa tak tulis ?" tanya saya.

"Entahlah, dia punya isi tu macam tak ngam dengan apa yang aku nak tulis. Ada 'mood tracker' la... 'cash flow' la... bajet itu ini. Benda-benda tu bukan kita pakai sangat pun," jawabnya seolah kesal membeli planner.

Ramai sebenarnya yang beli planner. 

Tapi kosong sampai ke hujung tahun. 

Betul juga, sebab planner yang dah siap bercetak ni, kadang-kadang apa yang kita tak nak, ada dalam tu. Tapi kalau saya, saya gunakan je semua, ubah ikut kesesuaian saya.

Hari ni dah 16 Januari. 

Pada mereka yang dah ada planner tapi tak pasti nak gunakan macam mana, sempat lagi nak isi. 

Jom saya kongsi bagaimana saya menggunakan planner yang telah siap bercetak:

1. Pen: saya gunakan pen berwarna biru (catatan semasa), hitam (saya gunakan untuk 'tick' saja) dan merah (catatan penting). Contohnya: jika Faris atau Alisya perlu membawa barang untuk keperluan subjek tertentu minggu berikutnya, saya akan gunakan pen berwarna merah.



2. 'Correction tape': dulu zaman saya guna 'liquid paper', sekarang 'correction tape'. Ini wajib ada, mana tahu tersilap tarikh ke salah tulis ke. Saya gunakannya juga untuk 'adjust' apa yang saya nak ada dalam planner saya. Contoh: saya tak perlukan 'cash flow box', dan saya tukarkan kepada 'FB/Blog Update'.


3. Klip kertas: saya gunakan klip kertas untuk menandakan paparan bulanan (monthly view). Mudah dan cepat kalau saya perlu tandakan apa-apa yang penting pada bulan dan tarikh tertentu. Tak perlulah nak selak-selak setiap kali nak ke paparan bulan lain.


4. 'Washi tape': saya gunakan 'washi tape' untuk perkara berulang dalam minggu tersebut. Contoh: Ujian pertengahan tahun sekolah, lima hari bermula 13 Mei - 17 Mei, maka saya akan lekat 'washi tape' sepanjang minggu tersebut. Dengan 'washi tape' anda tak perlu tulis 'ujian pertengahan tahun' berulang kali.



5. Pelekat dan 'sticky notes': kalau jumpa pelekat-pelekat comel dekat kedai buku, saya akan beli dan gunakan bila perlu. Sajalah nak naikkan 'mood' menconteng dalam planner. 'Sticky notes' pula, saya gunakan jika tidak cukup ruang tetapi ada maklumat tambahan pada satu-satu tarikh yang sama.



6. 'Brush marker': saya gunakan untuk 'highlight'kan perkara-perkara yang penting macam tarikh-tarikh kelas tambahan Faris. Boleh juga digunakan untuk mewarna lukisan yang disediakan dalam planner ini.



7. Gam dan gunting: Saya gunakan gam dan gunting untuk melekatkan memo yang saya terima dari sekolah. Memo tersebut akan dilekatkan di antara minggu perkara (event) itu akan berlaku. Jadi saya boleh rujuk terus.

Dan perkara yang paling penting, balut planner anda. Planner yang dibalut kemas, insyaAllah tidak mudah rosak. Maklumlah kita nak pakai setahunkan.

Apa kelebihan menulis planner?
1. Mengatur aktiviti harian 
2. Mengurus masa 
3. Meningkatkan produktiviti 
4. Mengurus tekanan 
5. Habit dan ibadah tracking
6. Buat kenang-kenangan


Nora Karim
Planner, pembantu kanan saya. 

Thursday, January 10, 2019

Ihsan Seorang Anak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Kelmarin.

Saya menggalas beg sekolah Alisya. Memimpin tangannya masuk ke perkarangan sekolah.

Separuh jalan, Alisya salam dan cium saya sebelum dia berjalan sendiri menuju ke tapak perhimpunan.

Sedang saya memerhatikan Alisya berjalan, saya ditegur seorang wanita yang baru keluar dari kedai buku sekolah.

"Anak tahun berapa, Puan?" tanyanya dengan senyuman. Dari percakapannya, saya pasti dia berbangsa Indonesia.

"Tahun 3. Ni anaknya tahun 1?" tanya saya berbasa basi.

"Tahun 2 Puan, anak majikan."

"Alhamdulillah... tak cukup ya bukunya?" soal  saya apabila melihat beberapa buah buku tulis pada tangan wanita tersebut.

"Iya Puan..." sambil membuka zip beg sekolah dan memasukkan buku-buku tulis yang dibeli.

Saya senyum pada anak majikan wanita itu. Dia kemudiannya membalas senyuman saya.

Lelaki.

Comel.

Berkulit putih.

Saya perhatikan bajunya dimasukkan kemas ke dalam seluar. Tali lehernya terletak elok. Tidak senget. Rambutnya juga disisir rapi.

Dari atas sampai ke bawah saya lihat anak itu. Pandai bibik siapkan anak majikannya. Nampak ikhlas, dari penampilan anak itu.

"Terima kasih bibik," tiba-tiba anak itu bersuara, setelah bibik selesai memasukkan buku-buku tadi ke dalam beg sekolahnya. Anak itu hendak menggalas sendiri beg sekolahnya.

"Sama-sama. Eh ngak usah, bibik bawa dulu, berat begnya," kata bibik sambil menjinjing beg anak majikannya itu.

"Sebab beratlah saya nak bawa, kesian bibik," jawab anak itu petah.

"Ngak apa-apa. Bibik bawa. Minta diri dulu ya, Puan," katanya pada saya. Sambil memimpin tangan anak majikannya, hingga ke dalam barisan kelas.

Subhanallah.

Terkedu sekejap saya. Anak majikan itu akhlaknya sangat baik. Mulutnya sangat ringan mengucapkan terima kasih kepada bibiknya.

Dia tahu bibiknya penat, lalu hendak mengangkat sendiri beg sekolahnya. Ihsannya anak itu kepada bibik, hingga merasakan beg sekolahnya membebankan bibik.

Saya sangat pasti anak itu diajar dengan baik oleh kedua ibu bapanya tentang akhlak. Dia sangat hormatkan bibiknya.

Saya percaya, bibik itu juga dijaga baik oleh majikannya. Bajunya elok. Mukanya kelihatan ceria dan tidak 'capek' seperti kebanyakan pembantu rumah lain.

Alhamdulillah, saya belajar dua perkara hari ini.

1. Biasakan anak-anak untuk ucapkan dua perkataan keramat ini, 'terima kasih' dan 'minta maaf', kerana kedua-dua perkataan ini boleh menundukkan rasa ego dalam diri seseorang.

2. Ajarkan anak-anak untuk hormat dan menunjukkan rasa ihsan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira status pekerjaan mereka.

Anak-anak mudah dibentuk ketika mereka masih kecil. Mulakan sekarang, agar menjadi kebiasaan.

Nora Karim
Lalu benarlah, mendapat pembantu rumah yang baik juga merupakan rezeki dari Allah.

Friday, January 04, 2019

"Kenapa Abang Menangis?"

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Tengah hari tadi, masa saya hantar Alisya ke sekolah saya ternampak seorang budak lelaki berkulit cerah, sedikit tembam tapi comel dan menggalas beg berwarna kelabu sedang menangis.

Berdekatan dengannya ada tiga orang lagi budak lelaki. Saya percaya mereka darjah 1, sebab mereka memakai tag nama bertali.

Tangisannya semakin kuat.

Saya hampiri.

Dalam hati, "janganlah budak ni kena buli".

Saya merendahkan badan. Sekarang saya sama tinggi dengannya.

"Kenapa abang menangis?" Saja saya bahasakan dia 'abang' supaya dia tahu dia dah besar.

Namun tiada jawapan darinya.

"Ada orang buat abang ke?" Saya cuba bertanya lagi.

Tangisannya makin menjadi-jadi.

Saya cuak.

Ah sudah, kena buli ke?

Saya tanya tiga orang budak lelaki yang berdekatan.

"Kenapa dia?"

"Tak tau Acik. Kita tak kenal pun dia. Dari tadi dah nangis," jawab salah seorang dari mereka.

Saya pegang bahunya. Saya tanya lagi sekali, siapa yang buat dia menangis.

"Nak ayah..." tangisnya ditahan-tahan cuba menjawab soalan saya.

"Ayah abang dekat mana?"

"Dah balik..."

"Abang darjah berapa?"

"Satu..." Betullah tekaan saya. Sebelum ni sekolah anak saya darjah 1 sekolah pagi. Tahun ni, darjah 1 sekolah petang.

"Oh, ayah abang kena balik... sebab hari ni kan hari Jumaat. Ayah pergi masjid. Solat Jumaat..."

Tangisannya mula perlahan.

"Abang takut ke?"

Angguk.

"Kawan ramai ni ha... tak takutlah. Sekolah ni seronok tau. Hari Jumaat sekejap je sekolah. Empat jam lebih je. Lepas tu nanti ayah datang ambil abang, ok?"

Dia pandang saya.

Baru saya nampak matanya. Comellah hai budak darjah 1 ni. Saya suruh dia duduk dan berkawan dengan tiga orang budak tadi.

"Abang dengan kawan-kawan jangan keluar dari pagar sekolah tau. Sekejap lagi cikgu datang, semua berkumpul dekat situ. Taukan barisan dekat mana?"

"Tau... dekat situ," berebut-rebut budak tiga orang tu tunjuk saya tempat mereka beratur.

"Ha pandai... nanti duduk dalam barisan tau. Jangan keluar dari pagar, ok?" Berkali-kali saya ingatkan. Risau pun ya juga.

Saya tak dapatlah nak tunggu anak-anak tu sampai masuk barisan. Sebab nak berkejar ke masjid hantar anak bujang saya untuk solat Jumaat.

Dalam kereta saya cakap dengan Faris, "dulu darjah 1, Ayies menangis lagi teruk daripada budak tu. Bukan setakat dua tiga hari menangis, boleh kata sepanjang tahun!"

Terkekek-kekek dia menafikan. Tak percaya Faris kuat nangis masa darjah 1? Tengok ni 😂




Oh ya, budak yang menangis tu, lalu sebelah saya masa balik tadi. Saya dengar dia cakap pada ayahnya, "tadi kita nangis Ayah, tapi kejap je."

Eceeee.... 😉

Nora Karim
Kalau ada budak menangis dekat sekolah, saya mesti dekat dan tanya kenapa.

💖 Terima Kasih Faris 💖

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam ibu jari kanan saya luka, sebab alah pada serbuk pencuci. Sakitnya bukan main lagi.

Berdenyut-denyut.

Dari awal pagi dah menahan sakit bila buat kerja-kerja rumah. Tak tahan sangat rasanya.

Saya tangguh masak lauk untuk tengah hari. Terfikir nak beli nasi ayam je untuk Faris lepas ambil dia dari sekolah nanti.

Di sekolah, saya baru perasan ibu jari yang luka tu dah berdarah. Sakit jangan cakap.

Nampak luka sikit je, tapi...
dia punya denyut tak boleh tahan.

"Faris nak makan nasi ayam atau nasi kukus ayam berempah?" tanya saya sebaik Faris masuk kereta.

"Mama tak masak lagi?"

"Belum, jari Mama sakit ni. Ingat petang sikit baru Mama masak," saya tunjuk ibu jari yang luka. Terus Faris capai tisu di depannya, dan lap darah yang keluar.

"Nak beli nasi ayam ke?"

"Tak payahlah. Ayies masak je lah."

"Nak masak? Nak masak apa?"

"Ayam kunyit dengan telur dadar."

Sampai je rumah dia terus mandi dan solat Zohor. Lepas tu masuk dapur. Pakai apron.

Boleh katakan semuanya dia yang buat. Saya cuma pantau dan tolong sikit-sikit.


"Macam ni rupanya penat masak," tiba-tiba dia bersuara, sambil duduk mengelap peluh di bangku biru.

"Ha, tau pun... ni baru sikit ni. So, lain kali jangan cakap 'lauk ni je ada?', 'tak de kuah ke?', 'lauk ni Ayies tak suka'. Apa yang Mama masak, makan je."

Dia tersingih.

Garu kepala.

"Mana Ayies tau macam ni penatnya. Kurang-kurang macam lari satu padang."

Saya tergelak. Penat sangat bunyinya tu.

"Tapi terima kasih tau, sebab tolong Mama masak ni. Walaupun penat baru balik sekolahkan... Tapi hari ni, insyaAllah banyak pahala Ayies dapat. Pahala tolong Mama. Pahala masak untuk semua orang. Nampak sedap ni, bau pun dah buat rasa lapar."

Dia nampak excited nak saya rasa masakannya. Mukanya yang tadi nampak letih dan penat, dah mula berseri-seri. Mata pun dah bersinar-sinar bila diberi pujian dan apresiasi.

Anak-anak ni sangat suka bila dipuji. Maka janganlah kedekut, beri mereka pujian. Pujian akan membuatkan mood anak-anak bertambah baik.

Lepas puji, saya pujuk dia untuk masuk tuisyen, terus setuju tau! Nampak tak?!

Belajar sesuatu? 😉

Nora Karim
Pujian tak perlukan belanja besar pun, yang penting ikhlas.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...