Saya ingat
lagi bagaimana Faris menangis teresak-esak ketika diminta menulis impiannya,
mendapat 6A dalam satu program sekolah, sedangkan dia tahu itu bukan
keupayaannya.
Saya
menenangkannya dan menyatakan itu adalah sebahagian doa. Maka, tulis saja.
Sejak itu, saya perbanyakkan membaca al-Quran, berdoa dan bersedekah atas
namanya.
Saya ingat
lagi bagaimana Abahnya meluahkan rasa 'frust' kepada guru kelas, tentang mata
pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan) yang ketika itu hanya mendapat gred E.
Sedangkan Abahnya seorang wartawan dan Mamanya juga boleh menulis.
Kami bermula
semula dari kosong. Menulis satu perkataaan. Kemudian dua perkataan. Kemudian
tiga perkataan dan seterusnya dia mula boleh mencantum lebih banyak perkataan
dan menulis satu ayat dan seterusnya karangan.
Saya ingat
lagi bagaimana dia tertekan apabila cuba menyelesaikan segala soalan Matematik,
bila mana masih tidak mahir menghafal sifir, formula dan memahami kehendak
soalan.
Kami
perbanyakkan membuat latihan. Kami fokus kepada kertas 2. Kami sama-sama
mencari kata kunci dan memahami kehendak soalan. Kami belajar banyak perkara
penting dari E-book cikgu Fadli. Cara cepat jawab kertas 1 dan cara curi markah
di kertas 2, pada minggu-minggu akhir menjelang peperiksaan.
Saya ingat
lagi bagaimana Faris berusaha untuk hadir ke sekolah setiap hari, kelas
tambahan, program-program Tahun 6 anjuran sekolah dan tuisyen setiap hujung
minggu walau nampak sangat keletihan.
Tanpa rasa
jemu saya menghantar dan mengambilnya dari setiap kelas dan program. Saya lihat
dia akan berusaha menyiapkan segala latihan yang diberikan oleh guru-guru. Saya
atau suami terus berada di sisi, menemaninya menyiapkan latihan.
Saya ingat
lagi bagaimana dia sedih dan tangannya menggigil setiap kali hendak menyerahkan
markah kertas ujian yang masih gagal kepada saya.
Saya tak
pernah marah, malah mengucapkan tahniah dan selalu memberinya pujian kerana
berjaya menambah markah dari gagal kepada lulus minimum.
Saya ingat
lagi bagaimana dengan linangan air mata dia menyatakan, bahawa dia hanya mampu
menjanjikan boleh lulus minimum semua mata pelajaran, yakni gred D saja. Ini
janjinya ketika hampir minggu peperiksaan.
Saya memeluk dan
menepuk-nepuk bahunya. Saya katakan, bahawa apa jua keputusannya saya akan
sedia terima dan sayanginya. Saya menjadi saksi atas segala usaha kerasnya.
Adam Faris
bukan pelajar kelas hadapan. Dia hanya pelajar biasa yang suka melukis komik
dan membina model bangunan dan kenderaan daripada Lego atau kayu. Itu kemahiran
dan minatnya.
Di mata saya,
dia sangat cemerlang dan kreatif dalam bidang yang diminati, biarpun hanya saya
yang menjadi 'tukang soraknya'.
Saya ingat
lagi bagaimana dia gembira dapat meninggalkan satu persatu kelas tambahan
anjuran sekolah, apabila keputusannya mula mencapai tahap lulus minimum.
Ketika ini,
saya turut tersenyum bangga.
Saya ingat
lagi bagaimana dia gembira apabila menunjukkan markah lulus ujian-ujiannya
walaupun ia hanya gred D.
Saya terus
memberikannya pujian dan galakan tanpa henti.
Dan saya ingat
lagi bagaimana wajahnya tersenyum lega dan bangga semalam, selepas memaklumkan
bahawa dia LULUS semua mata pelajaran, seperti yang dijanjikan kepada saya.
Malah saya
menitiskan air mata, kerana dia tidak beri semua gred D... tetapi keputusannya
sangat-sangat baik dari itu.
Bermula dengan
gred 4D dan 2E, pada awal tahun. Gred ini menyebabkan dia wajib hadir kelas
tambahan untuk Bahasa Melayu dan Matematik.
Saya meneliti
satu persatu gred di dalam slip keputusan UPSRnya semalam... Alhamdulillah,
syukur sangat... semuanya lulus.
Saya yakin tak
ada ibu bapa yang berkongsi kisah 'kejayaan' seperti ini semalam. Tapi hari ini,
saya nak kongsi, betapa bangganya saya dan suami melihat 'kejayaan' Faris
mengubah gred bukan setakat lulus minimum seperti yang dijanjikan, malah dia
mampu beri lebih baik dari itu.
Semalam, saya
memeluknya dengan bangga, seperti dia mendapat 6A.
Semalam, saya
mengucapkan tahniah setiap masa kepadanya, seperti dia mendapat 6A.
Semalam, saya
memuji segala usaha dan penat lelahnya, seperti dia mendapat 6A.
Semalam, kami
meraikannya dengan cara kami seperti dia mendapat 6A.
Saya tidak
mahu membandingkan Faris dengan Alisya, apatah lagi dengan anak orang lain
kerana saya tahu keupayaan dan kebolehannya dalam akademik.
Dia seorang
yang unik dan kreatif dalam bidang yang diminatinya.
Tahniah Faris,
walaupun jalan yang kita lalui sedikit jauh dan berliku, Mama dan Abah sangat
bangga. Moga lebih banyak kejayaan yang dikecapi selepas ini. Insya-Allah...
Maka benarlah,
usah disisih anak yang tidak cemerlang akademik, sebaliknya terus berada di
sisi, menyokong, membimbing dan menghargai setiap usahanya.
💞 Alhamdulillah... 💞
Pada saya,
Faris 'lulus bergaya'!
Alhamdulillah Tahniah Faris :)
ReplyDeleteTahniah Faris. Setiap anak ada keistimewaannya. Andai kita suka banding²kan anak... Pastinya anak² akan rasa tersisih. Tapi, bila kita beri sokongan moral yang kuat. Tak mustahil... Kejayaan yang pada mulanya kita nampak mustahil... Tanpa diduga menjadi milik kita.
ReplyDeleteAlhamdulillah, sikap positif macam inilah yg semua ibubapa perlu ada. Tahniah Faris, kehidupan ini perlukan keyakinan utk terus hidup.
ReplyDeleteTahniah...!
ReplyDeleteTahniah Nora! 'Berdiri dan sentiasa menyokong Faris dari belakang.'
ReplyDeleteAlhamdulillah, tahniah kepada Faris, Ibu, dan keluarga semua. Semoga terus berjaya di dunia dan akhirat. :)
ReplyDeleteAlhamdulillah.. Tahniah Faris! Teruskan rajin!
ReplyDeleteAlhamdulillah. Tahniah Faris, dan family, semua dah cuba yg terbaik. insyaAllah mejadi anak soleh. Support ibu bapa sebenarnya yang saya kagumkan.. tanpa penat lelah sentiasa support anak
ReplyDeletesangat berinspirasi baca entry harini , betapa akak dan suami sentiasa di belakang faris sama-sama membantu untuk dia teruskan untuk lebih cemerlang. Betapa usaha faris yang tanpa jemu, tanpa putus asa untuk berubah... tahniah faris, moga faris terus cemerlang di masa akan datang... insyallah
ReplyDelete