Nuffnang Ads

Agoda Ads

Showing posts with label Tips. Show all posts
Showing posts with label Tips. Show all posts

Saturday, July 10, 2021

5 Perkara Apabila Ditimpa Ujian

"Kak Nora, husband kita kena Covid. Sekarang ada di hospital. Oksigen dah ok, tapi bacaan hati tak cantik. Tipulah kalau kita tak susah hati. Dahlah dia jauh kak..." beberapa voice note dihantar melalui aplikasi Telegram kepada saya.

 


Saya mendengar suaranya, sayu sangat rasa hati. Dia dan suaminya memang saya cukup kenal.

Banyak perkara yang kami kongsi bersama sejak saya mengenalinya 14 tahun lalu. Dari dia bujang, berkahwin dan kini mempunyai empat orang anak.

Dia dan suaminya PJJ (perkahwinan jarak jauh) sejak berkahwin. Saya juga menyaksikan beberapa siri turun naik emosinya. Ada sedih, ada perit, ada manis dan juga gembira.

Namun, saya nampak ketabahannya melalui setiap ujian tersebut. Saya yakin, untuk ujian kali ini, dia juga mampu laluinya. Begitu juga suaminya.

Cuma... itulah. Bila pasangan kita ditimpa musibah, kita turut rasa 'patah sebelah sayap'. Itu memang normal, sebab diakan pasangan hidup kita. Orang yang paling dekat di sisi kita. Sedih tu memang normal.

Jika ada di kalangan kalian yang ditimpa kesedihan dan rasa resah di hati sekarang ni, mungkin boleh lakukan beberapa perkara ni:

1. Duduk dan bertenang - menerima sesuatu berita yang sedih memang akan membuatkan kita hilang punca. Ambil masa untuk tarik nafas dan bertenang.

2. Meluahkan rasa sedih pada rakan yang positif - salah satu cara melepaskan kesedihan adalah dengan berkongsi masalah tersebut dengan orang yang sangat kalian percayai dan positif. Pasti ada seseorang di kalangan sahabat kalian yang punyai ciri tersebut.

3. Menangislah jika perlu - menangis bukan bermaksud kalah. Pada saya, menangis adalah proses paling asas untuk meredakan emosi. InsyaAllah, bila emosi dah reda, kita akan dapat bertindak dengan sebaiknya.

4. Perbanyakan sedekah - selain solat, baca Quran, zikir dan doa, perkara yang kita selalu terlepas pandang adalah sedekah. Perbanyakanlah sedekah atas nama orang yang ditimpa musibah dan niatkan juga moga Allah tunjukkan jalan penyelesaian.

5. Hadiah dari Allah - setiap ujian yang diturunkan-Nya, pasti ada 'pelangi indah' buat kita. Kuncinya adalah reda dan sabar.

Saya doakan, agar suami sahabat saya, sahabat-sahabat yang dijangkiti Covid dan sesiapa saja yang sedang diuji dengan sebarang penyakit, kehilangan pekerjaan, kesempitan hidup, kecelaruan emosi, kehilangan orang tersayang, malah apa juga ujian lainnya... semoga Allah sentiasa merahmati kalian dan permudahkan segala urusan kalian dalam menyelesaikan ujian-ujian tersebut.

Sesungguhnya hanya kepada Allah, tempat kita bergantung harap.

Saya kongsikan tiga doa ini, cuplikan dari buku Zikir dan Doa Muslimah Solehah. Semoga Allah dengar rintihan kita dan diberikan bantuan dalam menguruskan ujian ini.

 





Dapatkan pelbgai buku-buku menarik di sini: https://gengsukabuku.com/

atau di kedai Shopee, GengSukaBuku.


Stay strong everyone. 

 

Nora Karim

Lama saya tak menulis online.

Friday, April 23, 2021

7 Tip Ajar Anak Solat Dari Kecil

Alisya menyarung stoking berwarna pink ke kaki kanannya. Air mata masih menitis, bersama wuduknya. Sedu sedan, masih berbaki. Dalam marah dan rajuk, dia akur dipaksa solat zuhur. 

 

Paksa?

Ya, saya paksa dia untuk solat. 

Walaupun ketika itu usianya baru lima tahun. 

 

Belum baligh. 

Belum wajib solat.

 

Saya ingat lagi, bagaimana dia menangis sehingga merah matanya, kerana saya menyuruhnya solat di surau ketika kami berada di pusat membeli belah. 

 

Ketika itu saya tidak boleh solat. Tetapi saya memimpin tangannya ke surau dan menyuruhnya solat. 

 

"Mama?" soalnya kepada saya. 

 

"Mama cuti hari ni. Alisya solat. Mama tunggu dekat sini," jawab saya. Dia tak puas hati dan mula menangis.

 

Puas dipujuk, namun dia terus menangis. Akhirnya saya meletakkan sejumlah wang di tapak tangan kanannya dan dia boleh beli apa saja dengan wang yang saya berikan itu. Jumlahnya tak banyak cuma RM10. 

 

"Allahuakbar," bahunya tergerak-gerak menahan esak. Solat dengan sisa-sisa air mata.

 

"Assalamualaikum warahmatullah... assalamualaikum warahmatullah...," sambil memalingkan kepalanya ke kanan dan kiri. 

 

#throwback sebelum Covid

Alhamdulillah.

Cukup empat rakaat!

 

"Boleh kita singgah Daiso? Alisya nak tengok barang dekat sana," pintanya sambil membuka stoking pinknya dan menggenggam erat duit RM10, 'upah solat tadi'.

 

"Ok, boleh. Jom!" Saya memimpin tangannya keluar dari surau. 

 

"Ini... bukan upah solat tau. Tapi ini, Allah bagi rezeki untuk Alisya. Allah bagi Alisya, tapi melalui Mama," sambung saya lagi, sambil menunjukkan duit RM10 yang digenggam erat ditangan kanannya.

 

"Mama bangga sebab Alisya solat zuhur. Allah mesti sayang Alisya. Good job Alisya," puji saya sambil berHi-5 dengannya. 

 

Dia memandang saya dengan senyuman. Tiada lagi air mata. Hanya wajah ceria. Mungkin dikepalanya dah terfikir apa yang hendak dibeli nanti.

 

Itu kisah enam tahun lalu, sekarang tiada lagi drama air mata bila disuruh solat. Kadang-kadang bila saya terleka, dialah yang akan tanya, sama ada saya dah solat atau belum. Kalau saya tertidur pun, dia akan kejutkan dan tanya sama ada saya dah solat atau belum.

 

Upah solat?

Tak, sekali tu je saya bagi dia RM10.

 

Tapi jika dengan 'upah' tu anak-anak nak solat, maka raikanlah. Biasanya anak-anak yang bawah 12 tahun, mereka suka buat sesuatu untuk dapatkan ganjaran atau upah. Jadi tak salah pun kita nak beri ganjaran, tapi dalam masa yang sama, beritahu mereka, solat bukan untuk duit atau mainan. Nanti lama-lama mereka faham.

 

Kadang-kadang telekung pun nak pakai yang sedondon. 😅

Apa yang saya buat sejak Faris dan Alisya kecil, adalah seperti berikut:

 

1. Setiap kali nak solat, letak anak di sebelah sejadah. Buat sejak anak bayi lagi. Saya perasan Faris dan Alisya, mereka boleh duduk diam jika kami singgah solat di surau atau masjid. 

 

2. Fasa paling awal adalah mengajar anak-anak untuk meniru pergerakan solat kita. Tentang bacaan, boleh dikuatkan sedikit supaya anak-anak tahu pada setiap pergerakan tersebut, adanya bacaan-bacaan tertentu. 

 

3. Belikan buku panduan solat untuk anak-anak. Saya beli buku solat Upin Ipin ni, sebab masa kecil mereka suka sangat dengan Upin Ipin. Sampai sekarang buku ini masih digunakan sebagai rujukan dalam memperbetulkan bacaan.

 

Kalau tengok isi dalam buku ni, berkedut-kedut 😅
Mana taknya, sambil wuduk dok pegang buku ni.


4. Beri 'kuasa' kepada anak-anak untuk memilih telekung, kain pelekat dan sejadah kegemaran mereka sendiri. Biasanya bila dipilih sendiri, mereka akan rasa teruja untuk memakainya. Kadang-kadang Alisya suka pakai telekung warna sedondon dengan saya. 

Telekung baru sampai terus test. 😁


5. Setiap kali kita nak solat, ajak anak-anak sekali, kalau mereka tak nak solat pun, pujuk mereka untuk duduk sebelah kita. Lama kelamaan, daripada duduk saja, mereka akan mula perhati dan kemudiannya akan ikut.

 

6. Sekali sekala bila anak-anak tengah main tu, buat game. Contoh, "siapa tahu, rukuk tu apa?" (galakkan mereka untuk tunjukkan cara rukuk. Masa ni tugas kita adalah membetulkan cara rukuk dan semak bacaan ketika rukuk.) Anak-anak ni sebenarnya lebih cepat 'tangkap' sesuatu yang kita ajar tu ketika mereka sedang bermain. Buat santai-santai je. Tak perlu lama.

 

7. Kaedah 'pohon solat' pun sebenarnya banyak membantu saya dan Alisya untuk jadualkan waktu solat. Selain tentang rutin solat itu sendiri, ada banyak cerita dari sebatang pokok tu untuk kita ambil ibrah, boleh cerita pada anak-anak.

 

Dulu 'pohon solat' ni banyak membantu untuk anak-anak track rutin solat. Sekarang tak pakai dah. 🤗


Inilah tujuh tip yang saya lakukan ketika perkenalkan tentang rutin solat pada Faris dan Alisya, seawal mereka berusia dua tahun. 

 

Semoga bermanfaat buat kalian yang membaca. 

 

Nora Karim

Benarlah anak-anak mudah dilentur, ketika usianya masih kecil.

t.me/dialoguda

t.me/gengsukabuku

t.me/celikmatematik

Dapatkan pelbagai pilihan buku sempena Ramadan dan Aidilfitri ni: gengsukabuku.com

Monday, February 10, 2020

8 Tip Agar Pinggan Mangkuk Tidak Berlonggok Dalam Singki


Melihat pinggan mangkuk yang berlonggok di dalam singki sedikit sebanyak mengundang rasa marah dan stres.

Lebih-lebih lagi, apabila setiap isi rumah hanya mengharapkan si ibu untuk menyelesaikan tugasan itu.

Mencuci pinggan mangkuk sebenarnya bukan tugas hakiki si ibu. Setiap penghuni dalam rumah, perlu ada rasa tanggungjawab pada pinggan mangkuk yang tidak dicuci atau sekurang-kurangnya bertanggungjawab pada pinggan mangkuk sendiri.

Perkara-perkara di bawah, mungkin boleh menyelesaikan masalah singki dipenuhi pinggan mangkuk yang kotor.

1. Pasang singki bersaiz standard kerana ia lebih mudah untuk diurus. Jika memasang singki yang besar dan dalam, potensi untuk pinggan mangkuk berlonggok dan tidak dibasuh adalah lebih tinggi.

2. Didik setiap ahli rumah untuk mencuci sendiri setiap cawan, gelas, pinggan dan sudu yang mereka gunakan. Latih anak untuk mencuci pinggan seawal usia mereka dua tahun. Ya, dua tahun! Eh, tapi bukan pinggan kaca tau. Mula-mula, pasti kebersihannya tidak menepati piawaian. Tetapi dengan tunjuk ajar yang kerap, mereka akan dapat mencuci dengan baik. Dengan rutin mencuci pinggan sendiri ni sebenarnya, kita sedang mengajar anak-anak tentang nilai tanggungjawab dan kerjasama. Oh, jangan lupa, didik pasangan kita juga, perkara yang sama.

Ni masa Faris 6 tahun... still tak ditelangkupkan
pinggan yang dah basuh. Tapi sekarang dah pandai... 

3. Buat jadual atau giliran mencuci pinggan mangkuk selepas makan, bagi anak-anak yang telah berusia tujuh tahun ke atas, termasuk suami. Kaedah 'take turn' ini insya-Allah menimbulkan rasa ihsan, terutamanya kepada ibu yang telah melakukan tugas memasak.

4. Cuci periuk, kuali, tapisan, sudip, senduk dan segala peralatan yang digunakan, sepanjang proses memasak. Maknanya sambil tunggu ayam yang digoreng atau sambil tunggu sup mendidih, cuci peralatan memasak yang telah digunakan. Dengan cara ni, apabila kita siap memasak dan lap dapur, singki pun dah bersih.

5. Atau guna saja satu kuali ketika memasak. Ya faham, jika kita gunakan lebih dari satu kuali, jimat masa memasak. Tetapi, penambahan peralatan, akan menjadikan kerja-kerja mencuci jadi berganda. Tapi tetap tak salah kalau nak guna lebih dari satu kuali. Semua atas skill mengemas dan mencuci masing-masing.

6. Hadkan jumlah pinggan mangkuk di rumah, mengikut jumlah penghuninya. Semakin banyak pinggan bersih di rak, maka makin tinggi potensi untuk penghuni rumah melonggokkan pinggan mangkuk yang kotor.

7. Mengikut kata orang tua, singki yang ditinggalkan kotor sepanjang malam akan mengundang jin ke dalam rumah. Wallahua'lam... tapi kalau bukan jin pun, dah tentu cicak, lalat, lipas, semut malah tikus juga akan bertandang. Penyakit pun sudi menjenguk. Jadi pastikan singki telah dibersih sebelum masuk tidur.

8. Kata orang tua lagi, pinggan yang kotor dan tidak dibersihkan menjadi sebab rezeki susah nak masuk ke dalam rumah. Orang lama-lama ni memang cakap berlapik, penuh hikmah. Tinggal kitalah, sama ada nak ikut atau tak.

Nota tambahan:
a) sentiasa cuci dan bersihkan bekas pencuci  pinggan mangkuk.

b) tukar span pencuci sekerapnya. Jangan biarkan span sehingga hitam atau lunyai. Span sebenarnya lebih banyak mengumpul kuman dan bakteria, yang boleh mengundang penyakit.

Nora Karim
Sendiri pakai, sendiri cuci. 🤪
Jemput Follow saya juga di Telegram t.me/dialoguda



Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar. 

Sifirlicious: Memuatkan 9 kaedah mahir sifir. Bukan semua anak boleh menghafal, jadi ajar mereka BINA SIFIR. 

Modul Pantas Matematik: Merangkumi topik Pecahan, Perpuluhan dan Peratus. Ketiga-tiga topik ini sangat penting dalam Matematik. 

Pecutan UPSR: Calon UPSR akan diajar cara mudah menjawab Kertas 1 dan cara 'mencuri markah' dalam Kertas 2. 

Mathzier: Tuisyen online Matematik Tahun 4, 5 dan 6 bersama Cikgu Fadli. Langgan setiap bulan atau pilih topik yang anak lemah. 

Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.

Friday, January 31, 2020

Kaedah Menabung Ala Suri Rumah

Selain diet, menabung juga antara satu bab yang dijadikan azam setiap awal tahun. Perkataan menabung ni mudah je sebut. Tapi nak buat dengan istiqamah tu yang susah. Samalah macam diet! 

Awal tahun 2019 dulu, saya cuba untuk menabung. Tapi asal sesak je saya akan keluarkan hasil tabungan. Proses keluar masuk duit ni, berterusan hingga bulan Jun 2019. 

Lalu saya memikirkan apa kaedah yang boleh saya lakukan, supaya tabungan saya 'tidak dirompak' oleh saya sendiri. 😅 

Bila tengok orang di Facebook update tentang hasil tabungan, nampak mudah je. Siap boleh simpan duit sekeping RM50 dan RM100 setiap minggu... memang wow sangatkan? 

Tapi itu memang bukan kemampuan sayalah. Saya tak bekerja, jadi saya tak bolehlah nak menyimpan sampai RM50 dan RM100 setiap minggu. 

Fokus tabungan saya, duit RM5.

Maka, saya cuma fokus untuk simpan duit warna hijau atau RM5 sahaja dulu. Setiap kali ada duit RM5 dalam dompet, saya akan terus simpan dalam tabung.   

Duit RM20 pula saya akan masukkan sebulan sekali. Nak buat sesuatu yang kita belum pernah buat, memang kena mulakan dengan sesuatu yang kecilkan? Tak apalah walau nilainya kecil, yang penting MENABUNG. 



Oh ya, saya beli tabung yang tidak boleh buka di Daiso, berharga RM5.90 saja. Kira nak buka tu nanti, kena pecahkan. 

Sebelum tabung dipecahkan.

Saya pilih tabung yang boleh dilihat isi di dalamnya (transparent, bukan tin) dan bersaiz agak besar. Saya suka tabung yang transparent macam ni. Buat saya lebih bersemangat nak masukkan duit sampai penuh.   

Saya letakkan syarat pada diri sendiri, bahawa tabung hanya boleh dibuka pada 1.1.2020 atau jika duit sudah tidak boleh dimasukkan lagi ke dalam tabung tersebut (penuh). 

Alhamdulillah, saya dah buka pun tabung setengah tahun 2019 saya pada 1.1.2020 yang lalu. Hasilnya... saya dapat 'menyelamatkan' sebanyak RM1005. Ha, siapa nak bagikan? 

RM1005 😍. Siapa nak bagikan?

Saya pun tak sangka banyak tu yang dapat saya simpan. Sekarang ni, Faris dan Alisya pun excited bila dapat baki duit RM5 sekeping. Berlumba-lumba masukkan dalam tabung. 

Bak kata orang putih, 'never too late to start'. Jangan ikut nilai simpanan orang, tapi simpanlah mengikut kemampuan kita. Mulalah bila-bila pun... tak semestinya masa tahun baru je. 

Tabung RM5 2020 saya. 😁

Saya ringkaskan cara saya menabung: 
1. Beli tabung yang tidak boleh dibuka. 
2. Simpan semua duit warna hijau atau RM5. 
3. Simpan duit warna oren atau RM20 sebulan sekeping. 
4. Tetapkan tarikh matang untuk tabung dipecahkan. 5. Simpan dalam bank hasil tabungan. 

Tahniah, anda telah berjaya menabung. 🎉 

Jom mula menabung... 
Follow saya juga di Telegram, t.me/dialoguda

Artikel ini ditaja oleh Produk Herba, Siti Zubaidah 

Wednesday, January 15, 2020

Tiga Langkah Mudah Cegah Influenza

Sana sini orang bercerita tentang pengambilan vaksin influenza. Tapi tahukah anda, terdapat tiga langkah pencegahan yang setara dengan mencucuk vaksin, seperti yang dikongsikan oleh Dr Siti Aisah Mokhtar, dalam rancangan Malaysia Hari Ini.

1. Memakai face mask, baik di rumah, mahupun di tempat awam - ahli keluarga yang terkena jangkitan selesema dan batuk perlu memakai mask di rumah. Ia boleh mengurangkan penularan penyakit sebanyak 75% kepada ahli keluarga yang lain.

2. Mencuci tangan dengan kerap dengan menggunakan sabun atau menggunakan hand sanitizer - satu kajian yang dijalankan di sekolah menunjukkan, penggunaan hand sanitizer sebelum dan semasa waktu persekolahan, akan mengurangkan 20% ketidakhadiran pelajar ke sekolah.

3. Mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul - gunakan sapu tangan mahupun tisu untuk menutup mulut apabila batuk mahupun bersin, langkah mudah ini dapat menyekat penularan penyakit. 


Pemberian vaksin influenza akan diutamakan kepada:
a) kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah
b) ibu mengandung
c) warga tua
d) mereka yang mempunyai penyakit kronik dan kurang daya tahan badan.

Jadi, janganlah kita mengambil hak mereka yang lebih memerlukan. Sebaiknya, cegahlah dengan tiga langkah di atas, baik di rumah, mahupun di tempat awam. Impaknya adalah setara dengan pengambilan vaksin.

 Jom, sama-sama prihatin.

Nora Karim 
Juga diserang demam, batuk dan selesema...
Jemput Follow saya juga di Telegram, t.me/dialoguda 

Marvel Maths: sesuai untuk anak-anak yang takut dengan subjek Matematik, terutamanya nombor besar. Klik t.me/celikmatematik untuk link pembelian.

Wednesday, October 02, 2019

5 Tips Atasi Pasangan Berdengkur

Berpagi-pagian di kedai runcit untuk menambah stok barang dapur basah.

Melihat ayam, ikan dan sayur-sayur yang fresh juga adalah sebahagian daripada terapi minda. Dalam keasyikan memilih ayam, datang seorang wanita yang saya kira usianya awal 50an.

"Oit, awal pula datang hari ni..." dia menegur seorang lagi wanita yang sedang leka memilih ikan kembung.

"Ha, awal sikit je. Eh, kenapa sembab muka tu?  Macam tak cukup tidur je," balasnya setelah mengangkat muka dan memandang orang yang menegurnya.

"Aduhlah... tak tahulah aku. Dah berapa malam tak dapat tidur. Laki aku tu, berdengkur kuat ya amat. Tak boleh tidur dibuatnya," suaranya sedikit tinggi. Nak menunjukkan rasa amarahnya.

"Asal pagi je mulalah aku pun pening kepala sebab tak cukup tidur," sambungnya lagi.

"Penat sangat agaknya laki kau tu... bukan semalam katanya pergi Pahang hantar barang?" balas wanita yang sedang menunggu ikan kembungnya disiang.

"Serabutlah aku... rasa nak tekup je muka laki aku tu dengan bantal. Tak pun biar je dia tidur dalam lori tu. Dulu tak de pula berdengkur kuat macam ni. Ni sampai bergegar rumah rasanya," ceritanya sambil tergelak.

Beberapa orang yang mendengar perbualan itu, turut ketawa. Saya juga tersenyum. Senyum kerana melihat gelagatnya yang bersungguh-sungguh bercerita. Lagaknya seperti peserta kanak-kanak bagi pertandingan bercerita. 

"Kalau tekup dengan bantal, innalillahlah nanti. Kang sunyi pula malam kau," balas rakannya dengan tawa yang masih berbaki.


Entahlah, bukankah sebagai seorang isteri, kita patut rasa syukur...

1. Kerana malam kita bertemankan dengkur sang suami. Ada orang sepanjang hidupnya tidak dikurniakan pasangan hidup pun. Malah ada juga suami yang tak balik ke rumah dan mencari keseronokan lain di luar rumah.

2. Kisah ini walau nampak kelakar, tapi sedar tak... kita sedang menceritakan aib suami kepada orang lain. Ya, ini aib suami kita yang perlu disimpan di dalam rumah, tidak perlu dijaja kepada orang lain walaupun atas dasar bergurau.

3. Jika rasa hilang punca bagaimana nak menyelesaikan masalah dengkur pasangan kita, mungkin boleh lakukan beberapa perkara ini:

a) sediakan air panas, dan minta suami mandi dengan air yang sedikit panas sebelum tidur. 

b) jika kuat sangat dengkurnya, kejutkan supaya dia dapat tukar posisi tidur. Tidur secara mengiring adalah lebih baik dari menelentang.

c) di farmasi ada dijual pelekat jalur hidung bagi memudahkannya untuk bernafas ketika tidur.

d) pasangkan pelembab udara (air humidifier atau air dffuser) bagi mengekalkan udara yang lembab disamping haruman seperti lavender bagi tidur yang lena.

e) minum banyak air suam disebelah siang, bagi mengekalkan tahap hidrasi badan. Kurang air akan menyebabkan tekak bertambah kering.

Insya-Allah benda boleh settle, buat apa dicanang-canangkan pada orang?

Aib pasangan kita, mohon simpan dalam peti besi dalam rumah.

Wednesday, January 16, 2019

Tulis Planner, Urus Tekanan

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


"Aku beli planner baru ni, tapi tak pakai pun. Masa beli bukan main 'excited'. Bila dah ada depan mata, tak tahu nak tulis apa. Rugi je, dahlah mahal juga harganya," adu seorang rakan. 

"Kenapa tak tulis ?" tanya saya.

"Entahlah, dia punya isi tu macam tak ngam dengan apa yang aku nak tulis. Ada 'mood tracker' la... 'cash flow' la... bajet itu ini. Benda-benda tu bukan kita pakai sangat pun," jawabnya seolah kesal membeli planner.

Ramai sebenarnya yang beli planner. 

Tapi kosong sampai ke hujung tahun. 

Betul juga, sebab planner yang dah siap bercetak ni, kadang-kadang apa yang kita tak nak, ada dalam tu. Tapi kalau saya, saya gunakan je semua, ubah ikut kesesuaian saya.

Hari ni dah 16 Januari. 

Pada mereka yang dah ada planner tapi tak pasti nak gunakan macam mana, sempat lagi nak isi. 

Jom saya kongsi bagaimana saya menggunakan planner yang telah siap bercetak:

1. Pen: saya gunakan pen berwarna biru (catatan semasa), hitam (saya gunakan untuk 'tick' saja) dan merah (catatan penting). Contohnya: jika Faris atau Alisya perlu membawa barang untuk keperluan subjek tertentu minggu berikutnya, saya akan gunakan pen berwarna merah.



2. 'Correction tape': dulu zaman saya guna 'liquid paper', sekarang 'correction tape'. Ini wajib ada, mana tahu tersilap tarikh ke salah tulis ke. Saya gunakannya juga untuk 'adjust' apa yang saya nak ada dalam planner saya. Contoh: saya tak perlukan 'cash flow box', dan saya tukarkan kepada 'FB/Blog Update'.


3. Klip kertas: saya gunakan klip kertas untuk menandakan paparan bulanan (monthly view). Mudah dan cepat kalau saya perlu tandakan apa-apa yang penting pada bulan dan tarikh tertentu. Tak perlulah nak selak-selak setiap kali nak ke paparan bulan lain.


4. 'Washi tape': saya gunakan 'washi tape' untuk perkara berulang dalam minggu tersebut. Contoh: Ujian pertengahan tahun sekolah, lima hari bermula 13 Mei - 17 Mei, maka saya akan lekat 'washi tape' sepanjang minggu tersebut. Dengan 'washi tape' anda tak perlu tulis 'ujian pertengahan tahun' berulang kali.



5. Pelekat dan 'sticky notes': kalau jumpa pelekat-pelekat comel dekat kedai buku, saya akan beli dan gunakan bila perlu. Sajalah nak naikkan 'mood' menconteng dalam planner. 'Sticky notes' pula, saya gunakan jika tidak cukup ruang tetapi ada maklumat tambahan pada satu-satu tarikh yang sama.



6. 'Brush marker': saya gunakan untuk 'highlight'kan perkara-perkara yang penting macam tarikh-tarikh kelas tambahan Faris. Boleh juga digunakan untuk mewarna lukisan yang disediakan dalam planner ini.



7. Gam dan gunting: Saya gunakan gam dan gunting untuk melekatkan memo yang saya terima dari sekolah. Memo tersebut akan dilekatkan di antara minggu perkara (event) itu akan berlaku. Jadi saya boleh rujuk terus.

Dan perkara yang paling penting, balut planner anda. Planner yang dibalut kemas, insyaAllah tidak mudah rosak. Maklumlah kita nak pakai setahunkan.

Apa kelebihan menulis planner?
1. Mengatur aktiviti harian 
2. Mengurus masa 
3. Meningkatkan produktiviti 
4. Mengurus tekanan 
5. Habit dan ibadah tracking
6. Buat kenang-kenangan


Nora Karim
Planner, pembantu kanan saya. 

Sunday, April 16, 2017

Cerek Hotel Kebanyakannya Tak Bersih

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Biasanya kalau saya bermalam di mana-mana hotel, saya akan cuci dulu cerek yang disediakan tu. Kalau anda pun macam saya, kita geng! 😛 Nak tahu tak kenapa kita kena cuci dulu cerek hotel? Meh saya nak share.

Ada beberapa keadaan yang menyebabkan cerek hotel kebanyakannya tak bersih:

1. Jika anda masak air dengan menggunakan air dari tandas hotel, maka bahagian bawah cerek tu akan kotor dan berkeladak.

2. Ada juga yang menggunakan cerek ni untuk membancuh teh/kopi. So, bila dah digunakan untuk membancuh teh/kopi, kalau tak dibersihkan... juga akan membuatkan cerek kotor. Dua kali juga saya terkena dengan cerek yang kotor dengan teh//kopi ni.

3. Biasanya bila kita dah check out, saya percaya staf yang kemas bilik tu tak check pun sama ada cerek berkenaan bersih atau tak. Ye la, kalau ikut logik, orang masak air guna air kosong je lah kan? Bukannya masak air campur teh/kopi.

Perasan tak macam mana keadaan cerek hotel ni sebenarnya? Cuba tengok! 😧😧😧

Inilah keadaannya...
Hasil membersihkan cerek hotel yang saya duduki...

Lalu tak lalu nak masak air lepas tengok gambar tu? Confirm takkan? 😱😱😱 Semalam saya sampai hotel dah malam, Alisya pula merengek nak susu, so... nak dijadikan cerita, encik hubby sayalah yang masak air dan buatkan susu... Saya pun terlupa nak suruh encik hubby cuci dulu cerek tu... 

Saya ambil air yang dimasak tu letak dalam botol air saya. Pagi ni baru saya minum. "Awat rasa semacam air ni?!" Sekali check cerek... Adoilah... Macam gambar atas tu la keadaan cerek tu... 

Mungkin ada yang kata kena bawa cerek sendirilah macam ni. Tapi sebenarnya, kalau nak diikutkan, kena bawa tuala sendiri, selimut sendiri, bantal sendiri, cawan sendiri... Macam-macamlah kena bawa sendiri!! 😄😂 

So, apa yang saya buat untuk pastikan cerek tu boleh digunakan semula?

1. Cuci kotoran yang ada pada cerek tu, baik yang dalam cerek mahupun badan cerek. (Biasanya badan cerek berhabuk...) Guna tisu yang hotel bekalkan... 😂 Sental sehingga tiada lagi kotoran yang lekat terutamanya di bahagian dalam cerek tu.

2. Cuci bahagian dalam cerek dengan air paip beberapa kali sampai puas hati. 

3. Masukkan sebotol air mineral (saiz 500ml yang juga dibekalkan oleh hotel 😛) ke dalam cerek dan masak. Lepas masak, biarkan sejuk sedikit, dan buang air tu. (Sebab biasanya saya tak yakin kali pertama masak tu dah bersih). Cuba sental lagi bahagian dalam cerek dengan tisu, kalau tak de kotoran yang lekat lagi, insyaAllah ia telah bersih.  

4. Maka bolehlah anda gunakan cerek tu tanpa was-was lagi. 😄 Sila pastikan anda gunakan air mineral untuk minum dan bukannya air dari paip tandas hotel. Saya sendiri kalau menginap di hotel akan beli air mineral 1.5 liter tu dalam 2 atau 3 botol (ikut keperluan ketika menginap).

5. Kalau anda dah bersihkan cerek, tetapi masih ada kotoran, maka saya nasihatkan janganlah guna cerek tu... Belilah air panas dari kedai makan (saya pernah buat juga, sebab dulu rajin bawa flask untuk isi air panas tu) atau minum jelah air mineral... 

Siapa yang kena pastikan cerek tu bersih? Sebenarnya kita semua kena ada rasa tanggungjawab untuk pastikan cerek hotel bersih. Sebab kita juga akan pakai benda-benda tu ketika menginap di hotel... Sama-sama jaga barang-barang yang ada dalam hotel tu, gunakan sebaiknya (kalau boleh, janganlah masak atau bancuh teh/kopi dalam cerek... ?) Kalau nak buat teh/kopi, buatlah dalam cawan yang disediakan. Lebih beretika macam tu.
 
Semua hotel ke cereknya macam tu? 

Saya tak kata semua... tapi kebanyakan hotel-hotel yang saya pernah menginap, begitulah keadaan cereknya. Mungkin saya boleh beri kredit kepada dua buah hotel Malaysia yang saya pernah menginap dan cereknya bersih... Philea Resort & Spa, Melaka dan Grand Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan. Dan semestinya semasa kunjungan saya di Namba Guesthouse, Osaka, Japan, yang cereknya sangat bersih! 😍😍😍 (ni memang tak dapat dinafikan lagi...)

Lastly, part ni paling penting, setiap kali kalau anda menginap di mana-mana hotel, anda akan diberikan borang kaji selidik tentang pengalaman anda menginap di hotel tu, inilah peluangnya... (bukan untuk condemn, sebaliknya tuliskan cadangan atau masalah yang anda hadapi) supaya pihak pengurusan hotel boleh perbaiki perkhidmatan mereka. 

With 💖,
NK


Tuesday, January 24, 2017

Tips Mudah Susun Buku Sekolah Anak Ikut Jadual

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Hari ni saya nak kongsikan cara saya susun buku sekolah anak-anak mengikut jadual. Cara ni memang saya dah praktikkan sejak Faris darjah 2. Tahun ni pun dia dah darjah 4, so, dah dua tahun saya kaji keberkesanan cara ni. Sekarang Alisya darjah 1 pun saya gunakan cara yang sama.

Cara ini saya rasakan agak praktikal dan sistematik untuk saya dan anak-anak. Yang paling penting anak-anak saya boleh urus sendiri buku-buku mereka ikut jadual kelas. So, tak perlulah saya nak susun buku mereka, sebab confirm mereka boleh buat sendiri.

Ini button file milik Alisya, untuk lapan subjek.
 
Apa yang diperlukan cuma:

1. File - cari file yang ringan dan tidak tebal. Dari pemerhatian saya, button file atau velcro file, sesuai untuk anak-anak. Tak berat sangat dan mudah untuk digunakan oleh anak-anak. Satu file untuk satu subjek. Macam Alisya ada lapan subjek, so lapan file. Setiap file akan diisi dengan buku teks, buku aktiviti dan buku tulis. Konsepnya 1 file, 1 subjek. Bagi buku yang ada dua jilid (biasanya buku BM, BI dan Maths), untuk enam bulan pertama masukkan buku jilid satu sahaja. Buku jilid dua biasanya hanya dipakai selepas anak-anak selesai ujian pertengahan tahun.

2. Label - saya gunakan Labelmaker DYMO untuk menandakan file dengan nama subjek. Atau anda boleh print je subjek-subjek yang ada kemudian tampal pada file tu. Label yang dibuat, haruslah berdasarkan jadual waktu kelas anak-anak. Maksudnya kalau untuk subjek Matematik ditulis sebagai MATHS di dalam jadual, maka labelkan MATHS juga pada file berkenaan. Tujuannya supaya anak tidak keliru, semasa menyusun buku nanti.

Labelmaker DYMO masa saya beli tu, harganya RM39.90 satu set di Jusco
Contoh file yang telah dilabel. Label seperti apa yang ada dalam jadual.

3. Jadual waktu kelas - semestinya jadual waktu kelas anak-anak. 😃 Dengan adanya file mengikut subjek ini, maka anak-anak hanya perlu membawa file subjek yang berkenaan mengikut hari.

Contoh jadual waktu kelas. Label perlulah ikut seperti ditulis pada jadual kelas.
Ini file yang Alisya bawa semalam, 4 files sahaja.

Kelebihan buku disusun mengikut subjek di dalam file.

1. Memudahkan anak-anak untuk menyusun sendiri buku mengikut jadual kelas. 😜

2. Anak-anak hanya perlu keluarkan file yang berkenaan semasa di dalam kelas. Jika waktu BM, maka file BM yang dikeluarkan. Anak-anak tak perlu lagi mencari satu-satu buku di dalam beg. Habis waktu BM, mereka hanya perlu simpan semula buku-buku BM di dalam file dan keluarkan file subjek berikutnya. Sama juga bila nak siapkan kerja rumah, mereka hanya perlu keluarkan file yang berkenaan. Senang! 😄

3. Seperti yang kita sedia maklum, jadual kelas anak-anak biasanya akan dirombak beberapa kali dalam setahun. Dengan adanya file subjek ni, maka tidak timbul masalah untuk melabel semula semua buku, mengikut jadual waktu baru. 


Saya juga pernah menggunakan kaedah
yang pernah viral seperti ini, tapi tidak praktikal
untuk saya dan anak-anak. Jadual sekolah anak-anak
bertukar setiap 3 bulan.
  
4. Kalis air dan minyak. Macam mana tu? Disebabkan Faris memang hari-hari bawa bekal, kadang-kadang tertumpah sup ke, minyak ke pada buku-buku yang dibawa. Macam tu juga kalau hari hujan, mesti buku basah. Sejak saya masukkan buku-buku dalam file, alhamdulillah buku-buku selamat... InsyaAllah. 😁

Inilah cara saya susun buku sekolah Faris dan Alisya. InsyaAllah, file ni tahan lama, ia bukanlah item yang perlu diganti setiap tahun. Setakat ni untuk Faris, dia masih pakai file dari darjah 2. Saya cuma gantikan tiga ke empat file, sebab file tu dah rosak dan koyak.

Moga entri ini bermanfaat buat ibu bapa yang mencari solution untuk menyusun buku sekolah anak mengikut jadual... 😁 Thanks for reading! 😍😍😍

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...