"Cikgu tak sempatlah tu. Tak pe, cikgu dah bagi jadual baru dalam Whatsapp. Nanti esok nak susun buku ambil telefon Mama," jawab saya sambil tekun menyemak manuskrip buku, tanpa memandang wajahnya.
"Kita dah lama tak buat aktiviti sama-samakan, Mama?" Alisya menghampiri saya, lalu meletakkan pipi kirinya di tangan kanan saya.
"Hm...," jawab saya ringkas, sambil terus membaca manuskrip.
Setelah beberapa ketika, saya tidak memberi 'respond'...
"Tak apalah. Alisya naik tidur dululah," dia terus berlalu dan naik ke bilik.
Tanpa salam.
Tanpa ciuman.
Tanpa ucapan selamat malam.
Eh!
Baru saya tersedar.
Saya abaikan Alisya.
Saya tak pandang wajahnya ketika dia bercakap.
Saya tahu Alisya merajuk.
Allah...
Pagi semalam, saya keluarkan kertas A4, saya lukiskan beberapa petak. Alisya duduk di kerusi, jauh sedikit dari saya. Tapi dia tekun melihat apa yang sedang saya lakukan.
"Eh, Mama lukis jadual waktu Alisya ke tu?" Soalnya.
"Ha ah. Mehlah sini. Nanti Alisya warna tau," pancing saya supaya Alisya mendekat.
"Nak, nak... Mama tulislah, sebab tulisan Alisya tak cantik. Alisya warna," bersinar-sinar matanya. 'Excited'.
"Ok, Mama tulis, Alisya warna. Sebab Mama warna tak cantik sangat."
Terus dia berlari ke almari yang menyimpan alat tulis. Dicapai kotak pensil warna. Kemudian, dikeluarkan beberapa warna pilihan, tanda bersedia untuk mula mewarna.
"Ok nah, Mama dah siap tulis subjek semua. Alisya pula warna...," sambil menghulurkan jadual waktu yang telah siap ditulis.
Dia mula mewarna. Sesekali dia meminta pendapat saya dengan warna pilihannya. Sama ada sesuai atau tidak.
Sambil mewarna, dia bercerita tentang sekolah, rakan-rakan, cikgu-cikgu, makcik kantin, makcik 'cleaner', makcik 'guard' dan macam-macam lagi.
Saya berikan dia masa saya.
Saya berikan dia telinga saya.
Saya berikan dia sepenuh perhatian saya.
"Yey, dah siap. Cantikkan Mama?" Tanyanya sambil menayangkan jadual waktu yang telah siap diwarna.
"Wah, cantiklah..." sambil menunjukkan isyarat 'thumbs up'.
"Boleh Alisya bawa jadual ni pergi sekolah? Alisya nak beritahu kawan-kawan, yang Alisya buat jadual ni dengan Mama."
"Ok, boleh..."
"Terima kasih, Mama. Seronok hari ni sebab dapat buat ni dengan Mama," katanya sambil menghadiahkan saya satu ciuman di pipi.
Nah, terbayar sudah semua yang Mama patut berikan semalam.
Saya boleh je 'print' jadual tu dan berikan pada Alisya. Tapi, maknanya saya masih berhutang masa untuk beraktiviti dengannya. Biarpun, aktiviti ni sangat 'simple', tapi bayangkan betapa seronoknya Alisya bila saya dapat luangkan masa bersamanya.
Buat aktiviti simple pun, bonding time. |
Anak-anak ni,
Mereka nak kita berikan masa untuk berbual dengan mereka,
Anak-anak ni,
Mereka nak kita berkreatif dengan melakukan aktiviti bersama mereka,
Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan telinga untuk mendengar cerita mereka,
Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan mata untuk pandang wajah mereka,
Anak-anak ni,
Mereka nak kita pinjamkan tangan untuk menyentuh dan memeluk mereka,
Bukan lama, hanya untuk seketika...
Inilah 'bonding time'.
Nora Karim
Lega bila dapat tebus kesalahan pada anak...