Nuffnang Ads

Agoda Ads

Saturday, December 15, 2018

Suri Rumah Juga Perlu Waktu 'Bertenang'

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Para peserta Bengkel Penulisan
Komrad Buku

"Kak, kau dah pandai menulis... tapi kenapa kau masih pergi bengkel penulisan?" kata seorang rakan berpangkat adik pada saya.

"Saja... tambah ilmu," jawab saya ringkas.

"Aku tengok kos pergi bengkel ni bukan murah kak. Yang ni RM100 yang hari tu kau pergi RM350 kan? Yang 'online' hari tu pun ratus-ratus juga harganya. Tu belum masuk 'e-book' penulisan dan buku-buku yang sekali sekala kau borong bukan main banyak tu. Kau kan tak kerja, macam mana kau bayar, kak?"

Lalu panjanglah perbualan kami bercerita tentang itu ini, begitu begini.

Rasanya tak ada apa yang pelik bila seorang suri rumah tidak bekerjaya melakukan apa yang dia suka.

Contoh pergi bercuti bersama rakan-rakan baik, menghadiri seminar atau bengkel, malah membeli apa yang disukainya.

Tujuannya satu.

Hilangkan stres!

Tugas seorang suri rumah ni, sama beratnya dengan mereka yang bekerja. Jika orang yang bekerja memberikan 'reward' kepada diri sendiri sebaik dapat gaji, samalah seperti kami.

Tak ada beza pun.

Cumanya yang bekerja boleh beli atau lakukan terus apa yang dihajati sebaik dapat gaji bulanan. Tapi kami, kena bersabar dan menyimpan sikit-sikit.


Macam saya, minat saya lebih kepada penulisan dan buku. Jadi saya simpan sikit dari pemberian suami setiap bulan.

Kadang-kadang RM50, kadang-kadang RM100, kadang-kadang RM200 ikut berapa yang saya mampu simpan untuk bulan tersebut.

Saya tak membeli sangat baju baru, seluar baru, tudung baru, 'handbag' baru atau apa sajalah yang baru. Selagi semuanya masih elok, maka itulah dipakai sampai betul-betul rosak.

Yang penting adalah keperluan rumah dan keperluan anak-anak. Keperluan sendiri tu boleh 'adjust' ikut masa yang bersesuaian.

Biasanya saya akan membeli sesuatu yang saya suka hanya apabila ada jualan murah.

Contohnya, untuk belian pukal atau borong buku-buku, saya tunggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Big Bad Wolf atau jualan gudang 'online' dari rumah-rumah penerbit. Memang jimat banyak.

Penting ke untuk suri rumah buat apa yang dia minat?

Sangat penting!

Kalau tak nak stres, maka uruslah masa agar dapat buat apa yang kita minat. Suami pun kenalah bertolak ansur. Beri masa dan peluang untuk isteri 'refresh' daripada rutin harian.

Suri rumah juga perlu waktu bertenang...

Macam mana nak bertenang?

Buatlah apa yang kita suka.



Nora Karim
Suri rumah tak bergaji.

Friday, December 07, 2018

Bahagianya Mereka...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Beberapa hari lepas, kami bersarapan di restoran Mamak. Teringin nak makan tosei kosong. Faris dan Alisya pun kata nak makan puri dan roti canai telur.

Selesai memesan makanan, saya memerhati sekeliling restoran. Tiba-tiba saya tertarik melihat sebuah keluarga di sebelah kiri meja saya.

Sepasang suami isteri bersama tiga orang anak, dua orang lelaki berusia dalam lingkungan lapan dan lima tahun. Dan seorang lagi bayi perempuan dalam lingkungan lima atau enam bulan.

Bayi perempuan tersebut di ribaan si suami. Sambil dua anak lelaki tadi sedang mengagah dan bermain "peek-a-boo" dengan adik perempuan mereka. Terkekek-kekek si adik ketawa. Comel sangat, melihat keakraban mereka adik-beradik.

Saya perhatikan di atas meja mereka.

"Eh, si ayah belum makan lagi," bisik saya dalam hati. Di depannya ada sekeping roti canai yang belum terusik.

Isterinya sedang perlahan-lahan makan nasi goreng. Anak-anak lelaki tadi sudah selesai makan, walaupun makanan di dalam pinggan masih berbaki.

"Bagusnya suami dia... dia beri si isteri makan dulu, sementara dia meriba anak mereka yang kecil."

Saya masih asyik mencuri pandang pada mereka sekeluarga. Seronok sangat melihat mereka.

Si isteri makan dengan sangat perlahan. Mungkin kerana nasi goreng masih panas. Tapi si suami sedikit pun tidak berbunyi atau menyuruh isterinya cepat.

Dibiarkan isterinya menikmati makanan itu, sementara dia dan anak-anak lelakinya bermain dengan si kecil.

Sebaik isterinya selesai makan, barulah suami  makan. Bayangkan roti canai yang telah lama di depan matanya, baru dikunyah. Dah tentu sedikit liat, tidak segaring ketika mula-mula sampai di atas meja itu.

Tetapi kerana kasihnya kepada isteri, dia memberi laluan kepada si isteri untuk makan dahulu sementara dia menjaga bayi mereka yang kecil.

Subhanallah, bahagia sangat keluarga tersebut. Bahagia, rapat, akrab.

Saya doakan keluarga itu sentiasa diberkati oleh Allah. Semoga pasangan suami isteri dan anak-anak mereka, terus berkasih sayang sampai ke syurga.

*****

Situasi seperti ini sangat sukar dilihat. Selalunya, si isteri yang akan "berperang dengan anak-anak di meja makan".

Biasanya suami makan tanpa kisahkan anak-anak, dan apabila selesai makan, diajaknya pulang. Sedangkan si isteri masih belum habis makan.

Nora Karim
Dikurniakan sebuah keluarga bahagia juga nikmat.

Wednesday, December 05, 2018

Ulasan Buku: Diet Tanpa Stres

Ulasan buku: Diet Tanpa Stres
Penulis: Ustaz Fitness (Arif Sukri)
Terbitan: Galeri Ilmu 
Ketebalan buku: 232 muka surat
Harga: RM30


Jika anda seorang yang sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan dan mahu kekalkan cara hidup sihat, buku ini wajib dibaca.

Tidak dinafikan, pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang tempoh kita berusaha untuk diet. 

Kena ejek, kena perli, dipandang sinis ketika bersenam di taman dan macam-macam lagilah. Akhirnya ramai yang akan berputus asa.

Sekejap...

Jangan cepat 'surrender', ambillah naskah ini dan baca. Di dalamnya ada banyak tips, nasihat, kaedah dan paling penting "pujukan" supaya kita kekal teguh dengan pendirian untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

Anda mesti pernah dengar atau baca pelbagai mitos berkaitan diet di dalam internetkan? Dalam buku ini, Ustaz berikan pencerahan kepada lebih 20 mitos diet. Jadi rugilah kalau tak baca. 

Oh ya, saya nak petik satu ungkapan  yang mencuit hati saya dari buku ini. 

"Biarkan lemak menangis". 

Ungkapan ini sentiasa terngiang dan membuatkan saya sedar bahawa saya harus paksa lemak untuk menangis demi kesihatan.

Nak sihat tiada jalan singkat:
a) makan makanan berkhasiat
b) lakukan senaman
c) sentiasa positif

Anda perlukan sokongan positif sepanjang berdiet? Jadikan buku ini sebagai "rakan diet paling akrab". Slowly but surely.

Terima kasih Ustaz untuk buku yang bermanfaat ini. 

Buku ini "sedap untuk dihadam". 
💯 recommanded

Tuesday, November 20, 2018

Tanda Ingatan Buat Abah :)

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Balik dari sekolah semalam, Alisya monyok je...

Saya: Kenapa ni? Bergaduh dengan kawan ke?

Alisya: Tak. Alisya tak beli apa lagi untuk birthday Abah. Dekat kedai buku pun tak ada apa yang menarik. Boleh kita singgah Speedmart tak?

Saya: Ok... Alisya ada berapa ringgit?

Dia menyeluk poket baju sekolahnya. Ada RM3,  duit saku yang saya berikan sebelum dia ke sekolah.

Saya: Tak pakai duit sekolah? Tadi makan apa waktu rehat?

Alisya: Tak makan. Kenyang lagi. Lagipun nak beli hadiah Abah.

Alahai... walau cuma ada RM3, dia tetap nak belikan sesuatu untuk hadiahkan pada Abahnya.

Sampai di Speeadmart, dia mencari sesuatu di rak stationery, kemudian beralih ke rak makanan ringan.

Alisya: Ha ni... kacang tangan (kacang NganYin) ni Abah suka kan? Ala... tapi tak cukup lagi 40 sen.

Saya: Ok tak pe. Mama tambah. Nak beli apa lagi?

Alisya: Nak cari kotaklah, masukkan kacang ni dalam kotak.

Saya: Mama ada kotak cantik dekat rumah.

Dia mula excited.

Alisya: Kotak tu besar tak? Boleh tak tambah coklat? Hari tu cikgu cakap, coklat boleh buat orang happy.

Saya: Ok boleh... Nak beli coklat yang mana?

Dia mula pilih paket kecil, Kisses Harshey, Cadbury dan Feraro Rocher.

Alisya: Boleh beli ni? Nanti letak sikit-sikit dalam kotak.

Saya: Ok boleh. Dah? Boleh kita bayar sekarang?

Dia hulur duit RM3nya. Muka dia happy sangat. Tak sabar dia nak hias kotak dengan kacang  kegemaran Abah dan coklat, yang dia percaya boleh buat Abahnya happy.


"Happy birthday Abah, semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki. Terima kasih atas segalanya. Alisya dan Abang sayang Abah," ucapan yang ditulis dalam kad yang dibuat sendiri.

Tekun dia buat pop up card.
Belajar dari Youtube.


Kesungguhan anak-anak ni kadang-kadang buat kita terharu. Merealisasikan apa yang dirancang pun, satu kegembiraan buat mereka.

Saturday, October 06, 2018

Tosei Rawa

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,



Pertama kali saya makan tosei rawa ni. Itu pun dicadangkan oleh pelayan kedai mamak yang biasa saya kunjungi. 

Biasanya kalau sebelah pagi ke kedai mamak ni saya akan minta plain tosei atau tosei kosong je.

Disebabkan saya ni jenis yang susah sikit nak terima makanan yang saya belum pernah makan, maka saya tengok orang lain yang pesan tosei rawa. Tengok reaksi mereka makan.
Bila tengok orang lain makan sedap je, maka next kunjungan barulah saya cuba.

Mengikut kata pelayan kedai, tosei rawa ni ditambah sayuran dan rempah ratus, kuah untuk cicah sama je macam tosei kosong. 

Ok reaksi saya lepas rasa tosei rawa buat pertama kali ni... sedap jugalah. Ia lebih garing dan nipis berbanding tosei kosong. Sedikit pedas sebab banyak rempah tu. 

Bagi mereka yang makan mengikut kalori, untuk sekeping tosei kosong, kalorinya adalah 150kcal. Manakala kalori bagi tosei rawa adalah 300kcal. 

Jadi saya lebih prefer tosei kosong sebab rendah kalori berbanding tosei rawa. Sekali sekala bolehlah makan tosei rawa kalau teringin.

Yang belum pernah cuba boleh cuba. Sedap juga. 


Kalau boleh tak nak terlebih ambil kalori dalam sehari.

Saturday, September 15, 2018

Tanyalah Ustaz: Penyakit Ada Ubatnya

Tanyalah Ustaz
Penyakit Ada Ubatnya
Ustaz Mohammad Rozie Mohd Rejab

1. Terdapat enam raja buah yang disebutkan di dalam Al-Quran:
a) Zaitun
b) Tin
c) Delima
d) Kurma
e) Anggur
f) Pisang
Makanlah buah-buahan ini, agar menjadi syifa kepada tubuh badan kita.

2. Selawat itu syifa'. Maka jika ditimpa kesakitan, perbanyakkan selawat.

3. Perbanyakkan istighfar, kerana istighfar juga mempunyai kelebihan antaranya, dengan istighfar:
a) menjadi penawar kepada kemarau yang panjang
b) menghadirkan kesuburan pada ladang-ladang dan tanaman
c) menamatkan penantian zuriat kepada pasangan suami isteri
d) menyembuhkan kemiskinan
e) mendekat jodoh

4. Mulakan segala urusan yang ingin dilakukan dengan bismillah dan selawat, moga terhindar daripada segala kemudaratan dan mendapat redha Allah.

5. Jaga dan perhati, apa jua yang kita makan, kerana setiap penyakit, bermula dengan apa yang kita masukkan ke dalam mulut kita.


Jom pilih makanan yang baik... agar terhindar segala penyakit.

Thursday, July 12, 2018

Jaga Lidah, Jaga Hati

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Allah...

Sungguh, diam itu lebih baik daripada berkata-kata.

Sungguh, kita yang bernama manusia ini selalu terlupa mengapa Allah kurniakan mulut kepada kita.

Teringat pada salah satu ceramah Ustaz Wadi Annuar yang saya dengar, "Allah kurniakan kita mulut untuk apa? Supaya sentiasa berzikir dan membaca serta memahami ayat-ayatNya."

Kita sebenarnya tidak akan pernah perasan, apa jua perkataan yang keluar dari mulut kita setiap hari. Mungkin ada perkataan-perkataan kita yang akan menyebabkan hati seseorang terguris.

K.O.M.U.N.I.K.A.S.I

Nampak mudah tapi jika tidak kena cara dan tertibnya, mungkin mengakibatkan kemudaratan.

Ada beberapa tertib atau perkara yang boleh diambil kira sebelum dan ketika  berkomunikasi:

1. Fikir: fikir dan tapislah terlebih dahulu perkataan sebelum kita mulakan bicara. Percakapan atau soalan yang bertalu-talu akan menyebabkan kita sendiri tidak sedar akan perkataan-perkataan yang dituturkan, sama ada ia relevan atau akan menyakiti hati orang lain.

2. Face to face/private: jika merasakan sesuatu perkara yang hendak diperkatakan itu terlalu sensitif dan personal, maka bertanyalah secara face to face/private. Janganlah sengaja ditanyakan secara umum, kerana khuatir apa yang akan ditanya itu akan mendatangkan aib.

3. Bahasa tubuh: pekalah dengan bahasa tubuh orang yang sedang berbual dengan kita. Lihat sama ada dia selesa atau tidak selesa sepanjang perbualan. Jangan tanya perkara yang boleh menjadikan dia tidak selesa atau tidak suka.

4. Berhenti: berhentilah bercakap jika merasakan kita sudah tersasar jauh daripada apa yang sepatutnya. Jangan ditambah "pelbagai perasa" demi memuaskan hati kita sendiri.

5. Maaf: segeralah memohon maaf apabila tersedar bahawa percakapan kita telah mengguris hati seseorang. Maaf dan jangan ulangi lagi.

Dua perkara yang paling bahaya dalam komunikasi, iaitulah gurauan dan sindiran. Ia nampak remeh tapi meninggalkan kesan yang mendalam pada hati seseorang.

Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau – kalau tidak dapat berkata yang baik, hendaklah ia berdiam diri saja”


Lidah, sesungguhnya anggota yang paling sukar untuk dijaga.

Sunday, July 01, 2018

BIG NO Bila Bertandang Ke Rumah Orang

- Pinned Post -
*Untuk entri terbaru, sila scroll ke bawah*

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sana sini orang menulis dan mengulas tentang ''teguran pedas" Chef Wan tentang ibu bapa yang tidak menegur anak-anak mereka yang berkelakuan "luar biasa" (seperti meramas kuih raya, menumpahkan kuah, mengambil makanan dengan banyak dan kemudiannya tidak dihabiskan, melompat di sofa, menyepahkan mainan dan lain-lain) di rumah yang dikunjungi.

Saya tak mahulah mengulas tentang isu yang tular itu. Pada saya apa yang "ditegur" oleh Chef Wan itu ada betulnya. Ibu bapa buka mata, buka telinga dan pandanglah dari sisi yang lebih positif. 

Ketika kali pertama saya membaca "teguran" Chef Wan tu, saya juga marah, maklumlah saya juga punya anak-anak yang lasak bila bertandang ke rumah orang. Tapi esok lusanya, bila saya bertenang dan baca semula teguran itu, saya mula fahami maksud tersirat. 

Benarlah kata orang, bila kita membaca dengan emosi, maka kita akan rasa marah, sakit hati, bengang. Tapi kalau kita baca dalam keadaan yang tenang, Insya-Allah kita akan nampak lebih banyak ruang untuk kita sebagai ibu bapa take note. Sahabat, ilmu parenting ini tidak pernah berakhir... ia bersifat berterusan maka lapangkan dada dan fikirlah dalam-dalam.

Eh, jangan salah faham tau, saya tulis macam ni bukanlah bermaksud saya tak nak terima tetamu... Saya okay je kalau orang nak datang rumah bawa anak-anak. Kadang-kadang saya yang keluarkan mainan untuk anak-anak tetamu main. Anak-anak ni kalau tiada benda yang boleh lekakan dia, maka itulah jadi nak meramas kuih raya, lompat sofa semua... sebab lumrah anak-anak memang nak buat aktiviti yang boleh buat mereka leka...

Ok berbalik kepada tajuk asal entri ini, sebenarnya saya nak kongsikan beberapa perkara yang TIDAK BOLEH (sebagai orang dewasa yang waras) lakukan, jika bertandang ke rumah orang. Atau pendek kata, adab ketika kita menziarahi rumah orang lain.

     Gambar ni masa buka puasa saya dan adik-beradik

Maklumlah, raya masih berbaki, maka kunjung mengunjung, serta tuntutan memenuhi jemputan rumah terbuka tu masih lagi ada. Maka mungkin kita boleh sama-sama menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang: 

1. Minta izin jika berhajat untuk menziarahi tuan rumah
Jika bukan memenuhi jemputan rumah terbuka, tapi nak datang ziarah, mintalah izin terlebih dulu. Sebaiknya sehari sebelum kita nak bertandang ke rumahnya. Maklumlah, kita kena faham, ada kalanya peti ais tuan rumah kosong atau tidak sempat mengemas rumah atau tidak bersedia untuk menerima tetamu atau tuan rumah ada urusan lain... atau... atau... atau... (isilah sendiri) ? Sekarang teknologi dah canggih, maka gunakanlah.

2. Meminta tuan rumah untuk masak sedap-sedap
Jika kita ikhlas untuk menziarahi rakan-rakan, maka terimalah apa saja yang disediakan oleh tuan rumah. Walaupun hanya kuih-kuih raya. Jamah apa yang ada, sebab kita tak pernah tahu apa yang tuan rumah sedang hadapi. Mungkin ada yang sedang berkira-kira duit belanja sehingga dapat gaji semula, bulan berikutnya. Maklumlah raya hari tu pun dah belanja banyak, beli baju raya, sediakan duit raya, buat hidangan raya, termasuk balik kampung. Jadi, janganlah minta tuan rumah masakkan yang sedap-sedap untuk kita.

3. Membuat rondaan dalam rumah; dari dapur, tandas, malah semua bilik yang ada.
Biarpun tuan rumah tu best friend kita malah adik-beradik sekalipun, kita tidak berhak untuk membuat rondaan ke segenap sudut rumah itu. Ingat, rumah itu privacy tuan rumah. Maka janganlah kita ceroboh. Tak manis macam tu. Kita mungkin tengok reaksi tuan rumah macam okay, tapi percayalah di satu sudut dalam hatinya, dia pasti terguris. Iyalah, kita sendiri pun belum tentu suka tetamu masuk ke bilik kitakan.  

4. Menjadi juri awam kepada reka letak perhiasan dan perabot tuan rumah
Ni lagi satu hal, janganlah sekali-kali kita bagi nasihat pada tuan rumah untuk meletakkan perabot atau barang perhiasannya di mana... rumah dia, dia tahulah. Tak perlulah kita nak bagi khidmat percuma. Siap cakap, "eh rak ni tak sesuailah kau letak kat sini, baik kau letak dekat situ..." 
"Eh, benda ni pun kau jadikan hiasan? Tak cantiklah!" dan lain-lain komen yang menyebabkan tuan rumah hanya mampu senyum je.

5. Ambil apa yang nak dimakan, jangan membazir
Ambil dalam kuantiti yang sedikit, rasa dulu. Jika nak lagi maka tambahlah tiada siapa pun larang. Tapi jangan ambil sekali banyak sampai penuh pinggan, lepas tu bila makan kita rasa ada yang tak kena dengan selera kita, maka kita buang semuanya. Hormatilah tuan rumah, dia dah berpenat lelah siapkan hidangan untuk kita, tapi kita buang pula. Janganlah membazir.

Baby Uwais super cute! (^_^)

6. Minta apa yang tiada di atas meja
"Lemang je ke? Nasi beriani ke nasi ayam ke tak de ke?"
"Air panas je ke ada? Air sejuk tak de ke? Ni cuaca panas ni"
"Aik, kering je semua... tak de kuah ke?" 
"Ni kalau ada sambal ikan bilis, memang sedap makan dengan lontong ni..."
Kita mungkin rasa kita bergurau, tapi tuan rumah mesti sikit sebanyak terasa hati. Apa lagi orang yang penat masak tu. Apa kata kita sama-sama belajar bersyukur, sebab tuan rumah sudi sediakan hidangan itu untuk kita. Itulah rezeki kita. Maka makanlah. Kalau tak suka pun, jamahlah sikit-sikit. Buat syarat...

7. Meminta tuan rumah bungkuskan makanan untuk dibawa pulang
Kalau tuan rumah yang bungkuskan makanan untuk kita, maka ambillah... jika tidak, janganlah pula diminta. Pernah jadi depan mata, tetamu yang tidak segan silu minta tuan rumah bungkuskan makanan yang ada. Bila tuan rumah ambil bekas kecil, dikata oleh tetamu tu, "ala kedekutnya kau ni... bekas kecil je kau bagi aku, tak de bekas besar ke?" Allah... tuan rumah yang tersipu-sipu malu, orang yang minta tapau tu sikit pun tak malu! Terfikirkah kita, jika tuan rumah sedang risau, sama ada lauk yang dimasak cukup untuk tetamu yang datang?

8. Menziarah tuan rumah pada jam hampir tengah malam
Jika jam dah menunjukkan 10 malam ke atas, tak perlulah kita berkunjung ke rumah orang... Waktu ni orang dah mula nak berehat. Mungkin kita boleh set masa dan hari lain untuk datang. Rayakan sebulan... 

9. Duduk lama-lama di rumah orang yang di ziarah
Jika boleh janganlah berlama-lama di rumah orang yang di ziarah. Makan, borak sikit-sikit, kemudian beransurlah pulang. Janganlah sampai baring di depan TV rumah orang tu. Ada tu kadang sampai tumpang tidur lagi! 

Sama-samalah kita jaga adab ketika menziarahi rakan-rakan kita. Janganlah nanti disebabkan perbuatan atau percakapan kita nanti, boleh jadi gaduh pula. Sebelum terlupa, bolehlah bacakan Doa Tetamu Kepada Tuan Rumah seperti berikut: 


Masuk rumah orang tutup mata, keluar rumah orang tutup mulut.
(Usahlah melihat apa yang ada di dalam rumah yang kita ziarah, dan tutuplah mulut, janganlah diceritakan apa yang buruk di dalam rumah orang yang kita ziarah)
Salam 17 Syawal 1438H
(11 Jul 2017)

Artikel berkaitan adab:
Adab Menziarahi Orang Sakit 
Adab Bermasyarakat 

Saturday, June 30, 2018

Alam Barzakh: Realiti-realiti Barzakh

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Berikut adalah perkongsian ilmu daripada Ustaz Wadi Annuar, melalui rancangan Alam Barzakh terbitan TV Al-Hijrah, yang sempat saya catatkan untuk bacaan umum. Moga bermanfaat ya. 

1. Alam barzakh terbahagi kepada dua, iaitu; 
  • lubang-lubang neraka 
  • taman-taman syurga 

2. Di alam barzakh dan akhirat, tiada lagi yang namanya ibadah. Tiada lagi solat. Tiada lagi baca Al-Quran. Tiada lagi sedekah. 

3. Sebaik sahaja roh keluar daripada jasad, tiada lagi ibadah dan tiada lagi tidur.

4. Yang berada di lubang-lubang neraka, tiada rehat kerana sentiasa di azab sehinggalah tiupan sangkakala kedua.

5. Kelebihan mereka yang berada di taman-taman Syurga:
  • berjumpa dan berbual dengan roh-roh yang lain
  •  diluaskan kuburnya seluas mata memandang 
  • dapat melihat istananya di Syurga daripada kuburnya 
  • dapat menghidu wangi-wangian Syurga daripada kuburnya

6. Realiti-realiti di alam barzakh; 
  • roh-roh yang ditempatkan di taman-taman Syurga, tidak akan dapat berjumpa dengan roh-roh yang berada di lubang-lubang neraka. 
  • roh orang yang hidup boleh berjumpa dengan roh yang telah meninggal dunia - Surah Az-Zumar, ayat 42: "Allah memegang roh seseorang setelah kematiannya, Allah juga memegang roh orang yang hidup ketika dia sedang tidur, selepas berjumpa, Allah memegang semula roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang hidup yang sedang tidur untuk pulang semula ke dalam tubuhnya, sehingga ajalnya tiba nanti." 
  • roh-roh yang berada di alam barzakh boleh mendengar beberapa perkara yang disampaikan oleh mereka yang masih hidup: 
    • ketika orang yang hidup memberi salam ketika di tanah perkuburan (assalamualaikum ya ahlal kubur) - ahli kubur dengar dan boleh menjawabnya
    • penghuni kubur boleh mendengar derapan kasut orang yang terakhir meninggalkan kuburnya

7. Kisah masyhur Tsabit bin Qais yang mati syahid ketika berperang dan datang berjumpa seorang sahabat yang sedang tidur, memberitahu:
    "Wahai fulan, ketika aku mati, perisai berharga aku telah diambil orang. Orang itu, membawa perisaiku ke rumahnya di hujung kem. Rumahnya ada seekor kuda, perisaku diletakkan di bawah periuk besar, dan di atasnya diletakkan pelana kuda. Sebaik kamu jumpa perisaiku, berikanlah kepada Khalifah Abu Bakar untuk dijual. Aku ada beberapa hutang yang belum dilangsaikan. Langsaikanlah hutang-hutangku dengan duit daripada perisaiku itu."
     Maka keesokkan harinya, sahabat tersebut mencari perisai Tsabit bin Qais dan menyerahkannya kepada Saidina Abu Bakar. Maka Saidina Abu Bakar menjual perisai tersebut dan melangsaikan hutang Tsabit bin Qais.

8. Jika seseorang yang hidup, mimpi berjumpa roh orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan yang tidak baik, maka sedekahkanlah sesuatu buat si mati.
  • sama ada membacakan Al-Fatihah,  
  • mendoakan si mati
  •  berilah sedekah atas nama si mati

9. Antara sebab seksa kubur:
  • melalaikan solat 
  • membaca Al-Quran kemudian melupakannya 
  • tidak bersuci setelah membuang hadas kecil 
  • bercakap bohong 
  • tidak membayar zakat 
  • corak kehidupan yang berlebih-lebihan 
  • memakan riba 
  • rasuah
  • memfitnah sesama saudara Islam
  • khianat terhadap amanah
  • enggan menolong sesama muslim
  • meminum arak
  • berzina
  • membunuh

Marilah sama-sama kita mengejar redha Allah, moga ketemu di Syurga. 
InsyaAllah...

Tuesday, June 26, 2018

MyDoctors: Tabiat vs Ketagihan

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Dulukan nak dapat info kesihatan, tersangatlah susah. Kalau nak tahu tentang satu-satu penyakit, tanda-tanda penyakit, cara atasi kena baca artikel perubatan yang penuh dengan "medical terms".

Sekarang ni dengan kecanggihan teknologi, maka info perubatan itu dipermudahkan. Lihat saja betapa banyak buku-buku perubatan bersifat anekdot ditulis oleh para pakar perubatan. Begitu juga dengan adanya rangcangan bual bicara seperti, MyDoctors ini.

Sebuah rancangan yang menarik untuk ditonton oleh masyarakat umum. Berikut adalah info yang saya petik dari rancangan MyDoctor, episod 11 dengan panel berikut:

Dr Liyana Dhamirah
Dr Eliza Mohd Noor
Dr Zainal Adwin

1. Satu-satu perkara yang dilakukan selama 66 hari, kemudiannya akan menjadi tabiat.

2. Tabiat biasanya dikaitkan dengan perkara-perkara yang positif dan ketagihan biasanya dikaitkan dengan perkara-perkara yang negatif.

3. Tabiat biasanya boleh dikawal, manakala ketagihan menyebabkan seseorang itu melupakan sesuatu yang penting bagi melaksanakan ketagihannya.

4. Kebanyakkan rakyat Malaysia mengalami ketagihan kepada telefon pintar dan wi-fi.

5. Rakyat Malaysia menghabiskan purata tiga jam (atau lebih) sehari menggunakan telefon pintar.

6. Sebaik bangun tidur, kebanyakan daripada kita akan melihat telefon pintar.

7. Satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia menunjukkan mereka yang cenderung atau obses menggunakan telefon adalah di antara umur 18-24 tahun, iaitu golongan mellinial.

8. 71 peratus mengaku sangat obses terhadap penggunaan telefon pintar.

9. Secara purata, seseorang itu akan melihat telefon pintar 85 kali dalam sehari.

10. Daya ingatan akan berkurangan kerana obses kepada telefon pintar.

11. Wujudnya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain, akan menyebabkan seseorang itu membanding-bandingkan gaya hidupnya dengan orang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, cemburu, kemurungan dan tekanan perasaan.

12. Secara realitinya, pengguna media sosial memaparkan kehidupan yang mereka mahu (jadi jangan membandingkan apa yang mereka ada dan kita ada)

13. Penggunaan telefon pintar, menyebabkan komunikasi di alam nyata jarang berlaku dan ini tidak sihat. Kebanyakkan daripada kita, menghabiskan masa dengan telefon pintar masing-masing berbanding berkomunikasi sesama kita.

14. Selfie juga sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita sekarang ini. Apa apa jua keadaan dan di mana jua, kebanyakkan dari kita akan selfie.

15. Selfie sebenarnya boleh menceritakan karakter seseorang.

16. Personaliti 'oversharer', orang yang mengambil gambar setiap masa untuk setiap aktivitinya. Sampai ke kedai beli kicap untuk masak ayam kicap pun ambil gambar. 😂

17. Tindakan ini sebenarnya agak bahaya, kerana mengundang pihak lain mengambil kesempatan pada kita.

18. Sharing location juga sebenarnya membahayakan. Jika mahu juga berkongsi lokasi, adalah lebih baik jika kita memuatnaik sesuatu ketika kita telah meninggalkan tempat tersebut.

19. Sebelum mengemaskini status, fikir dahulu baik buruknya status yang hendak dikongsi, ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

20. Personaliti 'proud parent', ibu bapa yang setiap hari akan memuatnaik perkembangan dan kecemerlangan anak mereka.

21. Personaliti 'opinion seeker', orang yang sentiasa mengharapkan respon segera dari rakan-rakan media sosial kerana kerap bertanyakan sesuatu tentang baju yang dipakai, tudung yang dipakai, kasut yang dipakai dan pelbagai lagi.

22. Tidak dinafikan, media sosial adalah pusat pengumpulan data yang sangat pantas dan berkesan.

23. Personaliti 'narcissist', adalah seseorang yang suka atau terlalu obses dengan dirinya sendiri. Personaliti kategori ini, merasakan mereka adalah yang paling cantik dan hebat serta sangat mementingkan Like dan Comment.

24. Orang yang memiliki personaliti 'narcissist', digelar sebagai 'attention seeker'. Golongan ini juga dikaitkan dengan 'loneliness'. Kesepian, taksub kepada diri sendiri dan suka mencari perhatian orang lain.

25. Personaliti 'narcissist' merasakan hubungannya dengan orang lain tidak sempurna. Maka mereka lebih suka "melepak" dengan diri sendiri serta mengasingkan diri daripada komuniti.

26. Personaliti 'narcissist' ini akan menyebabkan kemurungan mahupun penyakit mental yang lain.

Nora Karim
Berpadalah dalam menggunakan teknologi jangan sampai tertekan kerana melihat kesenangan dan kemewahan orang lain di media sosial.

Thursday, May 31, 2018

THM Kumpul RM7j Lebih - Hebat Rakyat Malaysia

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Pada saat ada segelintir rakyat yang mempertikaikan usaha kerajaan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia (THM), ada ramai lagi yang prihatin, sayang dan berjuang untuk membina semula negara.

Rakyat yang sayangkan Malaysia, tidak mempersoalkan kewujudan akaun tersebut, malah menyokong penuh usaha kerajaan. Tujuannya hanya satu, untuk mengurangkan hutang bagi membina semula negara.

Akaun ini sebenarnya diwujudkan atas permintaan dari rakyat sendiri. Kerajaan juga tidak mewajibkan rakyat untuk menyumbang, sebaliknya ia adalah atas ihsan rakyat yang prihatin. Jika mahu menyumbang silakan, jika tidak mahu menyumbang pun tiada masalah.

Lebih RM7 juta berjaya dikumpulkan dalam tempoh 24 jam sejak THM ditubuhkan semalam.

Subhanallah, hebat rakyat Malaysia! 😍

Sesiapa yang menderma ke THM akan dapat pengecualian cukai mengikut jumlah yang disumbangkan, jadi sila simpan resit ya.

Jumlah kutipan akan dikemaskini dan dimaklumkan kepada rakyat setiap hari jam 3 petang.

Kepada yang hendak menyumbang, berikut adalah nombor akaun THM.

Akaun Tabung Harapan Malaysia
Malayan Banking Berhad 
Nombor akaun: 5660 1062 6452

Nora Karim
Sekarang hari-hari tengok berita. Tunggu berita macam tunggu drama paling best di Malaysia. 😁

#malaysiabaru
#binasemulamalaysia
#tabungharapanmalaysia

Wednesday, May 30, 2018

Nombor Akaun Tabung Harapan Malaysia (THM)

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Hari ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan penubuhan akaun amanah dikenali sebagai, Tabung Harapan Malaysia (THM) yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.

Tabung ini diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia untuk menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu kerajaan Malaysia membayar hutang negara.

Sejak kerajaan baru ditubuhkan, beberapa usaha dilakukan bagi mengurangkan kos perbelanjaan negara.

Antaranya, gaji menteri dikurangkan sebanyak 10%, jumlah menteri kabinet dikecilkan, bantuan sara hidup (menggantikan BRIM) diberikan kepada mereka yang selayaknya dan usaha-usaha lain untuk mendapatkan semula wang rakyat daripada skandal 1MDB.

Usaha kerajaan baru ini sedikit sebanyak menjadikan rakyat turut merasakan perlunya memberi sumbangan agar dapat sama-sama membina semula negara.

Jika anda hendak bantu bina semula negara, dan menyumbang.

Akaun Tabung Harapan Malaysia
Malayan Banking Berhad 
Nombor akaun: 5660 1062 6452

Kita pernah bersatu memilih kerajaan baru, tidak mustahil untuk kita sekali lagi bersatu mengumpul dana bagi membayar hutang negara.



Friday, May 25, 2018

Jihad Dakwah: Iktibar dari Tindakan Fikry Ibrahim

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Saya ada terbaca satu artikel tentang Fikry Ibrahim mengaburkan rambut Uqasha Senrose (untuk mempromosikan drama terbaru lakonan mereka) di Instagramnya.

Alasan yang diberikan Fikry, kerana dia tidak mahu menanggung dosa kerana menyebarkan gambar Uqasha yang tidak menutup aurat.

Kemudian saya membaca beberapa komen yang dituliskan netizen.

"Ala, poyo je Fikry ni... tunjuk alim pula."

"Wah sweetnya Fikry... nampak sangat kasih sayang dia sesama wanita Islam."

"Respect bro..."

"Part ni bagus dah bro... adalah lebih bagus kalau kau berlakon tak pegang-pegang tangan perempuan yang bukan muhrim... good luck."

Pada saya, tindakan Fikry ini adalah salah satu jihad dakwah.

Jihad dakwah, bukan tertumpu pada mereka yang bergelar Ustaz dan Ustazah saja. Tetapi ia adalah tanggungjawab setiap muslim untuk saling mengingatkan.

Dakwah tidak semestinya perlu berceramah di khalayak ramai. Dakwah bukan hanya dilakukan di surau atau masjid. Ia boleh disampaikan dalam pelbagai cara dan di mana sahaja. Malah boleh dilakukan secara santai.

Apa contoh lain jihad dakwah?

Penulis buku yang menuliskan  "bismillahirrahmannirrahim" pada permulaan bukunya - ini jihad dakwah.

Pemilik kedai makan yang menggantungkan doa sebelum makan dan doa selepas makan - ini jihad dakwah.

Penjual pakaian yang menyelitkan doa ketika memakai baju - ini jihad dakwah.

Penjual nasi lemak yang mencetak pembalut makanan dengan kata-kata hikmah - ini jihad dakwah.

Cikgu atau pensyarah berkongsi kata-kata hikmah, hadis atau kisah ringkas para Nabi sebelum memulakan kelas - ini jihad dakwah.

Suatu ketika dulu, saya juga pernah ditegur oleh seorang rakan melalui private message, apabila saya memuat naik gambar seorang rakan yang memakai tudung tetapi lengannya terdedah - teguran kepada kebaikan juga salah satu jihad dakwah.

Pendek kata, apa jua perkara yang mengajak kepada kebaikan itulah jihad dakwah.

Bagaimana nak dapat pahala jihad dakwah dengan mudah?

1. Sebarkan salam - jika keluar rumah, dan berjumpa dengan saudara seagama kita ucapkanlah Assalamualaikum. Secara tak langsung kita dalam usaha mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

"Sebarkan salam sesama kamu kerana ia dapat menyemarakkan kasih sayang." - hadis direkodkan oleh al-Hakim.

2. Tulis zikir atau selawat (contoh: Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar) pada wall media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Setiap kali orang membacanya kita peroleh pahala.

3. Kongsikan waktu solat - apabila masuknya waktu solat, kongsikannya di media sosial, secara tidak langsung kita mengingatkan tentang masuknya waktu solat. Kalau ada yang terbaca status kita dan dia segera solat, maka kita juga akan mendapat pahala.

4. Kongsikan apa juga ilmu atau bahan bacaan yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain, walaupun ia hanyalah satu ayat. Mana tahu jika ada yang mengamalkan ilmu yang kita kongsikan itu, kita turut mendapat pahala.

Belajar sesuatu dari tindakan Fikry Ibrahim?

Moga perkongsian ini, bermanfaat buat sahabat yang membacanya. Moga Allah sentiasa memberi ruang kepada kita untuk terus melakukan kebaikan.

Nora Karim
#norakarim
#jihaddakwah
#fikryibrahim
#perkongsiannorakarim
#positivevibe

Wednesday, May 23, 2018

Alam Barzakh: Saat Sakaratul Maut

Alam Barzakh (TV Al-Hijrah)
Saat Sakaratul Maut
Ustaz Wadi Annuar

1. Waris kepada orang yang sedang nazak, bacakan "la ila ha illallah" di telinganya.

2. Perkara wajib dilakukan ketika berhadapan dengan kematian;
a) memandikan
b) mengkafankan
c) menyembahyangkan
d) mengusung jenazah ke kubur
e) mengebumikan

3. Apabila sampai ketikanya roh dicabut, Malaikat Izrail akan datang bersama pasukannya. Jika yang mati adalah orang yang soleh, maka bersama Malaikat Izrail adalah pasukan malaikat rahmat. Dan jika sebaliknya, pasukan malaikat azab akan bersamanya.

4. Malaikat Maut akan berada di kepala orang yang sedang nazak. Jika kematiannya husnul khotimah, maka rohnya akan keluar sepertimana mudahnya air yang keluar dari sebotol air.

5. Roh yang mudah keluar itu adalah roh yang sentiasa merindui Pencipta dan Rasulnya. (Moga kita dalam golongan ini, Amin...)

6. Jika kematian itu suul khotimah, maka roh itu berselerak di dalam jasad kerana terlalu mencintai dunia, dan tidak mahu ke alam barzakh. (Wa iya zubillah)

7. Ketika roh di kerongkongan;
a) si mati akan melihat dua alam; alam dunia (boleh dilihat sehingga dia dikafankan) dan alam ghaib.
b) Allah menutup pintu taubat buat diri si mati selama-lamanya.

8. Ketika roh telah berada di tangan Malaikat Maut, si mati meminta agar Allah kembalikannya ke dunia, bukan untuk melihat anak-anak, harta benda mahupun jawatan yang pernah dipegang, tetapi kerana menyesal dan ingin melakukan amal soleh. (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100)

9. Mati itu sakit, kerana Nabi SAW juga merasainya. Bacalah doa agar Allah meringankan sakit sakaratul maut.


10. Perkara yang dilakukan apabila menerima berita kematian:
a) disunatkan membaca, "innalillahi wainna ilaihirojiun".
b) membaca doa: "Ya Allah, tulislah dia di sisiMu dari golongan orang yang baik, jadikan buku catatannya di tempat tertinggi di "illiyyin", jagalah keluarganya serta orang-orang yang ditinggalkannya, janganlah Engkau haramkan kami dari mendapat ganjarannya serta memberi fitnah kepada kami selepas kematiannya."
c) bersabar, redha dan berlapang dada.

Nora Karim
#notailmunorakarim
#tvalhijrah
#alambarzakh
#sakaratulmaut

Wednesday, April 11, 2018

Tanyalah Ustaz: Rumah Berkat Bawa Rahmat

Tanyalah Ustaz
Rumah Berkat Bawa Rahmat
Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud

1. Rasulullah mendoakan keberkatan bagi umatnya yang berpagi-pagian (bangun awal sebelum subuh dan melakukan solat Tajahud atau berqiamulail)

2. Doa yang perlu dihafal oleh para suami, agar Allah mengurniakan isteri dan anak-anak yang menjadi penyejuk hati (tidak menyusahkan) Surah Al-Furqan, ayat 74

3. Cara menjemput berkat dan rahmat ke dalam rumah:
a) memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah.
b) ketuk pintu dan minta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa atau adik beradik yang lain
c) melakukan solat-solat wajib dan sunat
d) membaca al-quran
e) memperbanyakkan zikir
f) melazimi, mendengar dan menonton rancangan yang bermanfaat
g) menjaga anak yatim

4. Jangan jadikan rumah sepi dan suram seperti kubur sebaiknya sinarilah rumah dengan solat dan membaca Al-Quran, agar malaikat rahmat mendoakan kebaikan bagi semua ahli di dalam rumah tersebut.

5. Memuliakan tetamu akan memberikan rezeki dan kebaikan kepada kita.
a) bermanis wajah kepada tetamu
b) jamu tetamu semampu yang boleh
c) jangan jadikan pertemuan itu sebagai gelanggang mengumpul dosa (mengumpat)

6. Tanda-tanda Allah berikan berkah di dalam rumah:
a) semua isi rumah diberi ketenangan hati 
b) berlapang dada dengan kebaikan dan kejayaan adik beradik 
c) sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita dan ahli keluarga kita

7. Tidak meletakkan patung yang bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah tersebut.

8. Menurut bekas mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit dan Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qadrawi mengatakan adalah harus menggantungkan gambar-gambar kenangan seperti gambar keluarga, konvokesyen, perkahwinan dengan syarat:
a) gambar tersebut bukanlah patung
b) gambar tersebut bukan untuk dipuja atau disembah
c) gambar tersebut menutup aurat dengan sempurna

9. Isteri telah membantu suami untuk keluar bekerja bagi menampung perbelanjaan rumah, maka suami juga perlulah sama-sama membantu isteri bagi meringankan beban kerja-kerja rumah.

10. Kasih sayang antara suami isteri perlulah sentiasa disemai, agar sentiasa mendapat ganjaraan pahala daripada Allah. Solat bersama-sama suami atau isteri, dapat pahala. Pegang tangan suami atau isteri, dapat pahala. Memandang suami atau isteri dengan pandangan kasih sayang, dapat pahala. Bergurau dengan suami atau isteri, dapat pahala. Memberi hadiah kepada suami atau isteri, dapat pahala. Pendek kata, apa yang dilakukan bersama suami isteri akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah.

11. Jangan sekali-kali menceritakan masalah rumahtangga di dalam media sosial, kerana ia akan lebih memburukkan keadaan, dan mungkin akan menjadi tempat mengumpul dosa. Sebaliknya rujuklah kepada yang lebih ahli di dalam bidangnya.

Kasih sayang bermula dari rumah.

Wednesday, March 07, 2018

Tanyalah Ustaz: Momentum Istighfar

Tanyalah Ustaz
Momentum Istighfar
Ustaz Mohd Elyaz Ismail

1. Istighfar adalah penawar, bagi membolehkan seseorang itu meminta ampun daripada Allah, agar mendapat nikmat kesenangan hidup.

2. Bagaimana istighfar dan zikir mudah meresap di dalam hati setiap orang yang mengamalkannya:
a) dengan sebutan (qauli)
b) dengan perbuatan (fiqli)
c) dengan jiwa - istiqomah dalam melakukannya.

3. Istighfar terbahagi kepada dua:
a) istighfar tunggal - hanya melafazkannya dalam keadaan tertentu
b) istighfar diiringi dengan taubat - melafazkan dan melakukan solat taubat

4. Amalkan beristighfar tiga kali setiap kali selepas solat, istighfar boleh memberikan kekuatan dan melunakkan hati pengamalnya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

5. Amalkan "Penghulu Istighfar" yang menyamai ratusan ribu istighfar, yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

6. Amalkan membaca "Tasbih Kafarah" setiap kali selesai berbicara, moga dengan itu akan terhapuslah segala lisan yang tidak baik yang kita ucapkan sebelumnya.

7. Amalkan membaca Al-Ma'thurat setiap hari, selepas Subuh dan Asar, supaya dapat melindungi diri dan harta benda daripada gangguan dan kejahatan orang lain.

8. Amalkan membaca istighfar (3 kali), doa "Allahuma ajjirni minannar" (7 kali), doa "Allahuma antassalam..." dan ayatul Kursi setiap kali selepas Subuh dan Maghrib, supaya kita tidak leka dan lalai dalam mengingati Allah SWT.

9. Baca dan lazimilah "Doa Ibu Bapa", untuk ibu bapa kita yang telah lama meninggal dunia, agar Allah memgampuni mereka dan mengasihani mereka dan menempatkan mereka dikalangan para solihin.

10. Kelebihan mengamalkan istighfar:
a) Allah perbanyakkan nikmat untuknya (bukti firman Allah dalam surah Nuh, ayat 10-12)
b) Allah jauhkannya dari azab seksa ( bukti firman Allah surah Al-Anfal, ayat 33)
c) Allah berikannya kekuatan (bukti firman Allah surah Hud, ayat 52)
d) Allah akan memakbulkan permintaan dan permohonannya
e) Allah berikan kejayaan di dunia dan akhirat (bukti firman Allah surah al-Jumu'ah, ayat 10)
f) Allah campakkan rasa kasih dan sayangNya dengan memudahkan pengamal istighfar untuk melakukan kebaikan.

11. Doakan anak-anak kita agar menjadi anak-anak yang soleh, musleh dan musoleh. Bila mana anak-anak ini menjadi anak yang soleh, musleh dan musoleh, doa anak-anak ini akan dapat membantu kita di akhirat kelak.
a) soleh - anak yang baik
b) musleh - anak yang baik bagi dirinya, ibubapa, keluarganya serta membawa rakan-rakan terdekatnya untuk menjadi baik
c) musoleh - anak yang baik bagi dirinya, ibubapa, keluarganya, membawa rakan-rakan terdekatnya untuk menjadi baik serta merencana cara atau kaedah supaya lebih ramai menjadi orang yang lebih baik.

12. Tanda istighfar seseorang itu diterima Allah ialah hatinya ringan memaafkan orang.

13. Perbanyakkanlah istighfar ketika mana kamu sedang makan, berjalan di pasar mahupun ketika duduk (setiap masa) sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan Allah - Imam Hassan Al-Basri.

14. Waktu afdal melazimi istighfar adalah pada waktu sebelum masuknya fardhu Subuh. (bukti firman Allah surah Al-Israk, ayat 79)

*Saya sertakan video Penghulu Istighfar (UNIC) agar sama-sama dapat hafal dan amalkan.  Alisya boleh hafal, insyaAllah kita pun boleh.



Nora Karim
#notailmunorakarim

Monday, March 05, 2018

Gotcha, Faris!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam ketika saya hendak masak, saya perasan ada air sirap tumpah dalam peti ais. Bila angkat botol-botol cili dan bawang, ada air sirap menitik. Botol juga melekit.

Lalu saya cuma basuh dan lap botol-botol tersebut, kerana menyangkakan hanya botol-botol itu saja yang terkena air sirap.

Pagi ini, terasa hendak angkat semua barang yang ada dalam peti ais.

Itu dia...



Habis bertakung air sirap di bahagian paling bawah peti ais. Dinding-dinding peti ais juga habis melekit.

"Ya Allah, siapa punya kerja ni?" bisik saya. Sedang saya kemas peti ais, Alisya datang. 
 
"Mama buat apa ni?" pelik melihat saya mengeluarkan semua barang yang ada dalam peti ais.

"Siapa yang tumpahkan air sirap ni?" tanya saya padanya. 
 
Saya ada dua anak, Faris dan Alisya. Jadi, salah seorang dari merekalah yang perlu bertanggjawab.

"Alisya tak buat. Kejap Alisya tanya abang," lalu dia berlari ke ruang tamu.

"Abang, abang tumpahkan air sirap dalam peti ais eh?" Suaranya kedengaran sampai ke dapur.

"Mana ada..." jawab si abang.

"Alisya tak buat. Kalau Alisya tak buat, abanglah buat," marahnya. Mula serkap jarang.

"Faris, tak buatlah...," suaranya sedikit tinggi. Tidak puas hati dituduh si adik.

Tidak lama kemudian, mereka ke dapur. Berdiri di sebelah kiri saya. Sambil merenung air sirap yang bertakung. Dua-dua buat muka tidak bersalah.

"Siapa yang tumpahkan air ni?" soal saya.

"Bukan Alisya..." Alisya tetap dengan jawapannya.

"Bukan Faris..." Faris juga tidak mengaku.

"Habis siapa? Mama buat?" tanya saya lagi.

"Abah kot," jawab Faris. Abah yang bekerja luar kawasan kena tuduh. Tak pasal-pasal. Sambil membuat pelbagai andaian, bagaimana abah tumpahkan air itu.

Faris cerita A-Z macam mana air itu tertumpah. Tapi dia sebut abah sebagai pesalah.

Terus saya tergelak.

Pesalah dikenalpasti!


Nora Karim
Salah satu tip hendak tahu anak berbohong, bila dia bersungguh-sungguh menuduh orang lain, atas kesalahan yang dibuat. Gotcha, Faris!


Saturday, February 24, 2018

BFFTJ

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sejak kebelakangan ini, saya selalu dengar Faris dan Alisya bertukar-tukar cerita tentang kawan-kawan kelas mereka.

Sesekali terdengar mereka menyebut akronim yang saya agak biasa dengar.

"Ma, hari ni dalam kelas, ada lagi sambut hari jadi. Semalam hari jadi ketua kelas, hari ni hari jadi BFFTJ Alisya," cerita Alisya bersungguh-sungguh, ketika saya menjemputnya pulang dari sekolah semalam.

Eh inilah akronim yang saya dengar tempoh hari. Tapi betul ke saya dengar Alisya sebut BFFTJ? Bisik saya dalam hati.

"Tadi cikgu Fatin suruh kawan Alisya tu pilih beberapa orang kawan untuk ambil gambar dengan kek yang dia bawa. Mama tahu siapa yang dia pilih?" soalnya tiba-tiba.

Saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk mendengar cerita tentang persekolahan hari ini. Maka saya diam dan cuba fokus pada cerita dan pemanduan.

Isyarat lampu ke kanan sudah agak lama juga dihidupkan. Masih menunggu diberikan ruang oleh pemandu lain untuk melepasi kesesakan lalu lintas di hadapan sekolah.

"Er, siapa?"

"Alisyalah, sebab Alisyakan BFFTJ dia... Lepas tu, dia pilih lima orang lagi kawan lain untuk ambil gambar dengan kek yang dia bawa," bukan main seronok lagi Alisya sebab jadi antara orang yang terpilih untuk bergambar bersama si birthday girl.

Dia menyebut satu persatu nama rakan-rakannya. Saya cuba gandakan tumpuan pada nama setiap seorang. Perlu disimpan kemas dalam fikiran.

Parah kalau tersalah sebut nanti. Jangan buat hal. Kalau salah sebut nama rakannya, merajuklah dia dalam bilik sejam dua!

"Apa tadi tu? BFF apa?" tanya saya, minta kepastian.

"Oh... tu BFFTJ lah, ma..."

"Apa BFFTJ tu? BFF mama rasa mama tahulah. TJ tu apa?" Saja saya cuba selidik.

"La, best friend forever till Jannah la... Mama tak tahu ke?" Tersekat-sekat dia menyebut perkataan penuh BFFTJ itu.

"Ooo TJ tu till Jannah. Jannah tu apa?"

"Syurga... hari tu mama ada cakapkan, kita kena ada ramai kawan, nanti adalah orang yang akan doakan untuk kita bila kita dah masuk tanah kubur," jawabnya, sambil membelek-belek dua bungkus party packs yang diterimanya.

"Amboi, bukan main lagi sampai ada gelaran BFFTJ! Dulu masa mama sebut BFF je."

"Mama zaman lama... ni zaman baru... dah canggih... Islamlah sikit," katanya. Tersengih-sengih menampakkan barisan giginya yang masih belum tersusun elok.

"Eh, eh, eh budak ini. Bukan main lagi dia. Sempat kenakan mama. Apa? Zaman lama yea?" Laju saja tangan kiri saya menggeleteknya di kerusi sebelah.

Tergelak besar Alisya.

Rasanya ini kali pertama saya dengar anak-anak sekolah rendah yang gunakan 'BFFTJ'. Kalau anak-anak sekolah menengah, rasanya dah biasa juga dengar.

Bukan main advance anak-anak sekarang. Sekejapan juga rasanya mereka membesar.


Pada mata seorang ibu, anak-anak mereka sentiasa kecil. Betul tidak?


https://goo.gl/ufpwhZ
Jualan Pindah Kedai. 20 - 28 Februari 2018

Thursday, February 22, 2018

Resipi Mudah: Asam Pedas Ikan Sardin

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak pada #ameliatambyhussin yang kongsi resipi #asampedasikansardin ni. Bak kata Amelia, campak-campak, sedap.  

Memang sedap tau!
 
Lepas tengok video live Amelia masak asam pedas ikan sardin ni, terus saya pergi beli sardin tin. Sebab homemade sardin dah habis. Jadi beli yang dalam tinlah sebab terasa sangat nak rasa ikan sardin masak asam pedas ni. 
  


Bahan-bahan:
(saya pakai agak-agak je ni)

1 tin besar sardin
(Ambil ikan dan 3-4 sudu besar kuahnya saja)
*3 sudu besar bawang merah
*1 sudu besar bawang putih
*1 inci kunyit hidup
(*ditumbuk, dicincang atau dikisar)
Sedikit belacan
5-7 sudu besar pes cili kering/cili boh
1 batang serai
7-9 helai daun limau purut
1-2 keping asam keping
1-2 cawan air asam jawa
1 ikat daun kesum
Garam dan gula (jika perlu)

Cara memasak:
1. Tumis bahan kisar dan belacan hingga naik bau atau berubah warna dan sedikit garing. Masukkan serai.

2. Masukkan pes cili kering, asam keping dan daun limau purut. Masak sehingga naik minyak.

3. Masukkan air asam jawa dan ikan sardin bersama 3 - 4 sudu besar kuah sardin.

4. Masukkan daun kesum. Perasakan dengan garam dan gula jika perlu.

Siap. Selamat mencuba.


Nora Karim
Abaikan ikan sardin yang pecah-pecah tu. Adam Faris tolong saya masak dan kacau ikan dalam kuali.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...