Nuffnang Ads

Agoda Ads

Saturday, May 27, 2017

5 Menu Sahur Pembuka Selera

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam 1 Ramadan,

Siapa yang ada masalah nak makan sahur? Rasa susah nak makan sebab awal pagikan. Tapi kalau tak sahur pun tak boleh juga. Karang masuk tengah hari perut dah mula keroncong.  

Saya nak share, lima resipi mudah pembangkit selera ketika sahur kegemaran saya. Paling saya suka tempoyak goreng tu... Resipi arwah Mak saya. Kalau ada lauk simple macam ni, InsyaAllah berselera la juga untuk makan sahur. Buat banyak-banyak dan simpan dalam bekas kedap udara.


Sambal Ikan Bilis Tumbuk

Bahan-bahannya:
4 genggam ikan bilis - tumbuk
4 biji bawang besar - tumbuk
5 ulas bawang putih - ditumbuk
5 sudu besar pes cili padi
Sedikit minyak untuk memasak

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dengan api sederhana.
2. Masukkan ikan bilis, bawang besar, bawang putih dan pes cili padi ke dalam kuali. Pastikan bahan-bahan tersebut sedikit acup atau tenggelam dalam minyak.
3. Gaul dan kacau sehingga sebati.
4. Masak sehingga berbuih. Ikan bilis telah masak atau garing dengan sempurna jika mula berbuih.
5. Bila dah berbuih kacau lagi dalam 5 -10 minit.
6. Tutup api dan toskan minyak yang berlebihan.
7. Simpan dalam bekas kedap udara dan sedia untuk dimakan.


Sambal Tempoyak Goreng


Bahan-bahannya:
10 sudu besar tempoyak
2 biji bawang besar - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
Sejemput ikan bilis - tumbuk
3 sudu besar pes cili padi
1 batang serai – dititik

Cara memasak:
1. Gaulkan bawang besar, bawang putih dan ikan bilis bersama tempoyak serta pes cili padi, hingga sebati.
2. Panaskan minyak, masukkan bahan-bahan yang digaul tadi bersama serai.
3. Masak sehingga tempoyak bertukar warna seperti dalam gambar.
4. Sedia untuk dihidang.


Sambal Belimbing Kicap

Bahan-bahannya:
4 genggam ikan bilis - tumbuk
4 genggam belimbing buluh – rebus dan tumbuk
3 biji bawang besar - tumbuk
4 sudu besar pes cili padi
Kicap manis
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1. Rebus belimbing buluh dalam 5 minit. Biarkan sejuk sedikit. Kemudian kisar atau tumbuk.
2. Panaskan kuali dengan api sederhana.
3. Masukkan belimbing buluh, ikan bilis, bawang besar dan pes cili padi. Gaul sehingga sebati.
4. Masukkan kicap manis (ikut selera masing-masing banyak mana). Masukkan juga garam dan gula jika perlu. Kacau lagi.
5. Masak sehingga agak kering. Angkat dan tos. Sedia untuk dihidang.


Kentang dan Ikan Bilis Sira


Bahan-bahannya:
5 biji kentang
1 genggam ikan bilis
2 sudu besar pes cili kering
3 sudu kecil gula melaka/gula pasir
Minyak untuk menggoreng

Cara memasak:
1. Buang kulit kentang dan hiris nipis (pakai pengupas kulit buah tu). Rendam dalam air garam sekejap, cuci dan tos.
2. Goreng kentang dan ikan bilis berasingan. Ketepikan.
3. Tumis pes cili kering dan gula melaka sehingga naik minyak.
4. Dah naik minyak, tutup api dan biarkan sejuk seketika.
5. Dah sejuk, gaulkan kentang dan ikan bilis goreng tadi sehingga sebati. Simpan dalam bekas kedap udara. Sedia untuk dimakan.


Tempe Sira

Bahan-bahannya:
2 bungkus tempe
Sedikit ikan bilis
2 sudu besar pes cili kering
3 sudu kecil gula melaka/gula pasir
Minyak untuk menggoreng

Cara memasak:

1. Goreng tempe dan ikan bilis berasingan dan ketepikan.
2. Tumis pes cili kering dan gula melaka sehingga naik minyak.
3. Dah naik minyak, tutup api dan biarkan sejuk seketika.
4. Dah sejuk masukkan tempe dan ikan bilis. Gaul sebati.
5. Simpan dalam bekas kedap udara dan sedia untuk dimakan.
 
Selamat mencuba dan selamat berpuasa semua. Moga Allah berkati setiap amalan kita di bulan yang mulia ini.

Suka masak simple-simple je.


https://goo.gl/BHKvi5
Harga Buku: RM22.00
Klik untuk menempah

Jadual Buka Puasa Selangor 2017

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Alhamdulillah, hari ini 1 Ramadan 1438H. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih bertemu Ramadan tahun ini. Sama-sama doa agar Ramadan kali ini adalah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. InsyaAllah... Amin.

Entri ini saya nak kongsikan jadual berbuka puasa bagi kawasan sekitar Selangor.

ZON 1: Gombak, Petaling/Shah Alam, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang.

ZON 2: Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.


Untuk jadual berbuka puasa bagi negeri-negeri lain, klik di sini

Selamat menjalani ibadah puasa. Moga Allah berikan kelembutan hati kepada kita semua untuk perbanyakan ibadat pada bulan yang mulia tahun ini. 

Jika tahun ini anda sedang dalam proses untuk mengajar anak-anak berpuasa, boleh dapatkan buku 101 Info: Seronoknya Berpuasa.  Buku ini sangat menarik dan sesuai dibaca oleh anak-anak. Info yang mudah dan ringkas, juga disertai dengan ilustrasi yang menarik. Nanti saya akan kongsikan isi kandungan buku ini. InsyaAllah, next entry.

https://goo.gl/ig3cw8


Thursday, May 25, 2017

Beza Perwatakan Anak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Isnin lepas, balik dari mengaji Faris beritahu saya bulan puasa nanti nak pergi masjid hari-hari.



Saya: InsyaAllah, cuti sekolah panjang bolehlah solat Terawih dekat masjid. Faris dengan Alisya pun dah besar. Sebelum ni Mama Terawih dekat rumah je.

Faris: Er... kawan Ayies cakap, bulan puasa dekat masjid ada BANYAK MAKANAN! Boleh makan banyak-banyak. Sampai kenyang!

😱😱😱

Saya: La... Mama ingat nak solat Terawih berjemaah. Makan yang difikirnya?

😂😂😂

Sebelum ni saya pernah tanya, "mana best?! Mengaji dengan Mama ke mengaji dengan Ustazah?"

Faris jawab, "mestilah mengaji dengan Ustazah, sebab ada MAKANAN"

Saya tak tahu pula dekat kelas mengaji tu ada makanan. Patutlah bila saya suruh makan dulu sebelum pergi mengaji dia tak nak. Rupanya ada kudap-kudapan. Balik dari mengaji baru dia makan nasi.

Tapi ok jugalah, kalau mengaji dengan saya tak boleh marah sikit, berjurai-jurai air mata. Lepas tu cuti berminggu-minggu sebab kena marah!

😅😅😅


Perwatakan Faris dan Alisya sangat berbeza. Betullah cakap orang, ramai mana pun anak, bukan semuanya serupa, biarpun keluarnya dari rahim yang sama.

Faris orangnya lembut, jiwanya sensitif.

Alisya orangnya garang, jiwanya tegas.

Faris jenis yang sempoi, lurus, dia malas fikir yang rumit.

Alisya jenis yang berwawasan, rajin fikir (mungkin sebab dia suka baca buku).

Kalau nak fahamkan Faris, kena lukis... sebab dia jenis visualize.

Kalau nak fahamkan Alisya, boleh cakap je sebab dia pendengar yang baik.

Faris kalau borak dengan dia, jangan fikir akan sampai matlamat cerita. Sebab dia kurang fokus, sebaliknya banyak soalan-soalan yang tak berkenaan dia akan tanya.

Sebaliknya kalau borak dengan Alisya, matlamat cerita tu InsyaAllah sampai. Sebab dia fokus. Dia tanya soalan, tapi soalan tu memang berkaitan.

Bagi Faris terapi untuknya adalah makanan, origami, Lego (atau apa-apa mainan yang boleh dibina/dipasang) dan komik.

Terapi untuk Alisya pula adalah buku cerita, buku nota dan pen/pensil sebab dia suka melukis dan menulis nota, selain minat utamanya membaca.

Nampak tak? Sangat berbezakan? Anak-anak anda bagaimana? Disebabkan perbezaan sifat dan perwatakan inilah yang menjadikan ibu bapa perlu peka dalam memastikan emosi anak-anak terjaga. Jangan sampai ada yang rasa seperti disisihkan.

Nora Karim
Seorang yang pemalu. Siapa percaya? 

* Faris 10 tahun : Alisya 7 tahun *



https://goo.gl/JzYaNV

Friday, May 19, 2017

Resah Nak Periksa...

Bismillahirahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Sekarang ni minggu examkan?! Moga anak-anak saya dan anak-anak anda dipermudahkan untuk menjawab soalan peperiksaan. Moga semuanya dapat keputusan cemerlang. InsyaAllah, Amin...

Cikgu kelas Alisya kongsi gambar ni semalam.
Alisya baris pertama, duduk belakang sekali.

Selasa lepas, masa balik sekolah, Alisya beritahu saya yang dia tak nak pergi sekolah lagi.

Bila saya tanya, "kenapa?", Dia cakap periksa nak dekat, dia takut tak dapat 100 markah dan akan dipindahkan kelas. Kesian dia, tekanan hadapi peperiksaan besar (Darjah 1) pertama kali.

Saya: Tak pe kalau kena pindah kelas pun. Yang penting jawab je periksa macam yang Cikgu dah ajar dalam kelas. Dah belajar, usaha, doa lepas tu tawakal.

Alisya: Alisya tak pandai doa...

Saya: Doa je apa-apa. Allah dengar. Macam, "Ya Allah, mudahkanlah Alisya jawab soalan periksa" atau "Alisya takut lupa... ya Allah ingatkan Alisya" atau apa-apa je lah yang Alisya nak, minta pada Allah.

Tapi saya tengok Alisya memang nampak sangat stress hari tu. Mungkin sebab Cikgu ada ingatkan yang periksa nak dekat.


Saya: Alisya nak jalan-jalan?

Angguk.

Saya: Kita pergi Giant sekejap boleh?

Angguk.

Terus saya bawa dia ke Giant. Kebetulan masa jalan-jalan dalam Giant tu ternampak kiosk wakaf Al-Quran dan Telekung untuk fakir miskin dan anak-anak yatim.

Alisya: Ma, ada orang jual Al-Quran.

Saya: Quran tu tak jual... itu kita bayar untuk dihadiahkan pada orang miskin dan anak-anak yatim. Alisya nak sedekah?

Alisya: Tapi Alisya tak bawa duit.

Saya: Mama bayarlah. Orang yang banyak sedekah, Allah bagi banyak pahala... rezeki bertambah. InsyaAllah, Allah boleh bantu Alisya senang jawab periksa.

Sampai dekat kiosk tu, saya suruh Alisya pilih nak sedekah telekung atau Al-Quran. Dia pilih telekung. Saya suruh dia tulis nama dia dan abangnya. Lepas tu saya bagi RM20 pada Alisya untuk bayar pada abang yang jaga kiosk tu. (Satu nama pewakaf, RM10)

Abang kiosk: Alhamdulillah, terima kasih Alisya, pakcik terima duit wakaf ni untuk fakir miskin dan anak yatim. Moga Allah limpahkan rezeki yang banyak untuk Alisya dan keluarga.

Alisya: Alisya nak periksa tak lama lagi...

Abang kiosk: Pakcik doakan... Allah mudahkan Alisya jawab periksa, dapat keputusan cemerlang... berjaya dunia akhirat. Amin... Amin... Amin...

Saya dan Alisya: Amin...

Rasa nak menitik air mata. Dengar abang tu doakan untuk Alisya. Lepas daripada tu terus ceria muka Alisya. Muka pun dah senyum. Tak sebut lagi pasal risau nak periksa. Alhamdulillah.

Nora Karim
Pernah duduk kelas belakang.

Friday, May 12, 2017

Bila Anak Bertanya Tentang Sumayyah

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,


Semalam, masa dalam perjalanan nak ambil Faris balik sekolah dengar CD kompilasi terbaik Hijjaz. Sampailah track 11, lagu Sumayyah. Di bahagian chorus, Alisya ikut nyanyi. Lepas tu dia tanya:

Alisya: Kenapa Sumayyah kena bunuh Ma?

Saya: Sebab pertahankan Iman dan Islam.

Alisya: Siapa yang bunuh?

Saya: Orang kafir... ketua dia Abu Jahal.

Alisya: Kafir tu apa?

Saya: Orang yang tak mengaku Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasul.

Alisya: Mesti teruk dia kena bunuhkan?

Saya: Kenapa?

Alisya: Ye la sampai jadi lagu Hijjaz nyanyi ni.

Saya: Masa tu bukan Sumayyah je... Tapi suami dia dengan anak dia... Tiga-tiga kena ikat dekat batu, kena seksa bawah panas matahari. Lepas tu kena paksa untuk sembah berhala.

Alisya: Berhala tu apa?

Saya: Berhala patung-patung besar. Orang Arab masa tu percaya patung tu Tuhan dia. Bila Sumayyah tak nak sembah berhala... dia terus kena seksa... sampailah dia kena bunuh.

Alisya: Kesian Sumayyah Ma...

Saya: Kesiankan...? Tapi dia dapat masuk Syurga.

Alisya: Macam mana dia boleh masuk Syurga?

Saya: Dia mati sebab pertahankan Iman dan Islamkan. Dia memang percaya dan yakin dengan Allah dan Nabi SAW. Mati syahidlah... Sumayyah ni wanita Islam pertama yang mati syahid.

Alisya: Ooo... untunglah Sumayyah Ma, mati boleh terus masuk Syurga. Kita nanti mati dapat tak masuk Syurga?
 
https://goo.gl/QWOymF
Saya: Itulah, untung Sumayyah... Kalau kita doa banyak-banyak, solat, puasa, baca Quran, buat baik, insyaAllah dapat masuk Syurga. Selain Sumayyah, ada lagi perempuan yang hebat... macam Asiah, Mariam... ha Nusaibah... Nusaibah tu umur 60 lebih pun masih pergi perang tau! Tapi nanti la Mama cerita. Sebab tak dapat beli lagi buku Nusaibah.

Alisya: Nanti Mama dah beli, baca lepas tu cerita kat Alisya tau. Alisya nak tahu.


Nota kaki: Semalam birthday Alisya tujuh tahun... Moga Alisya mudah menerima ilmu dari para guru, sentiasa sihat walafiat, dipanjangkan usia, sentiasa dimurahkan rezeki, menjadi anak yang berbakti pada Mama dan Abah serta bermanfaat pada Ummah.  



💜 Nora Karim 💜
Rasanya umur 7 tahun masih sibuk main baling selipar lagi.

Sunday, May 07, 2017

PBAKL, Hari Ni 'Last Day'!

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Semalam, dalam keadaan encik suami dan Faris demam, (saya pun dah mula rasa nak demam) gagah ajak semua pergi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC.

Hari ni, 'last day' PBAKL. Saya takut kalau tangguh lagi maknanya tak merasalah saya pergi PBAKL tahun ni. Sepatutnya saya pergi Khamis lepas, tapi sebab encik suami demam, maka tertangguhlah...

Kenapa beriya sangat nak pergi PBAKL?
1. Sebab harga yang ditawarkan benar-benar harga runtuh! Bagi peminat buku macam saya, inilah peluang nak beli banyak buku dengan harga tak masuk akal!

2. Siapa yang nak jumpa penulis buku, nak dapatkan autograf dan berswafoto pun boleh dapatkan ketika di PBAKL.

3. Masa ni juga kita boleh lihat semakin banyak penerbit buku baru yang muncul, secara tak langsung banyak buku baru dengan gaya penulisan baru dipromosikan. Jadi bolehlah kita pelbagaikan bahan bacaankan?

Kali ni, saya dah senaraikan buku yang saya nak beli dan dapat beli hampir semua buku yang saya nak. Kalau kira harga asalnya, buku yang saya nak beli harganya dalam RM300 lebih. (Gigih simpan duit nak beli buku dari bulan lepas)

Tapi disebabkan harga tak masuk akal tu saya dapat beli 12 buah buku dengan harga RM184.50 sahaja. Harga asal bagi 12 buku ni lebih kurang RM270. Banyakkan saya jimat?!

12 buah buku saya dapat beli
dari 15 buah yang saya senaraikan.
Alisya beli ni je, sebab dia kata dah dapat
banyak buku yang saya beli dari PK Bundle.
Ini buku encik suami saya. Dia memang suka
baca buku biografi macam ni... 

'Last call' untuk peminat buku... hari ni hari akhir PBAKL. Jangan lepaskan peluang beli buku banyak-banyak dengan harga murah tau!

Melabur duit untuk buku, InsyaAllah tak rugi...


Nora Karim
Peminat buku

Friday, May 05, 2017

Bila Kena Tegur Dengan Anak...

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Alisya si anak bertuah ni dah pandai "tegur" Mama dia tau...

Tadi masa nak makan tengah hari saya sendukkan nasi putih untuk Alisya. Hari ni saya masak lauk kegemaran dia, kurma ayam.

Dia nampak saya buka bungkusan nasi lemak yang saya belikan untuk encik suami saya pagi tadi. (Nasi lemak yang saya beli biasanya diasingkan sambalnya, jadi insyaAllah masih boleh dimakan tengah hari tu).

Encik suami saya demam panas, dia tiada selera untuk makan. Jadi, saya makanlah. Takkan nak buangkan? Sayang je...

Alisya: Kenapa Mama makan nasi lemak? Makan nasi putih la sedap dengan kurma ayam.

Saya: Ni ha... Mama beli nasi lemak pagi tadi. Abah la ni tak makan pun. Membazir je...

Alisya: Haih, tak baik marah... Suamikan?! Lagipun Abahkan tak sihat.

* Rasa macam kena tampar pula* Hahaha...

Saya: Ye la, ye la... bukan marah, Mama bagitau je. Nanti Mama nak ambil abang, Alisya tunggu dekat rumah, tengokkan Abah tau.

* terus tukar topik, sebab malu kena tegur dengan anak 😜 *

Alisya: Demi Abah... Alisya tahulah.

Kalau dah lauknya kurma ayam,
memang bertambah-tambah dia makan.

Pada firasat saya, mungkin Alisya akan tidur masa saya pergi ambil Faris petang tu. Sebab encik suami saya dah lena lepas kena inject dan makan ubat.

Sekali saya balik, tengok Alisya masih berjaga. Sambil main mainan dia.

Saya: Mama ingat Alisya tidur, masa Mama ambil abang.

Alisya: Kan Alisya jaga Abah.

Saya: Abah dah bangunkan tadi? Kenapa Alisya tak tidur?

Alisya: Tak tidurlah. Mana tahu Abah nak apa-apa nanti boleh Alisya ambilkan. Nak air ke, nak makan ke...

* Alololo baiknya dia... memang betul-betul dia jaga Abah dia. Semalam masa Abahnya mula demam, dia yang bagi Abah dia termometer untuk periksa suhu. Siap lapor pada saya. Lepas tu tolong urut belakang Abah. Lepas tu bagi Abah 'ice pack' sebab panas badan Abahnya makin menjadi-jadi. *

Nora Karim
Bukan kali pertama kena tegur dengan Alisya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...