Email
ini diforwardkan oleh seorang rakan. Menyentuh tentang tugas seorang
"pencabut nyawa". Saya tertarik untuk membaca email ini kerana sedang
membaca novel (Rahsia Perindu - Ramlee Awang Murshid) yang sedikit sebanyak
menyentuh bagaimana proses hukuman gantung dijalankan...
Artikel
ini memberikan pengajaran kepada setiap orang yang membacanya. Dari hakikat
"hukuman gantung" itu sendiri sehinggalah persoalan
"kematian". Adakah kita akan tersenyum (di akhir hayat kita), seperti
mana tersenyumnya mereka di tali gantung. Renung dan fikirkan... kerana
mereka telah ditentukan keadaan dan tempat kematian mereka...sedangkan kita?!?
HUKUMAN
gantung sampai mati merupakan hukuman paling berat yang boleh dijatuhkan ke
atas mana-mana orang perseorangan yang didapati melakukan kesalahan di bawah
akta-akta tertentu seperti yang telah diperuntukkan oleh undang-undang negara.
Hanya seseorang wanita yang sedang mengandung sahaja boleh dikecualikan
daripada hukuman tersebut tetapi mahkamah boleh menggantikannya dengan hukuman
penjara seumur hidup seperti yang termaktub di bawah Seksyen 275 Kanun Prosedur
Jenayah (CPC).
Berbalik
kepada hukuman mati ini, ia bukanlah satu proses yang mudah kerana banyak
prosedur dan peraturan yang perlu diikuti oleh pihak penjara sebelum dibolehkan
melaksanakan hukuman yang menakutkan ini. Untuk itu, Jabatan Penjara Malaysia
telah melantik beberapa orang pegawainya untuk menyandang jawatan paling
menggerunkan ini yang dinamakan Pegawai Tugas Khas atau `tukang gantung'.
Tukang
gantung bukanlah satu jawatan yang diimpikan oleh mana-mana pegawai jabatan ini
kerana ia dilihat sebagai satu tugas yang cukup mencabar, baik dari segi
fizikal mahupun spiritual. Memang berat tugasan ini kerana kami boleh
diibaratkan sebagai `pencabut nyawa' tetapi kalau bukan kami yang buat kerja
tersebut, siapa lagi?'' katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Melihat
pada fizikalnya sendiri ia sudah cukup menggerunkan. Dengan ketinggian hampir enam
kaki dan berat mencecah 100 kilogram, pegawai penjara yang sudah berkhidmat
lebih 20 tahun ini juga mempunyai raut wajah yang cukup garang. Pendek kata,
melihat wajahnya sahaja boleh membuatkan banduan `kecut perut'.
Pun begitu,
beliau mengakui tidak ramai warga Jabatan Penjara waima anaknya sendiri tahu
yang di sebalik tugas harian sebagai pegawai penjara, beliau juga sebenarnya
menjalankan tugas sebagai tukang gantung. Isteri saya sahaja yang tahu tugas
saya ini tetapi kami tidak pernah berbincang mengenainya, saya pun tak pernah
bercerita dengan saudara-mara apatah lagi berborak mengenai `kerja' itu di
kedai-kedai kopi kerana tiada apa yang perlu dimegahkan dengan tugas ini. Pendek
kata bila bercakap mengenai hukuman mati, semuanya automatik menjadi rahsia...
orang tak tahu saya tukang gantung malah saya sendiri pun tidak tahu siapa yang
akan saya gantung,'' katanya.
Menurut
pegawai yang berusia dalam lingkungan 50-an ini, beliau hanya tahu identiti
banduan yang akan digantungnya itu kira-kira sehari sebelum hukuman tersebut
dilaksanakan. Katanya, tugas menggantung pesalah selalunya dijalankan pada hari
Selasa dan Khamis iaitu di antara pukul 5 hingga 7 pagi.
Sejurus
sebelum menjalankan tugas tersebut, beliau terlebih dahulu secara berseorangan
akan masuk ke bilik banduan yang dimaksudkan sebelum menggari tangan pesalah
tersebut ke belakang. Beliau kemudian akan menyarungkan muka pesalah dengan
kain hitam dan membawanya keluar dari sel akhir untuk ke bilik gantung sambil
dibantu beberapa wadar yang lain.
Sebelum tugas menggantung dilakukan, saya
akan mengambil ukuran berat banduan dan ketinggiannya terlebih dahulu...
selalunya semakin berat seseorang banduan, semakin pendek tali yang digunakan
dan begitulah sebaliknya. Ini penting kerana jika salah perkiraan, ia akan
mencederakan leher banduan, silap hari bulan kepala boleh putus dari badan, apa
pun saya bersyukur kerana kes seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah
pelaksanaan hukuman mati di negara ini,'' katanya.
Mengenai
keadaan mayat, pegawai tersebut memberitahu, selalunya muka pesalah akan
bertukar kebiruan atau kehitaman selepas digantung kerana kekurangan oksigen.
Ujarnya, lidah pesalah juga akan terjelir sedikit dan leher akan mengecil
hingga sekecil batang penyapu. Tetapi yang paling menggerunkan, sebaik sahaja
ikatan dilonggarkan, selalunya akan kedengaran bunyi `dengusan' daripada mulut
mayat berkenaan. Bunyinya seperti ini.... eeeerrrrkkk, ia sebenarnya hasil
tindak balas gas dalam badan tetapi kalau kita tak biasa, kita mungkin terkejut
besar,'' katanya sambil ketawa.
Menurut
beliau, sebelum digantung, pesalah akan diminta berdiri di atas sebuah
platform. Setelah mendapat isyarat daripada pegawai atasannya, barulah beliau
menarik gear' dan platform itu akan terbuka hingga menyebabkan tubuh pesalah
jatuh ke bawah. Tidak seperti yang difikirkan oleh kebanyakan orang, sebenarnya
tidak ada beban seperti guni pasir atau beg yang diikat di kaki pesalah.
Selalunya sebaik sahaja terjatuh ke bawah, tulang leher pesalah akan terus
patah atau lari dari kedudukan hingga menyebabkan dia mati serta-merta. Setelah
dibiarkan tergantung untuk seketika, mayat akan diturunkan sebelum diperiksa
oleh doktor yang bertugas. Mayat pesalah juga tidak perlu menjalani proses
bedah siasat seperti persepsi sesetengah pihak. Ia sekali gus menamatkan
cerita-cerita `nakal' kononnya organ pesalah akan diambil untuk dijual dan
sebagainya.
Selepas
itu, mayat akan diserahkan kepada waris atau keluarga untuk diuruskan
pengebumiannya. Kerja-kerja menggantung pesalah akan dilakukan dengan cepat dan
pantas... tak sampai beberapa minit pun. Di saat itu tidak ada ruang untuk
melakukan kesilapan, semuanya mesti cepat dan sempurna. Kami juga tidak akan
bercakap-cakap baik sesama anggota mahupun dengan pesalah dan hanya menumpukan
perhatian pada tugasan yang diberi. Matinya pesalah bermakna tugas kami pun
selesai, selepas itu kami semua akan kembali menjalankan tugas hakiki
masing-masing dan meneruskan kehidupan seolah-olah tidak ada apa-apa yang
berlaku,'' katanya.
Mengenai
`gangguan' yang diterima sepanjang menjalankan tugas ini, beliau mengakui
pernah `dikacau' namun menganggap ia adalah asam garam dalam kehidupan
seseorang tukang gantung. Pernah suatu ketika dulu, katanya, ada seorang
banduan akhir yang meminta untuk menghisap rokok sejurus sebelum digantung.
Pada awalnya beliau bersetuju untuk memenuhi permintaan banduan tersebut tetapi
disebabkan faktor masa dan peraturan, beliau terus menjalankan perintah gantung
tanpa banyak bicara.
Tiba-tiba suatu malam ketika saya sedang tidur, mayat
lelaki yang saya gantung itu `datang' dalam keadaan terbongkok-bongkok ke bucu
katil dan mencuit-cuit tubuh saya. Dia kemudian meletakkan jarinya ke bibir
seolah-olah mahukan rokok yang saya janjikan padanya dulu, bagaimanapun dengan
hormat saya memintanya 'pulang' dan dia pun terus menghilangkan diri.
Sehingga
kini saya tertanya-tanya adakah perkara tersebut memang betul-betul berlaku
ataupun cuma mainan tidur semata-mata,'' katanya sambil tersenyum. Selain itu,
beliau mengakui selalunya akan menerima `alamat' beberapa hari sebelum
ditugaskan untuk menggantung pesalah di penjara. Antaranya beliau akan rasa
panas di belakang leher, berdebar-debar, gelisah dan tidak sedap hati.
Selalunya selepas beberapa hari mengalami gangguan tersebut, beliau pasti akan
dipanggil oleh ibu pejabat untuk menjalankan tanggungjawabnya. Kalau diikutkan,
Jabatan Penjara Malaysia boleh berbangga kerana kita di sini menjalankan tugas
dengan seteliti mungkin sehingga tidak ada setitis pun darah yang keluar dari
tubuh banduan yang kita gantung berbanding hukuman tembak dan kerusi elektrik
yang dilakukan di penjara-penjara luar negara,'' ujarnya.
Mengenai
tali yang digunakan untuk menggantung pesalah, beliau berkata, ia merupakan
tali khas yang diimport dari luar negara dan harganya mencecah ribuan
ringgit. Ini kerana tali tersebut sangat berkualiti, tahan lasak serta tidak
melukakan leher pesalah. Beliau yang mengakui kerap tersentuh hati ketika
melaksanakan hukuman gantung menasihati orang ramai supaya menjauhi jenayah kerana
ia boleh merosakkan diri sendiri, bangsa, negara dan agama. Cuma saya minta
orang ramai supaya jangan menghina banduan-banduan akhir ini kerana mereka
sekurang-kurangnya tahu bila akan mati dan berkemungkinan sudah bertaubat,
tetapi bagaimana pula dengan kita?
Terus
terang saya katakan ada kalanya mayat mereka lebih sempurna daripada mayat
orang lain, ada mayat banduan yang saya gantung itu berbau wangi dan ada yang
wajahnya berseri-seri serta tersenyum seolah-olah pemergian' mereka
dirahmati-Nya,'' ujar beliau.
Sebelum
meminta izin untuk berundur diri, beliau berkata kepada penulis: Saya berharap
cerita saya ini dapat memberi keinsafan dan pengajaran kepada kita
semua.Ingatlah, seandainya saya sudah menarik `gear' di bilik gantung itu,
hanya keajaiban sahaja yang boleh menyelamatkan nyawa banduan tersebut dan
sejarah telah membuktikan...keajaiban itu tidak pernah berlaku!''
p/s:
Terima kasih kepada Normazmin Che Ad yang forwardkan email nie (juga kredit kepada
Saujanaku YahooGroups)