Nuffnang Ads

Agoda Ads

Thursday, January 10, 2019

Ihsan Seorang Anak

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum dan salam ziarah,

Kelmarin.

Saya menggalas beg sekolah Alisya. Memimpin tangannya masuk ke perkarangan sekolah.

Separuh jalan, Alisya salam dan cium saya sebelum dia berjalan sendiri menuju ke tapak perhimpunan.

Sedang saya memerhatikan Alisya berjalan, saya ditegur seorang wanita yang baru keluar dari kedai buku sekolah.

"Anak tahun berapa, Puan?" tanyanya dengan senyuman. Dari percakapannya, saya pasti dia berbangsa Indonesia.

"Tahun 3. Ni anaknya tahun 1?" tanya saya berbasa basi.

"Tahun 2 Puan, anak majikan."

"Alhamdulillah... tak cukup ya bukunya?" soal  saya apabila melihat beberapa buah buku tulis pada tangan wanita tersebut.

"Iya Puan..." sambil membuka zip beg sekolah dan memasukkan buku-buku tulis yang dibeli.

Saya senyum pada anak majikan wanita itu. Dia kemudiannya membalas senyuman saya.

Lelaki.

Comel.

Berkulit putih.

Saya perhatikan bajunya dimasukkan kemas ke dalam seluar. Tali lehernya terletak elok. Tidak senget. Rambutnya juga disisir rapi.

Dari atas sampai ke bawah saya lihat anak itu. Pandai bibik siapkan anak majikannya. Nampak ikhlas, dari penampilan anak itu.

"Terima kasih bibik," tiba-tiba anak itu bersuara, setelah bibik selesai memasukkan buku-buku tadi ke dalam beg sekolahnya. Anak itu hendak menggalas sendiri beg sekolahnya.

"Sama-sama. Eh ngak usah, bibik bawa dulu, berat begnya," kata bibik sambil menjinjing beg anak majikannya itu.

"Sebab beratlah saya nak bawa, kesian bibik," jawab anak itu petah.

"Ngak apa-apa. Bibik bawa. Minta diri dulu ya, Puan," katanya pada saya. Sambil memimpin tangan anak majikannya, hingga ke dalam barisan kelas.

Subhanallah.

Terkedu sekejap saya. Anak majikan itu akhlaknya sangat baik. Mulutnya sangat ringan mengucapkan terima kasih kepada bibiknya.

Dia tahu bibiknya penat, lalu hendak mengangkat sendiri beg sekolahnya. Ihsannya anak itu kepada bibik, hingga merasakan beg sekolahnya membebankan bibik.

Saya sangat pasti anak itu diajar dengan baik oleh kedua ibu bapanya tentang akhlak. Dia sangat hormatkan bibiknya.

Saya percaya, bibik itu juga dijaga baik oleh majikannya. Bajunya elok. Mukanya kelihatan ceria dan tidak 'capek' seperti kebanyakan pembantu rumah lain.

Alhamdulillah, saya belajar dua perkara hari ini.

1. Biasakan anak-anak untuk ucapkan dua perkataan keramat ini, 'terima kasih' dan 'minta maaf', kerana kedua-dua perkataan ini boleh menundukkan rasa ego dalam diri seseorang.

2. Ajarkan anak-anak untuk hormat dan menunjukkan rasa ihsan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira status pekerjaan mereka.

Anak-anak mudah dibentuk ketika mereka masih kecil. Mulakan sekarang, agar menjadi kebiasaan.

Nora Karim
Lalu benarlah, mendapat pembantu rumah yang baik juga merupakan rezeki dari Allah.

9 comments:

  1. SubhanaAllah..indahnya bila sentiasa menjaga akhlak dan mendidik dengan akhlak.

    ReplyDelete
  2. Allahhu, semoga dia menjadi ank yg soleh

    ReplyDelete
  3. Semoga membesar menjadi anak yang soleh dan menjaga orang tua sebaik mungkin

    ReplyDelete
  4. Salam 2019 NK.... Ehem ehem.... banyak ke shopping baju tahun baru ni? Yelah sejak sejak eat clean ni kan ... Jeles tau hihi...

    Emak ayah budak tu mesti baik akhlaknya kan NK.
    Untung bibik tu dpt majikan yg baik

    ReplyDelete
  5. ye kan, kita kadang jd pemerhati pun blh rasa bahagia....
    lagi2 dpt tgk bdk yg kecik2 sgt ihsan, sgt sopan dgn org tua...

    sya dr kecik mmg ajar aiyan ucapan terima kasih tu, biarpun kene ulang berkali2... kadang dia cpt lupa...
    kadang sya minta dia amikkan air kt dapur pun kita ckp terima kasih kt dia, dia pun jd hepi

    ReplyDelete
  6. Cerita yg sangat menarik. Kagum dgn anak tersebut dan ibubapanya yg mampu menerapkan akhlaj yg tinggi.

    ReplyDelete
  7. SubhanaAllah.. Indahnya akhlak yang diterapkan ibu bapanya..

    ReplyDelete
  8. bagusnya anak itu.. semoga kekal berbudi baik macam tu sampai bila2 =)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...